DAP sering mendakwa parti politik yang berasaskan bangsa adalah parti yang rasis. Hanya parti yang menerima ahli dari pelbagai kaum sahaja dianggap berbilang bangsa. Oleh itu DAP dianggap parti politik yang tidak rasis. Tetapi adakah ianya benar?
Apabila seorang pengetua di Johor mengeluarkan kenyataan yang rasis, Lim Kit Siang- pemimpin DAP yang paling demokratik di Malaysia telah mendesak kerajaan mengambil tindakan yang tegas. Malah si rasis dan ekstremis yang mengeluarkan kenyataan rasis haruslah dihukum- jika perlu, ditahan di bawah ISA.
Mendengar desakan daripada pemimpin politik yang paling lama di Malaysia, kerajaan telah bertindak tegas untuk mengambil tindakan terhadap Namewee yang telah menyiarkan video klip rasis sebagai tindak balas terhadap pengetua tersebut.
Tetapi DAP- yang terkejut dengan tindakan pantas kerajaan telah tampil untuk mempertahankan Namewee. Sebaliknya kali ini DAP mahukan kerajaan menyiasat pihak polis. Bukankah DAP yang mahukan kerajaan bertindak tegas? Ini tidak tumpah samanya seperti tindakan Perkasa yang mempertahankan pengetua sekolah di Johor. Adakah DAP adalah Perkasa versi Cina? Atau perjuangan anti-rasis DAP bersifat selektif? Tetapi bukankah DAP parti berbilang bangsa?
DAP boleh terus mendakwa mereka adalah parti politik yang tidak rasis dan berbilang bangsa. Mereka boleh terus menuduh UMNO, MCA dan MIC adalah parti yang rasis. Tetapi menjadi parti yang membuka keahliannya kepada semua kaum tidak bermakna mereka tidak rasis. Malah mereka lebih teruk kerana bersikap hipokrit. Setidak-tidaknya UMNO, Perkasa, MCA dan MIC mengaku mereka mempertahankan bangsa masing-masing.
Selamat hari merdeka ke 53! Semoga Malaysia menjadi lebih demokratik agar isu perkauman dan agama dapat terus dimainkan dengan lebih dashyat.