Thursday, December 2, 2010

Ketuanan Melayu- bhg 1

Hari ini kita mendengar orang melayu sendiri telah berani menolak konsep ketuanan melayu dan mahukan ianya dibakul sampahkan.

Sebelum itu, apa yang kita faham mengenai ketuanan melayu? Apakah yang dikatakan sebagai ketuanan melayu? Adakah pemahaman kita terhadap ketuanan melayu merupakan pemahaman yang tepat?

Hal ini penting kerana segala pandangan kita bergantung terhadap pemahaman kita. Pemahaman yang salah membawa kepada pandangan yang salah. Dan pandangan yang salah menyebabkan keputusan yang salah.

Mereka yang menolak konsep ketuanan melayu mendakwa konsep ini berkisar tentang melayu menjadi Tuan dan bukan melayu sebagai hamba. Logik mereka- jika ada tuan pasti ada hamba. Malah mereka cuba menyamakan konsep ketuanan melayu ini dengan ketuanan bangsa Aryan yang dipegang oleh Adolf Hitler dan ketuanan zionis di Israel.

Sekiranya konsep ketuanan melayu begini maknanya- saya bersetuju konsep ini perlu dibakul sampahkan. Malah sesiapa yang mengajukan konsep ini pastilah bersikap rasis.

Tetapi adakah benar ketuanan melayu begini? Benarkah ianya mengenai tuan dan hamba? Adakah konsep ini rasis?

Jawapannya tidak.

Ketuanan melayu tidak pernah bermaksud untuk menjadikan bangsa melayu sebagai satu-satunya bangsa suci yang dipilih Tuhan atau menjadikan bangsa lain sebagai hamba.

Sebaliknya konsep ketuanan melayu merujuk kepada kontrak sosial di antara kaum pribumi (melayu) dengan kaum imigran (Cina dan India). Orang melayu sebagai 'tuan rumah' begitu bermurah hati dan berlapang dada untuk menerima 2 juta orang bukan melayu sebagai warganegara di bumi yang bertuah ini. Sebagai balasan, orang bukan melayu mengiktiraf beberapa keistimewaan yang diberikan kepada orang melayu.

Wajib untuk kita ingat bahawa tidak ada negara bangsa di dunia ini baik bangsa arab, eropah, india, perancis dan Itali yang pernah menunjukkan 'gesture' sebegitu mulia seperti bangsa melayu yang sanggup 'menerima masuk' berjuta-juta bangsa lain ke dalam 'rumah' dan dijadikan 'kaum keluarga' dengan diberikan hak kerakyatan, hak berpolitik, hak mengamalkan budaya, hak mengundi dan menganggotai kerajaan.

Jadi, adakah logik ketuanan melayu diibaratkan seperti hubungan tuan dan hamba? Sudah pasti tidak kerana kita tidak pernah sesekali menganggap mereka yang datang bertandang ke rumah kita sebagai hamba. Apatah lagi tetamu yang sudah menjadi kaum keluarga.

Jadi apa sebenarnya yang perlu dijunjung oleh rakyat Malaysia mengenai konsep ketuanan melayu ini?

i) Pertama, orang bukan melayu mesti selama-lamanya terhutang budi dan mengenang jasa dengan mengiktiraf keistimewaan orang melayu di atas kerakyatan yang diberikan sehingga mereka dapat hidup aman makmur di bumi bertuah ini. (malahan menguasai 80% kekayaan negara).

Adakah salah untuk kita mengenang budi seseorang? Susah sangat ke hendak berterima kasih? Kalaupun tidak berterima kasih, tetapi setidak-tidaknya janganlah mengajak orang lain untuk menjadi kurang ajar dengan tidak mengenang budi.

ii) Kedua, orang melayu mesti selama-lamanya menganggap orang bukan melayu sebagai kaum keluarga di tanah air tercinta ini. Oleh itu orang melayu tidak boleh menindas dan merampas dari sudut apapun bangsa-bangsa lain.

Di sini kita dapat lihat- mereka yang mahukan ketuanan melayu dihapuskan bukan sekadar bercakap mengenai keistimewaan orang melayu tetapi turut menafikan hak orang bukan melayu sebagai ahli keluarga yang mesti dilayan dengan baik.

Bukankah ketuanan melayu sebenarnya berkaitan dengan orang bukan melayu juga? Tidakkah ini membuktikan bahawa ketuanan melayu tidak rasis?

Sewajarnya rakyat Malaysia khususnya orang melayu tidak perlu berasa apologetik atau merasa bersalah untuk mempertahankan ketuanan melayu. Ini adalah kerana konsep ini bukanlah mengajukan tuan dan hamba, tidak rasis dan bukannya bersifat menindas (baca: membunuh) seperti ketuanan Aryan dan ketuanan Zionis.

*
Di dalam tulisan ini saya tunjukkan kepada para pembaca bahawa inilah konsep sebenar ketuanan melayu yang perlu kita fahami. Malah inilah yang berlaku di dalam sejarah pembinaan negara kita. Ini pastilah berbeza dengan pemahaman ahli politik yang sekadar memancing undi.

Saya amat berharap selepas memahami konsep sebenar ketuanan melayu, kita dapat mengajukan pandangan dengan tepat. Dan paling penting- kita dapat menilai wajar ataupun tidak konsep ini dibakul sampahkan.

Hanya mereka yang buta sejarah/pembelit fakta ataupun masih ingin dikhayalkan dengan permainan ahli politik yang gian nak jadi Perdana Menteri akan menghadapi kesukaran untuk membuat penilaian.

Terima Kasih.


(bersambung bahagian 2- ketuanan melayu di dalam konteks perlembagaan dan kaitannya dengan insititusi diraja)