Tuesday, June 30, 2009

It's all about economy, stupid! Not race or religion...

Entry ini susulan daripada entry sebelum ini. (Soal-jawab bersama Basuh Baju)

Kepada semua (bukan kepada Reek sahaja).

Sila baca entry daripada blog Teh Tarik Gelas Besar. Saudara Nami telah menjelaskan sebaik mungkin tentang apa yang berlaku di dalam kehidupan kita. Mungkin ada yang bersetuju dan mungkin tidak. Tetapi di akhirnya kita saling memperbaiki pandangan masing-masing.

Sebarang pandangan dan pendapat adalah dialu-alukan. Mari Berdiskusi! Terima Kasih.

Monday, June 29, 2009

Soal Jawab Bersama Basuh Baju


1- Basuh Baju,


Saya berasa amat risau bila mendengar mengenai wabak HINI yang semakin hari semakin teruk di seluruh dunia. Di Malaysia sahaja sudah 100 lebih kes jangkitan. Bagaimanakah kerajaan Malaysia menangani wabak ini? Adakah langkah yang diambil mampu menyelesaikan masalah wabak HINI?
( Rais Yatim, Jelebu)

- Saudara Rais Yatim,

Malaysia telah mengambil satu langkah yang sangat bijak. Tidak ada satu negara pun yang sanggup mengambil risiko dengan mengambil langkah ini. Malah Mexico, China, Australia dan USA juga kelihatan bengap kerana tidak mampu berfikir bagaimana hendak mengawal wabak HI1NI. Difahamkan langkah ini adalah yang pertama di dunia. Kerajaan Malaysia wajar diberi pengiktirafan di dalam Guinnes World Book of Record.

Langkah tersebut ialah dengan mengarahkan media menggunakan istilah selesema babi. Istilah H1N1 tidak sesuai digunakan kerana ianya susah hendak disebut di dalam Bahasa Melayu. Di samping itu istilah selesema babi juga dilihat lebih bersifat kebangsaan. Basuh Baju amat yakin dua-tiga hari selepas istilah selesema babi digunakan, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang bebas daripada wabak H1N1 ops...wabak selesema babi.

ps: Sepatutnya guna selesema khinzir. Bukan lagi Islamik ke?

2- Basuh Baju,

Saya merupakan insan yang banyak melakukan dosa. Sepanjang hidup saya, saya telah mengambil rasuah, menindas orang miskin, bersifat rasis dan menipu orang ramai. Namun sekarang jiwa saya sudah sedar dan insaf. Saya ingin bertaubat. Harapan saya agar diri saya ditempatkan di kalangan insan yang memasuki syurga Yang Maha Esa. Basuh Baju boleh mengajar atau memberi saya sedikit nasihat?
(Muhyiddin Yassin)

- Saudara Muhyiddin,

Pertama sekali Basuh Baju bukanlah mereka yang 'layak' bercakap soal agama. Basuh Baju risau apa yang dinasihati oleh Basuh Baju akan menyebabkan ada golongan yang akan menuduh Basuh Baju menghina agama Islam. Basuh Baju tidak mahu ada laporan polis dibuat yang akhirnya membazir kertas dan secara tidak langsung menyumbang kepada penebangan pokok.

Namun, Basuh Baju merupakan seorang blogger. Dan sebagai blogger, Basuh Baju mempunyai idea yang sangat mudah dan bernas untuk saudara. Untuk memasuki syurga tidaklah sepayah yang disangkakan. Saudara hanya perlu menunggu pada pilihanraya akan datang dan silalah pergi mengundi. Di kertas undi nanti, saudara hanya perlu memangkah parti BN. Kemudian ambil gambar kertas undi tersebut untuk dijadikan bahan bukti di akhirat kelak.

ps: Ini bukan fatwa. Tetapi ini candu daripada parti politik yang menggunakan agama untuk menarik undi.

3- Basuh Baju,

Sekarang ini heboh di sana-sini mengenai konsep 1Malaysia. Sebagai kontraktor yang dilantik untuk menyediakan baju, topi, banner, risalah, papan tanda, buku, dan model logo '1' di bangunan-bangunan kerajaan, saya amat bertuah. Berjuta-juta ringgit saya perolehi daripada kontrak 1Malaysia. Namun, saya tertanya-tanya bagaimanakah konsep 1Malaysia ini dapat diterapkan ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia? Basuh Baju mempunyai cadangan?
(Nazri Aziz)

- Saudara Nazri,

Sebenarnya bukan saudara sahaja yang mengaut keuntungan daripada konsep 1Malaysia. Pencipta logo, pengubah lagu dan juga pereka tarian 1Malaysia juga mendapat manfaat. Basuh Baju difahamkan tidak lama lagi setiap sekolah dan universiti akan diwajibkan untuk mengajar tarian senam robik 1Malaysia pada waktu riadah. Tetapi awas, jurulatihnya bukanlah Linda Jasmine tetapi seorang anak dara bernama Rosmah Mansor.

