Thursday, December 31, 2009

Dilema Tahun Baru

Kalau buat konsert dan bunga api akan dikatakan tak islamik, hendonism, masalah sosial 1001 masalah, membazir duit rakyat, tak berfaedah, sambutan plastik dan segala macam.

Kalau tak jadi buat konsert dan bunga api pulak akan dikatakan negara ini tidak toleransi, ekstremis, terlalu Islamik, fundamental, tidak bebas, menyekat anak muda berhiburan, dan 'Boleh-Land'.

Bila buat- yang 'islamik' dan yang 'rakyat' akan marah.
Bila tak buat- yang 'demokrasi' dan yang 'liberal' akan marah.

Buat salah tak buat pun salah.

Dilema, kan?


ps: review 2009 akan ditulis esok.

Sunday, December 27, 2009

Thursday, December 24, 2009

Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju


Kebebasan bersuara adalah hak bagi setiap insan. Banyak atau sedikit- itu persoalan kedua. Tetapi yang membuatkan saya berasa menyampah ialah mereka yang menjadikan kebebasan bersuara sebagai kebebasan untuk mengutuk.

Saya akui perasaan suka untuk mengutuk datang daripada kemarahan. Kita akan kutuk orang yang kita marah. Ini sikap manusia.

Tetapi kita perlu faham tentang satu perkara- mengutuk sahaja tidak akan mengubah apa-apa. Kita boleh kutuk, kutuk dan terus mengutuk. Orang pun akan bertepuk tangan dan memuji kutukan kita. Biasalah, mengutuk adalah perkara paling mudah dilakukan. Malah disukai oleh orang di sekeliling.

Namun mengutuk sahaja tidak cukup. Kita perlukan langkah penyelesaian. Kita perlukan buah fikiran. Kita perlukan idea. Kita perlu bergerak melangkaui tembok kutuk-mengutuk.

Kita boleh menyenaraikan 22 'kesalahan' dalam 22 tahun. Tetapi apa pula sumbangan kita sepanjang 22 tahun? Kita bengang apabila politikus mengamalkan budaya politik kutuk-mengutuk. Tetapi bila kita sendiri yang mengutuk- kita kata itu 'the highest form of patriotisme'. Adakah ini double standard? Atau hipokrasi?

Kita kata perbezaan pendapat adalah budaya yang sihat. Namun bila ada di kalangan kita yang tidak sependapat, kita beri gelaran 'bonehead clawn, dibrainwash dan diconvert'. Kita bersungguh-sungguh nak perjuangkan 1 bangsa manusia bersatu, namun bila kita sendiri yang menyerang satu sama lain, penyatuan 1 bangsa manusia apa ini?

Kita marah kepada borjuis yang sombong, bongkak- yang tidak mendengar cakap orang dan menerima kritikan. Tetapi bila kita dikritik, kita akan 'roger angkatan tentera' untuk membelasah suara pengkritik kita. Jadi apa bezanya borjuis dan kita?

Kita bising menuntut masyarakat lebih demokratik. Kita mahukan suara semua rakyat didengari. Tetapi kita terlupa untuk 'bersetuju untuk tidak bersetuju'. Kita anggap kita sahaja yang betul tanpa memikirkan sebentar pendapat orang lain. Adakah ini demokratik yang kita laungkan? Atau sebenarnya autokrasi yang diubah nama?

Kita mahukan anak-anak muda bangkit bersuara. Kita perjuangkan suara anak muda. Tetapi apabila anak muda memilih untuk tidak sependapat dengan kita, kita panggil mereka dengan perkataan bonsai. Kita perlekehkan mereka dengan umur 19 tahun dan 'tidak ada duit'. Di mana pendirian kita terhadap 'menghormati suara anak muda' yang selalu dilaungkan? Adakah suara anak muda hanya menjadi 'suara' bila sependapat dengan kita? Atau sebenarnya anak-anak muda tidak boleh berbeza pendapat?

Tulisan yang hebat bukan sekadar mengutuk dan mengkritik. Tulisan yang hebat ialah tulisan yang mampu menyumbang kepada penyelesaian bukannya menjadi sebahagian daripada masalah. Kalau dengan hanya mengutuk dalam tulisan barulah dikatakan cool- ini sebenarnya tulisan yang populis kerana menulis apa yang orang hendak baca. Bukannya apa yang orang perlu baca. Siapa sebenarnya yang menulis untuk popular di sini?

Adakah dengan mengkritik dan mengutuk kerajaan barulah dikatakan tidak bacul atau diupah oleh Pemuda UMNO? Kalau begini pemahamannya bermakna semua penulis ialah bacul. Kerana tidak bacul kepada sesuatu adalah bacul kepada sesuatu yang lain.

Tidak salah untuk kita mengkritik. Kritikan juga dapat menyedarkan kita. Tetapi yang menjadi masalah bila kita mengkritik hanya untuk mengkritik. Malah lebih teruk, kita menolak kebenaran hanya kerana kita mahu mengkritik. Yang sepatutnya kita buat ialah menyokong mana yang benar dan menolak mana yang salah. Kita boleh menjadi pengkritik dan kita boleh jadi penyokong.

