Tuesday, September 29, 2009

Ops Idea

OPS SIKAP GAGAL?- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Ops Sikap Ke-20 yang berakhir semalam, merekodkan jumlah kematian kedua tertinggi dalam sejarah operasi itu sejak diperkenalkan lapan tahun lalu dengan 261 pengguna jalan raya terbunuh. Ini bersamaan dengan purata 17.4 kematian dalam sehari.

*************************************************************************************
" Saya hilang kawalan ketika memandu." Ini merupakan alasan yang paling kerap diberikan. Tak ada alasan lain. Balik-balik 'hilang kawalan'. Jarang pemandu akan mengaku mereka eksiden kerana pandu laju, mengantuk, dan berbahaya. Biasalah manusia memang suka menyalahkan segala benda di sekeliling kecuali diri sendiri.

KEADAAN SEKARANG

Malaysia mencatatkan rekod kematian sebanyak 3.7 bagi setiap 10,000 kenderaan. Ini merupakan kadar tertinggi di Asia. Untuk perbandingan, Indonesia (2.6), Singapura (2.5), Jepun (1.8) dan Korea Selatan (1.7). Satu statistik yang menakutkan?

Tidak juga. Pada tahun 1996, kadar kematian Malaysia ialah 8.2. Maknanya? Kita semakin bagus.....tapi benarkah?

Belum lagi sebenarnya. Kebanyakan negara-negara maju mencatatkan kadar kematian di bawah 2. Jadi bagaimana? Apa yang boleh dilakukan? Ada cadangan?

NAIKKAN KADAR SAMAN?

Di Malaysia, denda maksimum ialah RM300- jauh lebih murah berbanding kadar denda di negara-negara lain. Perancis sebanyak RM19290, Portugal RM12860 dan Thailand RM1040.

Tapi kalau naikkan kadar saman lagilah kadar rasuah meningkat. Pemandu mesti lagi suka nak bayar rasuah kepada polis daripada nak bayar saman yang mahal. Lagi satu, saman mahal-mahal ni silap-silap boleh tukar kerajaan.

KETATKAN UJIAN LESEN MEMANDU?

Untuk pengetahuan, sesetangah negara eropah membenarkan pemandu yang mempunya lesen daripada negara lain seperti Singapura untuk memandu di jalan raya mereka. Tetapi tidak negara Malaysia. Ini kerana lesen kita tak laku.

Dan kita pun tahu betapa senangnya nak dapat lesen di Malaysia. Ada sahaja 'pakej sampai lulus'. Ada duit, semua boleh lulus. Reti memandu atau tidak, belakang kira.

Mungkin kerajaan perlu mengetatkan penguatkuasaan? Atau sekolah memandu perlu ada kesedaran untuk tidak mengamalkan rasuah? Atau bakal pemandu itu sendiri?

Ini baru masalah moraliti. Belum lagi masalah ujian yang digunakan untuk mengeluarkan lesen memandu.

SEDIAKAN JALAN RAYA YANG SELAMAT?

Ada benarnya. Jalanraya di Malaysia masih lagi bercampur antara kereta dan motosikal. Semuanya berjalan sekali. Macam rojak. Mana tak bahayanya kalau lori dan motosikal bertemu?

Untuk rekod, kurang daripada 20% jalanraya di negara ini yang menyediakan laluan khas untuk penunggang motosikal.

Tetapi adakah jalanraya puncanya? Di Indonesia yang kita tahu infrastruktur jalannya tidaklah sebaik kita tetapi jumlah kematiannya jauh lagi rendah.

KURANGKAN KENDERAAN?

Macam mana kalau jumlah kereta dikurangkan? Mungkin satu keluarga patut dibenarkan memiliki sebuah kereta sahaja. Ikut logik mudah, kurang kereta, kurang kemalangan, maka kurang kematian. Tapi bila kurang kereta, jalanraya lengang, maka lagi mudah nak memecut laju.

BANGUNKAN PENGANGKUTAN AWAM SELURUH NEGARA

Tak perlu hurai panjang lebar. Ini idea terbaik. Tetapi........adakah benar? Idea yang baik ialah idea yang dilaksanakan. Mengapa idea tentang pengangkutan awam yang sistematik dan menyeluruh tidak dapat dilaksanakan di Malaysia?

