Saturday, September 15, 2012

Mitos Bendera Malaysia

BasuhBaju mengucapkan Selamat Hari Malaysia bagi semua pembaca!

Kita banyak mendengar pelbagai mitos mengenai sejarah kemerdekaan. Saban tahun, ada sahaja mitos baru yang dimunculkan. Tahun ini, selepas 55 tahun kemerdekaan, bendera Malaysia pula yang dimitoskan. Di sini disertakan beberapa mitos mengenai bendera Malaysia dan jawapannya.

Mitos #1- Bendera asal Tanah Melayu adalah Sang Saka Malaya

Bendera yang dikibarkan oleh pelajar UNISEL pada perhimpunan Janji Demokrasi sebenarnya hanya direka pada tahun 2008 oleh Najwan Halimi. [1]

Yang ada adalah bendera Rakyat yang dibawa oleh PUTERA-AMCJA.[2]

Mitos #2- Bendera Rakyat adalah bendera perjuangan kemerdekaan sebenar, dari rakyat, untuk rakyat dan demi rakyat

Sejarah awal 'bendera rakyat' bermula pada perhimpunan agung UMNO 1 Julai 1946 di mana ketika itu PKMM mencadangkan agar bendera merah putih (mirip bendera Indonesia) digunakan sebagai bendera UMNO. Bukannya sebagai bendera Tanah Melayu.

Selain daripada PKMM, tiga lagi persatuan yang mencadangkan rekaan bendera UMNO adalah Pergerakan Melayu Semenanjung Johor, Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam dan Ikatan Setia Kg Baru.

Bagaimanapun cadangan bendera PKMM untuk dijadikan bendera UMNO telah kalah sebanyak satu undi selepas undian dilakukan oleh delegasi. Ini menunjukkan bahawa bendera merah putih PKMM telah ditolak secara demokratik. [3]

Disebabkan itu, PKMM keluar daripada UMNO. [4] Kerana tidak boleh menerima hakikat bahawa cadangan bendera mereka telah ditolak, PKMM mendakwa mereka meninggalkan UMNO kerana tidak boleh menerima cadangan memasukkan elemen bulan dan keris ke dalam bendera merah putih mereka.

Walaupun pada Disember 1947, PKMM (atas kapasiti PUTERA) telah bersetuju dengan cadangan AMCJA untuk meminda bendera merah putih dengan memasukkan 11 bintang.

Jelas sekali PKMM hanya berminat untuk menguji sokongan politik di kalangan orang melayu berbanding memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Kalau soal bendera pun sudah tidak boleh berkompromi, bayangkan pihak ini yang dihantar pergi berunding.

Dan berbalik kepada mitos ini, 'bendera rakyat' hanya direka, dipilih dan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti politik, bukannya orang kebanyakan. [5]

Mitos #3- Bendera Malaysia (Jalur Gemilang) direka oleh UMNO dan British

Pada 1949, Majlis Perundangan Negara telah menganjurkan satu pertandingan untuk mereka bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Sejumlah 373 karyawan telah sertai dan 3 cadangan bendera telah dipilih.

Menariknya, apabila akhbar The Malay Mail membuat undian, 42% responden telah memilih rekaan ketiga (rekaan bendera sekarang) dan amat mengejutkan 25% daripada mereka mereka mencadangkan agar bulan dan bintang digantikan dengan lambang keris serta rekabentuk Unions Jack turut disertakan. [6]

Jadi sebenarnya UMNO dan British mempunyai peluang dan legitimasi untuk menukar bendera tersebut selari degan bendera mereka sekiranya mereka mahu tetapi sebaliknya memilih menjadi tuntuk mengekalkan rekaan asal Arkitek Muhammad Hamzah.

Mitos #4- Bendera Malaysia tidak memiliki semangat Nusantara seperti bendera negara jiran

Secara amnya, warna merah putih mempunyai pengaruh yang besar terhadap gerakan politik nasionalis pada era tersebut. Malah jika dilihat, seawal kurun ke 13 lagi kerajaan Majaphit telah menggunapakai warna merah putih sebagai bendera. Malah bukan satu jalur merah putih, sebaliknya berjalur-jalur merah putih yang diselang-seli seperti bendera Malaysia sekarang. [7]

Ramai yang kurang menyedari fakta bahawa rekaan awal bendera Malaysia yang dicadangkan adalah jalur biru putih. Tetapi kemudiannya Majlis Perundangan Negara telah menukar warna biru tersebut kepada warna merah.

