Thursday, April 23, 2009

Bukan politik: Cerita dulu-dulu


Begitu lama dahulu ketika saya tinggal di rumah papan. Waktu itu sangat indah. Kami tidak punyai banyak, tetapi kami bahagia. Bahagia dengan cara kami dalam merayakan cuti sebagai kanak-kanak. Zaman itu- zaman yang telah berlaku- zaman yang telah diambil masa.

Bila cuti sekolah sampai, saya paling teruja. Inilah masa untuk meroka yang baru dan meraikan yang lama. Bukan sebagai kanak-kanak yang baik tetapi budak yang nakal.

Ketika itu tiada istilah menonton wayang di Mid Valley. Malah Mid Valley ketika itu pun hanyalah perkampungan melayu setinggan. Jadi yang menjadi aktiviti kami ialah permainan kampung yang percuma. Ini sahaja yang kami mampu. Tetapi semuanya indah.

Ketika bercuti, ada harinya kami akan bermain polis entry. Ada hari kami bermain nyorok-nyorok. Dan ada hari kami berpusing-pusing ke tempat baru menaiki basikal. Segalanya terisi. Tidak pernah ada hari kami kebosanan duduk di rumah. Malah ibu bapa kami naik risau dan memarahi kami kerana asyik merayap dan bermain panas.

Saya masih ingat ketika itu, di rumah atuk saya ada kolah yang cukup besar. Kolah ini seperti yang ada di surau untuk mengambil wuduk. Apabila sesudah berpanas dan berpeluh, kami akan terjun ke dalamnya. Selalunya kami tidak tertangkap, tetapi ada sekali kami terkantoi dan hukumannya kami dirotan dan direndam. Sungguhpun begitu kami tidak pernah serik.

Jika kami lapar, kami akan ke gerai Tok Bakar. Kami akan memesan air cincau. Sehingga sekarang saya masih ingat kemanisan air cincau 50 sen itu. Selalunya kami akan mendapat pisang goreng percuma dari Tok Bakar. Beliau seperti atuk kami. Dan sebagai balasan, kami akan menolong menolak gerainya ke rumah.

Ini terlalu lama dahulu, di saat kejiranan masih menebal di kalangan penduduk.

Paling seronok ketika waktu berangin kencang. Kami akan bergegas balik ke rumah untuk mengambil surat khabar lama. Penyapu lidi di rumah juga akan diambil lidinya. Semua ini adalah untuk membuat layang-layang. Seperti mana adegan dalam filem mukhsin, begitulah cara kami menaikkan layang-layang tersebut. Jarang sekali layang-layang kami dapat naik ke atas.

Apabila hari hujan, kami tidak menjadi budak baik yang duduk di rumah. Kami akan keluar dan mandi beramai-ramai. Padang bola menjadi kolam kami. Dan hujan pula ialah mandian untuk kami daripada Tuhan. Waktu pulang, seperti biasa telinga kami akan dipulas. Silap-silap pintu dikunci tanda didenda. Ketika ini kami akan menangis tanda merayu simpati.

Waktu malam, kami terus bermain. Memang ibu bapa melarang kami keluar. Tetapi kami bijak berhelah. Kami berpura-pura mahu ke surau. Tetapi saya yakin pastilah Yang Maha Esa mengetahu niat kami untuk merayakan zaman kanak-kanak.

Di bawah lampu neon, kami akan bermain guli dan gasing. Sesekali kami bermain tuju selipar. Bila bermain, pasti ada yang menang, ada yang kalah. Hasilnya akan berlaku pergaduhan. Tetapi pergaduhan itu merapatkan kami. Malah gaduh itu juga menguji sifat kejantanan kami. Tidak pernah kami bergaduh kemudian mengadu kepada ibu bapa.

Inilah budaya kemeriahan cuti sekolah ketika itu.

Kini, zaman dan waktu itu telah dicuri oleh kemodenan. Rumah telah menjadi penjara untuk budak-budak. Bermain di luar rumah cukup berisiko. Layang-layang telah bertukar dengan internet. Gasing dan guli diganti dengan PlayStation. Mandi hujan telah berubah kepada menonton wayang. Semuanya hampir tiada.

Saya hanya mampu tersenyum apabila mendengar adik-adik saya merungut kebosanan ketika cuti sekolah ini. Sungguh, mereka tidak akan dapat menikmati apa yang berlaku di zaman saya.

Ps: Saya baru habis cuti. Sudah mula sibuk.