Tuesday, October 27, 2009

Seminggu ni gua nak buat apa?

Gua dah pesan dah. Jangan bawak bola pantai masuk stadium. Kan dah kalah. Tak pasal-pasal gua kena berehat blogging selama seminggu. Main twitter je la jawabnya. (klik sini untuk follow)


ps: gua janji tak tulis blog je kan? Kalau gua upload gambar je boleh tak? haha

Sunday, October 25, 2009

MU lawan Liverpool

Kalau MU kalah, gua berhenti tulis blog selama seminggu. Berkabung la katakan.hehehe

ps: peminat MU di Anfield jangan bawak bola pantai. Tak baik main kotor. Baca surah-surah lazim je dah cukup.

Friday, October 23, 2009

Undang-undang dan moral

- Pihak MARA membelanjakan lebih RM80,000 bagi dua unit laptop (komputer riba) berjenama Acer Aspire 5052 sedangkan harga pasaran hanya RM4,500 sahaja untuk seunit laptop jenis dan spesifikasi tersebut di pasaran awam.

- Kementerian Pelajaran membelanjakan sehingga RM4,550 bagi 13 pokok kemboja dan RM9,000 bagi 12 pokok pinang merah, sedangkan pokok kemboja dan pinang merah bagi jumlah yang sama, masing-masing boleh dibeli dengan harga RM585 dan RM1,560.

Ramai yang beranggapan undang-undang adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah. Masalah sosial seperti rempit mahu diatasi dengan mengetatkan undang-undang. Moral manusia juga mahu dibentuk dengan undang-undang. Itu belum dikira lagi dengan golongan yang mengenakan undang-undang sendiri kepada golongan lain. Sebenarnya pandangan ini ada benar dan ada salahnya.


Memang benar tanpa undang-undang kita akan hidup seperti koboi- buat apa sahaja yang mahu. Tetapi ada kalanya undang-undang yang dibuat untuk menyelesaikan masalah sebaliknya mendatangkan masalah pula. Ini terjadi kerana apa yang sah di sisi undang-undang tidak semestinya perkara yang bagus. Jauh sekali beretika dan bermoral.

Minggu ini kita terbaca Laporan Ketua Audit Negara tentan perbelanjaan negara dan negeri. Saya tak pasti adakah kita perlu terperanjat dengan pendedahan-pendedahan yang dibuat. Rasanya hampir saban tahun kita telah mendengar ada barang dibeli berpuluh kali ganda dari harga pasaran. Kita juga sudah sedia maklum mendengar tuntutan tak berasas yang dibuat kepada kerajaan (baca duit rakyat). Mungkin yang perlu kita terperanjat ialah mengapa tiada tindakan yang diambil.

Di satu sisi memang kerana kelemahan penguatkuasaan dan pendakwaan. Tetapi kita perlu faham mereka yang dikatakan menyeleweng duit kerajaan ini melakukan segala urusan 'buat-duit-macam-duit-dia' di dalam konteks undang-undang. Maknanya urusan mereka sah kerana telah melalui segala prosedur yang ditetapkan. Contohnya seperti dapatkan kelulusan pegawai, hantar borang dan mintak cop.

Jadi secara undang-undangnya mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan walaupun membeli laptop sebijik RM40,000. Tetapi adakah ini beretika dan bermoral?

Jawapannya tidak. Mereka menipu dan memanipulasi undang-undang yang pada asalnya untuk mengatasi masalah salah urus dana oleh orang kerajaan.

Di sini kita dapat lihat undang-undang boleh menjadi penyelesaian masalah tetapi juga manusia boleh memanipulasi undnag-undang tersebut.

Yang ironinya, kemudian orang-orang ini jugaklah yang akan menyalahkan sistem kerana membenarkan rasuah, salah laku dan salah urus dana. Nampaknya mereka mengharapkan sistem yang mengubah mereka bukannya mereka mengubah diri sendiri.

Apa yang penting bukannya setiap tindakan kita sah atau tidak di sisi undang-undang. Tetapi adakah ia bermoral dan beretika. Tak guna buat benda betul ikut undang-undang tetapi benda tu sebenarnya membawa kepada keburukan dan menyusahkan orang ramai.

Monday, October 19, 2009

Hari Malaysia- 16 September

HARI MALAYSIA PADA 16 SEPTEMBER- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Hari Malaysia akan disambut mulai 16 September 2010 sebagai cuti awam untuk seluruh negara.

Dengan demikian, kata Perdana Menteri, rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar.

*
Ada yang kata langkah ini bagus kerana menghargai kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Tanah Melayu. Ada yang kata lagi ia dapat membuatkan generasi muda kita lebih memahami sejarah penubuhan Malaysia. (maknanya lepas ni kalau nak terapkan nilai sejarah, kita hanya perlu bagi cuti umum.)

Dr Mahathir kata, Malaysia ni banyak sangat cuti umum. Nak tambah lagi buat apa. Ada pulak yang kata langkah ini bertujuan memudahkan Anwar untuk tubuh kerajaan baru pada 16 September. hahaha

Apa pula kata anda?