Oh ye, hampir terlupa dengan soalan saudara. Basuh Baju sangat yakin konsep 1Malaysia ini akan berjaya, cemerlang, gemilang, dan terbilang sekiranya Biro Tata Negara (BTN) yang mengendalikannya. BTN merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang sangat mementingkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Hidup BTN!

4- Basuh Baju,

Saya merupakan editor di akhbar arus perdana. Saban hari saya mempunyai masalah untuk memilih berita di muka hadapan. Kadangkala saya keliru, mana satu berita dan mana satu auta.
(Awang Selamat)

- Saudar Awang,

Senang saje. Bila Obama telefon Najib, itulah yang patut dijadikan berita utama. Hal-hal seperti rumah rakyat kena roboh, kos sara hidup meningkat dan pekerja dibuang tidak patut dijadikan berita. Kalau hendak letak pun, sila letak di bahagian yang kecik-kecik.

Ps: Agaknya kalau Basuh Baju telefon kawan bernama Najib, boleh masuk muka hadapan tak?

5- Basuh Baju,

Saya mempunyai masalah rumah tangga. Suami saya mempunyai perempuan lain. Sudah 2 minggu dia tidak pulang ke rumah. Bagaimana untuk saya memenangis hatinya balik?
( Diana Danielle)

- Saudari Diana,

Errr....maaf. Basuh Baju bukan blog mengenai masalah peribadi.

Saturday, June 27, 2009

Gembira!

Akhirnya telah selesai juga. Segalanya sudah tamat. Syukur kepada Yang Maha Esa.

Sesudah habis peperiksaan, datang pula musim cuti.

Cuti hendak buat apa? Entahlah. Siapa ada idea atau cadangan?

Mungkin cuti ini kuarantin diri sendiri di rumah...Ops! hahaha

ps: Basuh Baju akan mula menulis pada hari Isnin. 2 hari cuti ini mahu lari daripada ketagihan internet. Itupun kalau berjaya la. hehe

Selamat Bercuti! -BB-

Thursday, June 25, 2009

Perangai Pelajar Melayu


1- Sekarang ini jika kita bercakap mengenai Melayu, kita akan dituduh rasis. Apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu, kita akan berasa tidak sedap hati. Saya mungkin tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Tetapi jika dilihat, ada juga sedikit kebenarannya.

2- Hari ini saya ingin bercakap tentang orang Melayu. Sebenarnya saya cuba untuk mengelak menggunakan perkataan 'orang melayu'. Saya risau dituduh menggunakan bangsa untuk memecah-belahkan manusia.

3- Namun perkara yang ingin saya cakapkan ini memang bersangkutan dengan orang melayu. Betapa hebat saya nafikan pun, ia tetap berkaitan dengan orang melayu. Noktah.

4- Apakah perangai Orang Melayu?

5- Pernah tak kita terfikir mengapa pelajar melayu suka duduk di belakang? Walaupun kerusi di depan begitu banyak yang kosong. Tidak kisahlah program apa sekalipun- yang ilmiah mahupun hiburan- semuanya gemar duduk di belakang. Kenapa ye? Kurang keyakinan diri?

6- Pernah tak kita terfikir mengapa pelajar melayu malu hendak bertanya? Kalau kita lihat, nak tanya satu soalan pun punyalah berat nak bukak mulut. Nak kena ramai-ramai bersuara baru berani. Tak ada pun yang cool- angkat tangan, berdiri dan bertanyakan soalan. Kenapa ye? Kurang keyakinan diri lagi?

7- Pernah tak kita terfikir mengapa pelajar melayu suka memandang pelik mereka yang suka bertanya dan bertukar pendapat dengan cikgu/pensyarah? Kalau kita perhatikan bagaimana budaya belajar pelajar Cina, India dan juga pelajar luar negara, kita akan dapati mereka sangat berani dalam menyuarakan pendapat mereka. Mana yang tidak faham-mereka tanya. Mana yang tidak setuju- mereka pertikaikan. Dengan cara ini ilmu dapat berkembang. Bukankah ini budaya yang bagus dan betul?

