Sunday, August 23, 2009

Ya dan Tidak

PERTAHAN KONTRAK SOSIAL

ALOR SETAR 18 Ogos – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah bertitah, negara akan berhadapan dengan bencana dan huru-hara jika kontrak sosial terus dipertikaikan serta dijadikan bahan untuk berpolitik.

***********************************************************************

KITA PERLUKAN KONTRAK SOSIAL YANG BARU

Manusia memang hidup dengan perjanjian. Ini hakikat. Ada perjanjian yang dibuat secara lisan- seperti berjanji hendak menubuhkan kerajaan pada 16 September. Ada perjanjian yang dibuat secara bertulis seperti yang tercatit di perlembagaan. Dan ada pula perjanjian yang dimatikan setem seperti perjanjian biasiswa.

Perjanjian juga boleh datang dari Tuhan. Contohnya kalau kita buat baik, akan dibalas baik. Buat jahat akan dibalas jahat. Ada juga perjanjian dimeterai sesama manusia. Contohnya dalam perkahwinan- akad ialah perjanjian antara suami isteri. Dalam perniagaan, lagilah banyak perjanjian hitam putih yang dibuat antara penjual dan pelanggan. Malah kita lahir ke dunia ini pun melalui perjanjian yang dibuat dengan Tuhan.

Begitulah bentuk-bentuk segala macam perjanjian yang ada di dalam kehidupan kita. Mahu tidak mahu- kita perlu menerimanya. Perjanjian umpama ikatan. Tanpa perjanjian, hidup ini umpama naik kapal terbang yang tak ada GPS. Boleh terbang tetapi tidak tahu arah tuju. Begitulah halnya apabila kita bercakap mengenai kontrak sosial.

*
Baru-baru ini heboh sana sini mengenai kontrak sosial. Belah sini mahukan ia dihapuskan, belah sana mahukan ia dipertahankan. Bagi saya, dua-dua belah perlu dibelah-belah. Ramai yang tidak faham, kontrak sosial adalah satu bentuk perjanjian yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu. Perjanjian inilah yang menjadi asas kepada hubungan antara kaum. Kaum Melayu, Cina dan India telah mencapai kata sepakat dan saling bersetuju dalam beberapa perkara. Hasilnya, ia membawa kepada pembentukan negara Malaysia. Paling penting, ia berjaya mengekalkan hubungan baik antara kaum. (mungkinlah tidak berapa baik, tetapi taklah pula begitu teruk)

Mungkin ada yang berkata kontrak sosial adalah alat yang dibuat oleh British untuk pisah-pisahkan kita. Kata mereka kerana kontrak sosial inilah, perpaduan sebenar Bangsa Malaysia tidak dicapai. Ada kebenarannya di situ. Tetapi cuba kita fikir sejenak, adakah masalah perpaduan di negara kita berpunca daripada wujudnya kontrak sosial?

Jawapannya ya dan tidak.

Tidak. Kerana adanya kontrak sosial ini, setiap kaum tahu had masing-masing dalam memperjuangkan nasib mereka. Yang melayu tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Yang cina pun faham. Yang india juga sedar. Kalau kita lihat pun, Malaysia di awal 60-an dan 70-an begitu harmoni. Mereka tidak bercakap tentang kontrak sosial kerana mereka faham itulah perjanjian yang telah dibuat. Mereka telah bersetuju tentang beberapa perkara. Mereka hidup berlandaskan kontrak sosial. Dari situlah, mereka membina perpaduan.

Ya kerana perjanjian yang dibuat 52 tahun dahulu sudah tidak lagi relevan pada generasi sekarang. Kontrak sosial sekarang dilihat berat sebelah. Mana logik apa yang dipersetujui oleh atuk nenek kita dahulu dibebankan kepada generasi sekarang. Zaman dulu situasinya berbeza dengan situasi sekarang. Kalau dulu, isunya ialah hak kerakyatan dan kemerdekaan. Tapi situasi sekarang, negara dah merdeka dan semua orang pun dah menjadi rakyat yang sama tarafnya. Isunya pun dah berubah.

Sudah menjadi lumrah, mana-mana perjanjian yang tidak adil pasti akan berlaku rasa tidak puas hati dan penentangan. Itu pun yang berlaku sekarang ini. Tapi tak bermakna kerana adanya penentangan bermaksud kita sudah tidak perlukan kontrak sosial. Kita perlu. Cuma yang kita perlukan ialah perjanjian yang baru. Ini pun cara yang terbaik. Biarlah generasi sekarang duduk semeja dan berbincang mengenai perjanjian yang baru. Biarlah perjanjian baru ini dipersetujui oleh semua pihak. Biarlah selepas ini isu kontrak sosial tidak lagi dimainkan. Biarlah tidak ada sesiapa yang rasa tidak puas hati lagi. Biar je lah- apa yang nak ditakutnya?

Hello, perjanjian apa yang tidak pernah berubah? Hukum-hakam agama pun boleh dibincang dan disesuaikan mengikut masa dan tempat. Takkanlah kontrak sosial ni tak boleh dipinda, dibincang dan digantikan dengan kontrak sosial yang baru? Apa yang keramatnya kontrak sosial ini sehingga tak boleh disentuh langsung? Habis tu apa fungsi ahli Parlimen yang diberi kuasa untuk meminda Perlembagaan? Sekadar atas kertas? Kalau begitu lebih baik jadi tuhan dengan menjadikan kontrak sosial sebagai perjanjian yang mutlak. (yelah, perjanjian dari tuhan sahaja yang mutlak dan tidak berubah).

Sedarlah, kita sudah begitu lama terperangkap dengan isu-isu kontrak sosial ini. Rasa saya sudah hampir berbelas tahun lamanya. Takkan dari kecik hingga besar asyik nak berkontrak sosial saja? Ekonomi apa cerita?

Masih tidak percaya kita perlukan Kontrak Sosial yang baru lagi?