Sunday, October 18, 2009

Twitter

Disebabkan minggu ini sibuk mengalahkan PM, maka basuhbaju telah membuat keputusan untuk membuat akaun Twitter.

Kalau nak follow boleh klik sini.

Selamat Bertweet!


(Siapa boleh ajar tweet guna HP? Gua lemah sikitlah bab-bab teknologi ni.)

Saturday, October 17, 2009

Satu pandangan: Kronisme dan Nepotisme


Politik dan bisnes memang tidak dapat dipisahkan. Ia ibarat irama dan lagu walaupun ia sepatutnya menjadi seperti minyak dan air.

DARI MANA KRONI DATANG?

Kita semua tahu ahli politik kerjanya adalah berpolitik. Antara caranya ialah dengan berkempen kepada orang ramai. Tetapi untuk berkempen mereka memerlukan dana. Selalunya dana ini diperolehi daripada towkey-towkey bisnes. Yang menariknya, walaupun ahli politik itu berketuanan melayu, penyumbang dananya tidak semestinya towkey melayu. Ada juga towkey cina dan india. Di sini membuktikan warna kulit dan agama tidak diambil kira bila hal ekonomi dilibatkan.

Yang hairannya pula, walaupun ada ahli politik yang mengaku berketuanan rakyat, tetapi dana yang diperolehi bukannya dari rakyat biasa tetapi dari towkey-towkey pemodal juga. Di sini kita dapat lihat bagaimana ahli-ahli politik kita- tak kira pakatan mahupun barisan- sangat memerlukan dana daripada towkey-towkey bisnes.

Apabila towkey-towkey bisnes memberikan dana kepada ahli politik, mereka tidak menganggap ianya sebagai sedekah mahupun amal jariah. Sebaliknya ia adalah satu bentuk pelaburan. Sama ada pelaburan ini mendatangkan hasil ataupun tidak, bergantung kepada ahli politik itu berjaya menjadi wakil rakyat atau memegang jawatan seperti menteri besar misalnya. (ps: kalau mahukan risiko rendah- melabur dekat ahli politik Barisan. Kalau risiko tinggi- pergi melabur dekat ahli politik Pakatan. Tapi jangan lupa, risiko tinggi-pulangannya tinggi.)

Antara pulangan yang dinantikan daripada 'pelaburan' towkey-towkey ini pastilah kontrak-kontrak dan lesen-lesen untuk membuat duit. Ini kita semua pun tahu. Dan demi memastikan pelaburan ini berterusan, towkey-towkey ini akan terus menyumbang dana kepada ahli-ahli politik. Beginilah kitaran bisnes dan politik yang berlaku di negara kita. Ini jugalah bagaimana rasuah dan kronisme terjadi.

Kita tidak perlu berasa hairan. Perkara ini bukan sahaja berleluasa di Malaysia malah di negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika pun ada.

PENYELESAIANNYA?

Untuk memisahkan hubungan bisnes dan politik adalah seperti memutuskan hubungan Alex Ferguson dengan Manchester United. Ia adalah perkara mustahil. Towkey-towkey akan terus melabur kepada ahli-ahli politik selagi mana mereka memegang kunci kepada punca ekonomi.

KETELUSAN YANG BAGAIMANA?


Bagi saya, langkah terbaik adalah dengan mengamalkan ketelusan (transparency). Bunyinya klise. Yelah, ia jadi klise sebab geng Pakatan selalu gunakan perkataan ni tanpa memberitahu kepada kita ketelusan yang bagaimana. Asyik-asyik menjerit 'ketelusan' untuk menentang geng Barisan yang korup. Tetapi tidak pernah memberi idea bagaimana untuk mencapai ketelusan.

SIARKAN SENARAI KONTRAK DAN LESEN

Bagaimana kalau disiarkan senarai kontrak yang diberikan? Beritahu sahaja kepada rakyat 'kontrak membuat jalanraya X telah diberikan kepada towkey bisnes Y aka kroni kepada ahli politik Z.' Biar rakyat tahu dari sumber rasmi daripada buat spekulasi sendiri. (bila orang ramai buat spekulasi, kerajaan tuduh itu propaganda pembangkang. Sekarang ni biar kerajaan sendiri beritahu. Amacam?)

Mungkin cara ini dilihat seperti meng'legal'kan budaya kroni. Tapi legal ataupun tidak, kroni memang tetap berlaku. So kita boleh pilih sama ada mahukan kroni yang legal tetapi kita tahu atau illegal tetapi kita tak tahu.

Setidak-tidaknya langkah ini dapat memberi tekanan kepada ahli politik untuk memilih kroni yang benar-benar layak. Ahli politik juga akan memastikan kroni mereka berjaya. Bukan sekadar bagi kontrak dan lepas tangan.

Dan apabila kroni mereka gagal menjalankan sesuatu projek dengan baik, kita boleh menghukum mereka. Mungkin dengan tidak memangkah mereka dalam pilihanraya. Sebaliknya jika kroni mereka berjaya menyiapkan projek dengan cepat dan menjimatkan kos, ahli politik boleh jadikan ia sebagai modal kempen.

