Tuesday, September 7, 2010

Jawapan kepada Mitos Merdeka (Bhg 1)

Apabila Fahmi Reza menerbitkan dokumentari '10 Tahun Sebelum Merdeka', maka sejarah gerakan kiri mula mendapat perhatian orang ramai. Walaupun tidak salah untuk kita mengetahui sisi sejarah di pihak yang kalah, tetapi terdapat beberapa mitos yang tidak benar yang cuba ditimbulkan bagi 'discredit' perjuangan kemerdekaan gerakan mainstream (baca: UMNO, MCA= Perikatan).

Saya ingin menjawab beberapa perkara yang saya kira jika tidak dijawab- hanya akan membuatkan generasi muda kita tidak menghargai erti kemerdekaan. Lebih teruk- mereka akan memperlekehkan kemerdekaan yang kita kecapi hari ini.

#Mitos 1- Laungan Merdeka mula dilaungkan oleh KMM, bukan UMNO.

1. UMNO tidak pernah mendakwa bahawa merekalah yang memulakan gerakan kemerdekaan. Buktinya- sila baca buku teks sejarah di sekolah. Nama KMM, API, AWAS dan pemimpinnya tidak dihilangkan terus untuk dibaca. Malah UMNO sendiri mengakui bahawa slogan pertama adalah 'hidup melayu' sebelum ditukar kepada 'merdeka'. Jadi, mitos 1 ini hanyalah dibuat-buat oleh penyokong kiri bagi discredit kepada UMNO.

2. Jika benar penggemar sejarah kiri mahu bercerita tentang sejarah kemerdekaan dari perspektif kiri, mereka wajib memberitahu bahawa Dato' Onn Jaafar (Pengasas UMNO) sendiri pernah menganggotai KMM pada April 1942. (Rujuk biografi Dato' Onn terbitan DBP 1992)

#Mitos 2- UMNO tidak menghargai jasa gerakan KMM

3. Aziz Ishak- seorang pemimpin KMM telah dilantik oleh Tunku ke Kabinetnya selepas pilihanraya 1955 dan selepas merdeka. (Rujuk Biografi Aziz Ishak 'Katak Keluar dari Bawah Tempurong' terbitan Karya Bistari 1987)

4. Ini jelas menunjukkan bahawa di zaman pra-kemerdekaan dulu para pemimpin haluan kiri dan kanan mempunyai hubungan yang erat walaupun berbeza pendekatan perjuangan. Malah dengan lantikan ini menunjukkan kerajaan tidak menyisihkan pemimpin KMM.

#Mitos 3- UMNO merupakan tali barut British

5. Kita jangan lupa kalau UMNO dituduh bersengkongkol dengan British bagi meraih kemerdekaan, apa kurangnya KMM yang bersengkongkol dengan Jepun atas tanggapan bahawa Jepun akan bermurah hari memberikan kemerdekaan kepada 'Melayu Raya' yang merangkumi Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia, Borneo dan Selatan Thai.

6. Buktinya- Ibrahim Yaacob- pemimpin KMM telah mendapat $18,000 daripada Jepun untuk membeli akhbar Warta Malay bagi dijadikan alat propaganda anti-British. Ibrahim Yaacob juga mempunyai pasukan tentera yang dilatih oleh Jepun bernama 'Giyu Gan' yang mana beliau sendiri adalah pengasasnya dan merupakan panglima berpangkat Kolonel. (Rujuk 'Red Star over Malaya', Singapore University Press, 1981).

#Mitos 4- UMNO mendapat kemerdekaan dari British di atas 'Dulang Perak'

7. KMM sewaktu kemaraan tentera Jepun menjajah Malaya dan Singapura telah mengambil pendirian untuk menyokong Jepun dan memberi kerjasama sepenuhnya dengan tentera Jepun untuk menewaskan British. Habuannya- KMM diberi peranan besar sebagai pegawai tadbir dan Ibrahim Yaacob menjadi Penasihat hal-ehwal Melayu kepada Jepun di SIngapura.

8. Andainya Jepun memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, bukankah ia bermakna KMM juga mencapai kemerdekaan di atas dulang perak sebagaimana didakwa kepada UMNO?

9. Apa bezanya mendapat kemerdekaan dari Jepun dengan dari British? Keduanya tetap sama- iaitu dengan cara bekerjasama bukan dengan berperang.

10. Kenapa kita- yang tidak pernah langsung berjuang mendapatkan kemerdekaan- tidak boleh berlapang dada dan menerima hakikat bahawa sejarah memang ditulis oleh orang yang menang. Mengapa perlu kita menolak sejarah yang ditulis mereka sebaliknya berbangga-bangga dengan sejarah gerakan kiri? Agak-agaknyalah kalau golongan kiri yang menang- adakah mereka akan mengiktiraf dan menyebut nama-nama pejuang aliran kanan?

11. Saya tidak pasti.


BasuhBaju amat berbesar hati dan mengalu-alukan tulisan ini diambil dan disebarkan kepada orang ramai. Terima Kasih!


bersambung..........

(Bhg 2 dan 3 akan menjawab mengenai merdeka tidak ada pertumpahan darah, bendera dan lagu negaraku.)