Wednesday, July 29, 2009

Bekas-bekas yang melompat


SUBRAMANIAM SERTAI PKR- Berita Hairan

PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden MIC yang juga bekas Ahli Parlimen Segamat, Datuk SS Subramaniam menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam.

CHUA JUI MENG SERTAI PKR- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 18 Julai - Bekas Naib Presiden MCA dan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng hari ini mengumumkan secara rasmi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

ZAID IBRAHIM MASUK PKR- Malaysiakini

Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim secara rasminya menyertai PKR.

**************************************************************************************************
Ramai penyokong Pakatan yang berasa gembira apabila Zaid, Chua dan Subra (macam versi baru untuk ali, ah chong dan muthu) mengumumkan kemasukan mereka ke dalam PKR. Seolah-olah parti mereka telah berjaya dilihat sebagai parti yang hebat. Dalam kepala penyokong Pakatan, mereka pasti berfikir 'padan muka orang Barisan. Sampai pemimpin korang pun dah lompat keluar.'

Bercakap mengenai pemimpin Barisan yang melompat masuk ke dalam Pakatan, saya kira ia bukanlah budaya yang patut kita rayakan. Malah kita jangan ambik pot sangat. Buat tak tahu sahaja. Kalau ada yang nak masuk pun- kita benarkan. Itupun sebagai ahli biasa. Tak perlu sampai nak jadikan mereka sebagai ahli Supreme Council PKR. Apatah lagi menyambut mereka di dalam majlis khas. Ini semua tak perlu. Mengapa saya katakan begini?

Kita semua tahu kebanyakan politikus yang melompat ini adalah jenis yang pergi tersepak pulang terlanggar. Maksudnya mereka sudah tidak diterima oleh orang ramai lagi. Sokongan pun dah merosot. Bukti yang paling jelas ialah kesemua mereka tidak berjawatan di dalam parti masing-masing. Kesemuanya ialah bekas (ex) sahaja. Zaid Ibrahim- bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Chua Jui Meng- bekas Naib Presiden MCA. SS Subramaniam- bekas Naib Presiden MIC. Itu belum lagi dicampur dengan banyak lagi 'bekas-bekas' dari parti Gerakan dan PPP.

Saya amat pasti mereka yang bersorak apabila bekas-bekas politikus melompat masuk ke dalam Pakatan tidak memahami apa itu politik. Politik ialah perebutan kuasa. Kuasa dilihat dengan kedudukan dan jawatan. Untuk berjawatan dan berkedudukan, sokongan diperlukan. Ada politikus yang menagih sokongan dengan agama. Ada yang menggunakan bangsa. Ada yang menggunakan rakyat. Dan ada juga politikus yang membeli sokongan. Ini hakikat. Politikus akan berbuat apa sahaja demi kuasa.

Inilah yang sebenarnya berlaku apabila bekas-bekas politikus ini melompat masuk ke dalam Pakatan. Mereka bukannya melompat kerana suka-suka ataupun hobi. Mereka bukan melompat kerana tertarik dengan ketuanan rakyat. Mereka bukan melompat kerana ingin memperjuangkan rakyat kelas bawahan. Apa yang mereka mahukan ialah kuasa. Kerana mereka sedar mereka tidak lagi mendapat sokongan dalam parti lama mereka. Jadi dengan melompat masuk ke dalam Pakatan, mereka mendapat kuasa. Dan paling penting mereka mendapat sokongan daripada orang ramai yang tertipu dengan bekas-bekas politikus ini.

Jika tidak percaya- sila berasa hairan, mengapa sehingga sekarang masih belum ada ahli parlimen atau politikus yang berjawatan di dalam Barisan melompat masuk ke dalam Pakatan? Jawapannya kerana mereka masih lagi mempunyai kuasa dan sokongan. Jadi untuk apa mereka mahu melompat? Untuk jadi katak seperti Ibrahim Ali?

Kita menulis dan berbincang di blog mahukan budaya politik yang baru. Kita berhimpun di jalanan menuntut kepada perubahan. Kita berpeluh-peluh turun mengundi dan memangkah Pakatan Rakyat kerana kita percaya Pakatan Rakyat akan membawa kepada perubahan. Jika kita benar-benar jujur mahukan budaya politik kita berubah- kita perlu menolak budaya bekas-bekas politikus yang melompat ke dalam Pakatan Rakyat. Mereka tidak menyumbang kepada idea baru sebaliknya membawa budaya lama- budaya politik bodoh yang mereka warisi daripada parti lama mereka.

Kenapa Pakatan suka sangat nak ambil 'bekas-bekas' politikus ini sebagai pemimpin mereka? Adakah dalam PKR sendiri tak ada pemimpin lain yang lebih berbakat? Adakah Pakatan tidak mempercayai kebolehan pemimpin mereka sendiri? Hebat sangat ke bekas-bekas politikus ini sehinggakan Pakatan memerlukan mereka di dalam parti? Mungkin selepas ini Pakatan boleh menukar nama mereka kepada Pakatan (bekas) Rakyat.

Sedarlah, perubahan hanya dapat dilakukan oleh generasi baru. Golongan yang belum menjadi bekas-bekas. Mereka masih segar dengan idealisme. Masih suci dari rasuah. Masih bertenaga untuk menentang ketidakadilan. Mereka inilah yang patut Pakatan lantik menjadi pemimpin. Bukannya merekrut bekas-bekas politikus yang melompat.

Saya amat yakin perubahan tidak akan dicapai jika bekas-bekas politikus ini masih berkeliaran di dalam Pakatan Rakyat. Lagilah malang jika mereka diberikan kuasa sebagai pembuat dasar dan keputusan. Silap-silap Pakatan akan menjadi sama dua kali lima seperti Barisan. Jika ini berlaku, lebih baik kita mengundi blogspot di pilihanraya akan datang. Lagi cool. (BB)