Senang cerita, kroni mereka adalah penentu karier politik mereka. Rakyat akan menilai ahli politik berdasarkan kroni mereka. Nak tak nak ahli politik seperti 'dipaksa' untuk memilih kroni yang positif.
(dalam entri yang lepas, rata-rata pembaca bersetuju bahawa apa salahnya diberikan kontrak kepada kenalan dan keluarga asalkan ianya kronisme positif)

DI AKHIRNYA...

Fikir punya fikir sebenarnya tak ada sebab untuk tidak menyiarkan senarai kontrak dan lesen kepada orang ramai. Orang ramai tak akan rugi. Yang cuak hanyalah ahli politik dan towkey-towkey bisnes.

Saya percaya langkah ini tidak terlalu idealistik. Malah memberikan situasi menang-menang kepada ahli politik, towkey bisnes dan orang ramai.

Apa kata anda?


ps: masih ingat lagi kesan kepada Rafidah Aziz bila senarai penerima AP dikeluarkan?

Wednesday, October 14, 2009

Rasuah, kronisme dan meritkorasi

Ramai yang menentang rasuah. Rasuah pula ada pelbagai bentuk. Bukan sekadar membeli undi sahaja. Ada yang kata kronisme juga satu bentuk rasuah.

Apa itu kronisme? Kronisme ialah mengkayakan dan mendahulukan kaum kerabat dan kengkawan.

Ramai juga selain daripada menentang rasuah turut mahukan amalan meritokrasi diterapkan.

Apa itu meritokrasi? Dalam bahasa mudah- siapa yang layak dia yang patut dapat. Tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.

Sekarang cuba kita bayangkan kita menjadi ahli politik. Kita memegang jawatan dan mempunyai kuasa. Antaranya kita mempunyai suara dalam menentukan pengagihan kontrak, lesen dan jawatan.

Bagaimana kalau kita memberi kontrak kepada kengkawan kita sedangkan mereka memang layak untuk projek itu? Bagaimana pula kalau kita melantik kaum kerabat ke sesuatu jawatan tetapi hakikatnya mereka memang memenuhi kriteria.

Adakah ini dikatakan kronisme? Adakah ini rasuah? Dan jangan lupa ia meritokrasi.

Apa pandangan anda?

(kalau para pembaca dapat bercerita tentang pengalaman sendiri lagi best)

Tuesday, October 13, 2009

Amy Search, senyum dan risalah

Hari ini sudah tamat pesta graduasi di UIA.

Dua hari lepas, Amy Search datang membuat konsert di sini. Pada mulanya gua terkejut jugak. Maklumlah Amy Search bukannya geng bernasyid atau berzanji. Gila apa Amy nak datang. Maunya ada yang buat demonstrasi membantah karang.

Tapi selepas budak bilik gua menunjukkan poster Amy dan logo UIA, barulah gua percaya. Terus gua bergegas ke tapak pesta. Ini silap-silap boleh jadi berita muka depan Harakah ni- gua terfikir dalam hati.

Cakap pasal konsert ni, gua memang ada beberapa pengalaman. Oh ye, gua hanya layan konsert kat dalam universiti je. Setakat konsert Michael Learns To Rock atau konsert Beyonce- gua tutup mata je. Baik gua tengok konsert diraja kat RTM. Hassle free- omputih kata. Maknanya tak ada kecoh-kecoh walaupun sebenarnya konsert diraja dan konsert beyonce MLTR adalah sama. Konsert jugak kan.

Berbalik kepada kisah tadi, pada mulanya gua yakin akan dapat tempat duduk grandstand. Alah, berapa kerat je sangat kutu rock kat universiti islam ni. Mana budak-budak ni layan Amy. Diorang layan Inteam.

Tapi tekaan gua silap. Jangan kata grandstand, dekat bus-stand pun gua tak dapat duduk. Peh- punyalah ramai kutu-kutu rock yang turun. Siap ada yang berkopiah dan berjubah lagi! Ini betul-betul satu malaysia. Amin Takabballah waminkum.

Dalam gua sedang syok tengok Amy, tiba-tiba ada geng datang kat gua bagi risalah. Kutu-kutu lain pun dapat gak risalah tu. Ceyt- ini betul-betul macam iklan yang keluar ketika kita asyik menonton drama samarinda di TV. Gua tak baca pun. Tak berapa nampak sebab yang ada hanyalah cahaya dari lampu jalan. Jadi gua lipat dan simpan ke dalam poket seluar.

Gua perhatikan kutu-kutu rock yang berkopiah dan berserban tadi. Gua nak tengok sama ada diorang nyanyi jugak ke tidak. Tapi yang gua nampak ialah mereka ke hulu ke hilir macam ajk konsert. Punyalah sibuk pastikan lelaki dan perempuan tidak bercampur. Gua senyum je. Dah biasa dah.

Masa fakulti gua buat konsert dulu pun dah jadi dah benda camni. Bukan takat lelaki dan perempuan dipantau pergaulannya tetapi penyanyi perempuan yang dijemput buat persembahan pun disuruh pakai tudung. Kalau tidak- tak boleh naik pentas. Masa tu gua senyum jugak. Bab-bab agama ni gua tak berani cakap lebih-lebih. Nanti kalau diorang dah keluarkan kitab dan hadis- gua nak jawab apa lagi? Baik gua senyum. Boleh jadi gua setuju boleh jadi gua tak setuju. Demokrasi jugak kan?

