Tuesday, June 9, 2009

Kisah kenduri kahwin kampung


Pada minggu lepas saya telah menghadiri kenduri kahwin di sebuah kampung. Pada mulanya saya agak keberatan untuk pergi ke sana memandangkan kampung itu terletak agak jauh daripada rumah saya. Namun daripada saya terperangkap kebosanan keseorangan di rumah, lebih baik saya berjalan-jalan makan percuma di kenduri. Untung-untung dapat berkenalan dengan gadis-gadis desa.

Seawalnya saya tiba di sana, hati saya berasa sungguh seronok dengan suasana kenduri itu. Sudah begitu lama saya tidak merasakan kenduri (apa-apa kenduri pun) yang mempunyai 'jiwa' di dalamnya. Kebanyakan kenduri yang saya hadiri kebanyakannya 'kosong'. Nampaknya saya telah membuat satu keputusan yang tepat. Mengapa saya berkata demikian?

Jika sesiapa yang biasa dengan kenduri kahwin yang diadakan di kampung, pasti sedar akan meresapnya budaya gotong royong. Sifat kerjasama ini adalah perkara asas kepada mana-mana kenduri. Gilang gemilangnya sesuatu majlis itu bukan terletak pada wang ringgit yang ditaburkan tetapi kepada semangat kebersamaan yang menebal. Dan perkara inilah yang saya saksikan sendiri dengan mata kepala.

Untuk melihat perkara ini tidaklah susah. Kita hanya perlu rajin-rajinkan diri menjenguk ke belakang rumah atau ke dalam rumah. Sesekali ringankan mulut untuk bersembang. Kalau sekadar duduk di meja kenduri, makan nasi dan balik ke rumah- sampai Hadi Awang jadi PM pun tak akan dapat lihat.

Saya perhatikan di belakang rumah- ada khemah yang didirikan. Di sinilah kaum-kaum ibu/wanita akan menyediakan bahan asas masakan. Bawang dihiris. Ikan disiang. Sayur dipotong. Sambil bekerja sambil memangku anak kecil. Sambil bekerja sambil bersembang. Sambil bekerja sambil bergelak tawa.

Jalan ke tepi - ada pula pot orang lelaki. Pot ini di bawah pohon-pohon yang rimbun. Di pot inilah kayu arang dinyalakan. Di atasnya tersebar sebesar-besar kuali, periuk, dan belanga. Kelihatan anak-anak muda jantan akan mengacau masakan. Mungkin kerana kudrat orang muda yang masih kuat. Pakcik-pakcik veteran pula akan memantau dari tepi jika ada salah silap. Sesekali asap rokok dinyalakan. Sesekali bunyi siulan mengorat gadis-gadis yang lalu lalang. Sesekali ada yang curi tulang.

Jenguk ke depan pula- anak-anak kecil turut membantu. Mereka ini adalah tenaga penting dalam menghidupkan suasana kenduri. Mereka akan menjerit, menangis, bermain, dan berlari ke keliling rumah. Tanpa mereka, kenduri akan gagal. Lesu.

Ini baru sedikit yang saya ceritakan. Itu tidak termasuk orang-orang kampung yang melapah daging, yang membancuh sirap, yang mengemas meja, yang menghias pelamin, yang menyiapkan hantaran, yang membasuh pinggan mangkuk, yang menyedok nasi, yang menyusun kerusi meja, yang menghantar makanan, yang itu yang ini- yang semuanya dilakukan bersama.

Lihat betapa indahnya semangat kerjasama yang wujud. Semangat yang saya kira semakin menghilang pada masa sekarang.

Berapa lama lagi semangat ini mampu bertahan? Entahlah...............

Soalan untuk PAS

Pasal isu kerajaan perpaduan. Basuh Baju ada beberapa soalan mudah.

1- Kenapa sekarang? Kenapa bukan sebelum 8 Mac 2008?

2- Untuk apa kerajaan perpaduan ini? Untuk siapa?

3- Perpaduan dari segi apa? Orang melayu atau rakyat Malaysia?

4- Kalau perpaduan untuk negara, mengapa PKR dan DAP tidak disertakan sekali?

5- Bukankah PAS adalah parti paling sedikit kerusi di kalangan Pakatan Rakyat. Mengapa PAS?

6- PAS- parti Islam untuk semua atau PAS- parti untuk melayu?

Budaya Bodek yang Tak Ada Makna


Cuba perhatikan iklan-iklan di akhbar sekarang. Kita akan perhatikan budaya membodek yang cukup hebat dan tersusun. Budaya ini tersorok di sebalik foto-foto warna warni yang telah diphotoshop. Budaya ini bukanlah datang daripada susuk politikus tetapi datang daripada syarikat-syarikat besar di Malaysia.

Semenjak konsep 1Malaysia diperkenalkan, berlumba-lumba syarikat-syarikat ini membodek PM baru kita (atau Ketua Kampung menurut Nami). Cara terbaik untuk membodek ialah dengan meletakkan iklan syarikat mereka dengan terpampang konsep 1Malaysia di moto syarikat mereka. Sekali pandang budaya ini macam beruk meniru beruk. Bila satu syarikat ini buat, syarikat lain turut terangsang untuk meng'1Malaysia'kan syarikat mereka. Ini perkara bodoh dan bangang.

Jangan mudah tertipu dengan budaya bodek ini. Syarikat-syarikat ini bukanlah ikhlas atau bermurah hati secara tiba-tiba meng'1Malaysia'kan syarikat mereka. Mereka hanya ingin dilihat sebagai syarikat yang menyokong PM. Dengan cara ini mereka akan diberi keutamaan dalam mendapat kontrak kerajaan. Lihat betapa kuasa ekonomi jugalah yang menjadi tujuan dan matlamat.

Tak ada maknanya syarikat-syarikat ini meng'1Malaysia'kan imej mereka kalau pekerja-pekerja terus ditindas. Tak ada maknanya 1Malaysia kalau gaji minum masih lagi tidak diperkenalkan. Tak ada maknanya 1Malaysia kalau pekerja terus susah dan pemodal terus kaya. Semua ini tak ada makna.

Nota: Maybank, Pos Malaysia, Mas, TM- semuanya syarikat-syarikat besar yang telah mengeluarkan iklan syarikat mereka yang telah disunatkan dengan pisau 1Malaysia.

Berita yang dinanti-nantikan!

Diana akhiri PLKN- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 8 Jun - Pelakon remaja popular, Diana Danielle yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), menamatkan sesi latihannya petang semalam.

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Beeson, 18, menjalani program tersebut di Kem Princess Haliza, Sepang selama tiga bulan sejak pertengahan Mac lalu.

So?????