Jika anda diberikan dana dan
sumber-sumber untuk menubuhkan sebuah kumpulan bertindak belia masyarakat sivil
yang baru, bagi mempengaruhi dasar awam yang menyentuh isu-isu mendesak
berkaitan belia, organisasi apakah akan anda tubuhkan dan tujuan apakah yang
akan ia perjuangkan?
Sekarang ini demam bola sepak.
Maka ada yang hairan kenapa pasukan bola sepak negara dipanggil ‘Harimau
Malaya’ tetapi bukannya ‘Harimau Malaysia’? Jika kita tidak mengetahui sejarah
di sebalik gelaran ini, pastilah akan timbul pelbagai tanggapan negatif.
Kononnya, gelaran ini tidak memberi keadilan kepada Sabah dan Sarawak kerana
meminggirkan mereka.[1] Demikian bahaya yang kita
hadapi sekiranya sejarah tentang sesuatu perkara dipandang enteng.
Rata-rata rakyat Malaysia hari
ini pasti pernah mengikuti pelajaran sejarah. Sistem pendidikan Malaysia
mewajibkan bahawa pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
mengambil subjek ini. Tetapi adakah pembelajaran sejarah di sekolah menjadikan
mereka warga yang celik sejarah? Pada hemat saya, tidak.
Tun Abdul Razak adalah Perdana
Menteri Malaysia yang pertama. ‘Belang’ merupakan nama kepada bendera Malaysia.
Jangan terkejut. Anda tidak salah membaca. Sebaliknya, inilah antara jawapan
mengaibkan yang diberikan sesetengah belia dalam satu kaji selidik Unit Khas
Utusan Malaysia. [2]
Perkara ini mungkin kedengaran
kelakar. Hal kecil sahaja bagi belia. Apalah jika hendak dibandingkan dengan
isu hak asasi, kebebasan bersuara atau demokrasi?
Sebenarnya kita tidak memerlukan
kajian daripada mana-mana akhbar pun untuk membuktikan perkara 'kecil'
ini. Usah ditagih penghayatan penuh penginsafan tentang jerih perih
perjuangan memerdekan negara. Sebaliknya gelagat anak muda yang terkinja-kinja
dan berdansa seperti generasi tidak beragama dan berbudaya sudah cukup
menyentap rasa canggung. Pasti kita akan tertumbuk dengan kenihilan jiwa
sedemikian. Malah, baru-baru ini ada belia yang mengibar bendera yang tidak
pernah wujud di dalam sejarah negara ketika sambutan merdeka lepas. [3]
Tidak cukup dengan itu, sejarah
kemerdekaan negara juga dicabar dan diputar-putar. Gerakan berhaluan kiri
disengani dan seruan aliran kanan sewenang-wenangnya diperangi. Sejarah rasmi
diketepikan dan cerita alternatif mula dijadikan sumber sahih.
Wujud segelintir pihak yang
berpendapat bahawa perkara ini adalah perkara 'biasa' dan seharusnya disambut
dengan baik memandangkan kita negara yang menjunjung demokrasi. Akan tetapi, mereka tidak pernah
cuba untuk melihat betapa sekiranya perkara sedemikian dilakukan di negara-negara
demokrasi seperti Indonesia, Thailand mahupun polis dunia yang mengaku jagoan
paling demokratik- Amerika Syarikat, kemungkinan besar si pelaku akan pantas
didakwa, dibicara dan dihukum penjara.
Berdasarkan sorotan dan analisis
ringkas tingkah laku dan kecenderungan generasi muda kini, jelas kelihatan
bahawa wujud lakuna dalam penghayatan sejarah di kalangan mereka. Lantas timbul
persoalan. Mengapakah isu pengetahuan dan penghayatan sejarah ini menjadi
amat penting bagi generasi belia kini?
Hakikatnya generasi sekarang
kurang semangat kekitaan (sense of belonging) terhadap negara.
Kekurangan ini menyebabkan terdapat isu-isu kenegaraan yang seharusnya tidak
dijadikan bahan kritik membuta tuli atau modal polemik yang tidak
berasas.
Ungkapan ‘sesiapa yang
memerintah Melaka berkuasa terhadap Venice’ tidak wujud begitu sahaja. Pastilah
kita adalah bangsa yang hebat dahulunya. Sebagai sebuah negara yang lebih 500
tahun dijajah, kita tidak begitu yakin dengan diri sendiri. Melalui sejarah,
kita boleh mengembalikan rasa keyakinan diri kita. Sebab itu kalau
diperhatikan, kebanyakan ucapan pemimpin Amerika Syarikat sering merujuk negara
mereka sebagai ‘This great nation…’ walaupun kita sedia maklum
dari segi politik, mereka berpecah kepada dua kelompok dan juga mereka sedang
di dalam krisis ekonomi. Ini adalah manifestasi kepada keyakinan diri yang
tinggi terhadap negara. Inilah yang kita mahukan daripada generasi belia. [4]
Malangnya, generasi belia hari
ini tidak begitu celik sejarah.
