Tuesday, May 18, 2010

Demokrasi Pintu Belakang

DARI ARKIB BERITA..............

Kerajaan Krygyztan Tumbang


BISHKEK 8 April – Pembangkang mengambil alih kerajaan di Kyrgyzstan dan mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini, selepas pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan yang mengakibatkan 75 orang maut di negara bekas Kesatuan Soviet ini.

Baju Merah Cetus Korban Berdarah


BANGKOK 11 April - Penunjuk perasaan antikerajaan hari ini mempertahankan kedudukan mereka di serata Bangkok dan menolak rundingan dengan kerajaan, selepas konfrontasi selama sebulan mencetuskan pertempuran yang meragut 21 nyawa dalam keganasan politik terburuk di Thailand sejak hampir dua dekad lalu.


*
Salah satu fungsi demokrasi ialah menubuhkan kerajaan melalui pilihanraya. Walaupun demokrasi bukanlah berkisar mengenai pilihanraya semata-mata namun pilihanraya adalah satu-satunya cara bagi orang ramai memilih kerajaan secara sah dan mengikut undang-undang.

Memang benar di dalam proses pilihanraya kita selalu mendengar ketidakadilan berlaku. Apatah lagi jika pilihanraya tersebut diadakan di negara-negara membangun seperti Malaysia. Tetapi ini tidak bermakna pilihanraya tidak diperlukan dalam memilih kerajaan. Kita perlu pilihanraya.

Ada yang berpendapat buat apa dijalankan pilihanraya. Kita patut pilih cara pilhan jalan raya. Cara ini lebih demokratik. Lebih melibatkan suara orang ramai.

Jika dilihat cara ini memang selari dengan garisan demokrasi. Ditambah lagi tidak ada undang-undang yang melarangnya.

Tetapi sila baca dua berita di atas- satu di Krygyztan dan satu di Thailand. Keduanya telah mengorbankan puluhan nyawa rakyat. (Malah ratusan nyawa jika diambil angka tidak rasmi).

Lebih teruk, bukan sahaja cara yang demokratik ini mengorbankan nyawa, tetapi ia tidak berkesudahan.

Di Krygyztan, ia bermula dengan Revolusi Tulip. Presiden mereka telah digulingkan melalui jalanraya. Kerajaan baru dipilih. Tetapi selepas itu muncul pula beberapa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan yang baru dengan menggunakan pilihan jalan raya juga. Sudah tentu ada nyawa yang terkorban. Keadaan di dalam negara tidak stabil.

Di Thailand, rakyatnya menjatuhkan Thaksin Shinawatra pada tahun 2006 atas alasan korup. Namun apa yang terjadi kemudiannya adalah drama baju kuning dan baju merah. 3 perdana menteri baru silih berganti namun ia masih tidak berkesudahan. Keadaan di dalam negara tidak stabil.

Di Malaysia, kita pernah dihiburkan dengan drama 16 September. Kononnya kerajaan baru bakal ditubuhkan dengan melompat parti.

Sememangnya melompat parti tidak sama dengan pilihan jalanraya. Tetapi keduanya adalah demokrasi pintu belakang.

Menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang sememangnya demokratik. Tetapi ia menjadikan kerajaan yang baru sebagai tidak legitimate. Kerajaan yang diangkat melalui pintu belakang tidak akan berjaya membawa kestabilan politik. Politik jatuh menjatuhkan akan terus dimainkan dari satu pihak ke satu pihak.
Kesejahteraan rakyat semakin diabaikan. Sementara itu pelabur akan lari. Syarikat ditutup dan pekerja dibuang. Pelancong lari dan imej negara menjadi buruk di mata dunia.

Ini ibarat satu vicious cycle yang tidak henti. You play by the sword, you die by the sword.

Di sinilah betapa pentingnya pilihanraya. Dengan cara ini sahajalah kerajaan yang sah dapat dipilih. Lebih penting, kestabilan politik mampu dikekalkan dan negara dapat ditadbir dengan lancar

Kita mungkin tidak setuju cara pilihanraya dijalankan. Tetapi yang perlu diubah ialah caranya bukan menolak sistem pilihanraya. Samalah seperti membenci seorang muslim yang cuba menjadi polis moral. Yang perlu ditolak ialah muslim tersebut bukannya agama Islam.

Daripada kedua contoh yang saya telah berikan, sila bayangkan pula sekiranya demokrasi pintu belakang Anwar Ibrahim berlaku di Malaysia. Mungkin kita akan ke kedai mencari baju kuning atau baju merah?



ps: yang perlu diulas ialah mengenai demokrasi. Bukan soal Anwar atau Mahathir lagi. Bebaskan diri dari kepompong dua tokoh ini. Kita perlu berbincang beyond that.