8- Tetapi lihat apa yang pelajar melayu fikirkan tentang mereka. Mereka dikatakan berlagak kerana bersuara. Mereka dikatakan tunjuk pandai kerana memberi pandangan. Mereka dikatakan kurang ajar kerana bercanggah pendapat dengan pensyarah. Tetapi apa yang pelajar melayu dapat dengan berfikiran begini? Pernah tak kita terfikir hal ini? Kenapa ye?

9- Ada sesiapa punyai pandangan? Mari berdiskusi!

Tuesday, June 23, 2009

Perang, Ah Long dan nilai ketimuran

PERANGI AH LONG- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 22 Jun - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengisytiharkan perang ke atas ah long hari ini.

Beliau menegaskan, fenomena ah long tidak boleh diterima sama sekali apalagi dibiarkan menular kerana ia adalah jauh daripada nilai ketimuran.

''Saya beri amaran sekeras-kerasnya kepada ah long. Saya nyatakan dengan tegas di sini bahawa saya mengisytiharkan perang terhadap ah long.

********************************************************************************************

1- Perang datang lagi. Kali ini perang terhadap Ah Long. Sebulan yang lepas perang juga telah berlaku. Ketika itu perang terhadap Mat Rempit. Entah apa yang jadi kepada perang itu tidak pula diketahui. Mat rempit masih steady. Mat peragut masih banyak.

2- Nampaknya cara terbaik bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku di negara kita sekarang ialah dengan berperang. Pak-pak menteri akan turun padang, jalan 20-30 minit dan buat sidang akhbar.

3- Dalam sidang akhbar, menteri akan cakap berdegar-degar dan mengutuk 'sekeras-kerasnya'. Entah apa yang keras, tidaklah saya nampak. Siapa tahu? atau nampak?

4- Esoknya, media akan menyiarkan berita amaran 'keras' dan perang ini di muka-muka depan. Perkara ini akan terus dimainkan sehingga 2-3 hari. Adakah ini untuk menunjukkan pak menteri buat kerja? Saya tidak tahu. Saya bukan ahli politik. Saya bukan sesiapa.

5- Mungkin ini kaedah terbaru bagi mendapatkan sokongan. Sekolah-sekolah politik di dunia sila ambil perhatian. Perkara ini boleh dijadikan sebagai modul baru. Tidak perlu pening untuk mengajar modul ini dalam bahasa apa kerana ia tidak tertakluk di bawah PPSMI.

6- Lepas perang, apa jadi? Selalunya perang akan membawa kepada lebih banyak kerosakan. Amat jarang perang dapat menyelesaikan sesuatu masalah. Malah perang menambahkan lagi masalah yang ada.

7- Kita perlu sedar perang merupakan rundingan yang gagal. Perang merupakan langkah terakhir yang diambil selepas langkah-langkah sebelumnya gagal dan menemui jalan buntu.

8- Adakah kerajaan telah mengkaji mengapa orang ramai meminjam daripada ah long? Adakah kerajaan sedar punca utamanya adalah kerana keengganan pihak bank dalam memberi pinjaman? Adakah kerajaan telah cukup berusaha dalam memaksa bank melonggarkan syarat pinjaman?

9- Mengapa masih ramai yang meminjam daripada Ah Long? Apa yang Ah Long 'ada' yang tiada pada bank-bank? Adakah Pak menteri tidak ingin menyiasat?

10- Atau mungkin berperang adalah budaya kita- budaya yang penuh dengan nilai ketimuran. Siapa tau........

Bayar untuk keselamatan? (updated)

(Aku tersilap. Yang aku maksudkan bukan penswastaan tetapi ganjaran. Ada perbezaan antara keduanya. Maaf)

Kadar jenayah makin meningkat. Rogol, bunuh orang, pecah rumah dan ragut makin hari makin banyak. Polis buat kerja ke tak ni?

Polis kata 'tak cukup orang'. Tapi..........

Tangkap orang berhimpun menentang ISA- laju je. Tapi buat report pecah rumah- hampeh.
Tangkap orang jual CD cetak rompak- cepat je. Tapi masalah ah long- tak setel-setel.

Cukup orang ke tak ni?

Tiba-tiba ada idea best datang masa sibuk ulangkaji pelajaran.

Polis ni manusia jugak kan? Manusia ni suka kat duit kan? Duit ni mampu membuatkan orang lagi semangat kan?

Macam mana kalau polis dibayar bagi setiap penjenayah yang dicekup? Mesti ramai polis yang berlumba-lumba nak cari orang jahat kan? Siapa tangkap pencuri, dibayar RM200 ke. Siapa tangkap perogol, dibayar RM311 ke. Amacam?...

