Thursday, May 7, 2009

Mentaliti rakyat-rakyat negaraku


Memiliki fahaman politik tidak salah. Memilih menjadi geng berbaris atau geng berpakat juga tidak dilarang. Ini semua adalah hak setiap insan. Malah hak ini wajib dibenarkan untuk terus bergerak bebas.

Noktah sebentar. Tetapi dalam memiliki fahaman politik, kita juga harus mempunyai satu sikap yang jujur dalam menilai segala tindakan yang dilakukan oleh ahli-ahli dan juga parti-parti politik. Sikap jujur ini bermakna kita menyokong perkara itu jika benar dan menolak perkara itu jika salah. Penilaian kita dalam menyokong dan menolak tidak perlu disandarkan kepada tuan empunya badan yang bercakap atau parti politik apa yang disertainya.

Dalam bahasa mudahnya begini: tidak semua apa yang Barisan Nasional lakukan itu salah dan tidak semua apa yang diucapkan Pakatan itu benar. Setiap pihak pastinya ada yang betul dan ada yang salah.

Tetapi apa yang diperhatikan, masih ramai di antara kita yang mempunyai mentaliti sempit, tidak bebas dan tertutup. Mereka ini kebanyakannya merupakan ahli mana-mana parti politik. Dan mereka sangat taksub dan menjadi 'buta' dengan fahaman serta ideologi parti politik itu.

Untuk kita lihat perkara ini tidak susah, sila ambil contoh Najib, Mahathir dan Anwar. Penyokong Pakatan akan mengatakan apa yang diucapkan oleh Najib dan Mahathir sebagai salah, tidak benar, zalim, altantuya, mukhriz, dan rosmah. Hal yang sama turut terjadi untuk penyokong BN. Apa yang Anwar katakan akan dianggap petualang, pengkhianat, sodomi, boneka dan ejen barat.

Mengapa kita perlu menilai sesuatu itu berdasarkan personalitinya? Bagaimana kalau Najib menghapuskan ISA? Adakah kita masih mengatakan dirinya jahat dan segala macam hanya kerana dirinya Presiden UMNO? Bagaimana pula jika Anwar menjadikan pinjaman PTPTN sebagai biasiswa? Adakah penyokong BN masih ingin mengatakan Anwar sebagai pengkhianat melayu hanya kerana beliau bukan UMNO?

Sudah tiba masanya kita membetulkan mentaliti dalam kepala. Kita wajib menolak apa yang salah dan menyokong apa yang betul. Siapa empunya badan yang lakukan itu tidak penting. Betul dan salah boleh terjadi di dalam kedua belah pihak. Untuk percubaan, sila baca dua berita di bawah dan sila tinggalkan komen untuk kita sama-sama berdiskusi. Terima Kasih.

KERAJAAN BELI SABAH MEDICAL CENTRE- Utusan Meloya

KOTA KINABALU 5 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembelian Pusat Perubatan Sabah (SMC) bagi mengatasi masalah kesesakan di Hospital Queen Elizabeth (QEH).
"Kita luluskan pembelian SMC oleh Kementerian Kesihatan dengan harga yang wajar iaitu lebih kurang RM245 juta," katanya ketika berucap.

MB HANYA BOLEH DISINGKIRKAN MELALUI UNDI TIDAK PERCAYA- mStar

PUTRAJAYA:
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa seorang Raja tidak mempunyai hak untuk memecat seorang ketua kerajaan.

Jelas beliau, " Sultan boleh melantik Menteri Besar tetapi tak boleh pecat kecuali ada undi tak percaya terhadap menteri besar tersebut," katanya pada sidang media.