Kita boleh berbeza pendapat. Kita boleh memilih apa yang kita hendak percaya. Dan kita boleh perjuangkannya. Ini sebenarnya demokrasi. Namun untuk memastikan demokrasi ini benar-benar demokratik, apa yang perlu kita lakukan ialah - bersetuju untuk tidak bersetuju. Ini sebenarnya yang gagal untuk kita praktikkan.

Selagi mana kita gagal untuk bersetuju untuk tidak bersetuju- jangan mimpilah nak kebebasan bersuara. Kalau tidak, yang dapat hanyalah kebebasan untuk mengutuk.

*

Saya akui bulan ini saya jarang mengupdate blog. Namun ini bukanlah perkara yang penting. Sejak kebelakangan ini saya dapati begitu banyak komen-komen yang menyerang peribadi. daripada orang yang sama. Lebih teruk, ada yang menghantar sms 'memprovoke'. Nampaknya mereka ini orang-orang yang saya kenal (mungkin juga orang yang sama?).

Saya berasa kesal terhadap perlakuan mereka yang tidak menghormati perbezaan pendapat. Nasihat saya mudah sahaja. Blog ni macam makanan. Agak-agak tidak sedap, janganlah makan. Kalau rasa tak boleh terima, janganlah baca. Ini penyelesaian yang mudah tanpa perlu nak demand saya delete blog ini. Lagipun daripada sakit hati dan terus bergaduh, lebih baik diam dan jangan kacau blog orang.


Terima kasih juga kepada email-email sokongan yang dihantar. Beginilah indahnya blog- kita bukan setakat menjadi penulis dan pembaca, tetapi turut menjadi rakan. (tak kisahlah rakan sekejap pun)

Terima Kasih.

Friday, December 18, 2009

GTP- satu harapan baru

kredit gambar untk TMI

Idris Jala wajar diberikan kredit. GTP atau Government Transformation Programme benar-benar cool.

Bayangkan lapan makmal diwujudkan dan setiap satunya ditugaskan untuk tujuan tertentu. Ada makmal untuk memerangi jenayah, ada makmal untuk kemiskinan tegar dan ada makmal untuk pengangkutan awam. Dan dalam makmal itu, pegawai-pegawai kerajaan serta pakar-pakar akan bereskperimentasi dengan data, statistik dan kajian dalam mencari penyelesaian.

Hasilnya ialah lebih 7000 aktiviti, 2000 projek dan 100 program dihasilkan. Dan kesemuanya dipertontonkan kepada orang ramai selama dua hari. Kritikan dan cadangan daripada orang ramai juga diambil.

Selepas melihat sendiri GTP, saya berasa sedikit optimis dan mempunyai harapan baru kepada kerajaan. Oh, ini bukanlah kerana diconvert atau dibrainwash. Tetapi sesiapa yang pergi pasti akan mempunyai perasaan sedemikian.

Menteri-menteri tidak ramai yang turun. Ini bagus kerana akan memberi peluang kepada pegawai kerajaan sendiri untuk menerangkan kepada kita. Kalau menteri atau ahli politik yang bagi talk- memang cakap pusing-pusingla. Last-last asyik ulang benda yang sama.

Buat pertama kalinya kerajaan menggariskan apa yang patut dan akan dibuat untuk transform. Selama ni kalau kita baca di akhbar dan media- semua dasar kerajaan tidak jelas. Setakat atas angin sahaja. Tetapi berbeza dengan GTP yang benar-benar 'go in detail'.

Ramai juga profesional yang turun. Orang biasa pun ada malah rakyat pedalaman turut dibawa datang. Ada situasi yang sangat mengharukan bila melihat sendiri pegawai-pegawai kerajaan bersedia mendengar dengan khusyuk apa yang cuba disampaikan oleh orang kampung. Memang betul era Government Knows Best dah berlalu.

Rasanya inilah yang dikatakan politic of hope. Bukan politic of fear. Kita dapat menilai dan melihat sendiri apa yang di'offer' oleh kerajaan. Alangkah bagusnya jika Pakatan juga tampil dengan idea dan cadangan mereka. Mungkin masing-masing boleh saling melengkapi satu sama lain. Orang ramai pun boleh lihat siapa lagi bagus bukan siapa lagi teruk.

Ramai penulis blog yang mempunyai idea-idea hebat. Rata-ratanya pun golongan muda. Tetapi agak sayang apabila idea mereka tersekat di blog sahaja. Hari GTP adalah peluang untuk mereka menyuarakan idea. Saya tidak pasti berapa ramai yang datang tadi adalah blogger. Tetapi golongan muda agak ramai.

Di akhirnya kita semua perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian bukannya sebahagian daripada masalah. Bukankah ini manifestasi daripada 'kebaikan bersama?'

Tabik untuk Idris Jala.


ps: tahniah juga untuk pasukan bola sepak Malaysia.

Saturday, December 12, 2009

Cukai dan Subsidi

PETRONAS PROFIT FALLS- Business Times

PETROLIAM Nasional Bhd, Malaysia’s state oil company, said first-half profit dropped 48 per cent because the global economic slowdown sapped energy demand and reduced fuel prices.

MALAYSIA MAY END SUGAR SUBSIDY- Straits Times

KUALA LUMPUR - MALAYSIA may scrap a costly sugar subsidy in a move to save at least RM720 million (S$298 million) annually.

GOVT TO INTRODUCE NEW FUEL SUBSIDY SCHEME- The Star

KUALA LUMPUR: The Government is looking to introduce a new petrol subsidy system using the MyKad that would shave RM2bil off its annual fuel subsidy bill.

