Monday, July 20, 2009

Prejudis dan Perbezaan

TAK KENAL MANA NAK TAHU

"
Thus coming to the conclusion that they are the most stupid black blocks on earth - they are coloured black and stink like a garbage dump." Reek.

"Boo pendatang boo." Che.

"Melayu balik ke Indonesialah!" Anonymous.

******************************************************************************************************

Sesuatu yang pasti- kita semua memiliki sifat prejudis di dalam diri. Tanyalah sesiapapun- tak kira orang itu liberal, agamawan, konservatif ataupun radikal- rasa prejudis tetap ada. Rasa saya, selagi mana perbezaan wujud, selagi itulah perasaan prejudis ini wujud. Prejudis lahir daripada perbezaan. Dan prejudis hanya dapat diatasi dengan mengetahui perkara yang diprejudiskan itu. Dalam bahasa mudah, kita berkenalan.

Sebelum itu, apa itu prejudis? Kita selalu mendengar perkataan prejudis tetapi pernah atau tidak kita memahami makna perkataan ini?

Prejudis ialah tanggapan awal yang dibuat tanpa berasaskan sebab yang kukuh. Contoh yang paling dekat dapat diambil ialah keadaan berbilang kaum dan agama di negara kita. Begitu banyak prejudis yang muncul tanpa kita sedari. Tidak percaya? Sila lihat.

Orang melayu sering dikatakan malas, dengki, rasis dan perlukan tongkat. Orang cina pula digambarkan merompak ekonomi negara dan ingin menjual hak melayu. Orang india disebut sebagai suka menipu dan cakap berbelit-belit.

Orang Islam dilihat sebagai umat yang mundur dan pengganas. Mereka dilihat menolak kemajuan, kolot dan berpemikiran sempit. Orang kristian dianggap sebagai cuba mengkafirkan orang Islam dan cuba menggugat agama Islam. Bagi orang Islam, orang kristian dan penganut agama lain adalah musuh mereka.

Inilah antara prejudis yang berlaku di dalam hidup kita.

Cuba kita tanya kepada diri kita- apakah tujuan kita dilahirkan di muka bumi ini? Adakah untuk bergaduh? Adakah untuk bersangka buruk? Adakah perlu kita membenci terhadap perkara yang kita tidak ketahui dan kenali? Bukankah kita disuruh 'mengenali' segala perbezaan yang wujud? Jika tidak, mengapa Tuhan jadikan segala perbezaan di dalam kehidupan kita? Untuk kita prejudis atau untuk kita saling memahami?

Sedarlah...

Prejudislah yang menyebabkan perpaduan di Malaysia tidak dapat dicapai. Prejudislah yang menyebabkan kita masih berfikir 'aku melayu, ini tanah aku. Orang cina dan india adalah pendatang.' Prejudislah yang menyebabkan kita menganggap 'orang melayu kejam, zalim dan bersifat rasis.' Prejudislah yang menyebabkan kita berfikir 'cina hendak merampas hak aku.' Prejudislah yang menyebabkan penganut agama Islam dan agama lain bertelagah sesama sendiri.

Semua ini kerana kita tidak mahu mengenali antara satu sama lain.

Orang melayu tidak pernah hendak mengenali orang cina dan india. Tidak pernah hendak mempelajari skil-skil berniaga dari mereka. Orang melayu juga tidak memahami perasaan mereka apabila hak mereka seperti biasiswa dan kerakyatan dinafikan. Disebabkan itu, timbul prejudis seperti 'mencabar hak melayu dan merampas kek ekonomi'. Orang cina pula enggan memahami masalah ekonomi orang melayu. Asyik-asyik mengutuk itu dan ini. Adakah dengan cara mengutuk, masalah orang melayu dapat diselesaikan?

Tidak. Sebaliknya prejudis terus dan akan berlaku....

Kita menjerit terlolong menyanyikan lagu negaraku 'tanah tumpahnya darahku' tetapi berapa ramai kawan kita yang terdiri daripada berbilang bangsa?

Kita sedap menyebut 1Malaysia dan Bangsa Malaysia tetapi pernahkah kita cuba mengetahui dan memahami budaya, perangai dan masalah satu sama lain?

Ingatlah- perbezaan untuk diraikan dan dirayakan. Jadi kenal dulu. Baru kita fahami. (BB)