Tuesday, March 16, 2010

3 tahun sekarang........(bhg 2)

(sambungan)

Kalau kita tanya pelajar-pelajar sekarang apakah cita-cita mereka, pasti ramai yang menjawab 'nak jadi doktor'. Obsesi nak jadi doktor setiap tahun makin bertambah. Macam biasa yang akan apply kursus perubatan jauh lagi banyak berbanding tempat yang disediakan. Akhbar-akhbar akan menyiarkan rungutan pelajar yang pandai tetapi tak dapat tempat. Iklan-iklan akan bertaburan memanggil pelajar-pelajar yang nak jadi doktor tapi tak cukup layak- cuma dengan syarat kena ada duit.

Apa kejadahnya semua nak jadi doktor ni?

Sebenarnya tak menjadi masalah pun jika pelajar bercita-cita nak jadi doktor. Apatah lagi di Malaysia yang jumlah doktor tak cukup malah kritikal. Memang benar doktor adalah kerjaya yang mulia. Malah pengajian perubatan adalah bidang yang penting. Tetapi hanya kerana ia bidang yang penting tidak bermakna bidang lain tidak penting.

Masalah pada hari ini bila pelajar yang pandai tetapi tak minat perubatan pun disuruh mengambil kursus perubatan. Apatah lagi pelajar yang tak minat dan tak cukup pandai- ada juga yang sibuk nak menjadi doktor.

Yang jadi masalah bila kerjaya sebagai doktor dijadikan ukuran kejayaan oleh masyarakat termasuk ibu bapa sehingga memaksa pelajar-pelajar sekarang mengenepikan minat mereka.

Ibu bapa pada hari ini suruh anak belajar pandai-pandai supaya dah besar nanti boleh jadi doktor. Bagi yang kurang pandai, ada ibu bapa yang sanggup membayar sendiri kos pengajian perubatan untuk menghantar anak mereka belajar kursus perubatan. Cikgu juga begitu dengan memberikan nasihat yang sama. Pelajar yang pandai- cikgu galakkan ambil kursus perubatan. Itu tak dikira dengan persepsi rakan-rakan yang menganggap menjadi doktor adalah penanda aras kepandaian seseorang. Siapa belajar perubatan- dialah yang pandai di kalangan rakan-rakannya.

Perkara ini diteruskan lagi dengan penghormatan yang diberikan oleh masyarakat kepada kerjaya seorang doktor. Menurut kajian pun doktor adalah orang yang paling dipercayai. (untuk rekod, politikus adalah orang paling tidak dipercayai). Ini secara tidak langsung menyebabkan kerjaya doktor menjadi tarikan yang kuat kepada pelajar-pelajar.

Yelah, siapa yang tak nak jadi doktor kan. Dahlah susah nak dapat tempat, boleh 'up' dengan kawan-kawan, jadi kebanggaan ibu bapa malah masyarakat pandang tinggi pulak tu!

Di akhirnya matlamat pelajar pada hari ini pergi ke sekolah seolah-olah hanya satu iaitu- belajar pandai-pandai untuk jadi doktor. Adakah ini pandangan yang betul? Bagi saya ini pandangan yang salah.

Bagi pelajar yang betul-betul minat dan mempunyai semangat nak jadi doktor- saya tidak kisah. Malah saya berharap mereka diberikan peluang. Tetapi saya kasihan bagi yang tak minat dan sibuk nak jadi doktor. Bagi saya mereka ini adalah mangsa kepada 'persaingan.' Kenapa saya katakan begini?

Kita perlu jujur bahawa ibu bapa yang mahukan anak mereka jadi doktor sebenarnya mahukan 'security' dan jaminan terhadap masa depan anak mereka. Niat mereka ikhlas dan bagus. Dengan jadi doktor, anak mereka akan bergaji selesa (bukan mewah) dan paling penting- peluang pekerjaan menanti.

Ibu saya pun pernah berkata " Even kalau tengah perang pun orang cari doktor." Ayah saya pula cakap " Sebelum bukak bisnes, jadilah doktor dulu. At least kalau bisnes kau lingkup, kau senang nak bangun balik."

Saya tidak ada statistik untuk menyokong kata-kata kedua ibu bapa saya tetapi bagi saya logiknya kuat. Tetapi kesimpulannya ialah punca mengapa ibu bapa berlumba-lumba mahukan anak mereka jadi doktor adalah kerana kerjaya seorang doktorlah yang dapat memberikan jaminan dan 'security'. Setakat yang saya tahu tidak ada mana-mana kerjaya lain yang mampu memberikan jaminan seperti ini. Inilah apa yang bermain di fikiran ibu bapa sekarang dan juga di fikiran pelajar-pelajar kita sebenarnya.

Dengan mempunyai jaminan, persaingan sudah tidak menjadi kerisauan bagi mereka.

*
Sebelum saya menyambung tulisan ini (yang tak tahu bila nak sambung- sibuk nak final ni), apa kata para pembaca sekalian?

Mungkin kita boleh berdiskusi!