GST WILL BE IMPLEMENTED BY 2011- NST

KAJANG: The government plans to impose a goods and services tax (GST) of four per cent, Second Finance Minister Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah said yesterday. The government expects an additional RM1 billion in annual revenue.

*

Cukai- walau apa pun namanya bukanlah satu perkara yang digemari oleh rakyat. Cukai adalah sumber pendapatan bagi sesebuah negara. Dari cukailah, modal dikumpul untuk menggerakkan agenda ekonomi. Namun yang kaya atau yang miskin tetap menganggap cukai adalah satu bentuk bebanan. Setiap tahun ada sahaja yang cuba membayar cukai kurang dengan liciknya meng'claim' itu ini. Tidak kurang juga yang diburu kerana tak bayar cukai langsung. Biasalah- siapa yang suka membayar cukai. Malah Cristiano Ronaldo pergi ke Real Madrid pun sebab cukai pendapatan di England terlalu tinggi.

Subsidi adalah benda yang paling digemari di dunia selepas bola sepak. Ia ibarat 'sacred cow'. Siapa yang berani sentuh (baca: hapus) memang dijamin kalah pilihan raya.

Subsidi pada asasnya adalah satu bentuk bantuan untuk meringankan beban rakyat. Subsidi boleh dianggap sebagai campur tangan kerajaan ke dalam sistem pasaran bebas dalam menentukan harga sesuatu barangan. Seliberal mana pun ekonomi sesebuah negara itu- subsidi tetap akan diberi. Malah di Amerika pun subsidi diberikan kepada golongan petani.

Cukai dan subsidi. Analoginya macam good cop dan bad cop. Keduanya menjalankan tugas yang sama iaitu antaranya menjaga nasib rakyat. (giler klise ayat). Cukai memastikan ada dana/modal berterusan untuk meneruskan kelangsungan segala kemudahan seperti hospital dan sekolah. Subsidi pula memastikan kos pengeluaran dikurangkan supaya dapat meminimumkan harga barangan. (Ini pemahaman mudah bagi seorang pelajar architecture. Kalau nak pergi teknikal boleh tanya economist la ye)

*
Ia adalah open secret bahawa Petronas menyumbang lebih 40% daripada pendapatan negara. Jadi apabila kita dikejutkan dengan berita keuntungan Petronas jatuh mendadak, kita wajib berasa risau kerana ia bermakna pendapatan negara berkurang.

Sebenarnya ini adalah kesan akibat terlalu bergantung kepada Petronas. Ini menjelaskan mengapa kerajaan perlu untuk mempelbagaikan sumber pendapatan. Langkah memperkenalkan GST (Good Services Tax) adalah satu cara yang mungkin boleh dipertimbangkan. Sememangnya ia langkah yang tidak popular, tetapi ada cara lain untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara?

Lagipun bukankah GST bermakna- beli banyak bayar banyak? Ini cara yang kena dengan budaya konsumerisme.

*
Peruntukan untuk subsidi di Malaysia sangatlah tinggi. Bukan sahaja ada subsidi bahan api, tetapi ada juga subsidi gula, beras, gas, baja dan sebagainya. Subsidi tidak perlu dihapuskan tetapi perlu distrukturkan. Bila kita kata pengstrukturan- ia bermaksud kita beri kepada yang layak sahaja. Dan kadarnya berbeza mengikut tangga pendapatan. Dengan cara ini rakyat kelas bawahan akan terima lebih daripada kelas atasan. Bukankah ini langkah populis yang bijak? Popular di mata rakyat dan bijak kerana dapat mengurangkan perbelanjaan.

Langkah menghapuskan subsidi gula adalah mengarut. Lagi mengarut bila alasan untuk memastikan amalan hidup yang sihat digunakan.

Setakat yang saya tahu tidak ada negara yang memperkenalkan sistem subsidi petrol yang berpilih. Semuanya guna pakai sistem pukul rata atau sama kadar. Mungkin jika kerajaan Malaysia berjaya- barulah wajib untuk kita berasa bangga dengan menjadi 'pertama di dunia'.

Thursday, December 10, 2009

Demokrasi


Demokrasi membawa banyak makna kepada setiap insan.

Ada yang berpendapat demokrasi ialah apabila kita bebas memilih untuk berbuat apa sahaja.

Namun ada pula yang berpendapat demokrasi bukanlah kebebasan yang mutlak.

Ada juga yang berpandangan demokrasi ialah alat kaum pemodal dalam meneruskan agenda kapitalisnya.

Tidak kurang yang menganggap demokrasi dan kapitalis ialah elemen yang saling melengkapi.

Tun Mahathir kata demokrasi ialah alat yang digunakan oleh kuasa besar dunia untuk menjajah ekonomi negara-negara lain.

Anwar Ibrahim pulak kata demokrasi ialah penting demi toleransi antara agama dan khususnya agama Islam.

Masing-masing ada pendapat tersendiri.

Apa pula makna demokrasi bagi anda?

Wednesday, December 2, 2009

Hapuskan ahli politik?

Ada yang berpendapat dunia ini akan lebih baik sekiranya tiada ahli politik. Kata mereka ahli politik korup. Lebih teruk, mereka tidak boleh dipercayai. Oleh itu, mereka perlu dihapuskan.

