Monday, June 29, 2009

Soal Jawab Bersama Basuh Baju


1- Basuh Baju,


Saya berasa amat risau bila mendengar mengenai wabak HINI yang semakin hari semakin teruk di seluruh dunia. Di Malaysia sahaja sudah 100 lebih kes jangkitan. Bagaimanakah kerajaan Malaysia menangani wabak ini? Adakah langkah yang diambil mampu menyelesaikan masalah wabak HINI?
( Rais Yatim, Jelebu)

- Saudara Rais Yatim,

Malaysia telah mengambil satu langkah yang sangat bijak. Tidak ada satu negara pun yang sanggup mengambil risiko dengan mengambil langkah ini. Malah Mexico, China, Australia dan USA juga kelihatan bengap kerana tidak mampu berfikir bagaimana hendak mengawal wabak HI1NI. Difahamkan langkah ini adalah yang pertama di dunia. Kerajaan Malaysia wajar diberi pengiktirafan di dalam Guinnes World Book of Record.

Langkah tersebut ialah dengan mengarahkan media menggunakan istilah selesema babi. Istilah H1N1 tidak sesuai digunakan kerana ianya susah hendak disebut di dalam Bahasa Melayu. Di samping itu istilah selesema babi juga dilihat lebih bersifat kebangsaan. Basuh Baju amat yakin dua-tiga hari selepas istilah selesema babi digunakan, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang bebas daripada wabak H1N1 ops...wabak selesema babi.

ps: Sepatutnya guna selesema khinzir. Bukan lagi Islamik ke?

2- Basuh Baju,

Saya merupakan insan yang banyak melakukan dosa. Sepanjang hidup saya, saya telah mengambil rasuah, menindas orang miskin, bersifat rasis dan menipu orang ramai. Namun sekarang jiwa saya sudah sedar dan insaf. Saya ingin bertaubat. Harapan saya agar diri saya ditempatkan di kalangan insan yang memasuki syurga Yang Maha Esa. Basuh Baju boleh mengajar atau memberi saya sedikit nasihat?
(Muhyiddin Yassin)

- Saudara Muhyiddin,

Pertama sekali Basuh Baju bukanlah mereka yang 'layak' bercakap soal agama. Basuh Baju risau apa yang dinasihati oleh Basuh Baju akan menyebabkan ada golongan yang akan menuduh Basuh Baju menghina agama Islam. Basuh Baju tidak mahu ada laporan polis dibuat yang akhirnya membazir kertas dan secara tidak langsung menyumbang kepada penebangan pokok.

Namun, Basuh Baju merupakan seorang blogger. Dan sebagai blogger, Basuh Baju mempunyai idea yang sangat mudah dan bernas untuk saudara. Untuk memasuki syurga tidaklah sepayah yang disangkakan. Saudara hanya perlu menunggu pada pilihanraya akan datang dan silalah pergi mengundi. Di kertas undi nanti, saudara hanya perlu memangkah parti BN. Kemudian ambil gambar kertas undi tersebut untuk dijadikan bahan bukti di akhirat kelak.

ps: Ini bukan fatwa. Tetapi ini candu daripada parti politik yang menggunakan agama untuk menarik undi.

3- Basuh Baju,

Sekarang ini heboh di sana-sini mengenai konsep 1Malaysia. Sebagai kontraktor yang dilantik untuk menyediakan baju, topi, banner, risalah, papan tanda, buku, dan model logo '1' di bangunan-bangunan kerajaan, saya amat bertuah. Berjuta-juta ringgit saya perolehi daripada kontrak 1Malaysia. Namun, saya tertanya-tanya bagaimanakah konsep 1Malaysia ini dapat diterapkan ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia? Basuh Baju mempunyai cadangan?
(Nazri Aziz)

- Saudara Nazri,

Sebenarnya bukan saudara sahaja yang mengaut keuntungan daripada konsep 1Malaysia. Pencipta logo, pengubah lagu dan juga pereka tarian 1Malaysia juga mendapat manfaat. Basuh Baju difahamkan tidak lama lagi setiap sekolah dan universiti akan diwajibkan untuk mengajar tarian senam robik 1Malaysia pada waktu riadah. Tetapi awas, jurulatihnya bukanlah Linda Jasmine tetapi seorang anak dara bernama Rosmah Mansor.

Oh ye, hampir terlupa dengan soalan saudara. Basuh Baju sangat yakin konsep 1Malaysia ini akan berjaya, cemerlang, gemilang, dan terbilang sekiranya Biro Tata Negara (BTN) yang mengendalikannya. BTN merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang sangat mementingkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Hidup BTN!

4- Basuh Baju,

Saya merupakan editor di akhbar arus perdana. Saban hari saya mempunyai masalah untuk memilih berita di muka hadapan. Kadangkala saya keliru, mana satu berita dan mana satu auta.
(Awang Selamat)

- Saudar Awang,

Senang saje. Bila Obama telefon Najib, itulah yang patut dijadikan berita utama. Hal-hal seperti rumah rakyat kena roboh, kos sara hidup meningkat dan pekerja dibuang tidak patut dijadikan berita. Kalau hendak letak pun, sila letak di bahagian yang kecik-kecik.

Ps: Agaknya kalau Basuh Baju telefon kawan bernama Najib, boleh masuk muka hadapan tak?

5- Basuh Baju,

Saya mempunyai masalah rumah tangga. Suami saya mempunyai perempuan lain. Sudah 2 minggu dia tidak pulang ke rumah. Bagaimana untuk saya memenangis hatinya balik?
( Diana Danielle)

- Saudari Diana,

Errr....maaf. Basuh Baju bukan blog mengenai masalah peribadi.