Saturday, July 25, 2009

Putrajaya dan 1Malaysia

1- Hari ini saya ke Putrajaya.

2- Saya amat yakin, sesiapa sahaja yang memasuki Putrajaya pasti akan terpegun dengan rekaan bangunannya yang moden dan canggih. Daripada Kompleks Perdana Menteri hinggalah kepada Pusat Konvesyen Putrajaya. Daripada Masjid Putra hinggalah kepada Masjid Besi. Semuanya tersergam indah.

3- Ditambah pula dengan jalan raya yang teratur, laluan pejalan kaki yang lebar serta landskap yang menarik. Ini semua sudah cukup membuktikan bandar terancang ini memang bernilai berbilion-bilion ringgit.

3- Mahu tidak mahu- saya terasa bangga kerana Malaysia mempunyai bandar yang indah sebegini.

4- Mungkin ada pembaca yang beranggapan Putrajaya adalah sesuatu perkara yang membazir. Tetapi saya tidak ingin bercakap mengenai perkara tersebut kerana bandar Putrajaya telahpun selamat dibina. Nak cakap benda yang dah hanguskan duit buat apa? Lebih baik kita berbicara bagaimana hendak memanfaatkan Putrajaya.

5- Kita diberitahu bahawa Putrajaya adalah pusat pentadbiran negara Malaysia. Seperti yang telah ditulis di wikipedia, Malaysia adalah sebuah negara yang ditadbir oleh sebuah kerajaan yang berbilang bangsa dan agama.

6- Tetapi apa yang berlaku ialah Putrajaya telah menjadi bandar orang melayu. Hampir 95% penduduk Putrajaya adalah orang melayu.

7- Adakah ini satu ironi?

8- Bukankah Putrajaya- sebagai pusat pentabiran Malaysia, sepatutnya memberikan contoh yang baik dalam menunjukkan Malaysia sebagai negara berbilang bangsa?

8- Di mana kaum cina di Putrajaya? Di mana warga India? Di mana yang lain? Bukankah bagus jika Putrajaya didiami oleh semua bangsa?

9- Kalau Putrajaya sendiri pun tidak berjaya memberikan contoh integrasi kaum, tidak hairanlah mengapa perpaduan Bangsa Malaysia masih belum dapat dicapai.



ps: Sekarang heboh di sana sini tentang 1Malaysia. Daripada sibuk-sibuk nak cipta slogan dan lagu 1Malaysia, adalah lebih baik kerajaan mengSATU Malaysiakan Putrajaya terlebih dahulu.