Pendapat ini ada meritnya. Malah ini adalah idealisme untuk mereka yang kecewa dengan ahli politik.

Tetapi kita perlu berfikir secara realistik. Dunia tanpa ahli poltik adalah mustahil. Kita mungkin boleh mengharamkan pilihanraya atau parti-parti politik. Tetapi politik bukan berkisar mengenai pilihanraya dan parti politik. Politik ialah kehidupan. Politik ialah perebutan kuasa. Politik ialah bagaimana kita hidup di dalam masyarakat. Kita ke sekolah- itu politik. Kita ke tempat kerja- itu politik. Dan kita di rumah- itu politik. Sebenarnya kita semua adalah ahli politik.

Masih nak hapuskan?

Kalau atas alasan korup ahli politik perlu diharamkan, nampaknya kita bukan sahaja perlu mengharamkan ahli politik. Kita perlu hapuskan juga arkitek, jurutera, doktor, polis, tentera, bomba, cikgu dan...ustaz. Kerana golongan ini pun ada korupnya.

Kepada mereka yang berpendapat begini, dunia bukan lebih baik tanpa ahli politik tetapi dunia akan lebih baik tanpa manusia...atau mungkin lebih teruk?


Monday, November 30, 2009

Kisah Polis dan gua

Kejadian ini berlaku tidak beberapa lama dahulu. Waktu ini Arsenal masih belum kena tibai dengan Chelsea 3-0. Liverpool pun masih belum terkeluar daripada Champions League. Tapi Negerei Sembilan sudah menang Piala Malaysia. Ketika di waktu inilah kisah ini berlaku.

*

Entah mengapa gua berasa tidak tenang. Rasa macam nak ambik angin jejalan je. Mungkin banyak sanagt berdebat di UIA sampai gua sesak kepala. Lalu gua start enjin kereta. Kasi panas 2-3 minit baru gerak. Walaupun gua masih tak tahu hendak ke mana, gua pecut je.

Tengah syok memandu, henpon gua berdering pulak. Sebagai pemandu Malaysia yang berhemah di jalan raya, gua pun angkat. Ala, mak gua pun yang telepon. Bukan orang lain. Lagipun bukankah panggilan seorang mak itu lebih penting daripada panggilan makwe? Nabi pun pesan, mak 3 kali lagi penting dari ayah. Apatah lagi jika dibandingkan dengan pihak polis. Gua cuba berfalsafah agama di sini.

*

" Mintak lesen." Ringkas tapi tegas kata-kata abang polis trafik.

Gua tunduk. Ikut tanpa banyak soal macam adik bongsu baru lepas kena marah dengan abang sulung.

" Dah tau salah guna henpon time memandu tapi buat jugak." terus abang polis keluarkan surat saman.

Cilakak, gua kena saman! Waktu ni gua dah baran semacam. Kalau ada ahli pakatan yang cadangkan polis diharamkan sebab menyusahkan rakyat, gua memang turun demonstrasi. Tapi gua rasional. Polis ni hanya menjalankan kerja. Takkan kerana gua disaman bermakna kita perlu haramkan polis. Lagipun dah memang gua yang salah. Kenapa perlu menyalahkan orang lain kalau diri sendiri yang salah. Betul tak?

*

" Ala encik. Dah emak saya call. Takkan saya nak reject call. Jadi anak derhaka la nanti. Cuba kalau encik tepon anak encik dan dia reject. Mesti kecik hati encik kan?" - Gua monolog dalaman je. Tak berani nak cakap depan-depan camni. Karang tak pasal-pasal kena tembak.

Friday, November 27, 2009

Biro Tata Negara

Awal bulan sebelas yang lalu, gua mendapat surat di bawah tajuk 'urusan seri paduka baginda' untuk memberitahu pelajar-pelajar cemerlang macam gua telah diwajibkan untuk mengikuti kem BTN pada bulan dua belas nanti.

Kalau ikutkan hati, baran juga dibuatnya. Mujur gua ada pertandingan debat diraja. Maka excuse gua untuk tidak pergi pun bertaraf diraja jugaklah. hehehe

Thursday, November 26, 2009

Berkorban Untuk Yang Susah

Selamat Hari Raya semua.



ps: Basuh Baju sedang sibuk persiapan menjelang Pertandingan Debat Diraja.

Monday, November 23, 2009

Label-label dalam kehidupan

LABEL-LABEL MENYUSAHKAN

Dalam hidup ini kita kerap mendengar pelbagai label yang diberikan kepada individu. Ada pula yang mahu dirinya diberikan label tertentu tanpa perlu menunggu orang lain memberikannya. Antara contoh label ialah sosialis, kapitalis, liberal, konservatif, feminin dan Islamis.
Sebenarnya label-label ini menyusahkan. Mengapa?

LABEL MENUTUP PANDANGAN KITA DARI DIDENGARI

Apabila kita dilabelkan dengan gelaran-gelaran tertentu, ia menyebabkan pandangan kita tidak lagi diterima. Contohnya orang yang dianggap sosialis, apa sahaja yang diperkatakan oleh orang sosialis akan ditolak bulat-bulat oleh mereka yang kapitalis. Tidak kiralah apa yang diperkatakan itu kadangkalanya benar. Oleh itu label membuatkan orang menilai siapa yang bercakap bukan apa yang dicakapkan.