Masalah kos yang mahal? Atau tidak ada kertas kerja yang bagus?

Ada yang memberi teori idea ini terbiar begitu sahaja kerana terdapat tentangan daripada pihak kapitalis dan kaum pemodal kereta. Mungkin benar atau salah. Tetapi kalau benar, mengapa tidak diberi kontrak bina pengangkutan awam kepada pihak pemodal yang menentang ini? Bukankah ianya situasi menang-menang?

Bayangkan Proton dan Toyota diberi kontrak membina tren dan bas. Hmmmm....

Mungkin ada yang akan berpendapat di akhirnya pemandu itu sendiri punca kemalangan atau tidak. Sebenarnya hujah ini ada meritnya. Cuma untuk membuat perubahan, kadangkala yang perlu diubah bukan manusia sahaja sebaliknya perkara-perkara lain juga.

Ada idea lain untuk masalah ini? Mari Ops Idea!

F1 1Malaysia- Sepantas Lalu

1) Tony Fernandes merupakan Bos dan pemilik pasukan. Rakan kongsinya ialah anak Naza dan juga satu syarikat permotoran dari UK.

2) Kos permulaan sebanyak RM168 juta dan bajet untuk perlumbaan tahun hadapan ialah RM308 juta. Jauh lagi kurang daripada RM1 billion seperti yang dicanangkan.

3) Dana akan diperolehi daripada pelabur dalam dan luar negara. Syarikat-syarikat seperti Naza, Genting, MAS dan Petronas dijemput untuk melabur. (sebagai timbal balik, syarikat-syarikat ini dapat mempromosikan jenama mereka). Kerajaan tidak mempunyai bahagian di dalam projek ini- secara langsung mahupun tidak.

4) Enjin Lotus akan digunakan. Ibu pejabat pasukan di Norfolk, UK buat sementara. Dan akan berpindah sepenuhnya ke SIC dalam masa dua tahun.

5) Kos untuk membina ibu pejabat pasukan yang lengkap dengan pusat kajian di Sepang hanya menelan belanja RM60 juta. Bukan berbillion seperti yang dilaporkan. Sekali lagi laporan tersasar.

6) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) akan turut bekerjasama di dalam projek ini.

7) Iklan pekerjaan untuk menyertai pasukan ini telah diterbitkan di akhbar-akhbar Malaysia. Sebanyak 250 tempat kosong disediakan daripada Ketua Aerodinamik hinggalah kepada Pegawai Akhbar. Setakat ini lebih 6000 permohonan telah diterima.

8) Kemungkinan besar Raikkonen dan Alonso dipilih sebagai pemandu. Pemandu Malaysia tidak dibenarkan lagi kerana dikhuatiri kereta akan selalu terbabas. Maklumlah Ops Sikap pun gagal.

Logik Mudah Lagi

"alat tu tak salah tapi yang salah orang yang menggunakan alat itu."- Mamai

"manusia adalah faktor utama dalam semua hal."- endiem

"so, sikap manusia la yang kena dibetulkan. bukan salahkan benda, kan?"- asilahmuhajer

"semua benda ada kebaikan dan keburukan tapi kita menyalahgunakan benda tu atau kita cuai"- nyzm

Ini merupakan antara komen di dalam posting yang lepas, (logik mudah). Secara keseluruhannya, ramai yang memberikan komen mengatakan objek /teknologi/benda tidak salah. Yang salah ialah manusia. Objek tidak membawa kepada keburukan melainkan manusia. itu sendiri yang membawanya. Baik dan buruk sesuatu objek itu bukan pada objek itu sebaliknya pada penggunanya iaitu manusia.

Mengambil pandangan ini, mari kita aplikasikan dalan hal politik.

Adakah UMNO itu buruk atau pemimpin UMNO yang teruk?
Adakah PAS itu radikal atau pemimpin PAS yang radikal?
Adakah UMNO itu rasis atau ahlinya yang rasis?
Adakah PAS itu fasis atau ahlinya yang fasis?

Jadi yang perlu ditolak adakah parti UMNO atau pemimpin UMNO yang korup? Yang perlu ditentang adakah parti PAS atau pemimpin PAS yang radikal?

Apa kata anda? Mari kita berfikir......... :)