*
Amy Search tak menghampakan kutu-kutu rock yang hadir. Memang otai. Suara rockers sejati. Kalau Anuar Zain. ada mesti nangis. Silap-silap terus berhenti jadi rockers. Sejak bila Anuar Zain rockers pulak ni?

*

Habis je konsert, muka gua masih tak lekang dengan senyuman. Ini kali pertama gua tengok Amy Search secara live. Bukan rakaman dari studio TV. Gua balik ke bilik dengan perasaan yang bahagia. Tiba-tiba gua teringat risalah yang gua dapat tadi. Gua seluk poket seluar dan keluarkan. Gua baca dengan senyuman. Tapi tak lama kemudian..........

*
Gua dah tak senyum. Risalah itu bertajuk 'Hiburan melalaikan punca umat Islam mundur.' Tak cukup dengan itu, tiba-tiba gua juga naik risau bila memikirkan apakah berita utama keluaran Harakah akan datang.


ps: terpaksa guna gua. Barulah kutu rock.

pss: kutu-kutu rock gua pun, malam ni gua pergi jugak tengok konsert nasyid Islamik kat UIA.

psss: Gua bukan kaki konsert. Nak kata kaki masjid pun tak cukup syarat. Mungkin kaki blogging agaknya.

pssss: woit! entri ini ditulis untuk membincangkan pasal konsert. Bukan pasal gua budak UIA..haha

Monday, October 12, 2009

Kelemahan Demokrasi dan penyelesaiannya (versi demokrasi Malaysia- limited editon)

1- Basuh Baju,

Adakah tindakan Ong Tee Keat yang mengadakan EGM selepas memecat Chua Soi Lek sebagai langkah yang demokratik? Sepatutnya Mahathir juga melakukan tindakan yang sama seeprti beliau selepas memecat Anwar dari kerajaan dan parti pada 1998. Barulah demokrasi.

(Tanpa Nama Bin Anonymous, Manek Urai)

Memang Dr Mahathir tidak memilih cara yang demokratik. Malah cara beliau menyingkirkan Anwar juga adalah dengan cara lakonan demokrasi. Kes tilam, angkut tilam, sorong tilam, lantik hakim, dan ugut saksi. Semua ini memang jelas sekali bukan cara demokrasi.

Tetapi cuba bayangkan apa akan berlaku kepada negara kita sekiranya Dr Mahathir berbuat keputusan sama seperti Ong Tee Keat. Cara yang dianggap menjunjung konsep demokrasi dengan mengadakan EGM.

Mungkin ekonomi negara tidak akan pulih dengan cepat akibat terlalu banyak politiking. Anwar tendang Mahathir, Mahathir tibai balik, Anwar balas, Mahathir sepuk balik...sampai bila tak sudah. Semuanya kerana demokrasi.

Saya bukannya nak mempertahankan Dr Mahathir tetapi saya ingin bercakap mengenai demokrasi. Di sini membuktikan ada kalanya demokrasi tidak menyelesaikan sesuatu perkara. Lagi-lagi sesuatu krisis yang melibatkan ekonomi.

Demokrasi menyebabkan kita tidak fokus terhadap perkara sebenar. Sebaliknya membuatkan kita berligar-ligar kepada perkara yang sama yang tidak penting. Demokrasi menyebabkan orang yang kalah sentiasa mahu menentang. Orang yang sudah menang pula terpaksa melayan tentangan orang yang kalah atas nama demokrasi. Bila ini yang terjadi, sampai ke sudah tak habis-habis.

Oleh itu ada ketikanya kita memerlukan cara ala autokrasi atau diktator yang tidak ada atau kurang tentangan untuk menyelesaikan sesuatu perkara.

2- Basuh Baju,

Saya tak puas hati tentang kemenangan Isa Samad semalam. Saya ingin bertanya- adakah mengundi orang yang korup boleh dianggap korup?

(Zulkifli Samad, Bagan Dickson)

Ya dan tidak.

Ya kerana ia menunjukkan masyarakat kita tidak kisah tentang calon yang bersih. Tidak, kerana dalam politik, ada ke calon yang bersih?

Adakah kita perlu bising-bising tentang politikus yang korup sedangkan rakyat kita sendiri mengiktiraf calon korup? Isa Samad sudah menang. Nak bising apa lagi. Korup-korup dia pun- rakyat juga yang mahukannya. Kata demokrasi kan?

Kalau nak bising pun, yang patut dikritik bukan Isa tapi rakyat Bagan Pinang. Ada berani?

Di sini memperlihatkan kelemahan demokrasi. Walaupun demokrasi bermaksud kita mempunyai pilihan, tetapi demokrasi juga membenarkan sesiapa sahaja untuk menjadi pilihan- tidak kira korup atau bersih.