Label juga digunakan untuk menutup pandangan orang lain. Sebenarnya mereka yang melabel orang lain ini tidak ada modal untuk berhujah. Jadi dengan melabel, ia adalah cara termudah untuk melenyapkan mulut pengkritik.

Ini kerana ada sesetengah orang mempunyai prejudis kepada label-label tertentu. Sebab itu ada yang melabel seorang bekas mufti sebagai wahabi.

LABEL MEMBUATKAN KITA TERIKAT DALAM BERFIKIR

Perkara yang paling menyusahkan tentang label ini ialah kita tidak bebas dalam memberikan pandangan. Segala pandangan terpaksa disesuaikan dengan label yang diberikan kepada diri kita. Ini bermakna kita terikat.

Hanya kerana mahukan kita terus dilabel sedemikian kadangkala kita terpaksa tidak bersetuju dengan diri sendiri dalam memberikan pendapat. Kita mungkin berpendapat seperti sosialis dalam sesuatu perkara. Tetapi oleh kerana kita melabel diri sebagai kapitalis, di akhirnya kita hanya diam membisu. Semuanya kerana label.

Walaupun ada yang mengaku sebagai konservatif, tetapi hakikatnya ada kalanya mereka akan liberal di dalam sesetengah perkara. Samalah juga kepada yang mengaku liberal. Mungkin di dalam banyak perkara mereka liberal tetapi adalah mustahil untuk tidak mempunyai pendapat yang konservatif di dalam perkara tertentu.

Ini kerana tidak ada satu pun label yang sesuai di dalam semua keadaan. Ia bukannya 'one fit for all.'

Jadi kita tidak perlu terikut-ikut dengan label.

Tidak kisahlah pandangan itu sosialis, kapitalis, liberal, konservatif, etc. Selagi ianya membawa kepada kemajuan kepada semua, kita gunakan.

Di akhirnya setiap pandangan difikirkan oleh manusia, maka ianya tidak sempurna.

Friday, November 20, 2009

Adil, Samarata, Kuota dan Meritokrasi

PECAHAN 32 PASUKAN KE PIALA DUNIA MENGIKUT BENUA

Benua Afrika- 53 negara, 6 tempat

Benua Asia- 43 negara, 4.5 tempat

Benua Eropah- 53 negara, 13 tempat

Benua Amerika Utara- 35 negara, 3.5 tempat

Benua Amerika Selatan- 10 negara, 4.5 tempat

Benua Ocenia- 10 negara, 0.5 tempat


Ramai yang mahukan kesamarataan (equal). Bagi mereka biarlah adil dan saksama. (Fair and equal).

Kalau ikutkan konsep kesamarataan, kenapa benua Afrika yang sama banyak jumlah negara dengan eropah tetapi hanya diberikan 6 tempat? Benua Asia yang paling besar kat dunia pun dapat 4.5 tempat. Tapi Amerika Selatan yang lagi kecik dapat jumlah yang sama? Tak campur lagi benua Amerika Utara yang sama besar dengan Amerika Selatan tapi dapat tempat lagi sikit.

Ini adil ke tak? Ini samarata ke tak?

Jawapannya- ia adil kerana negara-negara Asia, Amerika Utara bukan kuat mana pun. Itupun nasib baik ada kuota baru boleh masuk. Kalau ikut meritokrasi je tanpa kuota- silap-silap semua tempat diisi negara eropah dan Amerika Selatan.

Kesimpulannya- nak adil tak semestinya kena sama rata. Kadang-kadang sebab sama ratalah yang buatkan jadi tak adil. Fair but not equal.

Kesimpulan lagi- meritokrasi dan kuota boleh berjalan seiring. Meritokrasi 100% tak boleh nak bagi adil. Ia akan membuatkan yang kuat sahaja dapat dan yang lemah akan terus ketinggalan. Tapi kalau guna kuota semata-mata ia akan membawa kepada tidak produktif sebab malas dan lembap. Semua benda nak kena sediakan. Jadi di akhirnya ialah kita perlu kuota dalam meritokrasi.


ps: ini baru contoh bola sepak. Sebenarnya dalam ekonomi pun boleh diguna pakai 'kesimpulan' ni. Tapi itu cerita lain kalilah. Gua nak main bola dulu. Kot-kot terpilih masuk team Malaysia ke Piala Dunia.

How To Make Politicians Better..









Wednesday, November 18, 2009

Sistem Pendidikan Malaysia- Edisi Ringkas


"Buku paling best kat dunia tapi tak ramai orang baca tiap-tiap hari ialah Kitab Suci. Buku paling tak best kat dunia tapi r
amai giler orang baca tiap-tiap hari ialah Buku Teks."


PENULIS BUKU TEKS DICARI


KUALA LUMPUR 17 Nov. - Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata DBP sedang mencari penulis buku teks untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Melayu sekolah rendah sebagai persiapan menyediakan silibus bersesuaian dengan dasar baru Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

ps: industri buku teks bernilai billion ringgit setahun.

Tuesday, November 17, 2009

Perubahan Bermula Dari Diri Sendiri

Rakyat Malaysia rata-ratanya mahukan kematangan berpolitik. Ramai yang mengharapkan politikus berubah dengan bercakap tentang perkara-perkara penting. Bukannya bising buat report kena pukul seperti Azeez UMNO. Ataupun kecoh-kecoh tentang Bai'ah Talak tiga Khalid Samad.

