Tuesday, August 11, 2009

Satu pandangan dari anak muda


Kita sedang menuju ke arah pencerahan.

Pada hari ahad yang lepas, saya telah turun ke Central Market untuk cakap-cakap blogger. Ini adalah kali pertama saya bertemu dengan rakan-rakan blogger dan juga para pembaca. Sejujurnya saya amat gembira dengan perjumpaan itu. Bagi saya bukan senang untuk anak-anak muda berkumpul bersama dan duduk semeja di kedai mamak untuk berbincang mengenai isu-isu berat seperti politik, ekonomi dan juga sosial. (sebenarnya tak berat pun. Pemikiran kita je yang menganggap benda-benda ni berat.) Selalunya, anak-anak muda lebih gemar bercakap tentang awek, jantan, bola dan fesyen. Tetapi kini tidak lagi. Saya silap.

Anak-anak muda atau generasi saya sudah bangun. Mereka tidak lagi dijajah dengan pemikiran mastika, URTV, mangga, Metro, dan Panca Indera. Sebaliknya mereka lebih teruja membincangkang mengenai kapitalisme, sosialisme, perpaduan Malaysia, demokrasi dan perlembagaan. Mereka mempunyai rasa ambil berat terhadap apa yang berlaku di dalam negara kita. Mereka mengkritik kerajaan dan pembangkang bukan kerana hobi. Jauh sekali ingin mendapatkan kontrak kerajaan bina jambatan. Mereka mengkritik dan mempersoal kerana mereka sayangkan negara ini. Mereka tahu- suatu hari nanti negara ini adalah milik mereka. Milik anak muda. Mereka tidak mahu orang-orang tua yang memerintah dan membuat dasar pada hari ini meninggalkan negara ini kepada mereka sebagai negara yang kacau bilai, mundur dan gagal.

Oleh itu, mereka telah memerah keringat berfikir dan berbincang mencari idea-idea untuk menjadikan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik. Mungkin idea mereka mengarut. Mungkin cadangan mereka dilihat seperti keanak-anakan. Tetapi inilah yang dinamakan kemudaan. Muda beerti berani membuat silap. Berani untuk gagal. Setidak-tidaknya Ini lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa.

Bagi saya, inilah fenomena anak muda sekarang. Walaupun masih tidak ramai anak muda sebegini, tetapi saya amat yakin jumlahnya semakin berkembang. Buktinya- lihat sahaja bllog-blog yang muncul sekarang. Kebanyakan blog-blog yang muncul datang dari golongan muda. Dan tulisan-tulisan mereka juga ada yang 'berhantu'. Siapa yang kata rakyat Malaysia tidak mampu berfikir?

Blog telah merubah segalanya. Terima kasih kepada Ronald Reagen yang membuka internet kepada dunia. Dan juga kepada pakcik blogspot. Tanpa anda, anak muda di Malaysia pasti akan terus terbuai dengan berita-berita bodoh Utusan Meloya. Tanpa anda, generasi muda kita tidak akan punyai medium untuk bersuara. Tanpa anda, pandangan anak-anak muda tidak dapat didengari.

Berbalik kepada perjumpaan tadi- begitu banyak perkara yang dibincangkan. Daripada topik santai seperti bola sepak hinggalah kepada topik serius seperti sistem ekonomi. Semuanya kami bincang. Tak ada istilah isu sensitif. Nak cakap apa- cakaplah. Setiap orang mempunyai pandangan masing-masing. Ada yang bersetuju, ada yang membantah. Tidak semua benda kami sependapat. Namun di akhirnya kami akan memperbaiki pandangan masing-masing. Inilah adat berdiskusi. Tidak semua pandangan kita betul. Yang mana salah, kita betulkan. Yang mana betul, kita pertahankan.

Saya begitu gembira dengan perjumpaan tempoh hari. Ia merupakan medium untuk saya menyuarakan pendapat saya. Dan juga ada insan yang ingin mendengarinya. Nak mengharapkan pandangan saya didengari oleh mereka yang berkuasa? Hmmm...samalah seperti mengharapkan Nurul izzah menjadi kakak saya.

Kita perlu membudayakan budaya berdiskusi. Lagi ramai lagi bagus. Lagi meriah lagi hebat. Biarlah kita memulakan budaya baru ini di dalam masyarakat kita. Sudah tiba masnaya kita menghentikan budaya benci-membenci. Sensitif-mengsensitif. Hanya dengan berdiskusi kita dapat atasi segala perbezaan yang wujud. Hanya dengan berdiskusi kita akan lebih memahami. Hanya dengan cara ini- barulah kita dapat membawa kepada perubahan. Setidak-tidaknya kepada mentaliti dan pemikiran kita.

Saya amat pasti cakap-cakap blogger akan diadakan lagi pada masa akan datang. Saya yakin para pembaca juga teruja untuk kita berkumpul dan berbincang bersama. Jangan risau. Cakap-cakap blogger akan berlangsung lagi!

Masih tidak percaya kita sedang menuju ke arah pencerahan?