Konsep demokrasi juga mengikut suara majoriti. Yang besar, banyak dan kuat sahaja diambil kira pandangannya. Selalunya pandangan ini adalah popular. Kerana itu ia menjadi majoriti. Tetapi adakalanya suara majoriti ini tidak tepat. Oleh itu di sesetengah keadaan, kita perlu mengikut suara minoriti walaupun tidak popular.

3- Basuh Baju,

Saya tertanya-tanya mengenai keputusan EGM MCA baru-baru ini. Siapa pemenang yang sebenarnya? Ong Tee Keat atau Chua Soi Lek?

(Chua Tee Keat, Ipoh Timur)

Siapa menang dan siapa kalah tak penting. Kerana bila dua orang politkus bergaduh, yang mati ialah rakyat di tengah-tengah. Yang patut kita pelajari ialah bagaimana untuk membuat keputusan sekiranya kita mempunyai dua pilihan yang bangang.

Perwakilan MCA telah mengajar kita tentang penyelesaiannya. Jawapannya ialah- buang dua-dua.

Kadangkala untuk menyelesaikan sesuatu perkara, kita perlu ambil langkah yang seringkali kita anggap bukan penyelesaian.

Contohnya sekarang ni kita menyampah dekat Barisan Nasional tetapi pada masa yang sama tak suka Pakatan Rakyat. Jadi cara terbaik ialah menolak dua-dua pihak ni. Biar muncul kuasa ketiga (third force). Sebenarnya memilih untuk tidak memilih juga adalah satu bentuk demokrasi.

Di sini walaupun demokrasi memberikan pilihan dan membenarkank ewujudan pilihan-pilihan yang bangang, demokrasi juga membenarkan kita menolak kedua-duanya.



ps: Oh ye, kalau masih nak tahu juga siapa yang menang, jawapannya bukan Chua atau Ong. Tetapi Isa Samad.

Saturday, October 10, 2009

2 Cadangan untuk Barisan dan Pakatan

PILIH TEE KEAT ATAU SOI LEK?- Utusan Meloya

HARI ini, 2,337 perwakilan MCA akan melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menentukan masa depan parti, komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional.

**********************************************************

MCA ada krisis kepimpinan? Tidak!

Krisis sebenar MCA adalah parti ni dah tak dapat sokongan orang cina. Tapi kenapa perlu tarik sokongan cina je? Tak boleh tarik sokongan bangsa lain?

MIC, Gerakan, PPP pun bukannya ada krisis pimpinan. Tapi krisis sokongan.

Bagaimana kalau semua parti-parti komponen ni bergabung jadi satu parti khas untuk bukan melayu? Cina, India, India muslim, Eurasian- semua boleh masuk.

Ops, adakah ini cadangan rasis? Tidak. Ini cadangan realistik sebab bising macam mana pun UMNO tetap tak akan jadi multi-racial party. Kalau cadangan futuristik, UMNO berukar daripada United Malay kepada United Malaysia National Organization. Tapi nak capai futuristik, kena realistik dulu.

MCA, MIC, PPP, Gerakan bergabung jadi satu. Kemudian team up dengan UMNO. Amacam?

*************************************************************************
PAKATAN BOLEH 'SAHKAN' PERKAHWINAN- Berita Hairan

Hasrat Pakatan Rakyat untuk didaftarkan sebagai gabungan parti yang sah dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya tanpa perlu menurut undang-undang sedia ada.

****************************************************************************

Sebelum ini Pakatan Rakyat kata tak boleh nak daftar sebagai coallition sebab kena ada 7 parti komponen. Sekarang SPR dan ROS kata boleh.

Tunggu apa lagi? Jadikan Pakatan Rakyat sebagai perikatan sah macam Barisan Nasional. Ada satu perlembagaan, ada kod dan etika dan ada persidangan. Barulah serius nak jadi kerajaan.

Jangan jadi macam cerita kabinet bayangan dulu. Berbuih-buih mulut kata nak tubuhkan tapi yang dibuat ialah Jawatankuasa sahaja.

Pakatan Rakyat- sebagai perikatan yang sah macam Barisan Nasional. Amacam?

Friday, October 9, 2009

Mana dulu?

Metro adalah akhbar murahan. Ini fakta. Muka depan tak sah kalau bukan pasal seks, ajaran sesat, babi, kemalangan, mistik, arak dan dadah.

Ramai pun yang menyampah dengan akhbar ini.

Tapi yang perlu berubah, adakah akhbar metro atau warga kita sendiri? Sebabnya Metro merupakan akhbar terlaris di Malaysia.

Filem Malaysia macam Razak Mohaideen tak payah cakaplah tahap pemikirannya. Tak boleh kalau tanpa lawak bodoh dan membodohkan.

Ramai pun yang tak bangga dengan filem Malaysia.

Tapi yang perlu berubah, adakah filem Razak Mohaideen atau warga kita sendiri? Sebabnya filem-filem David Teoh ni memang laku berjuta-juta. Maknanya ada sambutan.

Jadi daripada dua contoh ni, mana yang kena berubah dulu?

Pembekal atau penerima?

Selamat Diskusi!