Ps: idea di luar kotak. Mungkin betul mungkin salah. Apa kata anda?

Saturday, June 20, 2009

5 perkara wajib bangga tentang Malaysia


Apa yang boleh dibanggakan tentang Malaysia?

Lama saya fikir. Puas saya cari. Apa benda yang boleh saya banggakan? KLCC? Dari sudut seni bina, ya. Saya boleh bangga. Malaysia ada simbol tersendiri. Kalau Mesir dengan Piramid, Paris dengan Eiffel Tower, Malaysia ada KLCC. Tetapi dari sudut fungsi? Saya rasa tidak.

Litar Sepang? Putrajaya? Sukan Komanwel? Ini lagi tak boleh dibanggakan. Tengok sendiri apa yang terjadi kat litar sepang. Berdebu, kotor, dah tak menarik. Putrajaya? Memang bandar terancang. Bangunan pun cantik-cantik. Tetapi sila lalu di sana pada waktu malam. Kosong, sunyi, tak ada life. Bandar apa begini? Bandar hantu? Sukan Komanwel? Lepas habis guna- kompleks sukan Bukit Jalil terus hilang ceria. Berapa kali sangatkah stadium itu penuh? Dan yang paling penting, ada sukan kita maju dengan wujud fasiliti itu?

Jadi apa yang boleh dibanggakan?

Perpaduan kaum? Jangan tipu-tipu. Kita sering digambarkan sedemikian rupa. Tetapi hakikatnya kita punya perpaduan sangat plastik. Nak bincang isu biasiswa pun dah mengamuk tak tentu pasal. Masing-masing ada prejudisnya. Melayu dengki kat kekayaan cina. Cina rasa didiskriminasi oleh hak melayu. Ini perpaduan? Cuba tanya diri kita sendiri. Sila berlaku jujur- berapa ramai sangat kawan kita daripada bangsa lain?

Habis tu apa lagi yang boleh dibanggakan?

Infrastruktur kelas pertama, minda kelas ketiga? Betul ke pernyataan ni? Sistem pengangkutan awam kita kelas pertama ke? Naik tren macam sardin. Tunggu pun dekat setengah jam. Bas pun kena tukar-tukar sampai 3 kali. Lebuhraya kita kelas pertama ke? Bayar tol mahal-mahal. Tapi masih lagi sesak. Lebuhraya untuk untung atau untuk menyenangkan? Sistem pendidikan kita kelas pertama ke? Ini malas dah nak ulas. Nilailah sendiri.

Tapi... fikir punya fikir sebenarnya ada juga yang boleh dibanggakan sebenarnya.

Tabung Haji. Mungkin ramai yang tak sedar, institusi ni berjaya membantu dan menguruskan rakyat Malaysia yang beragama Islam pergi menunaikan haji. Ingat senang ke nak uruskan berpuluh ribu jemaah ke sana? Okeylah, mungkin Tabung Haji ni ada silap sikit tentang pelaburannya. Tetapi masih lagi top kat dunia ni. Tak percaya sila pergi ke Mekah dan lihat betapa kelasnya Tabung Haji.

Felda. Ini projek yang bagus. Kerajaan bagi insentif terhadap peneroka-peneroka tanah. Lepas tu bangunkan pula tanah tu dengan kemudahan-kemudahan. Sampai dah ada felda yang jadi bandar. Kan secara tak langusng membangunkan negara? Kemudian daripada rakyat dulu tak ada tanah, sekarang dah ada tanah. Ada yang kaya lagi sebab jual tanah mahal-mahal. Anak-anak felda pun ramai yang berjaya. Agaknya kalau rancangan felda ni tak wujud, apalah nasib rakyat-rakyat di luar bandar kan?

KWSP. Ramai yang tak tahu KWSP antara institusi yang mempunyai banyak aset di dunia. Lebih RM300 billion kalau tak silap (kalau silap, tolong betulkan). Tapi bukan sebab KWSP ini kaya saya nak banggakan. Saya bangga sebab KWSP berjaya membantu dan memaksa pekerja-pekerja kita menyimpan untuk hari tua. Seboros-boros pekerja kat Malaysia pun, bila dah bersara nanti adalah duit sedikit. (Cukup tak cukup tu belakang kira. Kalau duit sejuta pun kalau belanja bagai nak rak habis jugak kan?) Bayangkan KWSP ini tak ada. Tak menabung pekerja-pekerja kita nanti.