Bercakap tentang kematangan politik ni sebenarnya kita boleh mulakan dengan budaya blog. Kalau kita masih terperangkap dengan budaya politik lama dan kolot, kita akan menulis seperti blog parpukari dan sukj. Blog ini sememangnya seperti Utusan dan Harakah. Yang Barisan kutuk Pakatan. Yang Pakatan kutuk Barisan. Di akhirnya minda kita sendiri akan terus dibonsaikan tanpa perlu untuk berfikir.

Kalau kita perhatikan, blog-blog budaya lama ini sangat popular. Malah jumlah pembacanya melebihi jutaan hits. Ini membuktikan kita sebenarnya yang membenarkan blog budaya kolot lama ini terus berjalan dan hidup. Kalau tidak, mengapa kita terus baca dan baca? Ini membuatkan penulis blog tersebut berasa seronok dan merasakan mereka mempunyai sokongan kita semua.

Untuk menjadikan budaya kolot lama ini lebih teruk dan parah, sila baca pula komen-komen yang diberikan oleh para pembaca. Kebanyakannya hanya tahu mengutuk dan mencaci antara satu sama lain. Memang benar ia perkara biasa untuk penyokong kedua pihak untuk berbeza pendapat. Yang UMNO semestinya tidak sebulu dengan yang PKR. Begitu juga dengan DAP dan PAS. Ini adalah manifestasi sistem demokrasi yang mewujud dan membenarkan perbezaan.

Tetapi adakah perbezaan pendapat semestinya disampaikan dengan mencarut dan memaki? Apatah lagi menyerang peribadi dan keluarga? Sudah tentu tidak.

Kadang-kadang ia cukup menghairankan melihat mereka yang mahukan politikus kita berubah menjadi matang sebaliknya pada masa yang sama berperangai jauh lebih teruk dari politikus.

Bagaimana kita mahu mengharapkan budaya politik kita berubah sekiranya diri kita sendiri tidak berubah terlebih dahulu?

Adakah kerana budaya politik kita tidak matang maka ia membenarkan kita untuk sama-sama berperangai tidak matang?

Sudah tiba masanya untuk kita memulakan langkah awal dengan menjadi matang dalam pemikiran dan juga dalam menyampaikan pandangan. Kita boleh untuk tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Mahathir, Anwar, Nik Aziz, Najib Razak dan Lim Kit Siang. Malah kita dialu-alukan untuk bersikap kritikal terhadap kerajaan mahupun pembangkang. Setidak-tidaknya ia lebih bagus daripada menyokong membuta tuli.

Tidak ada gunanya kita memanggil seseorang itu mamak, kaki liwat, tok guru syaitan ataupun mongolia hanya kerana kita tidak bersetuju dengan mereka. Pertama kerana mereka tidak rugi sedikit pun. Kedua kerana ia menyerlahkan peribadi kolot kita. Ketiga ia tidak mengubah apa-apa pun.

Yang lebih bagus ialah kita berbincang, berdiskusi dan bertukar pendapat dengan cara baru. Ia boleh membawa kepada perubahan. Paling kurang pun minda kita berubah. Kalau kita mahukan perubahan, mulakan dengan diri sendiri dulu. Kita impikan budaya politik matang yang tidak kutuk mengutuk, maka kita juga perlu mulakan dengan tidak mengutuk. Lagi-lagi di blog.

Sebenarnya saya percaya ramai di antara kita yang sudah bosan dan lali dengan mereka-mereka yang masih lagi berbudaya kolot. Saya dapat perhatikan kekecewaan mereka yang sudah lali denagn situasi ini. Mungkin inilah sebab mengapa politik dianggap kotor dan dijauhi oleh golongan muda- golongan yang bakal menentukan masa depan negara kita.

Oleh itu kita perlu berubah dan perubahan bermula dari diri sendiri. Mari mulakan dengan mengubah budaya blog kita daripada mengutuk membabi buta kepada mengritik membina-bina. (peh-ayat apa ni).

Satu soalan kepada semua, sila tanya pada diri sendiri- 'Adakah Kita Mahukan Budaya Politik Yang Matang Atau Tidak?' [BB]

Monday, November 16, 2009

Rehatkan Minda...

Kali ni gua nak off sembang politik, ekonomi dan sosial. Lagipun baru habis exam. Gua pun nak rehatkan minda sehari dua.

Jadi untuk memastikan blog ini sentiasa dibasuh, gua upload beberapa gambar yang diambil semasa gua pergi hiking di Bukit Broga. (ala, dekat-dekat area University of Nottingham tu)

Selamat menikmati keindahan alam!




ps: gua pergi masa time hujan. Takde matahari. Lagipun waktu subuh. So gua main dengan hitam putih je. Nak tengok gambar original sila google Broga Hill. Nak lagi senang, tekan pages from malaysia je...






Thursday, November 12, 2009

Sebe11as Sebe11as


MENGUBAH PANDANGAN TERHADAP PEPERANGAN- Satu Pengajaran Dari Sebelas Sebelas

Dunia tanpa peperangan adalah ibarat menanti Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri Malaysia. Ia tidak mustahil tetapi kebarangkaliannya sangat-sangat rendah. Lagipun peperangan sudah lama wujud di dalam peradaban manusia. Adalah hampir 7000 tahun. Tetapi hanya kerana peperangan sudah lama wujud di dalam tamadun manusia tidak bermakna kita patut menerima peperangan sebagai lumrah hidup. Ini pandangan yang salah.

