SUKAN....BUKAN BELAJAR SAHAJA.
Sekarang ini gosip-gosip mengenai sistem pendidikan di negara kita masih belum reda. Gosip-gosip ini nampaknya sudah berlanjutan berpuluh tahun lamanya. Saya agak hairan mengapa gosip mengenai sistem pendidikan kita masih belum berakhir? Apa yang ingin dicapai sebenarnya? Bila saya bertanya- jawapan yang muncul ialah 'melahirkan pelajar yang holisitik dalam semua bidang.'
Sekali baca, pernyataan ini cukup comel. Entah apa yang holisitik pun saya tidak faham. Kalau plastik tu dapatlah jugak saya bayangkan rupanya. Lalu saya terfikir sesuatu- Pelajar kita ni kerjanya belajar sahaja ke? Pergi ke sekolah dengan menggalas beg besar-besar. Di dalamnya pula buku teks berkilo-kilo. Balik dari sekolah, kerja latihan bertimbun-timbun. Siang bersekolah malam bertuisyen. Adakah ini hidup seorang pelajar? Hanya belajar semata-mata?
Saya kira sistem pendidikan kita terlepas pandang satu aspek yang sangat penting dalam pendidikan pelajar kita. Aspek itu ialah SUKAN. Sukan di sekolah telah dipinggirkan sama sekali. Sukan telah ditolak ke tepi oleh sains dan matematik. Sukan telah dibungkus oleh Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Sukan dilihat sebagai sesuatu aspek yang tidak penting dalam pendidikan seorang pelajar.
Untuk kita melihat kesahihan fakta ini tidak susah. Cuba kita tanya diri kita, adakah sukan diberi keutamaan kepada pelajar-pelajar? Adakah ibu bapa mengiktiraf kepentingan bersukan? Jawapannya tidak. Ibu bapa tidak mahu anak-anak mereka aktif bersukan. Katanya nanti pelajaran terganggu. Jika kita lihat pun, ibu bapa sanggup berhabis beribu ringgit demi tuisyen bahasa inggeris. Ada yang sanggup memanggil cikgu datang ke rumah lagi untuk mengajar sains dan matematik. Satu persoalan: Ada tak ibu bapa yang sanggup berhabis duit demi anak-anak mereka bersukan? Tidak. Eeelek.
Cuba kita lihat di sekolah pula. Sekolah hanya menghargai pelajar yang pandai. Yang dapat no 1,2,3 baru boleh naik ke pentas. Yang dapat semua A baru dapat hadiah dan sijil. Hasilnya semua pelajar sibuk mengejar 'cemerlang dalam pelajaran sahaja'. Kemudian, setiap kali perhimpunan, ada pengetua atau guru besar mengajak pelajar-pelajar untuk turun bersukan dan memeriahkan padang sekolah? Tak ada.. Semuanya bercakap tentang pelajaran itu pelajaran ini...
Masih tidak percaya? Sila pergi jenguk-jenguk di sekolah. Kira berapa luas padang bolanya. Periksa ada ke tidak tiang gol. Tengok berapa banyak kayu hoki di stor sukan. Cukup ke tidak. Masih elok atau sudah rosak. Satu peringatan: Jangan terkejut kalau terjumpa sekolah yang tiada sebuah padang pun. Perkara ini merupakan fenomena biasa di sekolah-sekolah Malaysia. Yang konfem ada di sekolah Malaysia ialah makmal komputer.
Lepas jenguk di sekolah, sila tanya pula berapa banyakkah masa yang diperuntukkan untuk bersukan di sekolah? Selalunya sejam seminggu, Itupun kadang-kadang masa itu diambil untuk diajar subjek-subjek lain. Kemudian sila perhatikan berapa ramaikah cikgu jasmani yang benar-benar layak untuk mengajar? Sila berasa kagum bila melihat cikgu-cikgu jasmani di sekolah kita hanya berbaju kurung dan bertali leher untuk turun ke padang. Mungkin inilah rahsia kejayaan Malaysia di dalam arena sukan.
Di akhirnya jika kita masih tidak percaya sukan adalah penting dalam sistem pendidikan, sila tanya kepada pelajar-pelajar kita. Soalan yang perlu ditanya ialah 'Apakah subje kkegemaran anda di sekolah?' Saya amat yakin jawapan yang diberi ialah Pendidikan Jasmani dan Kesihatan- PJK. Penting kan?