Tidak begitu lama dahulu saya mengikut ayah ke kebunnya di Ulu Tamu. Bayangkan -kebun ini betul-betul indah. Untuk sampai ke sana, perlu merentasi sungai yang jernih. Sesekali anak-anak ikan bergeser di kaki. Di depan mata pula tersedia pelbagai macam pokok buah. Ada pisang, durian dan betik. Semuanya masak. Hanya tunggu dipetik dan dimakan. Semua ini mengingatkan saya kepada suasana di perkampungan begitu masa dahulu.
Saya mengikut ayah kerana ingin mengaut hasil pokok pisang helangnya yang sudah bertimbun. Tetapi kami terkejut, buah pisang yang masak betul-betul banyak. Dengan kudrat kami berdua tidak mungkin semuanya dapat dikaut ke dalam lori.
Sedang saya memikirkan cara, tiba-tiba sekumpulan kanak-kanak datang bermandi manda di sungai kami. Saya perhatikan perwatakan mereka- saya yakin mereka pastilah anak orang asli. Pakaian mereka comot- tetapi cukup sifat menutup. Muka mereka berkilat dan kasar- tanda mereka tinggal di hutan. Di leher pula tergantung rantai emas putih- saya tidak tahu apa maknanya.
Saya mendapat satu akal dan saya memanggil seseorang daripada mereka. Saya membuat satu perjanjian yang tiada hitam putih. Mereka menolong saya mengangkat pisang yang banyak itu ke dalam lori dan saya membayar upah. Saya tidak penat, mereka dapat bayaran.
Maka selesailah kerja saya dalam masa kurang sejam. Semasa kerja sudah siap, waktu sudah tengah hari-tiba masa untuk makan. Berkat dari Yang Maha Esa, makanan yang dibeli cukup banyak- cukup untuk mengajak anak-anak orang asli itu makan sekali.
Saya perhatikan, sedang mereka menikmati McD yang kami bawa itu, kesemuanya diam tanpa bicara. Begitu khusyuk mereka menjamah. Malah bunyi mereka menelan makanan itu pun dapat saya dengar. Tidak sangka sehingga begitu sekali mereka menikmati seolah-olah itulah hidangan McD pertama dan terakhir. Saya tidak jadi menelan McFlurry- sebaliknya dikorbankan kepada mereka. Saya boleh membeli lagi tetapi tidak mereka.
Saya cuba bersembang dengan mereka. Tetapi hanya seorang yang ramah. Yang lain hanya memandang saya seolah-olah saya manusia dari zoo. Dari apa yang kami bualkan, saya cukup tersentuh dengan satu ayat. 'Kami orang biasa sahaja tetapi kami gembira dengan hidup kami. Kami punyai apa yang orang bandar tidak ada -iaitu kebebasan kehidupan.'- Sungguh mendalam ayat ini sehingga membuatkan saya terfikir dan terdiam.
Di akhir pertemuan saya kotakan janji. Saya seluk kocek saya- dengan harapan duit yang ada cukup banyak untuk diberi. Nasib saya baik- setiap anak orang asli itu mendapat not hijau. Dan barulah saya nampak mereka tersenyum- memperlihatkan gigi putih mereka. Sinaran dari mata mereka juga sudah cukup untuk membuatkan saya terharu. Lantas saya berfikir- beginikah nasib mereka sebagai penduduk asal Malaysia?
Selesai berterima kasih- kami ingin beredar. Saya tidak merakam gambar mereka. Tetapi ingatan yang dirakam- jauh lebih berharga untuk dikenang. Inilah kehidupan- tidak semua yang senang.
Maka diciptalah serangkap pantun untuk pembaca kisah ini:
Pergi ke kebun pandang-pandang,
Melihat anak orang asli bermandi-manda,
Kehidupan ini untuk memandang,
Ada yang susah ada yang berada.
Inilah cerita 'kami orang biasa'.. (Pernah disiarkan di blog lama)