PNB. Sebenarnya ramai tak tahu PNB ni banyak membantu rakyat Malaysia. Bukak akaun, masuk duit untuk pelaburan dan duduk rileks sambil berdoa. Setiap tahun duit itu bertambah. (Konfem akan bertambah. Sebab kalau rugi, matilah kerajaan kena jawab. Silap-silap boleh kena guling.) Okey, saya tau mungkin ada yang kata ini kapitalis ke apa. Saya tak nak bincang pasal itu.

Apa yang saya nak cerita bagaimana PNB dengan ASB, ASM, ASW 2020 berjaya membantu rakyat di negara kita. Berjaya dari segi menambahkan pendapatan melalui pelaburan. Kalau masuk RM10 ribu, setiap tahun dapatlah dalam RM800-900. Ada sesiapa nak bagi ke kalau PNB tak ada? Kalau masih ada lagi tak setuju, sila tanya ibu bapa dan sedara mara kita, mesti ada yang masuk melabur dalam PNB jugak. Tak kisahlah mereka orang BN atau Pakatan. Tak kisah kaum apa sekalipun PNB tetap di hati. Dan, untuk rekod ada lebih 8 juta pelabur dalam PNB. Tak ke banyak tu yang mendapat manfaat?

PETRONAS. Nak menjadi kapitalis terbesar di dunia bukan senang. Tapi PETRONAS berjaya muncul sebagai antara 500 syarikat terbesar di dunia. Mungkinlah ada benda-benda mengarut yang PETRONAS buat seperti taja FI sampai beratus-ratus juta. Uruskan simfoni kat MPO dekat RM500 juta. Benda-benda ni saya pun tak faham tujuannya.

Namun hakikatnya PETRONAS banyak berjasa. Kalau bukan PETRONAS, tak adanya dana-dana untuk kerajaan kita menguruskan negara. Tak ada duit bina sekolah, subsidi makanan dan tenaga. Kalau bukan PETRONAS, tak wujud beribu-ribu peluang pekerjaan di dalam dan luar negara untuk rakyat tempatan. (dahlah bayar gaji mahal). Kalau bukan PETRONAS, tak ada univerisiti dan biasiswa untuk pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran. Kalau bukan PETRONAS, tak taulah nak bayangkan macam mana.

Ini antara sedikit sebanyak yang sempat saya fikir malam tadi. Saya memilih 5 perkara ini berdasarkan sumbangannya kepada rakyat Malaysia. Saya menilai bagaimana institusi ini berjaya membantu ibu bapa kita, atuk nenek kita, pakcik makcik kita, kawan-kawan kita dan juga diri kita sendiri.

Ada rasa bangga tak?


Ps: tulisan terpanjang Basuh Baju.

Friday, June 19, 2009

Perkara yang boleh dibanggakan tentang Malaysia

Bila kita membaca akhbar, membuka blog, mendengar radio dan menonton TV, fikiran kita akan terganggu tentang segala macam berita yang menyakitkan otak. Semuanya berkisar tentang negara kita, Malaysia. Semua benda rasa nak dikomen. Semua isu rasa nak dikupas. Mana yang boleh marah- kita marah. Mana yang boleh gelak- kita gelak. Mana yang boleh tibai-kita balun.

Kejap-kejap bising pasal Perak. Dah senyap pasal Perak, pasal PAS dan kerajaan pepaduan. Dah diam pasal PAS, pasal konsep 1Malaysia. Dah reda pasal 1Malaysia, pasal melayu dan Islam. Tak ckup dengan itu pasal sekolahlah, pasal Bahasa Inggerislah, pasal SPM dan biasiswalah. Kemudian kritik tentang perpaduan, tentang agama, tentang ekonomu- Semuanya isu-isu hangat dan negatif.

Mungkin ada benarnya kritikan dan pandangan kita. Dan itupun memang hak kita sebagai rakyat untuk bersuara dan memberikan pandangan. Tiada salahnya di sini. Yang salah bila hak bersuara ini dinafikan. Yang salah bila suara kita tidak didengari dan disenyapkan.

Berbalik pada is-isu tersebut, kita asyik-asyik mengkritik kerajaan. Kerajaan buat ini pun salah. Kerajaan tak buat itu pun salah. Seolah-oleh teruk sangat kerajaan ni. Dan secara tak langsung teruk juga negara Malaysia.

Basuh Baju- sebagai seorang remaja 19 tahun pun kadang-kadang rimas jugak. Yelah, kalau dah tiap-tiap hari baca benda-benda serius je, mau tak sakit otak. Mata pun dah kabur semacam asyik duduk depan laptop baca artikel.