Tetapi untuk menyalahkan
generasi belia sebagi tidak patriotik dan buta sejarah juga sebenarnya tidak
adil. Mereka yang sering menyalahkan generasi sekarang sebagai itu dan ini
patut bertanya generasi mana pula yang membesar dan mendidik mereka? Di akhirnya
sifat menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah.
Pepatah mengatakan ‘bagaimana
acuan, begitulah hasilnya.’ Acuan yang bagus akan menghasilkan sesuatu yang
baik. Acuan corak pembelajaran sejarah di sekolah seharusnya dipertingkatkan
bagi mendapat hasil yang baik. Dan perkara ini tidak seharusnya diletakkan di
bahu kerajaan semata-mata. Sudah tiba masanya rakyat memainkan peranan. Untuk
itu sebuah kumpulan bertindak perlu ditubuhkan bagi memperjuangkan isu
pengetahuan dan penghayatan sejarah di kalangan belia.
Kenapa kumpulan bertindak?
Pertama, era kerajaan tahu segala-segalanya sudah berakhir.[5] Kerajaan
mengalu-alukan penglibatan masyarakat sivil dalam menangani isu ini. Kedua,
ia tidak terikat dengan agenda mana-mana pihak yang mungkin bertentangan
dengan agenda yang diperjuangkan sekaligus tidak akan digagalkan oleh
konflik kepentingan yang memualkan. Ketiga,ia akan menjadi satu wahana bagi
kelompok pelaksana untuk berasa lebih selesa terutamanya dalam mendapatkan dan
menyumbang idea serta pemikiran melalui kumpulan bertindak bebas, yang
sebenarnya mencerminkan suatu tahap kepercayaan dan keyakinan kepada ketelusan
dan keberkesanan organisasi yang berasakan masyarakat sivil seperti ini. [6]
Perkara yang lebih penting
adalah kumpulan bertindak ini boleh memberi cadangan penambahbaikan serta
idea-idea bernas untuk mempengaruhi dasar-dasar awam yang berkaitan isu
pemahaman dan penghayatan sejarah di kalangan belia.
Sewajarnya kumpulan bertindak
ini digerakkan oleh belia sendiri. Mereka lebih memahami akan isu yang dihadapi
serta lebih mudah didekati dengan golongan sebaya. Sebagai permulaan, kumpulan
bertindak ini perlu bermula dengan mengenal pasti kekurangan yang wujud dalam
sukatan dan corak pembelajaran mata pelajaran sejarah di sekolah. Perkara ini
akan menjadi fasa terawal pendedahan sejarah di kalangan rakyat Malaysia.
Berdasarkan status quo, kita
tidak boleh lari daripada hakikat bahawa para pelajar hari ini mempelajari
sejarah atas sebab yang tidak tepat. Mereka sekadar menghafal segala macam
nama dan tarikh demi menjawab peperiksaan. Perkara sebegini tidak sepatutnya
berlaku.
Jesteru, kumpulan bertindak ini
dilihat boleh menjadi peneraju dalam membawa perubahan dan penambahbaikan corak
pembelajaran subjek sejarah di Malaysia. Antaranya mengkaji kurikulum sejarah
yang terlalu menekankan kronologi sejarah dan menukarkannya kepada hubung kait
sesuatu peristiwa sejarah dengan keadaan sekarang.[7] Misalnya sejarah mengenai
cara-cara Malaysia menangani krisis ekonomi 1997 boleh dipelajari di dalam
konteks krisis ekonomi dunia sekarang.
Selain itu, pembelajaran sejarah
perlulah dimasukkan elemen ‘emosi’. Terlalu banyak data dan fakta seperti nama
kawasan, tarikh dan bilangan orang hanya menjadikan pelajar sebagai robot –
iaitu pendekatan emosi berbanding memori. Novel, sajak, catatan serta surat
yang ditulis oleh orang tertentu patut diperbanyakkan. Ini penting agar pelajar
merasai sendiri pengalaman mereka melalui kata-kata dari tuan punya badan. [8]
Kandungan buku teks sejarah juga
tidak seharusnya terlalu bersifat menjaga sensitiviti sehingga sejarah yang
sebenar dipadam atau digelapkan.[9] Memasukkan kewajaran sesuatu
tindakan affirmatif dalam pelajaran sejarah dilihat perlu. Perkara-perkara
seperti hak istimewa kaum Bumiputera, kebebasan beragama serta keperluan
sekolah vernakular harus dimasukkan dan diperjelaskan kepada generasi muda
dengan cara yang jelas, objektif dan membujuk.
Lawatan ke tempat-tempat bersejarah
perlu diperluaskan dan tidak terhad kepada muzium semata-mata.
