Friday, September 18, 2009

Ceritalah........


Ceritanya begini. Tidak begitu lama dahulu, ketika Dr Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri, segalanya cukup indah. Waktu itu Michael Jackson masih ligat menari. Proton belum cuba hendak memasuki F1. Nurul Izzah pun masih belum berpunya. Ketika di waktu inilah kisah saya bermula. Kisah saya menyambut Syawal sebagai kanak-kanak.

Kami sekeluarga tidak sesenang mana. Kami tidak memiliki banyak. Tetapi alam kami penuh dengan kegembiraan. Zaman itu- zaman yang telah pergi- zaman yang telah ditelan masa.

Saya masih ingat lagi perjalanan pulang ke kampung. Bagi saya ia adalah pesta terhebat di Malaysia. Malah sehingga kini. Bayangkan begitu banyak kereta di jalan raya. Masing-masing ingin tiba ke destinasi. Di dalam kereta, lagu raya dimainkan. Kami sekeluarga akan menyanyi bersama-sama sebagai tanda keseronokan. Selalunya lagu Balik Kampung yang paling umph.

Dalam banyak-banyak balik kampung, saya cukup suka kalau kami bergerak pulang pada waktu malam. Bagi saya ia tidak panas dan tidak bosan. Dan saat paling seronok apabila ayah berhenti di R&R untuk sahur. Di sinilah kemuncak pesta. Manusia di sana sini muncul. Ada melayu, ada cina dan ada india. Saya tidak tahu mengapa-tetapi saya suka suasana ini. Seolah-olah raya ini untuk semua.


Bila tiba di kampung, saya yang paling gembira. Sebagai kanak-kanak, inilah masanya untuk saya berpesta dan berseronok. Waktu inilah saya akan bertemu dengan sedara-mara yang lain. Kami akan merancang bersama aktiviti untuk dilakukan pada raya ini. Bagi saya berpesta seorang diri adalah pesta yang gagal- syok sendiri dan bosan. Oleh itu bersama sedara mara saya meraikan hari raya dengan cara kami.

Malam raya kami akan ke surau. Bukan sebagai kanak-kanak yang warak tetapi sekadar mahu mengikut takbir rumah ke rumah. Setiap rumah yang kami singgahi, segalanya lumayan dengan pelbagai makanan dan manis-manisan. Jika ada rezeki, kamai akan diberikan duit raya. Walaupun tidak banyak- selalunya 50 sen- tetapi itu sudah cukup membuatkan kami tersenyum kegembiraan.

Kemudian kami bertakbir. Sambil berbaris sambil kami tersenyum dan mata menoleh ke kiri dan ke kanan untuk meniru-niru perbuatan orang dewasa. Bagitulah khusyuknya kami kanak-kanak. Kami juga tidak faham apa makna ayat-ayat yang sedang dibacakan. Bila orang dewasa selawat kami selawat bila takbir kami takbir. Tidak lebih dari itu.

Tetapi saya yakin pastilah Yang Maha Esa mengetahui niat suci kami untuk menyambut bulan raya yang paling mengembirakan.


Selesai takbir, malam kami tidak terhenti setakat itu sahaja. Kami akan menggunakan duit yang terkumpul tadi untuk membeli mercun dan bunga api. Di depan rumah opah- mercun diletupkan. Di depan rumah opah- bunga api dibakar. Seperti biasa, kami akan dimarahi oleh pakcik makcik. Tetapi kami tidak ambil pot sangat. Maklumlah lumrah kanak-kanak yang tak makan saman. Bagi kami makin dilarang makin kami buat. Cakaplah macam mana pun.

Di pagi raya saya akan berbaju baru. Kalau tidak baru pun, pakaian yang paling cantik. Bila sampai pagi raya jugaklah, saya akan berasa aneh. Saya selalu tertanya-tanya mengapa perlu bersalam-salaman dan meminta maaf. Mungkin saya masih kecil untuk memahami erti syawal. Tetapi yang saya tahu apabila bersalam, saya dapat duit.

Ada ketikanya saya lihat ibu saya menangis ketika bersalam dengan opah. Saya selalu bergurau dengan ibu dengan memberikannya tisu. Lantas saya diketuk.

Hari raya ketika kanak-kanak juga adalah hari untuk mengumpul duit. Mungkin bunyinya agak kapitalis, tetapi inilah hakikatnya. Saya dan sedara mara yang lain akan berlawan mengumpul duit raya. Kami akan pusing seluruh kampung untuk beraya. Kadang-kadang kami tak pernah kenal pun tuan empunya rumahnya siapa. Tetapi kerana duit raya, perasaan malu ditolak ke tepi.

Pernah juga kami terus menyerbu ke rumah meminta duit raya. Selalunya kalau ayah tahu, pasti saya akan dipukul. Katanya itu perangai tidak sopan. Saya yang masih kecil ini sekadar mengangguk tanda tidak akan berbuat lagi. Dan menjelang malam, selepas penat berhari raya, kami akan mengira duit. Kira punya kira, audit punya audit, masing-masing akan memberitahu jumlah kutipan sendiri. Untuk rekod saya sentiasa menang dalam kutipan kerana saya akan campurkan duit simpanan saya sekali.

Bila selesai mengira duit, barulah kami akan masuk tidur.

Noktah Sebentar.

Ini ialah coretan silam saya. Lagi sehari, saya akan beraya lagi. Di kampung saya, takbir rumah ke rumah sudah tiada. Mercun dan bunga api pun sudah diharamkan. Dan saya juga tidak pasti saya masih layak untuk mendapat duit raya lagi. Apapun, setiap kali saya teringat akan kisah raya di zaman kanak-kanank, ia sudah cukup untuk membuatkan saya tersenyum.