Negara Kita Wajah Kita

ISA SAMAD CALON RASUAH- Harakah

JIN NOTTI LAWAN MOMOK?- Mstar

OPS SIKAP GAGAL?- Berita Hairan

********************************************************************************
Kita selalu bising-bising mengenai apa yang berlaku di negara kita. Antaranya politikus kita yang kaki rasuah, filem Malaysia macam sampah dan jalan raya di Malaysia ibarat medan perang. Sebenarnya banyak lagi perkara yang kita selalu bising. Contohnya kualiti pendidikan, taraf sukan dan daya intelektual yang rendah.

Satu hakikat yang kita terlepas pandang ialah semua ini adalah cerminan (reflection) daripada diri kita sendiri. Negara kita wajah kita.

Kita bising-bising mengenai politikus kaki rasuah. Kita menentang Isa Samad sebagai calon Bagan Pinang kerana beliau kaki rasuah. Tetapi kita terlepas pandang bahawa ramai rakyat Malaysia- walaupun bukan politikus- juga adalah kaki rasuah. Penjawat awam rasuah. Polis rasuah. Peniaga rasuah. Cikgu rasuah. Ustaz rasuah. Semuanya rasuah. Kalau tidak, mengapa si kaki rasuah seperti Isa Samad masih boleh menjadi pemimpin dan calon? Cuba bayangkan masyarakat kita sendiri tidak ambil rasuah, sudah lama politikus begini tak akan naik pegang jawatan. Negara kita wajah kita. Politikus kita cerminan perangai rakyat kita.

Filem Malaysia macam sampah. Kualiti hancur. Berlakon kaku. Tak ada nilai langsung. Macam menghina daya intelek kita. Tapi sekali lagi kita lupa bahawa filem sampah inilah yang digemari oleh rakyat Malaysia. Kalau tidak, kenapa boleh kaut sampai berjuta-juta ringgit? Kalau tidak, kenapa filem-filem hebat seperti Mukhsin sekadar tayang cukup syarat? Hakikatnya rakyat kita memang tak suka berfikir dan suka menonton filem-filem yang dikatakan sampah ini. Negara kita wajah kita. Filem kita wajah kita.

Akhbar di Malaysia rasis, penuh dengan unsur lucah dan mistik. Ramai yang bising. Ramai yang pelik kenapa akhbar tidak menyiarkan berita-berita intelek. Tetapi hakikatnya akhbar-akhbar picisan inilah yang sangat laku dan dibaca oleh orang ramai. Tak percaya? Metro merupakan akhbar paling laris di Malaysia. Jelas di sini minda rakyat kita yang masih terikat dengan unsur mistik dan lucah. Kalau tidak, kenapa bahan bacaan ilmiah masih tidak laku? Negara kita wajah kita. Akhbar kita fikrah warga kita.

Orang ramai selalu hairan mengapa begitu ramai yang terkorban di jalan raya. Kemudian bising-bising menyalahkan kereta tak baguslah, jalan sesaklah, dan pengangkutan awam yang teruk. Tetapi hakikatnya sikap pemandu kita sendiri yang teruk. Kalau nampak lampu hijau, semakin nak pecut. Kalau lampu kuning, tak payah cakaplah- boleh-boleh nak menyempat jugak. Itu belum campur lagi dengan yang bawak motor cilok mencilok dengan berbahaya. Ada pulak yang suka bawak laju macam rumah dia nak lari. Negara kita wajah kita. Jalanraya kita sikap pemandu kita.

Di akhirnya macam yang kita selalu dengar- 1 jari tuding ke arah orang lain, 4 jari tuju kat diri kita. Kita selalu mengkritik dan bising-bising tentang segala hal di sekeliling kita. Tetapi ingatlah, kita juga menyumbang kepada perkara yang kita kritikkan itu.

Negara kita wajah kita.

Thursday, October 8, 2009

Ada berani?

BUAT, BUKAN TAHU CAKAP JE

Kepada pengguna Celcom, ambik hp sekarang. Taip DERMA dan hantar ke 21999. Tiba-tiba anda telah menderma sebanyak RM1 kepada mangsa gempa bumi di Padang.

ADA APA PADA RM1?

Tak banyak mana. Rokok pun dah 70 sen sebatang. Milo Ais pun tak cukup nak beli. Nak order roti telur pun tak lepas. Kalau kredit RM1, cakap 5 minit dah habis. Tapi....

RM1 mampu membantu saudara kita yang berada di sana.

BIARKAN ORANG BUAT JAHAT DENGAN KITA TAPI KITA COOL DENGAN BUAT BAIK

Walaupun ada segelintir warga Indonesia nak ganyang kita hari ini,
walaupun pesawat TUDM dibaling batu ketika menghantar bantuan ke sana,
walaupun kita dituduh mencuri budaya mereka,
walaupun Manohara cuba bising-bising dengan kisah perkahwinannya,
walau apa pun........bantulah mereka yang ditimpa bencana.

UNTUK MEREKA YANG TAK SUKA SMS TAPI BANYAK DUIT NAK BAGI

Boleh hantar cek, pergi ATM, dan maybank2u.



JANGAN LUPA SMS!

Tuesday, October 6, 2009

Basuh minda rasis

Dari mana rasis datang?

