Monday, June 7, 2010

Lagenda Budak Setan


Hari sabtu aku ke Mid Valley. Tujuan aku hanyalah satu iaitu untuk menonton filem Lagenda Budak Setan. Sebelum aku ke sana, aku sudah membeli tiket secara online. Takut-takut tiket habis. Setibanya di GSC, telahan aku tepat- manusia begitu ramai beratur demi mendapatkan tiket. Filem Lagenda Budak Setan sold out.

Aku masuk awal ke dalam pawagam. Sengaja masuk ketika lampu masih dibuka. Suasana cerah begini membenarkan aku untuk memerhati penonton yang datang menonton. Sekali lagi telahan aku tepat. Yang datang kebanyakannya adalah yang sudah bekeluarga- tapi tidaklah tua mana. Ada anak seorang dua yang masih kecik. Mereka ini aku yakin masa sekolahnya membesar dengan novel Ahadiat Akashah. So bila filem ni keluar, diorang dah berumah tangga. Konfem suami mereka diheret untuk ikut sekali atau mungkin isteri sebenarnya yang diheret untuk teman suami.

Golongan anak muda yang berkapel-kapel juga tak kurang ramainya. Ala, golongan ni cerita Sifu Tongga pun diorang akan layan. Aku tak yakin diorang baca novel Lagenda Budak Setan. Sebabnya ketika sebelum filem ini bermula, masing-masing dok tanya-tanya tentang jalan cerita. Sesekali aku perasan ada geng lelaki yang masuk. Ini konfem geng yang minat Lisa Surihani. Normal la tu.

Lisa Surihani memang layak memegang watak ayu. Sebelum filem ini, aku tak amek pot pun tentang Lisa. Tetapi di dalam Lagenda Budak Setan, Lisa sangat ayu menjadi Ayu yang digilai Kasyah. Aku rasa bukan Kasyah je yang tergilakan ayu/Lisa. Tetapi lelaki yang normal pasti cair juga. Balak-balak yang bawak awek konfem kena cubit dengan bila mata tak lekang kat muka Lisa. haha

Perkara paling mengecewakan ialah Kasyah tidak sesetan di dalam novel. Dan ini ada kaitan dengan perubahan jalan cerita. Dalam novel Kasyah nakal ketika di sekolah. Tetapi di dalam filem-cubaan Kasyah menjadi setan di universiti tidak menjadi. Yela, kenakalan di sekolah tidak sama di universiti. Bila kenakalan di sekolah macam taruk cicak, bagi surat cinta tu dilakonkan dalam konteks universiti- ia jadi lain. Malah remeh sangat. Bagi aku inilah kegagalan paling terbesar di dalam filem ini. Bagi mereka yang tak baca novel- pasti berasa hairan, apa setannya Kasyah ni?

Bagaimanapun, plot cerita seterusnya di mana Kasyah pergi sambung belajar, Ayu kahwin dengan Azmi, Ayu eksiden lalu menjadi Emilia, Katerina muncul menceriakan Kasyah dan Ayu meninggal ketika melahirkan anak digarap dengan baik. Pastinya kita tidak boleh nak expect semua benda yang ada dalam novel diselitkan pada setiap babak. Asalkan Twilight dan Harry Potter yang 500-600 ms pun ada kena potong-potong, inikan Lagenda Budak Setan yang tebal 900 muka surat.

Ketika filem ini tiba di penghujungnya, watak kasyah sebagai pencinta sejati mula terserlah. Dengan bermacam dugaan- dari dikecewakan Ayu, Ayu lupa ingatan hinggalah Ayu meninggal- Kasyah tetap berpegang pada cintanya. Inilah dia 'killer' di dalam novel Lagenda Budak Setan di mana seorang 'setan' menjadi pencinta setia. Aku rasa sentimen ini dirasai oleh kebanyakan penonton. Kalau ada pun aspek yang menyelamatkan filem ini tidak lain dan tidak bukan ianya penderitaan Kasyah.

Ada ramai yang mempertikai cerita Lagenda Budak Setan adalah jalan cerita cinta yang klise. Beritahu aku filem melayu mana yang watak perempuannya muka hancur, kena tukar muka dan kemudiannya hilang ingatan? Seingat aku juga tidak ada filem melayu yang heroinnya dipegang oleh 2 orang pelakon. Malah cerita mak ayah pegang syarikat besar juga tidak muncul. Dan aku sangat yakin mereka yang tidak baca novel pasti tidak menjangka kesudahan filem ini berakhir dengan Ayu mati. Bagi aku, pertikaian-pertikaian ini timbul pastilah kerana sekadar membaca sinopsis novel sahaja- let alone menonton filemnya.

*
Selepas selesai menonton Lagenda Budak Setan, aku tersenyum kegembiraan. Macam tidak percaya novel yang aku gilai ketika di zaman persekoahan sudah diangkat ke layar perak. Kasyah dan Ayu yang selama ini berdasarkan imaginasi aku telah dilakonkan oleh Farid Kamil dan Llisa Surihani. Kalau dulu tidak ada lagu tema, kini Lagenda Budak Setan sudah punyai lagu 'Bila Cinta'.

Beginilah perjalanan Lagenda Budak Setan. Aku amat yakin Katerina bakal menyusul.