Tiba-tiba hari ini tmbul satu persoalan. Persoalan ini timbul selepas sesak dengan isu-isu dan berita-berita negatif. Asyik-asyik cerita tentang masalah dan isu je, takkan kat Malaysia ni tak ada apa yang boleh dibanggakan langsung? Takkan tak ada satu pun kejayaan yang boleh kita eksyen kat negara luar? Mesti ada kan.

Siapa ada cerita positif? Siapa ada pandangan?


Mari kita berdiskusi dan berkongsi!

Thursday, June 18, 2009

Apa itu politik?


Politik tidak berat, tidak serius dan tidak menakutkan....

Bila kita bercakap mengenai politik, begitu ramai yang salah faham. Politik dianggap sesuatu yang 'berat' dan menyusahkan. Malah ada pula golongan yang membencinya. Kata mereka politik itu kotor dan jijik. Golongan ini akan cepat-cepat menutup telinga dan tersenyum sinis bila topik politik dibuka. Sebenarnya perkara ini berlaku disebabkan kegagalan mereka dalam memahami apa sebenarnya politik.

Satu peringatan: politik bukan sekadar Barisan Nasional. Politik tidak terhad kepada Pakatan Rakyat semata-mata. Politik tidak berlingkar di antara UMNO, PAS, DAP dan PKR sahaja. Politik lebih daripada itu. Politik ialah kehidupan seharian kita. Suka atau tidak- hidup kita sentiasa dikelilingi oleh politik. Tidak percaya?

Pergi ke tempat kerja dan belajar, sila perhatikan apa yang berlaku. Semuanya bersaing untuk mendapatkan sesuatu. Kalau di tempat kerja, benda yang selalu direbut ialah jawatan dan kuasa. Kalau di tempat belajar selalunya markah dan gred yang dikejar. Untuk mendapat perkara ini, macam-macam benda yang sanggup dilakukan. Hal ini timbul kerana adanya persaingan. Persaingan memaksa manusia untuk melakukan apa sahaja untuk terus kekal.

Sebab itu kita selalu mendengar ada pelajar mengipas pensyarah, ada pekerja membodek taukey dan ada orang mencucuk orang lain. Tangan menghulur-hulur, mulut bermanis-manis, muka tersengih-sengih, dalam hati- ada maksud.

Sebab itu ada kes kawan tikam belakang, ada kes kawan pijak kawan, dan ada kes kawan makan kawan. Di depan kita baik, di belakang kita taik. Di depan kita bercakap indah, di belakang kita bercakap padah.

Sebab itu ada orang mencipta pengaruh. Pengaruh dibina dengan berkenalan dengan orang-orang tertentu. Pengaruh juga datang dengan mewujudkan persepsi. Semuanya dilakukan bukan kerana hobi atau suka-suka sebaliknya untuk mencapai matlamat iaitu mendapat sesuatu. Bukankah tujuan berpolitik untuk mendapatkan sesuatu? Bukankah politik berkaitan persepsi dan pengaruh?

Noktah sebentar. Memahami konteks politik di dalam kehidupan adalah penting. Ini kerana daripada kesedaran yang timbul barulah kita dapat membebaskan pemikiran kita. Pemikiran yang bebas-yang tidak membenci politik- barulah dapat melahirkan rakyat yang lebih peka terhadap apa yang berlaku di negara kita. Dan inilah yang sedang menjadi persoalan: Adakah rakyat Malaysia benar-benar peduli tentang apa yang berlaku di Malaysia?


Sudah faham apa itu politik? Masih membenci politik?

Wednesday, June 17, 2009

Mak Nyah, Lelaki lembut dan Pondan

Tokoh Agama Seru Pulihkan Mak Nyah- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 16 Jun - Tokoh-tokoh agama dan pendidik hari ini menyeru semua pihak berpadu tenaga membantu golongan 'mak nyah' kembali menjalani kehidupan sebagai lelaki normal.

Mereka berkata, golongan tersebut tidak boleh dibiarkan hidup dalam 'kelompok sendiri' kerana dikhuatiri mengakibatkan masalah sosial lain termasuk seks bebas yang merosakkan bangsa dan negara.


Basuh Baju mengajak para pelayar memberikan pandangan mengenai isu ini. Macam biasa, selepas berdiskusi, Basuh Baju akan memberikan pandangannya pula. (mungkinlah sebab Basuh Baju tidak ada pengetahuan sangat tentang isu ini.hehe)

Selamat Berdiskusi!

Tuesday, June 16, 2009

Jangan Buat

Blog-blog jugak. Esok gua exam. Jumpa lagi lepas hari esok.



ps: Jangan beli Utusan Meloya. Nanti awang selamat berbisik.

pss: Jangan pergi majlis formal. Nanti lemas tercekik tali leher.

psss: Jangan tonton sidang parlimen Malaysia. Nanti terasa nak pergi zoo negara.

