Monday, August 31, 2009

Kisah Merdeka Anak Muda

Selepas sahaja sahur, aku terus ke Parlimen. Bukan sebagai wakil rakyat mahupun wakil parti. Jauh sekali sebagai peserta perarakan hari kemerdekaan. Aku ke sana sebagai seorang photographer runcit-runcit- yang baru belajar. Dengan Canon E450D, aku mahu mengstatikkan pemandangan pada hari ini. Cukuplah jika dapat 2-3 keping gambar yang boleh buatkan aku puas. Namun...

Aku tertinggal bateri kamera di rumah. Malam tadi charge, tapi lupa nak ambil. Satu kesilapan bodoh di hari yang ke 52.

Marah dengan diri sendiri, aku terus beredar keluar daripada bangunan Parlimen. Tidak perlu menyeksa diri dengan majlis yang sebegitu bosan. Kadang-kadang aku terfikir, apa kaitan perarakan/perbarisan/lintas hormat dengan merdeka? Tidak bolehkah setiap tahun pengisiannya berubah? Mana ada peraturan bertulis yang kata setiap kali merdeka kita perlu berarak dan berbaris.

Lalu aku terfikir, bagaimana kalau merdeka tahun depan disambut dengan mengharamkan kereta persendirian daripada bergerak di Kuala Lumpur. Biarkan hari itu jalan raya KL menjadi lengang tanpa kereta. Biarkan bumi Kuala Lumpur bernafas segar tanpa asap hitam. Biarkan rakyat Malaysia bergerak dan menapak. Biarkan merdeka daripada penjajahan kereta. Jangan kata ini idea gila. Di Itali dan Jakarta pernah diadakan acara car-free ini.

Tidak terus pulang ke rumah- aku melepak di Taman Tasik Perdana. Akhirnya manusia memerlukan kehijauan untuk ketenangan. Ini hakikat. Di sana aku membaca surat khabar hari ini- edisi 52. Tidak sampai 15 minit, aku sudah selesai khatam The Star dan NST. Ceh, banyak iklan dari berita. Iklan merdeka versi 1Malaysia bersepah-sepah. Semuanya daripada syarikat-syarikat besar. Ini lagi satu perkara bodoh. Kenapa perlu beli iklan besar-besar untuk ucapan merdeka? Untuk potong cukai kan? Tak pun untuk bodek pemimpin?

Tak boleh ke syarikat-syarikat ini memikirkan cara lain yang lebih bermanfaat? Beli iklan bukan orang miskin boleh makan. Beli iklan bukan dapat jadikan rakyat kita lebih bijak. Beli iklan ni adalah perkara kosmetik sahaja. Macam mana kalau duit beli iklan itu digunakan membeli buku-buku berkualiti untuk diberi kepada sekolah dan universiti? Takpun guna duit tu untuk tubuhkan satu pasukan bola sepak. Amacam?

Selesai membaca akhbar, aku ke KLCC pula. Di sana aku duduk dan memikirkan tentang Malaysia. Oh, bunyinya seakan poyo. Tetapi aku cuba berkata jujur. Aku asyik bertanya pada diri, 'ke mana Malaysia selepas ini?' Melihat kepada situasi sekarang, aku berasa sangat risau. Perkara kecik seperti sebat dan kuil pun tidak selesai-selesai. Bukankah sekarang ini krisis ekonomi? Jiran kita Indonesia pun sudah mula bangkit mengatur langkah. Dah jadi negara jemputan untuk G-20. Kita? sibuk bising-bising tentang hak cipta tarian Pegan dan Manohara.

Apa sebenarnya orang-orang tua yang memimpin negara ni buat?

Makin lama aku fikir makin aku mengerti apa erti kemerdekaan bagi diriku. Bagiku, merdeka ialah apabila orang muda macam aku diberi peluang untuk menentukan hala tuju negara kita. Merdeka ialah apabila suara kami lebih didengari dan diambli kira. Merdeka ialah apabila generasi muda didekati bukan dihukum perbuatannya, dikutuk pandangannya dan dihina mindanya. Bukan juga sekadar turun mengundi 5 tahun sekali.

Aku mahu negara ini benar-benar kepunyaan semua. Bukan terhad kepada generasi tua yang memerintah. Tetapi terbuka untuk generasi muda juga. Inilah erti kemerdekaan bagiku.

Merdeka

" Jika hati kita tidak sehaluan, kau masih mahu aku?" - tanya Maya Karin kepada aku di tahun 1957. Sudah 52 tahun sejak ungkapan ini diucapkan. Mungkin Maya Karin sudah menjadi milik orang lain, tetapi negara yang bernama Malaysia tetap menjadi milikku.

Selamat Menyambut Kemerdekaan Semenanjung Malaysia!




Ps: Ramai yang kata bendera negara dan lagu kebangsaan- semuanya dicilok dari luar. Macam mana kalau kita tukar lagu kebangsaan dan bendera Malaysia? Apa pendapat anda?