Apa itu rasuah?
Ketika saya di sekolah rendah dulu, saya ada bertanyakan kepada cikgu tentang perkataan rasuah ini. Jawapan paling mudah yang mampu beliau berikan adalah; rasuah ialah memberi sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang salah. Contoh yang cikgu saya berikan ialah situasi di mana saya didenda kerana datang lewat. Untuk melepaskan diri, saya memberi cikgu saya gula-gula sebagai ganjaran. Inilah pemahaman rasuah ketika saya berumur lebih kurang 9 tahun.
Selepas 10 tahun, saya perhatikan semua orang suka bercakap tentang rasuah. Rasuah dilihat sebagai perkara yang cukup jijik di khalayak awam seperti dadah. Kadang-kadang saya hairan, mengapa selepas 19 tahun saya hidup di bumi ini masalah rasuah masih tidak selesai-selesai? Lalu saya terfikir sebentar tentang rasuah....
Ada rasuah yang menyebabkan kos sesuatu projek naik. Rasuah ini datang dalam bentuk direct nego (runding terus). Kalau kos asal hendak bina masjid kristal sebanyak RM50 juta, dinaikkan hingga RM300 juta. Ada juga rasuah yang menyebabkan jenayah. Rasuah ini berlaku antara Taiko Samseng dengan Ketua Agensi Keselamatan. Kedua pihak tidak mengacau antara satu sama lain. Hanya duduk di tepi-tepi. Tetapi yang menjadi mangsa di tengah ialah orang ramai. Contoh yang paling jelas ialah sindiket pelacuran, dadah, dan curi kereta.
Senang cerita, rasuah ini cukup pelbagai jenisnya. Malah kalau dikatelogkan mungkin ianya mampu menjadi kitab.
Saya mempunyai dua pandangan tentang rasuah. Pertama rasuah tidak boleh dihapuskan tetapi boleh dikurangkan. Kedua selagi mana persahabatan wujud selagi itulah rasuah tetap muncul. Kalau perhatikan, pandangan kedua saya telah menjelaskan mengapa pandangan pertama saya timbul.
Noktah sebentar. Mengapa saya katakan begini? Untuk kita fahami perkara ini tidak susah. Kita wajib bertanya kembali kepada diri kita, Apa Itu Rasuah?
Rasuah pada hari ini bukanlah seperti memberi gula-gula untuk mengelakkan diri daripada didenda. Rasuah dalam konteks kehidupan sebenar jauh lebih besar daripada itu . Dalam bermacam jenis rasuah, ada satu rasuah yang cukup halus untuk dilihat tetapi cukup ramai yang mengikut. Rasuah ini bersangkut paut dengan persahabatan.
Sebagai contoh katakan kita menjadi Pegawai Besar di sesebuah kementerian. Pada masa yang sama kita mempunyai kawan baik yang bekerja sebagai kontraktor juga. Suatu hari, kita ditugaskan untuk memilih kontraktor bagi suatu projek. Kuasa memilih dan meluluskan tender itu ada pada kita. Tiba-tiba kawan baik kita yang juga kontraktor ini pun turut masuk untuk merebut peluang. Ikut logik persahabatan, pastilah kawan baik kita ini akan cuba mempengaruhi keputusan kita.
Saya ingin bertanya; Apakah tindakan anda jika berada dalam situasi ini? Hendak beri projek itu kepadanya atau tidak? Di sini, mungkin ramai yang akan bercakap 'kalau dia tak layak, tak bagilah.' Betul. Pandangan ini tidak salah. Tetapi bagaimana kalau dia layak dan berkebolehan? Adakah anda akan berikan? Saya yakin 99% orang pasti akan memberikan projek itu kepadanya.
(Tak payah tipulah. Asalkan yang tak layak pun anda akan bagi jugak inikan pula yang memang layak)
Jadi selepas mendapat projek itu, pastilah kawan baik anda itu akan memberikan sesuatu kepada anda sebagai ganjaran. Adalah perkara gila dan seorang kawan yang bangang untuk tidak memberi apa-apa ganjaran selepas mendapat apa yang diinginkan. Dalam hal ini, ganjaran ini dipanggil rasuah.
Noktah sebentar. Sila tanya pada diri, apa itu rasuah? Adakah perkara yang saya sebutkan tadi ialah rasuah? Jika ya, maka tepatlah DUA pandangan saya mengenai rasuah kerana selagi mana wujud persahabatan selagi itulah adanya rasuah. Dalam hal ini, bagaimana untuk kita atasinya? Tidak bersahabat? Ini kerja gila. Atau mungkin, kita tidak menganggapnya sebagai rasuah? Siapa tau....
Nota kaki: Tulisan ini tidak bermakna saya menyokong rasuah. Sebaliknya sebagai mencabar pemikiran kita. Bukan pembebasan utama adalah pembebasan minda?