Bukan sahaja penukaran warna tersebut memperlihatkan semangat merah putih Nusantara diambil kira, bahkan bendera Malaysia adalah rekaan yang paling tepat dan hampir dengan bendera warisan Nusantara berbanding dengan bendera neagra-negara jiran!

Mtios #5- Bendera Malaysia meniru bendera Amerika Syarikat

Memandangkan kita sudah tahu bahawa seawal kurun ke 13 lagi kerajaan Majapahit menggunakan rekaan jalur merah putih, adakah ini bermakna Amerika Syarikat yang ditubuhkan pada 1776 meniru Majapahit?

Malahan, bendera Syarikat Hindia Timur British (SHTB) menggunakan bendera yang hampir serupa seawal 1600 lagi. Adakah ini sekali lagi bukti bendera Amerika Syarikat juga diciplak?

Sebenarnya isu ciplak-menciplak bendera ini tidak perlu timbul memandangkan kebanyakan negara lain juga mempunyai persamaan bendera antara satu sama lain. Hanya mereka yang rendah keyakinan diri sahaja yang mudah terbawa-bawa dengan sentimen ciplak ini.

Mitos #6- Nama Sang Saka Bangsa bendera UMNO bukti bendera asal Tanah Melayu adalah Sang Saka Malaya

Walaupun bukti bahawa bendera Sang Saka Malaya tidak pernah wujud, sebaliknya nama Sang Saka sememangnya wujud. Perkataan ‘Sang’ adalah geralaran penghormatan kepada panji/simbol kepada sesuatu institusi berdaulat manakala ‘Saka’ diambil dari perkataan Pusaka.

Atas merayakan tradisi inilah, bukan sahaja bendera UMNO dinamakan Sang Saka Bangsa, malah bendera PDRM juga dinamakan Sang Saka Biru.

Jika benar pun mahu diwujudkan gelaran ‘Sang Saka Malaysia’, hanya bendera Malaysia sekaranglah yang lebih tepat untuk dinamakan sedemikian.

Kesimpulan

Usaha untuk merendahkan martabat bendera Malaysia sebenarnya secara langsung memperlekehkan suara demokratik generasi dahulu yang telah bersetuju menjadikan bendera hari ini sebagai bendera Malaysia.

Proses demokratik yang cukup teliti dan rapi ini turut digunapakai apabila nama bendera Malaysia ditukar kepada Jalur Gemilang. [8]

Sangat menghairankan golongan yang begitu anti dominan simbol melayu begitu taksub dengan bendera baru yang lebih bersifat ‘bendera kebangsaan melayu’. Adakah mereka ini benar-benar ikhlas mahukan bendera yang mewakili bangsa yang kononnya rasis dan supremacist?

Lebih teruk, apabila mereka sebenarnya bukannya memperjuangkan sejarah yang kononnya dipadam. Sebaliknya mereka mencipta sejarah baru dengan mencipta bendera sendiri.

Walaupun sejarah tidak patut meminggirkan pihak yang kalah, tetapi pihak yang kalah haruslah berlapang dada menerima sejarah.



[1] Pengakuan yang dibuat oleh Najwan Halimi di blognya “http://www.najwanhalimi.com/2009/08/sang-saka-malaya.html

[2] Rujukan dari Akhbar Utusan Melayu, 11 Dis 1947 dan akhbar The Straits Times, 11 Nov 1947

[3] Rujukan Akhbar The Straits Times 2 July 1946. (lihat http://newspapers.nl.sg/Digitised/Article/straitstimes19460702.2.65.aspx)

[5] Rujukan: Akhbar Utusan Melayu, 11 Dis 1947 dan akhbar The Straits Times, 11 Nov 1947

[8] Rujuk Proses Nama Jalur Gemilang di http://putrawangsa.com/sejarah-jalur-gemilang/