Tuesday, May 5, 2009

Antara kereta dan perang


LEBIH 67000 MAUT NAHAS- Utusan Meloya

NUSAJAYA 4 Mei - Seramai 67,100 rakyat negara ini meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sejak 11 tahun lalu. Jumlah kematian tertinggi ialah pada tahun lalu iaitu melibatkan 6,527 orang.

US MILITARY DEATH IN IRAQ WAR AT 4284- Associated Press

As of Sunday, May 3, 2009, at least 4,284 members of the U.S. military had died in the Iraq war since it began in March 2003, according to an Associated Press count.

Cuba kita bertanya pada diri: mengapa kereta dicipta? Adakah ia sebagai alat untuk bergerak dari A ke B atau alat untuk membunuh?

Di Amerika, senjata tidak diharamkan walaupun begitu ramai sudah ditembak mati. Alasannya ialah- yang membunuh bukan pistol tetapi orang yang memegang pistol. Ini hujah bodoh. Kalau tiada pistol, macam mana orang nak pegang pistol.

Di Finland, senjata api telah diharamkan apabila berlaku pembunuhan 12 orang kerana ditembak mati. Alasannya mudah- alat membunuh wajib diharamkan dari orang ramai.

Berbalik kepada kereta: sudah lebih 70,000 orang mati di jalan. Angka ini macam menghantar askar pergi perang, malah lagi dashyat. Sudah tiba masanya untuk kita mengkaji kembali peranan dan penggunaan kereta di dalam hidup kita. Lagi-lagi di Malaysia yang mencatatkan kematian tertinggi di Malaysia.

Memang kereta diperlukan. Ini tidak dapat disangkal. Ibu yang sarat mengandung yang mahu bersalin perlukan kereta untuk bergegas ke hospital. Pekerja-pekerja sangat memerlukan kereta untuk pergi bekerja apatah lagi dalam keadaan hujan. Orang ramai perlukan kereta untuk cepat tiba di sesuatu destinasi jika berlaku kecemasan. Ini semua benar.

Yang perlu dikaji ialah kuantiti kereta yang bergerak di jalan raya. Adakah berbaloi setiap orang di muka bumi ini memiliki kereta? Adakah kesemua 27 juta rakyat Malaysia wajib mempunyai kereta? Mungkin ada yang berkata ia adalah hak dan kemampuan diri masing-masing. Tetapi adakah 'hak' ini masih dikatakan 'hak' walaupun beribu-ribu orang mati dan berlaku masalah alam sekitar yang serius?

Hanya ada satu teori dan solusi bagi penyelesaian ini: KURANGKAN PENGGUNAAN KERETA. Untuk mengharamkan terus kereta adalah kerja gila seperti mengharapkan seorang mak nyah mengandung. Jadi dengan mengurangkan kereta yang bergerak, ia akan mengurangkan kemalangan. Bila kurangnya kemalangan, kurang juga orang yang mati.

Di satu sisi yang lain, jalan-jalan raya juga tidak sesak. Tiada pencemaran bunyi. Tiada orang stress dan tertekan. Semua gembira. Kemudian, tiada asap yang bebas ke udara lantas meningkatkan kualiti udara. Harus diingat 70% asap yang berlingkar di udara datangnya dari ekzos kereta. 70% asap inilah yang memanaskan bumi. Tidak guna menutup lampu sejam di seluruh dunia jika 70% asap ini tidak dikurangkan.

Pun begitu, akan ada satu pihak yang rugi bila kereta dikurangkan. Dan pihak itu ialah syarikat pengeluar kereta. Toyota, GM, BMW, Proton pastinya akan membantah hebat cadangan ini. Tetapi situasi sekarang di mana syarikat-syarikat ini mula kerugian kerana krisis ekonomi wajib kita gunakan sebaik mungkin.

Strukturkan kembali penggunaan kereta di Malaysia. Susun kembali perkhidmatan awan di ibu kota. Koordinasi semula laluan bas, LRT dan teksi. Tanam pokok-pokok dan bina laluan pejalan kaki di bandar agar orang ramai redup untuk menapak. Kita boleh belajar daripada Singapura dalam hal ini. Jika malu, boleh ke Korea Selatan untuk menuntut ilmu.

Kemudian, yang paling penting ialah setiap keluarga wajib hanya diberi hak menggunakan satu kereta. SATU KELUARGA HANYA SATU KERETA. Tidak boleh dua tidak boleh tiga. Hanya dengan cara ini kita masih dapat berkereta dan pada masa yang sama mengurangkan pemilikan dan penggunaan kereta.