Monday, June 15, 2009

Wajib, gagal dan sijil


Kenapa manusia ke sekolah? Persoalan ini saya timbulkan bagi menjawab segala kekalutan yang timbul sekarang. Ketepikah isu bahasa dan subjek wajib seketika. Mari kita pergi kepada persoalan asas: Kenapa manusia ke sekolah?

Sekali pandang soalan ini cukup lekeh, tidak bermakna dan tidak penting. Namun tanpa kita sedari kegagalan daripada memahami persoalan ini menyebabkan kita gagal memahami apa yang berlaku mengenai sistem pendidikan kita.

Kenapa manusia ke sekolah? Jawapannya adalah untuk belajar menguasai ilmu. Mungkin ada yang berkata kita ke sekolah kerana kerajaan mewajibkan kita pergi. Mungkin juga ada yang menjawanb kita ke sekolah untuk mengenal kehidupan. Semua ini betul tetapi di akhirnya kita perlu akui sekolah dibina untuk memberi ilmu. Dan kita ke sekolah untuk menimba ilmu dan belajar.

2-3 hari ini begitu kecoh di negara kita mengenai Bahasa Inggeris ingin dijadikan subjek wajib lulus SPM. Siapa yang tidak lulus maka tidak layak mendapat sijil SPM. Siapa yang tidak mendapat sijil SPM, maka tidak dapat memohon pekerjaan. Dianggarkan lebih 130 ribu pelajar akan tidak bersijil sekiranya langkah ini dilaksanakan. Sekali pandang langkah ini begitu merugikan pelajar di sekolah.

Noktah sebentar. Adakah kita ke sekolah kerana sijil? Apa kejadahnya sijil ini?

Sijil hanya alat yang memperakui tahap penguasaan kita terhadap sesuatu ilmu. Tidak lebih daripada itu. Apa yang penting ialah ilmu yang kita pelajari yang dicatatkan di sijil. Kita boleh hilang sijil tetapi kita tidak akan boleh hilang ilmu yang diperoleh. Kita tetap seorang bodoh jika kita gagal menguasai sesuatu ilmu itu. Mempunyai sijil atau tidak- ia bukan perkara yang penting. Yang harus ditekankan ialah menguasai ilmu itu ataupun tidak. Adalah lebih baik tidak bersijil tetapi berilmu daripada bersijil tetapi tidak berilmu.

Lihat sahajalah bagaimana sijil SPM diberikan. Kita boleh gagal semua subjek tetapi masih diberikan sijil asalkan subjek BM lulus. Adakah ini bermakna pelajar itu sudah berjaya menguasai ilmu yang diajar di sekolah? Untuk subjek BM, ya. Tetapi untuk subjek lain yang gagal? Adakah pelajar ini sudah dikira mencapai tujuannya untuk ke sekolah? Adakah tujuan ke sekolah untuk mempelajari ilmu tercapai?

Kita perlu kembali kepada tujuan kenapa manusia ke sekolah. Kita perlu berlaku jujur terhadap diri kita. Kita mesti jelas manusia ke sekolah adalah untuk belajar. Membenarkan pelajar kita mendapat sijil walaupun gagal BI, Matematik, Sains, etc adalah langkah yang tidak jujur. Ini merupakan langkah yang berlawanan dengan tujuan utama kita menghantar pelajar ke sekolah. Malah bertentangan dengan objektif penubuhan sekolah sebagai institusi penyebaran ilmu.

Ingatlah: 130 ribu pelajar yang bakal tidak bersijil memang merupakan jumlah yang besar. Tetapi jumlah ini menjadi besar HANYA JIKA kita tidak berbuat apa-apa. HANYA JIKA kita berpeluk tubuh dan sekadar berdoa. Untuk saya, menjadikan subjek BI sebagai wajib lulus adalah langkah yang tepat. Malah saya mengalu-alukan subjek-subjek lain juga diwajibkan lulus untuk sijil SPM. Ini langkah ke hadapan.

Sudah tiba masanya kita melahirkan pelajar yang menguasai ilmu dan bersijil. Bukan pelajar yang bersijil tetapi gagal dalam menguasai ilmu.

Kenapa manusia ke sekolah? Untuk sijil? Untuk gagal? Atau.....untuk belajar menguasai ilmu?

Sunday, June 14, 2009

Anak dara dan dua jejaka tampan

Mencari titik pertemuan dua parti melayu- Utusan Meloya

Seorang rakan menganggap kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai kerajaan perpaduan dengan UMNO sebagai satu gimik politik.