Begitu ramai yang mendakwa diri mereka tidak rasis. Sama ada mereka benar-benar tidak rasis atau tidak, macam mana hendak dipastikan. Tak ada ujian SIRIM pun untuk menentukannya. Tetapi yang pasti, dalam diri setiap insan mesti wujud perasaan rasis.

Rasis wujud hasil daripada sifat prejudis. Prejudis wujud kerana kurang mengenali dan kurang pengalaman.

Rasis juga datang hasil daripada pengaruh persekitaran. Ibu bapa kita, guru-guru kita dan mungkin kawan-kawan kita- sama ada sedar atau tidak- menerapkan unsur rasis ke dalam diri kita.

Rasis pun boleh wujud kesan daripada pengalaman hidup. Kita mungkin menjadi rasis akibat ada 'sejarah' dengan orang yang rasis.

Rasis jujur dan rasis tidak jujur?

Selalu saya berlegar dari blog ke blog. Ada blog orang Barisan, ada blog orang Pakatan. Selalunya apabila membaca blog orang Barisan saya tidak terkejut jika membaca artikel yang rasis sifatnya. Biasalah orang UMNO. Lagi-lagi jenis yang berkitabkan Utusan. Setidak-tidaknya- bagi saya- mereka ini rasis yang jujur. Rasis yang kita nampak.

Tetapi saya cukup terperanjat bila membaca blog orang Pakatan yang anti ketuanan melayu dan tidak rasis tetapi dalam tulisannya penuh dengan kutukan berunsur rasis. Antara perkara yang selalu memperlihatkan perangai rasis mereka ialah Dr Mahathir dan mamak. Azeez putera UMNO dan Kimma.

Saya bukanlah penyokong Azeez Putera UMNO yang-kena-pukul-sedikit-pun-dah-kecoh-satu-Malaysia. (owh, lembik betul). Tetapi sekalipun saya tidak menyukai Azeez, saya tidak memanggilnya sebagai kimma, kimmak atau mamak. (Kimma ialah parti india muslim. Parti ni parti cekai, tak popular. Jadi kena terangkan sikit.) Saya juga tidak menghina warna kulitnya dengan membuat lawak 'bila gelap tak nampak'. Ini kerana bagi saya kebencian terhadap seseorang itu tidak memberikan lesen untuk saya menghina peribadinya. Apatah lagi penghinaan yang berunsur perkauman.

Dalam hal Dr Mahathir- saya perhatikan begitu ramai penulis blog orang Pakatan seperti Hishamuddin Rais yang begitu gemar mengutuk beliau sebagai madey, mamak, kutti, kerala dan india. Ini disambut pula dengan pembaca yang rasis komennya. Saya bukanlah penyokong kuat Dr Mahathir pun walaupun mengaguminya. Tetapi sekalipun kita tidak bersetuju dengannya (atau membencinya), adakah wajar kita menghinanya dengan kata-kata yang rasis?

Apa masalahnya kalau Dr Mahathir seorang mamak? Adakah mamak bangsa yang hina? Adakah dengan berkulit gelap menyebabkan beliau tidak layak memimpin? Kita boleh tidak bersetuju dengan Dr Mahathir. Memanglah ada perkara yang beliau buat tidak semuanya betul. Tetapi kalau tak setuju, kritik dasarnya. Kritik perlaksanaannya. Saya pun kritikal dengan Dr Mahathir. Tetapi saya memilih untuk mengkaji era pemerintahannya melalui buku, temu bual dan berjalan ke Putrajaya, Langkawi. Dari situ baru saya kritik. Barulah betul caranya. Bukan dengan menggunakan ayat-ayat rasis.

Mengutuk orang yang dikatakan rasis dengan menggunakan ayat-ayat rasis juga adalah rasis. Di sini tidak ada bezanya antara blogger Pakatan macam Isham dengan blogger Barisan/UMNO. Tidak ada bezanya pembaca blog Pakatan dan pembaca blog Barisan. Kalau ada beza pun, blogger Barisan tidak berselindung di sebalik nama anti-rasis seperti blogger Pakatan yang sebenarnya dua kali lima rasisnya.

Bagi saya apa yang berlaku adalah hasil daripada manifestasi politik orang tua. Ini cara lama untuk mengutuk pihak lawan dengan garisan rasis. Jika kita mahukan perubahan, kita sendiri yang perlu mulakan dengan tidak terikut dengan perkara-perkara rasis seperti ini.

Saya tahu saya mungkin dihentam dengan menulis perkara ini. Silap-silap saya juga mungkin dicop rasis. Tetapi sebelum anda memberikan komen, sila bayangkan apa perasaan golongan mamak, orang yang berkulit hitam, dan kaum india apabila anda membuat kelakar tentang 'bila gelap tak nampak'. Fikirkan jika anda di tempat mereka. Saya amat berharap tulisan ini dapat membasuh perasaan rasis di dalam minda kita.

Garisan Rasisme

Apa itu rasis?

Soalan yang cukup mudah. Dan selalu juga kita dengar. (lagi-lagi semenjak PRU 12). Tapi pernah atau tidak kita bertanya pada diri sendiri apa yang dikatakan sebagai rasis?