Ada berani?

Bagaimana berita tersebar di Malaysia


Sesiapa yang rajin membaca berita di surat-surat khabar di Malaysia- tidak kira arus perdana atau arus proton- pasti akan dapat mempelajari bagaimana sesuatu berita itu tersebar. Untuk memahaminya tidak susah.

Cuba kita perhatikan- mula-mula, akhbar akan sensasikan sesuatu berita itu. Sebagai permulaan, berita ini akan tersiar di muka-muka tengah akhbar. (untuk test market atau panas badan dulu). Selepas itu, keesokan harinya berita ini akan terpampang di muka depan. Untuk mengolah kebencian orang ramai, berita ini akan disertakan sekali statistik dan juga laporan kes-kes polis. Ini peringkat pertama.

Bagi peringkat kedua, akhbar akan mendapatkan pandangan daripada profesor-profesor bertali leher di IPT Malaysia. Selalunya profesor ini akan berhujah dan kelentong macam-macam kerana di akhirnya jawapan yang akan didengari ialah 'pengaruh budaya barat dan salah anak muda itu sendiri.' Tak habis-habis dengan budaya barat. Seolah-olah hanya barat yang bersalah-dan kita sahaja yang betul.

Seterusnya untuk peringkat ketiga, akhbar akan mendapatkan pandangan dari golongan beragama. Pakcik-pakcik yang berketayap akan memberikan pandangan mereka dari sudut agama pula. Di sini pelbagai dalil akan dikeluarkan- semuanya berkisar bagaimana berita atau gejala ini akan membawa kepada neraka. Di akhirnya kita juga tidak akan dapat mendengar sebarang penyelesaian.

Untuk peringkat terakhir iaitu peringkat paling kelakar- akhbar ini akan menemui ahli-ahli politik ataupun menteri-menteri. Dan macam biasa, menteri dan ahli politik ini akan meloncat-loncat bercakap bagaimana 'tiga langkah untu menangani masalah...' dan 'kita perlu bersatu dalam menghadapai masalah ini....' Kononnya menteri ini akan dilihat sebagai pembela dan penyelesaian dalam gejala ini. Hairan, selepas itu berita tentang gejala ini akan terus senyap. Diam. Sepi sekelip mata. Betul-betul macam magik.

Noktah sebentar. Apa maknanya semua ini? Sebelum kita memahami mengapa berita tentang gejala ini disiarkan, sila baca berita-berita di bawah untuk kita fahami bagaimana sesuatu berita tersebar.

BENDUNG GEJALA MAT REMPIT- Utusan Meloya (dijumpai di ms 12 pada 3/5/09)

KUALA LUMPUR 3 Mei — Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mahukan Akta Pengangkutan Jalan dipinda bagi membendung gelaja “mat rempit” dan perlumbaan motosikal haram.

500 MAT REMPIT DIPERIKSA- Utusan Meloya (tersepak di muka depan pada 4/5/09)

KUALA LUMPUR 3 Mei – Bagi membanteras gejala lumba haram di ibu negara, polis trafik telah melancarkan operasi besar-besaran dengan lebih 500 mat rempit diperiksa di Dataran Merdeka, di sini malam tadi.


MAT REMPIT BERLELUASA- Utusan Meloya (dikutip pada 5/5/2009 di muka depan)

KUALA LUMPUR 4 Mei – Memeranjatkan! Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof memberitahu dalam tempoh dua hari, sebanyak 3,011 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya telah dikeluarkan dan daripada jumlah itu sebanyak 45 peratus kesalahan kerana tidak memiliki lesen dan cukai jalan.


MATI DIPUKUL MAT REMPIT- Utusan Meloya (terserempak pada 5/5/09 di muka tengah)

KUANTAN 4 Mei - Hasrat seorang lelaki untuk menjadi seorang mekanik tidak kesampaian apabila dia dipukul hingga mati oleh sekumpulan mat rempit ketika berehat di sebuah taman rekreasi di sini awal pagi Khamis lalu.

GEJALA MAT REMPIT KIAN BERLELUASA- Utusan Meloya (terlanggar di muka tengah)

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, kegiatan tersebut bukan baru dan kegagalan menanganinya disebabkan oleh sikap masyarakat itu sendiri yang terpengaruh dengan budaya barat yang gemarkan kebebasan ekstrim.

Sudah nampak bagaimana berita tersebar? Sudah faham? Esok, pasti berita tentang pandangan golongan beragama dan ahli politik akan keluar. Hanya tunggu dan lihat......