Monday, September 14, 2009

Sosialis dan Demokrasi


Memahami Sosialis

Sosialis seperti mana sistem ekonomi yang lain, merupakan satu bentuk social engineering. Dalam erti kata yang lain sosialis cuba menyelesaikan masalah-masalah sosial melalui dasar-dasar ekonominya. Masalah seperti kemiskinan, jenayah dan kesihatan akan diatasi dengam menyelesaikan masalah ekonomi dahulu. Caranya ialah dengan menyusun kembali masyarakat berasaskan pengagihan kekayaan ekonomi dengan adil dan saksama.

Dalam mengagihkan kekayaan ekonomi, perkara utama yang wajib dilakukan ialah mengumpul dan memilik negarakan segala macam sumber kekayaan. Syarikat minyak jadi milik negara. Syarikat air, letrik, telefon jadi hak negara. Jalan raya milik kerajaan. Kayu balak kerajaan punya. Senang cakap, kerajaan akan memegang semua punca ekonomi. Bila kerajaan dah memegang semua kekayaan ini, barulah pengagihan boleh dilakukan.

Untuk memastikan hal pemilikan negara ini berjaya, undang-undang akan digubal dan dilaksanakan. Jika masih tidak berjaya, kadang-kadang kekerasan akan digunakan. Ini ialah secara asasnya bagaimana sosialis bergerak dan berjalan.

Noktah sebentar. Tulisan ini bukan bertujuan untuk mempersoalkan sama ada sosialis adalah sistem yang bagus mahupun tidak. Pertama kerana bagus atau tidak adalah subjektif. Bagus kepada orang ramai tidak semestinya bagus kepada kerajaan dan pelabur. Kedua kerana sesuatu sistem itu boleh jadi bagus pada mulanya dan merosakkan pada akhirnya. Dan ini pun yang berlaku dalam sistem kapitalis sekarang. Dulu bagus sekarang tidak.

Apa yang saya ingin cuba timbulkan ialah bagaimana dalam melaksanakan sistem sosialis kita memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar kuat. Tidak semestinya bersifat autokratik atau totalitarian. (woit, pemerintahan kuku besi dan diktator la). Tetapi paling tidak pun mesti kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang yang kuat. Dalam bahasa mudah, kerajaan yang tidak begitu mengamalkan demokrasi. Ada tapi tak banyak.

Mungkin ada yang bermimpi mengharapkan sosialis diamalkan oleh kerajaan yang demokratik. Lagi teruk ada yang berdoa agar sosialis diterapkan oleh sistem dua parti. Bagi saya ini terlalu idealistik. Demokrasi tulen dan sosialis tidak boleh jalan seiring. Tidak boleh disatukan. Ini samalah seperti Mahathir dan Anwar. Tak akan boleh bersama dan duduk semeja. Buatlah macam mana pun, doa lah kuat mana pun- sosialis dan demokrasi tulen tetap tak akan berjalan sekali.

Kalau tidak percaya sila perhatikan negara-negara seperti Iran, Cuba, Venezuela, Korea Utara, China, dan Bolivia. Ada yang pemerintahannya bercorak kuku besi, ada yang pemerintahan tentera, ada yang berAyatollah. Mungkin ada yang menjalankan pilihan raya tetapi ia masih belum cukup demokratik. Di akhirnya kita dapat lihat kesemua contoh negara ini memberikan gambaran bahawa tidak ada demokrasi tulen yang diterapkan di sebalik hakikat mereka ialah negara sosialis.

Para penyokong sosialis mungkin akan mendakwa negara-negara ini tidak mengamalkan sistem sosialis yang sebenar. Mereka akan berselindung di sebalik hujah 'itu Castro-ism, Ayatollah-ism dan Chavez-ism. Bukannya sosialis.' Mungkin mereka benar...... Mungkin?

Mereka perlu menyedari hakikat bahawa sistem sosialis sukar dilaksanakan jika demokrasi diamalkan. Mereka perlu lihat untuk menggubal undang-undang yang anti-kapitalis, perlu dilakukan dengan suara majoriti yang besar. Ini bermakna tidak boleh ada tentangan daripada pembangkang. Jika tidak.... jika pembangkang yang ada sama kuat seperti kerajaan, undang-undang tidak akan dapat digubal.

Ini pun yang berlaku di Amerika apabila Obama cuba melakukan reformasi dalam bidang kesihatan. Pelan kesihatannya yang menentang kapitalis kesihatan Amerika telah ditolak. Kerana apa? Kerana ada pembangkang yang kuat. Dan untuk perhatian Amerika ialah negara sistem dua parti. Nampak- bukannya tak nak diwujudkan demokrasi dalam sosialis, tetapi tak boleh.

Mereka juga perlu menyedari untuk merampas kekayaan kapitalis, kadangkala kekerasan perlu digunakan. Kekerasan seperti tindakan kerajaan menggunakan tentera, polis, dan mahkamah adalah perlu. Jika tidak bagaimana dasar sosialis ingin dilaksanakan? Dan tindakan kekerasan ini pastilah bukan demokratik. Nampak- sekali lagi demokrasi tidak boleh diwujudkan dalam sosialis.

Di akhirnya saya telah terangkan bagaimana sifat sosialis yang tidak membenarkan demokrasi hidup. Sama ada ia perkara yang bagus atau tidak- itu perkara lain. Apa yang pasti selagi ada demokrasi, selagi itu ada pilihan. Dan selagi ada pilihan selagi itulah kapitalis akan wujud. Mahu tidak mahu jika sosialis mahu berjaya pastilah bukan dengan demokrasi.

Sosialis dan demokrasi- boleh bercinta tetapi tidak boleh berkahwin.


Segala komen dan pandangan amatlah diperlukan dan dihargai.