Wednesday, September 30, 2009

Kisah Langkawi- 1

PERMULAAN

Minggu lepas, saya ke Langkawi. Tujuan utama saya ke pulau lagenda ini bukannya untuk mencari keturunan Mahsuri. Jauh sekali untuk memborong cokelat murah. Sebaliknya saya ke sana untuk menilai dan mengkaji era pemerintahan Tun Dr Mahathir.

Langkawi- seperti mana yang kita tahu adalah idea Dr Mahathir selain daripada F1,KLCC, Putrajaya dan PLUS. Jadi untuk mengkaji Dr Mahathir, wajib pergi ke Langkawi. Kalau tak, separuh masaklah kajian itu. Macam pergi ke Terengganu tapi tak makan keropok lekor. Macam datang ke Selayang tapi tak lalu pasar borong. Ibarat MIC dan Samy, begitulah Dr Mahathir dan Langkawi. Keduanya sangat berkaitan.

Ops, sebelum saya berkisah, jangan salah faham- saya bukanlah penyokong kuat Dr Mahathir yang akan memberi komen "salam ayahanda" di blog Che Det. Saya hanyalah anak muda yang mencari jawapan kepada persoalan. Dan persoalan saya berkisar kepada Perdana Menteri kita yang keempat ini. Itu sahaja. Tidak ada bodek. Tidak ada kontrak. Yang ada hanyalah pandangan.


*********************************************************************************
Hari pertama- saya menginap di Pantai Cenang. Kawasan yang paling 'remaja' di Langkawi. Meriah dan hidup. Tidak seperti di Kuah dan Padang Matsirat- yang sudah sunyi sepi menjelang malam. Disebabkan kaki sudah lenguh menapak, saya ke pusat spa tradisional. Sebelum ada pembaca yang berbicara mengenai dosa dan pahala, pusat spa ini bukannya seperti spa yang bersepah di Bukit Bintang. Tidak ada 'extra massage' atau urut batin. Malah yang merefleksologi kaki saya merupakan seorang pakcik tua.

Kami bersembang rancak. Pakcik ni betul-betul peramah. Lebih ramah dari biasa memandangkan saya juga kaki sembang. Dari hal-hal runcit hinggalah kepada hal politik. Saya bertanya bagaimana keadaan bisnes spanya sekarang. Senang ke sempit. Banyak ke tidak sales yang masuk. Beliau diam seketika dan kemudian sedikit mengeluh.

" Langkawi ni maju masa Dr Mahathir jadi PM. Dulu berduyun-duyun pelancong yang datang. Paling ramai pelancong asing. Masa tu Mahathir selalu buat acara antarabangsa kat Langkawi. Tapi tu dululah dik."

Saya sudah mula seronok. Maklumlah ini pun tujuan saya ke mari. Ingin mendengar kisah dari warga tempatan tentang Dr Mahathir. Bagi saya kisah mereka ialah autoriti sebenar. Cakap mereka ialah kajian yang tulen. Saya teruskan lagi dengan bertanya- bagaimana pula keadaan bila Pak Lah naik?
" Pak Lah? Huh, takat buat Pesta Air dia reti la. Itupun tak ramai yang datang. Senang cakap, Langkawi terhenti kejap pembangunan."

Selepas PRU 12 bagaimana?- saya bertanya.
" Bila PAS menang dan jadi kerajaan negeri Kedah, kami ingat adalah pembangunan yang nak dibawa. Tup tup depa ada ura-ura nak tutup pusat spa pulak. Masa tu pening betul kepala pakcik. Mujurlah tak jadi dilaksanakan. Kalau tak, bayangkan berapa ramai orang hilang kerja. Bukan spa pakcik je yang ada kat Langkawi ni."

Kali ini saya diam. Dalam hati dah berfikir- pakcik ni mesti orang UMNO. Tapi saya tersilap.
" UMNO pun tak boleh pakai jugak. Dato' Bakaq- MP sini orang UMNO. Tapi dah tua sangat dah. Cakap pun tersekat-sekat. Macam ni nak bawa pembangunan? Idea pun tak da. Ini salah orang-orang UMNO la yang nak sangat orang tua ni. Depa seronok dapat kontrak. Tapi kami yang kat bawah ni?"

**********************************************************************************
Selesai mengurut kaki. Saya bayar dan beredar. Dalam perjalanan pulang ke hotel, saya membuat kesimpulan untuk hari yang pertama.

Kita sebenarnya mempunyai 'dua pilihan yang bangang.' Pakcik itu seperti kebanyakan rakyat yang lain bukannya peduli siapa yang memerintah. Tak ambil pot langsung tentang agenda melayu ke, agenda agama ke- yang penting ialah pembangunan. Yang nak diisi dalam perut ialah makanan bukan ketuanan. Yang nak dibayar macam-macam ialah duit bukan ceramah.

Di sini mungkin Mahathir dikritik kerana suka menganjurkan acara antarabangsa. Mungkin kita boleh berkata ia membazir dan mahal. Tetapi dengan kesan ekonomi (spillover effect) kepada orang biasa seperti pakcik di pusat spa tadi, ia sudah meyakinkan bahawa ada kalanya kita memerlukan acara antarabangsa. Terpulang kepada para pembaca untuk menilai sendiri apa yang Mahathir lakukan ini justify atau tidak. Setakat yang saya kaji, di Langkawi ia justify.

******************************************************************************
Hari pertama di Langkawi- Dr Mahathir dikenang bukan kerana beliau orang UMNO atau Perdana Menteri. Tetapi kerana beliau membawa pembangunan.


ps: Ini pandangan saya yang diperoleh daripada pengalaman. Saya tahu tidak ramai yang akan bersetuju. Tetapi mempunyai pandangan yang tidak popular barulah dikatakan pandangan- setidak-tidaknya saya mengkaji untuk mendapatkan pandangan ini. Bersambung di kisah Langkawi dua.....