Saturday, October 17, 2009

Satu pandangan: Kronisme dan Nepotisme


Politik dan bisnes memang tidak dapat dipisahkan. Ia ibarat irama dan lagu walaupun ia sepatutnya menjadi seperti minyak dan air.

DARI MANA KRONI DATANG?

Kita semua tahu ahli politik kerjanya adalah berpolitik. Antara caranya ialah dengan berkempen kepada orang ramai. Tetapi untuk berkempen mereka memerlukan dana. Selalunya dana ini diperolehi daripada towkey-towkey bisnes. Yang menariknya, walaupun ahli politik itu berketuanan melayu, penyumbang dananya tidak semestinya towkey melayu. Ada juga towkey cina dan india. Di sini membuktikan warna kulit dan agama tidak diambil kira bila hal ekonomi dilibatkan.

Yang hairannya pula, walaupun ada ahli politik yang mengaku berketuanan rakyat, tetapi dana yang diperolehi bukannya dari rakyat biasa tetapi dari towkey-towkey pemodal juga. Di sini kita dapat lihat bagaimana ahli-ahli politik kita- tak kira pakatan mahupun barisan- sangat memerlukan dana daripada towkey-towkey bisnes.

Apabila towkey-towkey bisnes memberikan dana kepada ahli politik, mereka tidak menganggap ianya sebagai sedekah mahupun amal jariah. Sebaliknya ia adalah satu bentuk pelaburan. Sama ada pelaburan ini mendatangkan hasil ataupun tidak, bergantung kepada ahli politik itu berjaya menjadi wakil rakyat atau memegang jawatan seperti menteri besar misalnya. (ps: kalau mahukan risiko rendah- melabur dekat ahli politik Barisan. Kalau risiko tinggi- pergi melabur dekat ahli politik Pakatan. Tapi jangan lupa, risiko tinggi-pulangannya tinggi.)

Antara pulangan yang dinantikan daripada 'pelaburan' towkey-towkey ini pastilah kontrak-kontrak dan lesen-lesen untuk membuat duit. Ini kita semua pun tahu. Dan demi memastikan pelaburan ini berterusan, towkey-towkey ini akan terus menyumbang dana kepada ahli-ahli politik. Beginilah kitaran bisnes dan politik yang berlaku di negara kita. Ini jugalah bagaimana rasuah dan kronisme terjadi.

Kita tidak perlu berasa hairan. Perkara ini bukan sahaja berleluasa di Malaysia malah di negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika pun ada.

PENYELESAIANNYA?

Untuk memisahkan hubungan bisnes dan politik adalah seperti memutuskan hubungan Alex Ferguson dengan Manchester United. Ia adalah perkara mustahil. Towkey-towkey akan terus melabur kepada ahli-ahli politik selagi mana mereka memegang kunci kepada punca ekonomi.

KETELUSAN YANG BAGAIMANA?


Bagi saya, langkah terbaik adalah dengan mengamalkan ketelusan (transparency). Bunyinya klise. Yelah, ia jadi klise sebab geng Pakatan selalu gunakan perkataan ni tanpa memberitahu kepada kita ketelusan yang bagaimana. Asyik-asyik menjerit 'ketelusan' untuk menentang geng Barisan yang korup. Tetapi tidak pernah memberi idea bagaimana untuk mencapai ketelusan.

SIARKAN SENARAI KONTRAK DAN LESEN

Bagaimana kalau disiarkan senarai kontrak yang diberikan? Beritahu sahaja kepada rakyat 'kontrak membuat jalanraya X telah diberikan kepada towkey bisnes Y aka kroni kepada ahli politik Z.' Biar rakyat tahu dari sumber rasmi daripada buat spekulasi sendiri. (bila orang ramai buat spekulasi, kerajaan tuduh itu propaganda pembangkang. Sekarang ni biar kerajaan sendiri beritahu. Amacam?)

Mungkin cara ini dilihat seperti meng'legal'kan budaya kroni. Tapi legal ataupun tidak, kroni memang tetap berlaku. So kita boleh pilih sama ada mahukan kroni yang legal tetapi kita tahu atau illegal tetapi kita tak tahu.

Setidak-tidaknya langkah ini dapat memberi tekanan kepada ahli politik untuk memilih kroni yang benar-benar layak. Ahli politik juga akan memastikan kroni mereka berjaya. Bukan sekadar bagi kontrak dan lepas tangan.

Dan apabila kroni mereka gagal menjalankan sesuatu projek dengan baik, kita boleh menghukum mereka. Mungkin dengan tidak memangkah mereka dalam pilihanraya. Sebaliknya jika kroni mereka berjaya menyiapkan projek dengan cepat dan menjimatkan kos, ahli politik boleh jadikan ia sebagai modal kempen.

Senang cerita, kroni mereka adalah penentu karier politik mereka. Rakyat akan menilai ahli politik berdasarkan kroni mereka. Nak tak nak ahli politik seperti 'dipaksa' untuk memilih kroni yang positif.
(dalam entri yang lepas, rata-rata pembaca bersetuju bahawa apa salahnya diberikan kontrak kepada kenalan dan keluarga asalkan ianya kronisme positif)

DI AKHIRNYA...

Fikir punya fikir sebenarnya tak ada sebab untuk tidak menyiarkan senarai kontrak dan lesen kepada orang ramai. Orang ramai tak akan rugi. Yang cuak hanyalah ahli politik dan towkey-towkey bisnes.

Saya percaya langkah ini tidak terlalu idealistik. Malah memberikan situasi menang-menang kepada ahli politik, towkey bisnes dan orang ramai.

Apa kata anda?


ps: masih ingat lagi kesan kepada Rafidah Aziz bila senarai penerima AP dikeluarkan?