Sebaliknya apa yang kita perlukan ialah membasuh minda kita dengan melihat perang sebagai satu jenayah. Peperangan perlu dilihat sama tarafnya dengan membunuh, meronpak, dan merogol. (bukankah dalam perang juga berlaku perkara-perkara ini?) Dengan cara ini sesiapa yang melancarkan perang akan dilihat sebagai penjenayah. Bukan dianggap sebagai pemenang hadiah nobel keamanan atau pun dijemput memberi ucapan hak asasi manusia.

Begitu ramai yang turun ke jalan raya mengutuk peperangan. Begitu ramai pihak yang menghantar memorandum bantahan. Dan begitu ramai golongan yang memboikot barangan. Semua ini adalah usaha mulia dan perlu diteruskan. Tetapi sekadar berdemonstrasi, memboikot dan bermemorandum tidak cukup. Ianya usaha yang bermusim.

Jadi dengan mengubah pandangan kita terhadap peperangan adalah perkara yang jauh lagi mahal yang akan terus bersemadi di dalam fikiran kita. Setidak-tidaknya kita akan merasakan perang sebagai satu perkara yang jijik dan tidak bertamadun. Bukannya menjadikan perang sebagai satu subjek yang perlu dikaji dan dipelajari mahupun ditulis.

Ada yang berkempen mahukan perang dihentikan. Malah ada yang menjadikan agenda menghentikan peperangan sebagai modal kempen untuk bertanding jawatan presiden. Tetapi yang hairannya mereka ini juga memiliki pandangan yang silap. Mereka mahu menghentikan peperangan dengan melancarkan perang. Perang dibalas perang- ini fahaman mereka. Sungguh ironi. Two wrongs don't make thing a right.

Kita semua tahu peperangan pada hari ini dilobi oleh pembekal senjata. Malah ianya dibuat atas kepentingan ekonomi negara-negara tertentu. Oleh itu adalah malang untuk melihat ribuan orang- baik rakyat jelata mahupun tentera- yang terkorban di dalam peperangan. Sungguh menyedihkan mereka berkorban atas nama negara, bangsa dan agama. Walhal hakikatnya peperangan pada masa kini hanyalah sekadar memenuhi tuntuhan beberapa pihak yang tidak sekalipun turun ke medan perang!

Sudah tiba masanya untuk kita mengubah persepsi terhadap peperangan. Mungkin kita tidak mempunyai kuasa melobi seperti syarikat-syarikat senjata. Tetapi setidak-tidaknya kita mengambil bahagian dalam melakukan perubahan. Dan perubahan paling besar ialah perubahan yang bermula dengan diri sendiri.

Perang adalah jenayah.



ps: Rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana kita masih hidup tanpa perang di sekeliling. Kita tinggal dalam suasana aman damai. Mungkin statement ini cliche dan bosan didengari. Tetapi kita perlu bersyukur. Takut-takut kerana sudah bosan, nikmat yang ada akan hilang begitu sahaja....

Wednesday, November 11, 2009

Sebelas Sebelas

Hari ini ialah hari di mana perang dunia pertama ditamatkan. Berjuta-juta orang telah terbunuh.

Hari ini juga adalah hari di mana gua dah habis exam. Berjuta-juta jugak sel otak gua terkorban akibat mengulangkaji.

Tak sangka peperiksaan pun dah macam peperangan.

Tuesday, November 10, 2009

Cuci The Musical


Siapa Kata Hasil Seni Kita Tidak Bagus?

Beberapa hari yang lepas saya telah pergi ke Istana Budaya untuk menonton teater Cuci The Musical. Bukan sekali tetapi dua kali.

Kali pertama saya menonton tidak ramai yang datang. Hanya tempat duduk kelas kedua yang penuh. Kelas pertama dan ketiga lengang. Bila teater selesai, siap boleh bergambar dengan Vanidah Imran lagi tanpa perlu bersesak-sesak. Bayangkan betapa tak ramainya yang datang. Tapi ini sambutan di minggu perta
ma. (Lebih kurang hari kedua persembahan).

Namun segalanya berubah pada minggu ketiga iaitu pada hari kedua terakhir teater ini berlangsung. Teater ini telah full house, penuh dan sold out. Kali ini jangan kata nak bergambar, nak kenyit mata kat Vanidah Imran pun tak dapat. Punyalah ramai.

Jadi. Apa yang dapat kita pelajari dari sini?

1) Barang bagus pasti akan diterima merentasi warna kulit dan fahaman agama. Kali pertama saya datang rata-rata orang melayu yang menonton. Kali kedua keadaan terbalik. Lebih ramai warga Cina, India malah euroasian berbanding dengan orang melayu. Ini menunjukkan sikap prejudis terhadap produk dan barang orang melayu boleh diatasi dengan meningkatkan kualiti bukan kuantiti. Lagipun orang bukan membeli sesuatu produk berasaskan bangsa dan agama sebaliknya m
elihat kepada kualiti.

