Wednesday, August 5, 2009

PakATAN- Mari mengenali budaya ATAN.


Seperti yang dijangka, rata-rata pembaca blog Basuh Baju tidak berpuas hati dengan kerajaan. Daripada masalah rasuah hinggalah kepada tidak Islamik- semuanya salah kerajaan. Tetapi adakah ini bermakna mereka pro-pembangkang? Jawapannya TIDAK semestinya.

Jika sesiapa perasan, tiga minggu yang lepas Basuh Baju ada mengajak para pembaca berdiskusi mengenai Tun Dr Mahathir- dan keputusannya....hampir kesemua memuji beliau. Baik orang UMNO mahupun PAS. Pelik kan? Benci kerajaan tetapi suka Dr Mahathir. Jadi maknanya apa di sini?

Orang ramai menyokong Pakatan (pembangkang) kerana menyampah dengan Barisan (kerajaan). Bukan kerana tertarik dan terpaut terhadap Pakatan. Jauh sekali jatuh cinta. Ini hakikat. Tidak ada auta mahupun tipu fakta.

Kalau Barisan membodoh dan memandulkan rakyat dengan agenda rasis di dalam Utusan dan BTNnya, Pakatan mengkhayalkan rakyat dengan candu 'rakyatnya'. Ke hulu ke hilir mereka berdegar-degar dengan perkataan rakyat. Seolah-olah nama 'rakyat' itu sudah menjadi nama yang ampuh untuk dijenamakan agar rakyat membeli candu politik mereka.


Pakatan boleh mendakwa rakyat di belakang mereka. Pakatan boleh menipu yang mereka memperjuangkan hak rakyat. Pakatan boleh berbinkan rakyat di atas nama Pakatan Rakyat. Tetapi tidak semestinya Pakatan diterima rakyat. Hakikatnya Pakatan adalah 'the lesser than two evils.' Yang mungkin lebih berbahaya...Mungkin.

Apa yang kita dapat saksikan ialah mereka menggunakan rakyat untuk kepentingan politik mereka. Ya, memang kerja mereka ialah berpolitk sebab dah nama pun parti politik. Tetapi berpolitik sahaja 24 jam berceramah sana sini, berhimpun ke sana ke mari tanpa membuat kerja adalah budaya politik yang bangang.

Inilah yang dinamakan budaya ATAN- Always Talk Action Nothing. Parti politik yang berpolitik secara berATAN adalah parti politik yang tidak tahu memerintah. Dalam bahasa mudah- parti politik ini tidak akan mampu menjadi kerajaan yang baik. Apatah lagi menjaga kerajaan.

Perak telah menjadi bukti dengan terlepas ke tangan BN Ya, memang benar BN melakukan rampasan kuasa di sana. Memang BN telah membeli ADUN. Memang BN telah mengugut dan mengancam mereka. Tetapi ini memang dah di dalam jangkaan. Kita dah tahu yang BN memegang segala-lanya. Mereka mengawal polis, mahkamah, penjawat awam, dan memiliki sumber kewangan yang banyak. Jadi bukanlah perkara pelik bila BN merampas Perak dari Pakatan. Takkan kita nak expect yang BN akan melakukan cara baik? Politik itu sendiri penuh dengan ahli politik yang licik dan kotor. Mereka tidak akan bermain dengan baik. (kalau tak, tak adalah parti yang nak tubuh kerajaan dengan melompat parti). Oleh itu, Pakatan telah gagal dalam membuktikan kepada rakyat mereka mampu menjaga kerajaan dengan baik. Hanya berATAN- Always Talk Action Nothing- sampai kerajaan boleh terlepas. (Ingat senang ke haa nak dapatkan negeri Perak tu daripada BN?!)

Candu politik daripada Pakatan yang berATAN yang paling berbahaya (malah menyakitkan hati) ialah menggunakan rakyat. Mereka akan menyuruh rakyat untuk turun berdemonstrasi di jalan raya. Mereka berharap provokasi akan berlaku. Mereka lagi suka jika polis memukul, mengejar dan menangkap orang ramai. Dengan cara ini- political mileage dapat dicapai dengan menyalahkan kerajaan. Ops! jangan salah faham. Berdemo ialah hak bersuara untuk semua rakyat. Malah apabila rakyat berdemo, ini tanda demokrasi kita sihat.

Tetapi demonstrasi akan menjadi tidak sihat apabila budaya demonstrasi sepert anarki yang membuat huru hara di jalanan berlaku. Ia akan lebih parah jika di akhirnya kita menyedari bahawa parti politik yang menganjurkan demonstrasi itu sebenarnya hendak menggunakan kita. Ya, saya bercakap mengenai perhimpunan ISA tempoh hari. Sila tanya satu soalan kepada diri sendiri. Di mana Anwar, Hadi dan Lim Kit Siang berada tatkala ribuan orang ramai berlari bertempiaran menyelamatkan diri di jalan raya dengan ditembak gas pemedih mata? Mereka duduk selamat di HQ PAS! Kepala lutut apa duduk di sana di dalam air cond sambil membuat sidang akhbar? Kenapa tak turun sekali berlari menyelamatkan diri bersama? Kenapa?

Semuanya kerana budaya ATAN- Always Talk Action Nothing. Pandai suruh orang turun tetapi diri sendiri tak turun. Saya amat-amat yakin mereka yang turun berdemo tempoh hari sebenarnya ikhlas dan jujur mengenai perjuangan mereka. Mereka hanya mahukan ISA dimansuh. Tetapi cuba anda bayangkan bagaimana perasaan mereka jika mereka dapati pemimpin utama PAS, DAP dan PKR tidak turut serta dalam perhimpunan itu? Perasaan dipergunakan? atau dikhianati? Salute untuk yang berani turun berdemo tetapi kepala lutut untuk yang duduk di dalam bilik air cond.

****************************************************************************************************

Ketika membaca komen-komen daripada pelayar mengenai apa masalah di Malaysia, saya dapati tidak seorang pun yang memahami apa sebenarnya masalah yang berlaku di negara kita. Ia bukanlah kerana negara kita tidak islamik, rasuah mahupun banyak peperiksaan. Ini semua hanya masalah biasa di mana-mana negara yang melibatkan ideologi kerajaan dan perangai individu. Menyelesaikan masalah-masalah ini belum tentu dapat menyelamatkan Malaysia.

Jika ditanya kepada saya- apakah masalah sebenar di Malaysia. Saya akan menjawab- kita tidak mempunyai pembangkang yang bijak. Kita tidak mempunyai pilihan yang lebih bagus untuk berubah kerajaan. Pembangkang yang ada sekarang tidak mampu menjadi kerajaan persekutuan.

Pembangkang tidak bercakap mengenai pelan ekonomi dalam menghadapi krisis ekonomi. Mereka tidak memberi idea bagaimana kita mampu meningkatkan pendapatan para pekerja. Mereka tidak menyediakan pelan bagaimana untuk memastikan setiap rakyat mempunyai tempat inggal yang selesa. Mereka tidak tunjukkan kepada kita rancangan mereka jika mereka memegang tampuk pemerintahan. Dan percayalah- ini semua kerana pembangkang yang ada sekarang ialah ATAN- Always Talk Action Nothing!



(masih nak kata Basuh Baju pro-pembangkang?)