*
Adakah rasis apabila kita merujuk sesuatu perkara itu dengan bangsanya?

Contohnya berita seperti "90% orang melayu masih makan gaji." Atau berita seperti "70% penghidap kanser pangkal rahim ialah kaum cina." Bagaimana pula dengan berita "Orang india antara penyumbang tertinggi kes jenayah."

Ada sesetengah orang berkata ini rasis. Mereka berpendapat tidak perlu melihat sesuatu perkara itu pada bangsanya. Lebih baik dirujuk kepada 'bangsa Malaysia'. Ini lebih baik kata mereka. Hujah ini ada meritnya jika kita tidak sukakan label yang memisah-misahkan kita.

Tetapi adakah ianya menyelesaikan masalah? Jawapannya tidak.

Kadangkala kita perlu merujuk sesuatu perkara dengan bangsanya. Kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa setiap bangsa mempunyai cara dan keadaannya tersendiri. Ini pun yang menjadikan setiap bangsa itu unik dan berbeza. Dan dari situ kita dapat mengkaji punca dan sebab berlakunya perkara tersebut.

Contohnya mengapa orang india paling banyak melakukan jenayah. Mungkin ada kaitan dengan taraf hidup orang india yang masih ketinggalan di Malaysia. Begitu juga mengapa orang cina paling banyak menghidap kanser pangkal rahim. Mungkin dalam ilmu perubatan, orang cina mempunyai 'gen-gen' yang lain daripada bangsa lain hasil daripada gaya hidup mereka. Samalah juga mengapa orang melayu masih ramai yang makan gaji. Mungkin budaya hidup orang melayu dari nenek moyang lagi yang bukan dari orang pandai berniaga.

Cuba bayangkan jika kita rujuk masalah-masalah ini sebagai 'bangsa malaysia'. Adakah kita dapat mencari puncanya?

Jadi, adakah merujuk sesuatu perkara dengan bangsa dikatakan rasis?

*
Kemudian adakah rasis jika kita bercakap tentang nasib sebenar bangsa kita? Adakah menyeru kepada sesuatu bangsa ke arah kebaikan dan kemajuan dianggap rasis?

Ada yang berkata lebih baik menyeru kepada negara secara kolektif untuk maju. Bukan menyeru kepada bangsa. Ini logik mudah. Kalau bangsa tak maju, bagaimana negara nak maju? Kalau orang melayu tidak maju, adakah Malaysia dikira sudah maju? Kalau orang india masih ketinggalan, apa maknanya kemajuan di Malaysia?

Sekalipun kita menyeru kepada negara dan bukan bangsa, kita tidak akan lari dari berkata tentang bangsa ini dan bangsa itu. Mengapa? Kerana sekali lagi hakikat bahawa negara kita ialah berbilang bangsa.

Sebenarnya yang rasis ialah apabila kita menghasut kebencian kepada kaum lain dalam menyeru kemajuan bangsa kita. Contohnya seperti kata-kata 'kita akan dihalau' dan 'kaum pendatang yang jadi tuan'. Ini baru dikatakan rasis. Seruan apa begini yang menakut-nakutkan. Bukannya membawa kepada kebaikan tetapi kepada kepada kebencian. Bagaimana nak maju dalam kebencian?

Oleh itu, jika kita menyeru dengan baik, tanpa menghina dan menakut-nakutkan bangsa kita, ia bukanlah perkara yang rasis. Samalah seperti menyeru Berbatov bermain bola dengan baik demi kemajuan MU tanpa perlu menghasutnya membenci Rooney yang tengah on-form.

*
Di akhirnya apa sebenarnya yang dikatakan sebagai rasis? Terdapat banyak tafsiran bagi setiap individu. Ada yang berasa rasis bila kita membuat kelakar tentang keadaan bangsa lain. Ada yang berasa rasis bila kita memberitahu perkara sebenar tentang sesuatu bangsa. Malah ada yang berasa rasis untuk menyatakan apa bangsanya di borang pendaftaran.

Jadi, apa garisan rasisme di mata anda?

Sunday, October 4, 2009

Mari pilih warna

The Blues?

or The Reds?

The answer is: Red Devils.


ps: gua saje tak nak bagi komen. Nanti ada yang gaduh pasal bola tak tentu pasal. Padahal macamlah Manchester, Chelsea dan Liverpool tu kampung diorang. Lagi satu tak pasal-pasal je kelab-kelab Malaysia kecik hati.

pss: Gua mengharapkan seri. Sebab MU dah seri semalam. Lagipun senang, biar adil kat dua-dua team. hehe

Lawak Weekend

Lawak untuk hari ahad. (Hari minggu takkan nak sakit kepala baca benda-benda politik kan.)

Sila klik sini.

Hahaha tak sangka Awang Selamat dah speaking.


Ps: Gua dengan Awang Selamat memang tak 'into' sikit. Bukannya Utusan tu yang rasis tapi Awang ni yang rasis.

Kenapa?

" Bro, kenapa dah lama tak update blog? " rumusan daripada sms dan email yang gua terima semenjak dua menjak ni.

Gua puasa enam dari blogging. Maaf. Harap Bersabar.