2) Kualiti sahaja tidak cukup tanpa jenama. Cuci The Musical ialah jenama yang telah diperkenalkan melalui filem Cuci. Bayangkan kalau teater ini diberi judul Basuh Baju The Musical. Konfem bagi tiket free pun orang tak datang... Sebenarnya itu juga masalah produk-produk Malaysia. Ada kualiti tapi tak dapat dijual sebab tiada jenama. Senang je nak ada jenama, buat iklan yang kreatif dan catchy. Bukannya buat iklan bosan macam iklan kat RTM.

3) Seni ialah medium terbaik untuk memupuk perpaduan. T
ak guna buat perlancaran logo 1Malaysia di stadium kemudian paksa budak-budak sekolah datang. Itu kerja sia-sia. Bikin pelajar naik angin je. Adalah lebih baik kerajaan bikin filem, teater dan muzikal. Tapi pastikan jangan bagi politikus yang handle sebab politikus hanya akan hasilkan seni yang menjual diri mereka bukan hasil seni yang boleh 'dijual' kepada warga.

4) Kita perlukan lebih banyak hasil seni (baca: hiburan) yang mampu buatkan kita berfikir. Setidak-tidaknya hiburan yang bijak. Bukan membodohkan. Afdhlin Shauki mungkin the next P.Ramlee. Dan Hans Isaac, AC Mizal dan Awie adalah the next Bujang Lapok.

5) Vanidah Imran lagi cantik dari Rosmah Mansor.


Terima Kasih.

Betul tak gua cakap? Cun kan..

Saturday, November 7, 2009

Bai'ah PAS

BAIAH PEMIMPIN PAS- Utusan Meloya

BEBERAPA pemimpin Pas mendedahkan bahawa dalam bai'ah atau sumpah taat setia, talak tiga akan jatuh ke atas isteri mana-mana pemimpin Pas yang mengkhianati parti itu seperti melompat parti.

Kata mereka, bai’ah itu telah lama dilakukan dan akan dibaca oleh semua calon bertanding dalam pilihan raya di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri bagi menjamin kesetiaan mereka.


Konfem- gua tak akan masuk PAS.

Kalau calon PAS yang wanita macam mana? Kena bai'ah jugak tak? Kalau kena, nak kena ceraikan siapa pulak? Suami? hahaha

Ini lawak paling best tatkala gua tengah stress exam. Terima Kasih PAS.

Apa pula kata anda semua?

Kebaikan Peperiksaan






ps: sekarang ni sedang minggu peperiksaan. Sebab tu banyak entry pasal exam. Lagipun ini adalah praktis untuk mengupdate blog tanpa menulis. Kot-kotla MU kalah lagi lawan Chelsea esok..hehe


Wednesday, November 4, 2009

JAIS

Esok gua nak pergi naik bangunan JAIS. Gua nak suruh diorang tangkap budak-budak UIA yang buat usrah ajar hal agama tanpa ada permit. Setakat yang gua belajar geografi di tingkatan 3, Gombak masih lagi di dalam Selangor.

Mungkin gua boleh guna status bumiputra gua untuk memudahkan permohonan permit.

Tapi gua terfikir, sebenarnya gua pun boleh ditangkap jugak. Kadang-kadang gua pun ada terbagi usrah sebelum kelas bermula.

Aish, kalau begitu gua cadangkan supaya permit ceramah 1Malaysia diwajibkan kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam. Amacam?

Tapi gua tak kira- gua tetap nak JAIS tangkap budak-budak UIA tu. Ah, mufti pun boleh tangkap.

Tuesday, November 3, 2009

Pandangan yang Ikhlas...

Ada yang kata bola sepak adalah hiburan yang melalaikan. Walaupun ia adalah sejenis sukan yang sama seperti badminton, tenis dan lumba lari. Mungkin kerana bola sepak merupakan sukan yang sangat popular, maka ianya dikira melalaikan.

Ada benarnya juga. Bola sepak melalaikan rakyat Brazil untuk tidak berfikir tentang kesusahan hidup mereka. Bola sepak juga melalaikan penduduk Argentina untuk bersatu sebagai sebuah negara. Paling penting bola sepak melalaikan warga Afrika untuk berhijrah ke negara eropah bagi mencari rezeki.

Namun begitu, lalai tetap melalaikan. Kerana itu kita tak boleh tonton bola sepak. Apatah lagi jika kita seorang pemuda Pas..ops silap, pemuda Islam. Ia akan menghalang umat Islam daripada menakluki Masjid Al-Aqsa.

Nampaknya hampir berpuluh tahun umat Islam di seluruh dunia selama ini tidak menyedari bahawa bola sepaklah yang menjadi dinding penghalang kepada keamanan di Palestin.

Kita perlu haramkan hiburan melalaikan ini aka sukan bola sepak. Langkah pertama perlu diambil dengan segera.

Mungkin kita boleh mulakan dengan meminta JAIS menangkap semua pemain, peminat dan penonton bola sepak di negara kita. Atau sekiranya mereka masih ingin berbola sepak- sijil pentauliahan perlu dikeluarkan untuk mengelak daripada ditahan pihak JAIS di banglo ketika asyik menonton MU lawan Liverpool bersama keluarga tercinta.



notakaki: bola sepak berjaya mengurangkan sifat rasisme di kalangan manusia. Ini adalah antara apa yang dituntut oleh Islam. Agaknya boleh membantu di akhirat tak? Entahlah- bab syurga neraka ni bukan kita yang tentukan. Betul tak?