BENDUNG GEJALA MAT REMPIT- Utusan Meloya
KUALA LUMPUR 11 Mei- Bendung gejala mat rempit. Inilah desakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada semua lapisan masyarakat.
HUKUM PENJARA MANDATORI- Utusan Meloya
KUALA LUMPUR 19 Mei – Kerajaan diminta supaya meminda segera Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ke atas mat rempit atau samseng jalanan dengan hukuman penjara mandatori.
Demikian cadangan daripada Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof.
SAMSENG JALANAN GANTI MAT REMPIT- Utusan Meloya
KUALA LUMPUR 19 Mei - 'Samseng jalanan' akan menggantikan istilah 'mat rempit' bagi mengelak publisiti dan pembentukan identiti kepada golongan berkenaan.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata.
___________________________________________________________
Ketika saya masih di bangku sekolah, guru saya sering menghukum saya kerana tidak membalut buku teks. Bagaimana buku teks yang tidak berbalut ini akan membodohkan saya- tidaklah saya fahami. Yang saya tahu selalunya saya didenda berdiri di atas kerusi atau duduk di luar kelas. Tetapi saya tidak marah kerana saya seronok melakukan kesalahan itu. Lumrah kanak-kanak- makin dilarang makin dibuat.
Pada suatu hari, saya mempunyai 'teman' ketika didenda. Saya terkejut. Jarang saya ada teman. Selalunya saya didenda secara solo sahaja. Maka saya pun berkenalan dengan pelajar itu. Sembang punya sembang saya pun bertanyakan mengapa dia tidak membalut buku. Dia hanya senyum dan menjawab 'saya orang susah.' Saya hanya sengih tanda tidak memahami apa yang diucapkan.
Di rumah, saya ajukan perkara ini kepada kedua ibu bapa saya. Dan selepas diterangkan panjang lebar oleh ibu, barulah saya mengerti yang pelajar itu tidak membalut buku teks kerana tidak mampu untuk membeli plastik buku. Dirinya tidak ada duit.
Esoknya saya membawa plastik buku ke sekolah. Saya membawa lebih. Tujuan saya hanyalah satu- untuk memberi kepada pelajar tersebut. Jadi selepas ini dia tiada alasan lagi untuk tidak didenda. Saya tidak mengharapkan pahala atau syurga kerana pemahaman agama saya masih cetek.
Diringkaskan cerita, selepas kejadian itu, kami berdua tidak lagi didenda kerana tidak membalut buku. (tetapi ada juga didenda kerana bising dan main dalam kelas.) Begitulah pengalaman saya serba sedikit.
Noktah Sebentar. Jadi apa kaitan cerita ini dengan polis dan gejala mat rempit? Sila kaitkan.
Pelajar itu akan terus didenda selagi mana masalah 'susah dan tidak mampu' dirinya tidak diselesaikan. Hukumlah macam mana sekalipun tapi kalau dah tak ada duit nak beli pembalut buku, nak buat macam mana.
Dalam hal mat rempit, polis harus mengkaji apakah punca sebenar anak-anak muda negara kita merempit. Bukannya dengan melabelkan mereka dengan bermacam nama. Malah mengetatkan peraturan juga tidak mampu membendung gejala ini. Contoh paling mudah kita lihat sendiri masalah dadah di negara kita. Undang-undang sudah ketat- iaitu gantung sampai mati. Tapi hasilnya? Eeelllek.
Adakah kita hanya mahu menghukum tanpa mencegah? Memang menghukum adalah satu bentuk solusi tapi percayalah menghukum hanya menjadikan perkara ini tidak pernah selesai. Mencegah lebih baik daripada menghukum. Tetapi bagaimana hendak mencegah kalau tidak diketahui apa puncanya? Adakah dengan melabel nama samseng jalanan akan menakut-nakutkan mereka dari menunggang motor?
Sudah tiba masanya untuk kita berfikir secara logik. Bukan dengan emosi. Emosi hanya menghasilkan keputusan menghukum. Hanya dengan logik, barulah kita akan dapat solusinya. Dan apa pula solusinya? Sila klik sini, sini, sini, dan sini.