- Pihak MARA membelanjakan lebih RM80,000 bagi dua unit laptop (komputer riba) berjenama Acer Aspire 5052 sedangkan harga pasaran hanya RM4,500 sahaja untuk seunit laptop jenis dan spesifikasi tersebut di pasaran awam.
- Kementerian Pelajaran membelanjakan sehingga RM4,550 bagi 13 pokok kemboja dan RM9,000 bagi 12 pokok pinang merah, sedangkan pokok kemboja dan pinang merah bagi jumlah yang sama, masing-masing boleh dibeli dengan harga RM585 dan RM1,560.
Ramai yang beranggapan undang-undang adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah. Masalah sosial seperti rempit mahu diatasi dengan mengetatkan undang-undang. Moral manusia juga mahu dibentuk dengan undang-undang. Itu belum dikira lagi dengan golongan yang mengenakan undang-undang sendiri kepada golongan lain. Sebenarnya pandangan ini ada benar dan ada salahnya.
Memang benar tanpa undang-undang kita akan hidup seperti koboi- buat apa sahaja yang mahu. Tetapi ada kalanya undang-undang yang dibuat untuk menyelesaikan masalah sebaliknya mendatangkan masalah pula. Ini terjadi kerana apa yang sah di sisi undang-undang tidak semestinya perkara yang bagus. Jauh sekali beretika dan bermoral.
Minggu ini kita terbaca Laporan Ketua Audit Negara tentan perbelanjaan negara dan negeri. Saya tak pasti adakah kita perlu terperanjat dengan pendedahan-pendedahan yang dibuat. Rasanya hampir saban tahun kita telah mendengar ada barang dibeli berpuluh kali ganda dari harga pasaran. Kita juga sudah sedia maklum mendengar tuntutan tak berasas yang dibuat kepada kerajaan (baca duit rakyat). Mungkin yang perlu kita terperanjat ialah mengapa tiada tindakan yang diambil.
Di satu sisi memang kerana kelemahan penguatkuasaan dan pendakwaan. Tetapi kita perlu faham mereka yang dikatakan menyeleweng duit kerajaan ini melakukan segala urusan 'buat-duit-macam-duit-dia' di dalam konteks undang-undang. Maknanya urusan mereka sah kerana telah melalui segala prosedur yang ditetapkan. Contohnya seperti dapatkan kelulusan pegawai, hantar borang dan mintak cop.
Jadi secara undang-undangnya mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan walaupun membeli laptop sebijik RM40,000. Tetapi adakah ini beretika dan bermoral?
Jawapannya tidak. Mereka menipu dan memanipulasi undang-undang yang pada asalnya untuk mengatasi masalah salah urus dana oleh orang kerajaan.
Di sini kita dapat lihat undang-undang boleh menjadi penyelesaian masalah tetapi juga manusia boleh memanipulasi undnag-undang tersebut.
Yang ironinya, kemudian orang-orang ini jugaklah yang akan menyalahkan sistem kerana membenarkan rasuah, salah laku dan salah urus dana. Nampaknya mereka mengharapkan sistem yang mengubah mereka bukannya mereka mengubah diri sendiri.
Apa yang penting bukannya setiap tindakan kita sah atau tidak di sisi undang-undang. Tetapi adakah ia bermoral dan beretika. Tak guna buat benda betul ikut undang-undang tetapi benda tu sebenarnya membawa kepada keburukan dan menyusahkan orang ramai.