Filem-filem sejarah ini juga tidak perlu dihadkan kepada filem yang
bertemakan perang mahupun kemerdekaan. Ada pelbagai peristiwa menarik yang
boleh difilemkan seperti kemenangan Malaysia dalam Piala Thomas 1992 dan
operasi ‘dawn raid’ 1981- pengambil alihan pegangan dalam Sime Darby
daripada British oleh negara melalui perdagangan yang licik dan berisistemik di
Bursa saham. Kalau kita boleh mempunyai puluhan slot lawak di tv, kenapa kita
tidak boleh adakan rancangan seperti ‘Are You Smarter Than 5th Grade’-
sebuah rancangan sejarah popular di Amerika Syarikat?.
Ada pelbagai idea yang boleh
diketengahkan kumpulan bertindak ini.. Mungkin ada sesetengah idea yang bagus
dan mungkin ada yang kurang praktikal. Diharapkan dengan adanya kumpulan
bertindak ini, golongan belia akan menjadi warga yang lebih bertanggungjawab.
Isu ini perlu diberi perhatian sekarang kerana generasi belia bukan lagi
pemimpin di masa hadapan tetapi adalah pemimpin pada masa kini.
Mereka yang melupakan sejarah,
pasti akan dihukum dengan mengulanginya. Begitulah kata-kata hikmat dari George
Santayana. Apa yang berlaku hari ini sudah jelas adalah kerana kegagalan kita
mempelajari sejarah dengan baik.
[1] Lucious
Maximus, 2010. Amaran keras dari Sokernet, [online]. (Dikemaskini pada 31
Disember 2010), Didapati di: http://sokernet.blogspot.com/2010/12/amaran-keras-dari-sokernet.html
[Diakses pada 28 November 2012]
[2] Unit
Khas Utusan, 2010. Orang Muda Buta Sejarah. Utusan Malaysia, [online]. 29
Oktober. Didapati di: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=1029&pg=mh_01.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&y=2010
[diakses pada 28 November 2012]
[3] Radzi Tajuddin, 2012. Mitos Bendera Malaysia, [Online]. (Dikemaskini pada 15 September 2012), Didapati di: http://basuhbaju.blogspot.com/2012/09/mitos-bendera-malaysia.html [diakses pada 29 November 2012]
[4] Holt, Thomas C., 1990. Thinking
Historically: Narrative, Imagination, and Understanding. New York:
College Entrance Examination Board.
[5] Dato’ Seri Najib Tun Razak, 2010. Keynote Address Invest Malaysia 2010, [online]. (Dikemaskini 30 Mac 2010), Didapati di: http://www.bernama.com/bernama/v6/newsspeech.php?id=728 [diakses pada 29 November 2012]
[6] Edelman, 2012. Edelman Trust Barometer 2012. [online]. Didapati di: http://trust.edelman.com/trust-download/global-results/ [diakses pada 29 November 2012] [7] Muhd Yusof Ibrahim, 1994. Kepentingan Sejarah Kepada Manusia dan Negara, [online] 25 (48). p. 26-48. Didapati di: http://journalarticle.ukm.my/445/1/1.pdf [diakses pada 29 November 2012].
[8] Howard Zinn, 2006. Why Student Should Study History, [online]. Didapati di: http://zinnedproject.org/faq/why-students-should-study-history [diakses pada 28 November 2012].
[9] Tun Dr Mahahtir Mohamad, 2011. Sejarah, [online], (Dikemaskini pada 28 Januari 2008), Didapati di: http://chedet.cc/blog/?p=501 [diakses poada 28 November 2012].
[3] Radzi Tajuddin, 2012. Mitos Bendera Malaysia, [Online]. (Dikemaskini pada 15 September 2012), Didapati di: http://basuhbaju.blogspot.com/2012/09/mitos-bendera-malaysia.html [diakses pada 29 November 2012]
[5] Dato’ Seri Najib Tun Razak, 2010. Keynote Address Invest Malaysia 2010, [online]. (Dikemaskini 30 Mac 2010), Didapati di: http://www.bernama.com/bernama/v6/newsspeech.php?id=728 [diakses pada 29 November 2012]
[6] Edelman, 2012. Edelman Trust Barometer 2012. [online]. Didapati di: http://trust.edelman.com/trust-download/global-results/ [diakses pada 29 November 2012] [7] Muhd Yusof Ibrahim, 1994. Kepentingan Sejarah Kepada Manusia dan Negara, [online] 25 (48). p. 26-48. Didapati di: http://journalarticle.ukm.my/445/1/1.pdf [diakses pada 29 November 2012].
[8] Howard Zinn, 2006. Why Student Should Study History, [online]. Didapati di: http://zinnedproject.org/faq/why-students-should-study-history [diakses pada 28 November 2012].
[9] Tun Dr Mahahtir Mohamad, 2011. Sejarah, [online], (Dikemaskini pada 28 Januari 2008), Didapati di: http://chedet.cc/blog/?p=501 [diakses poada 28 November 2012].