Tanpa dijangka, perlawanan 'runcit seperti biasa; antara Man Utd dan Man City menjadi 'lebih hangat daripada biasa'. Mungkin inilah penangan media (baca: sokernet) yang berjaya menaikkan nafsu semua peminat bola sepak. Hari raya pun gagal mengawal nafsu bola mereka. Ops, ini bukan review perlawanan semalam. Sebaliknya suatu cerita yang membasuh minda.
Ceritanya bermula begini....
Di kampung saya, astro adalah perkara asing untuk wujud. Di sini , di kawasan pedalaman, astro adalah kehendak untuk orang yang mampu. Yang tidak mampu seperti atuk nenek saya tak beli. Tidak seperti di bandar di mana astro sudah menjadi keperluan seisi rumah walaupun ada yang tak mampu. Jadi, tanpa astro, jangan mimpilah nak melihat pasukan setan merah beraksi. Namun asing atau tidak- saya tetap mahu menonton perlawanan ini. Sebagai peminat setan merah, saya mahu melihat benarkah gosip pasukan helang biru ini layak bergelak Top Four.
Mungkin ada yang berkata hari raya bukan untuk tercongok di depan TV. Kata mereka inilah masanya untuk bergembira dengan sanak saudara. Tetapi mereka perlu faham TV juga membawa kegembiraan kepada insan yang beraya. Lagi-lagi kepada kaki bola macam saya. Kepada mereka yang berpendapat bahawa TV perlu disorok atas alasan ia mengganggu kegembiraan hari raya, saya ada satu nasihat. Adalah lebih baik disorokkan sekali kereta yang ada. Kereta bukan sahaja mengganggu kegembiraan malah membunuh orang yang pulang beraya lagi. Setidak-tidaknya TV tidak membunuh.
Berbalik kepada cerita tadi, sebenarnya tak jadi masalah nak menonton bola kalau bukan kerana hari raya yang jatuh serentak. Ada je kedai makan yang menyiarkannya. Tetapi maklumlah, mana ada orang Islam yang nak bekerja di hari raya pertama. Jauh sekali nak bukak kedai. Bagi orang Islam- raya setahun sekali adalah acara yang mesti disambut. Tak kiralah liberal mana orang Islam itu- raya tetap raya. Perkara berkaitan raya ni memang tak boleh dikompromi.
Maka, selepas sejam mencari, lalu saya terjumpa satu kedai mapley di pekan. Adalah dekat 10km jauhnya. Jam di tangan dah menunjukkan pukul 9.30, bermakna sudah tamat 1st half. Tanpa membaca bismillah, saya terus mencari meja dan kerusi. Tapi jangan kata meja dan kerusi, nak berdiri tengok pun tak ada tempat. Setiap celah kedai mamak itu penuh dengan warga 1Malaysia.
Mungkin kita jarang tahu, kedai mapley adalah institusi perpaduan yang paling besar di negara kita. Kawasan majoriti melayu ke, cina ke, muslim ke, non-muslim ke, semuanya ada kedai mapley. Tak perlu pun nak promosi taruk iklan 1Malaysia kat surat khabar. Apatah lagi nak bersenam atau berlagu 1Malaysia. Dengan makanan dan bola, ia sudah cukup untuk menarik warga semua bangsa duduk melepak bersama.
Dari jauh saya sempat perhatikan towkey mapley itu sudah tersengih-sengih memegang buku bank. Hebat mapley ni. Tak sia-sia tak beraya. Kemudian saya perhatikan lagi nombor plate kenderaan yang ada. Kebanyakannya plate KL. Patutlah kedai mamak tu melimpah-limpah pelanggan. Overrated rupanya.
Disebabkan adalah perkara sia-sia terpacak tanpa dapat menonton di kedai mapley itu, saya pun beredar. Dengan hati yang pasrah, saya pulang ke rumah. Namun tiba-tiba saya terlihat sebuah restoran yang lengang tetapi menyiarkan perlawanan bola. Biar betul- saya macam tak percaya. Beberapa kali gosok mata. Takutlah ada hantu yang nak klepet saya ke. Yelah, dah kata bulan syawal ni setan dah tak diikat. Tak percaya? Tu yang setan merah nak beraksi malam ni tu apa dia.
Tengok punya tengok, rupanya restoran cina. Patutlah tak ramai orang. Dengan membaca bismillah, saya pun masuk. Siap duduk betul-betul depan TV. Memang heaven. Macam tengok di rumah je rasanya. Tapi bila ada amoi datang mintak order, saya mati kutu. Nak order apa ni? Halal ke tidak? Saya perhatikan di sekeliling, rata-rata yang datang minum air tiger. Tidak berapa jauh pula ada beberapa anjing yang sedang tidur nyenyak. Tiba-tiba saya berasa menyesal masuk.
Amoi itu tersenyum melihat keadaan saya. Mungkin menyedari saya seorang muslim, lalu terus dia berkata 'jangan risau ma, kita ada air tin.' Bayangkan betapa leganya diri saya mendengar kata-kata ini. Terus saya minta 100 plus. Ketika menonton perlawanan itu, saya terfikir- sebenarnya tak susah pun untuk kita hidup bersama-sama berbilang bangsa dan agama. Yang kita perlukan ialah memahami sensitiviti masing-masing. Itu sahaja.
Dan...apabila Owen menjaringkan gol di saat akhir perlawanan, semua penyokong setan merah berjabat tangan. Termasuk diri saya. Pada ketika ini, saya tidak menyedari bahawa saya seorang sahaja yang berbangsa melayu. Yang lain rata-ratanya berbangsa cina dan india. Pada ketika ini jugalah, saya terlupa hakikat saya sedang berada di restoran cina. Nampaknya bola sepak telah mengajar saya tentang perpaduan. Ini pun yang berlaku pada hari ini. Siapa yang sangka, dari kedai mapley ke restoran cina. Dari hal bola sepak ke hal perpaduan.
Selesai sahaja bersalaman, saya pun berangkat pulang. Dalam hati, nampaknya Man Utd lebih banyak menyatukan kita daripada para politikus sekarang. Ini rumusan berani yang saya buat daripada pengalaman ini. Sejujurnya, inilah kali pertama saya memasuki restoran cina. Namun ia sudah banyak memberikan pengalaman yang berharga ini. Saya pulang bukan kerana gembira Man Utd menang tetapi lebih gembira mengenangkan perpaduan di negara kita yang masih utuh. [BB]