Monday, June 1, 2009

Akhbar Melayu dan Akhbar Inggeris


Projek membodohkan melayu masih lagi diteruskan. Sila perhatikan di sekeliling kita, bermacam cara digunakan untuk memastikan akal orang melayu tidak berkembang dan jumud. Daripada hal politik hinggalah kepada cerita sosial. Semuanya diolah oleh media bagi membonsaikan fikrah melayu. Saya tidak pasti adakah ini usaha terancang atau perbuatan tidak sengaja.

Bagi mengesan usaha membodohkan minda melayu ini tidak susah. Kita hanya perlukan modal RM5 atau modem broadband untuk mengakses internet. Sila baca akhbar Utusan Meloya, Harian Metro. (Kalau tak tahan nak habiskan bacaan, sila sediakan plastik di sebelah takut termuntah). Langkah seterusnya, sila baca pula akhbar The Star dan NST. Sudah selesai, banding bezakan kandungan berita antara akhbar melayu dan inggeris itu.

Jika kita rajin menganalisis dan berfikir, kita akan dapati perbezaan utama ialah jenis berita yang dimasukkan. Di akhbar melayu, unsur-unsur tahyul dan seks begitu berleluasa. Lihat sahajalah tajuk utama Harian Metro dan Kosmo. Selalu sangat ditulis berita-berita seperti 'Jeritan Maut', 'Mangsa berkelakuan aneh sebelum kejadian', 'Siswi sanggup berbogel', 'Puja syaitan amalan remaja' dan bermacam lagi berita murahan seperti ini. Yang hairannya, akhbar metro adalah akhbar terlaris Malaysia!

Nota tambahan: majalah Mastika adalah majalah terlaris Malaysia. Mastika cerita pasal apa ek?

DI akhbar Utusan dan Berita Hairan pula, mereka akan memainkan isu perkauman dan agama. (baca Melayu dan Islam). Jadi, adalah perkara biasa ulasan dan rencana mengenai kedudukan bahasa, hak istimewa, kuasa politik melayu disiarkan dengan begitu hebat. Yang kelakarnya, rencana-rencana tidak ditulis pula nama penulisnya. Betul-betul tiada kredibiliti. Ada pula yang menyorok dengan 'bisik-bisik awang selamat' bagi menghasut.

Berita di akhbar melayu juga tidak 'panjang' dan analitikal. Sekadar menyiarkan berita tangkap muat yang pendek-pendek. Jarang kita mendapat pandangan kedua dan ketiga. Kemudian akhbar melayu sangat segan dan pemalu menyiarkan berita-berita ekonomi. Ruangan ekonomi sangat-sangat nipis. Seolah-olah ekonomi bukan perkara penting dalam kehidupan. Apa yang penting ialah akhbar sisipan khas hari ahad yang menyiarkan gosip-gosip murahan Mama Juwie dan Kak Pora.

Mengapa akhbar melayu begini? Adakah kerana orang melayu sendiri yang gemarkan bahan bacaan picisan seperti hiburan dan tahyul? Saya kira tidak. Orang melayu terutama anak-anak muda semakin kritikal pemikirannya. Lihat sahajalah kemunculan blog-blog anak muda yang mempunyai pemikiran-pemikiran jauh ke hadapan melangkaui unsur tahyul orang tua di akhbar.

Tetapi alasan akhbar- mereka menulis perkara-perkara mengarut ini kerana kehendak pembaca. Mereka menjual berita yang orang ramai mahukan. Bukan apa yang orang ramai perlukan. Jadi dalam hal ini siapa yang perlu berubah dahulu? Akhbar atau orang melayu? Saya kira akhbar yang patut berubah. Sampai bila lagi akhbar melayu terus diperlekehkan dengan akhbar inggeris?

Noktah sebentar: apa pula kandungan akhbar Inggeris? Siapa yang tidak tahu nampak sangat masih lagi membaca Harian Metro. Hahahaha