Monday, November 23, 2009

Label-label dalam kehidupan

LABEL-LABEL MENYUSAHKAN

Dalam hidup ini kita kerap mendengar pelbagai label yang diberikan kepada individu. Ada pula yang mahu dirinya diberikan label tertentu tanpa perlu menunggu orang lain memberikannya. Antara contoh label ialah sosialis, kapitalis, liberal, konservatif, feminin dan Islamis.
Sebenarnya label-label ini menyusahkan. Mengapa?

LABEL MENUTUP PANDANGAN KITA DARI DIDENGARI

Apabila kita dilabelkan dengan gelaran-gelaran tertentu, ia menyebabkan pandangan kita tidak lagi diterima. Contohnya orang yang dianggap sosialis, apa sahaja yang diperkatakan oleh orang sosialis akan ditolak bulat-bulat oleh mereka yang kapitalis. Tidak kiralah apa yang diperkatakan itu kadangkalanya benar. Oleh itu label membuatkan orang menilai siapa yang bercakap bukan apa yang dicakapkan.

Label juga digunakan untuk menutup pandangan orang lain. Sebenarnya mereka yang melabel orang lain ini tidak ada modal untuk berhujah. Jadi dengan melabel, ia adalah cara termudah untuk melenyapkan mulut pengkritik.

Ini kerana ada sesetengah orang mempunyai prejudis kepada label-label tertentu. Sebab itu ada yang melabel seorang bekas mufti sebagai wahabi.

LABEL MEMBUATKAN KITA TERIKAT DALAM BERFIKIR

Perkara yang paling menyusahkan tentang label ini ialah kita tidak bebas dalam memberikan pandangan. Segala pandangan terpaksa disesuaikan dengan label yang diberikan kepada diri kita. Ini bermakna kita terikat.

Hanya kerana mahukan kita terus dilabel sedemikian kadangkala kita terpaksa tidak bersetuju dengan diri sendiri dalam memberikan pendapat. Kita mungkin berpendapat seperti sosialis dalam sesuatu perkara. Tetapi oleh kerana kita melabel diri sebagai kapitalis, di akhirnya kita hanya diam membisu. Semuanya kerana label.

Walaupun ada yang mengaku sebagai konservatif, tetapi hakikatnya ada kalanya mereka akan liberal di dalam sesetengah perkara. Samalah juga kepada yang mengaku liberal. Mungkin di dalam banyak perkara mereka liberal tetapi adalah mustahil untuk tidak mempunyai pendapat yang konservatif di dalam perkara tertentu.

Ini kerana tidak ada satu pun label yang sesuai di dalam semua keadaan. Ia bukannya 'one fit for all.'

Jadi kita tidak perlu terikut-ikut dengan label.

Tidak kisahlah pandangan itu sosialis, kapitalis, liberal, konservatif, etc. Selagi ianya membawa kepada kemajuan kepada semua, kita gunakan.

Di akhirnya setiap pandangan difikirkan oleh manusia, maka ianya tidak sempurna.