Sunday, June 6, 2010

Lagenda Budak Setan- prolog


Aku tak pasti sama ada gelaran mat jiwang sesuai atau tidak diberikan pada diriku. Tetapi semasa di tingkatan tiga lagi- aku sudah mula membaca novel cinta. Ya, novel cinta bukan novel komsas atau novel literature. Pada mulanya aku tak faham mengapa ramai orang yang suka baca novel cinta. Tetapi suatu hari- ketika cuti sekolah- aku berasa amat bosan. Lantas aku curi-curi baca novel Lagenda Budak Setan dari adik aku. Inilah novel pertama yang aku baca- karya Ahadiat Akashah.

Dalam masa 3 hari aku sudah berjaya mengkhatamkan novel 900 lebih muka surat ini.
Selesai membaca, aku menjadi bingung. Begitu banyak persoalan yang aku fikirkan. Benarkah watak Kasyah ini wujud? Watak yang begitu setia menanti cinta Ayu. Betulkah Ayu sebegitu ayu seperti yang digambarkan? Kenapa Ayu begitu mudah mempercayai Azmi? Logikkah Ayu menjadi Amelia dengan pembedahan plastik? Kenapa Kasyah diuji sebegitu rupa? Ah- banyak lagi yang aku fikirkan.

Dan sejak daripada itu- baru aku faham kenapa novel cinta menjadi kegilaan orang ramai. Ia melarikan diri kita sebentar dari realiti sebenar. Ia semacam candu yang mengkhayalkan kita.


Selepas itu- namakan sahaja novel Ahadiat Akashah- dari Lagenda Budak Setan hinggalah kepada Hikayat Cinderella, dari Kisah Satu Malam kepada Balak Blues, dari Malam Ini Kita Semua Menangis kepada Untuk Semua Gadis-Gadis Yang Pernah Ku Cintai, dari Pilot Cafe kepada Untuk Tiga Hari- semuanya aku baca.

Ahadiat Akashah bagi aku adalah genius di dalam dunia penulisan. Tulisannya sempoi- tidak skema. Bahasanya remaja- tidak terlalu DBP. Metaforanya realistik- tidak terlalu bunga-bunga. Ideanya unik- tidak tipikal. Watak novelnya wujud di kalangan kita- bukan dibuat-buat. Dan kesudahan novelnya tidak dijangka- ada sahaja kejutan.

Novel Lagenda Budak Setan adalah novel paling laris di Malaysia. Lebih 170 ribu salinan dan masih lagi dijual. Itu tidak dikira lagi dengan 85 novelnya yang lain. Kalau tidak beratus ribu- pasti berjuta yang pernah membacanya. Ahadiat Akashah seperti mana Search dan Wings di arena muzik, menjadi lagenda di dunia penulisan Malaysia. Dan seperti Search dan Wings juga, ada sahaja geng 'establishment' yang tak puas hati. Gelaran pelacur bahasa seringkali diberikan kepada beliau oleh sasterawan-sasterawan negara. Novelnya dihalang untuk dijadikan teks rujukan komsas. Tetapi again, penulisan juga seperti muzik- ia ditentukan oleh orang ramai, bukannya kerajaan. Ahadiat Akashah tetap popular- malah sehingga sekarang.


Berbalik kepada Lagenda Budak Setan, aku masih ingat ketika bersekolah di MRSM. Ketika itu novel ni tengah panas. Yang menariknya- novel ini keluar pada awal 90-an, tetapi pada tahun 2005- tahun aku bertingkatan empat, novel ini masih lagi dicari dan dibaca oleh cikgu dan pelajar.

Aku tak akan lupa budak-budak lelaki yang baca novel tu semuanya jenis kaki pukul, kaki rokok, kaki fly dan kaki perempuan. Yang baik-baik jenis duduk surau saf depan- tak berapa layan sangat. Aku amat pasti watak Kasyah sebagai budak setan tu sangat dekat dengan jiwa mereka. Kiranya time tu, semuanya nak jadi budak setan- budak nakal yang jiwang.
Zaman sekolah asrama, menjadi nakal adalah cool walaupun ianya kelihatan poyo di mata cikgu.

Aku tidak boleh lupa pengalaman menghantar surat cinta palsu kepada cikgu fizik. Cikgu ni memang gatal orangnya. Sekali tu kitorang kenakan dia dengan tulis surat cinta dari seorang pelajar perempuan (akak senior yang gedik). Memang dia tersengih-sengihla seminggu tu hepi macam orang lepas kahwin. Tapi tup tup kitorang terkantoi. Yang bestnya kitorang tak boleh didenda secara official sebab mana ada undang-undang kata tak boleh hantar surat cinta kat cikgu kan? So kitorang didenda tolong cikgu tu adjust dengan sorang cikgu praktikal. Sempatlah diorang bercinta walaupun tidak ke jinjang pelamin.


Ini pengalaman yang manis yang tercipta dari kenakalan kami. Setiap kali aku baca kembali novel Lagenda Budak Setan- aku tidak akan lupa kenangan ini kerana idea surat cinta itu datang dari novel itu sendiri. Ah- aku merindui kenakalan di asrama. Kenakalan macam budak setan!

Kalau lelaki dah cenggitu, perempuan jangan cakaplah. Masa aku balik naik bas- kakak senior sebelah aku boleh nangis lepas baca. Tapi bila dia tengok aku perasan, dia pun pura-puralah buat-buat mata masuk habuk. Di kelas, aku siap bagi pinjam lagi kat kengkawan yang nak baca. Lepas tu pass-pass kat kawan lain pulak. Ada yang bawa balik baca time cuti, ada yang sorok-sorok baca time prep. Kelakar betul bila dikenangkan kembali.

Bayangkan- kalau di tahun 2005- 20 tahun selepas Ahadiat Akashah menulis pun fenomena budak setan sudah begitu rupa- apatah lagi ketika di zaman kemuncaknya di zaman 90-an?
Bagi aku, kalau lagu Kuch Kuch Hota Hai ibarat 'al-fatihah' kepada lagu-lagu hindustan, kalau 'Isabella' adalah 'al-fatihah' kepada muzik rock kapak, novel Lagenda Budak Setan adalah 'al-fatihah' kepada novel-novel cinta di Malaysia.

*
Aku tersentak dari lamunan. Punyalah jauh aku terkenang zaman sekolah dahulu. Ini semua gara-gara membaca berita filem Lagenda Budak Setan yang sudah pecah rekod panggung. Ya- Lagenda Budak Setan yang dahulunya novel kini sudah diangkat menjadi filem.

Aku tidak pasti adakah filem ini akan selagenda novelnya. Namun aku tetap akan turun menonton. Bagi aku- diangkat menjadi filem pun sudah memadai. Aku akan menonton filem ini dengan bernostalgia. Pedulikan aspek 5 bintang atau 1 bintang. Yang aku ingin rasai adalah jiwa Kasyah- jiwa budak setan yang dekat di jiwa pelajar lelaki dahulu.

Ahadiat Akashah mungkin bukan sasterawan negara tetapi bagi aku beliau adalah sasterawan rakyat- kerana beliau telah berjaya mengusik emosi berjuta rakyat Malaysia. Dan aku yakin mereka-mereka ini akan turun ke wayang menonton Lagenda Budak Setan.


Tamat Prolog.