Pas katanya, ibarat anak dara idaman yang cantik molek, ingin disunting dua jejaka tampan. Idea kerajaan perpaduan hanyalah strategi Pas untuk meningkatkan saham politik dengan bermain tarik tali antara Pakatan dan UMNO, katanya.

UMNO jejaka tampan? Bukan dah 62 tahun ke?

Pas anak dara? Bukan dulu pernah 'kahwin' dengan BN ke?

Anak angkat, diangkat dan terangkat

Manek Urai Anak Angkat BN- Utusan Meloya

KUALA KRAI 13 Jun - Kerajaan Pusat akan menjadikan Manek Urai sebagai 'anak angkat' sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tersebut pada 14 Julai ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kawasan itu akan diberikan tumpuan khusus dari semua aspek terutama pembangunan infrastruktur sekiranya menjadi anak angkat kepada Kerajaan Pusat.

Bilalah Selayang nak diadakan pilihan raya kecil........hmmmmmmmm....

Lawak Hari Ahad

Tumpu Usaha Bangunkan Atlit- Utusan Meloya

LANGKAWI 13 Jun – Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu persatuan-persatuan sukan di negara ini menghindarkan politik, tetapi memberi tumpuan lebih serius kepada usaha membantu dan membangunkan bidang itu.

“Ketepikan politik dalam sukan, tetapi lakukan lebih banyak kerja untuk membantu bakat-bakat sukan menyerlah. Kalau semua ini dapat dilakukan, saya percaya tahap sukan kita termasuk golf akan lebih baik daripada sekarang,” katanya pada majlis pelancaran kejohanan Cabaran Golf TSM 2009 di Tanjung Rhu di sini hari ini.

Golf tu sukan ke?

Saturday, June 13, 2009

Satu penilaian kembali pandangan


TIDAK SEMUANYA BETUL DAN SALAH

Setiap orang mempunyai pandangan mereka masing-masing. Tiada siapa yang pandangannya betul seratus peratus dan tiada pula pandangan yang salah sesalah-salahnya. Setiap pandangan boleh jadi betul untuk golongan ini dan boleh jadi salah untuk golongan lain. Betul atau salah pandangan itu tidak penting.

Yang penting yang perlu kita rayakan ialan: Kita semua perlu dibenarkan berbincang dan bertukar pandangan untuk memperbaiki pandangan kita.

Hari ini Basuh Baju ingin menunjukkan bagaimana kita memperbaiki pandangan kita dan juga mengakui kelemahan pandangan kita.

*********************************************************************************
LEPAS RUNTUH APA PULA- Basuh Baju

Ketepikan semua benda ini. Saya ada satu cadangan apa yang patut dilakukan mengenai stadium yang sudah runtuh ini. Saya mencadangkan agar MENGEKALKAN SAHAJA STRUKTUR yang tinggal sekarang.

*********************************************************************
Komen dari: Neollene


" proses construction sesebuah bangunan bukannya mudah. architecture yg berjaya adalah apabila bangunan itu functional. monumen bukan function. kita sudah banyak membazir..jangan bazirkan lagi duit , tapak, idea dan kreativiti people in construction industry."

*********************************************************************************
BASUH BAJU

Your argument is based on the fact monument is not functional. I beg to differ.

With all due respect (especially you’re my senior and friend) I certainly sure monument is not useless. You see, monument that I propose is functional. Maybe we both see things differently. But rest assured, I’ll clear the air.

The function of this monument are:

1) Give a reminder to the current and next generation.
2) It serves as a tourist attraction. Let me give you a fact:

What do a colloseum in Italy, Hanging Garden in Baghdad, and Great Wall in China have in common? There are structures that collapse and unfinished. One question: Why do the authorities did not repair and rebuild it? And you see these structures have become one of the major tourist attraction.

***********************************************************************************
NEOLLENE

monument. one of the function Of monument is to become the symbol of the ancient civillization:

“SUCH AS “…

1.colloseum is an amphitheatre that had been very useful- since the Roman empire.

2. Great wall china-great age and size. defense purpose.

3. hanging garden babylon- great garden structure, terrace roofs and water pipes..

they have been built in the world history for thousands of years.. great architecture..great structure..great history and uses.

but what does the stadium has? great..largest structure? showing the culture? footballs?

if i am a tourist.. would i decide to visit the stadium just because of it has been collapsed and became a monument?

*************************************************************************************
BASUH BAJU

You’re contradict with yourself.

1) You said: monumen bukan function. But now you said: monument. one of the function Of monument is to become the symbol of the ancient civillization.

2) You said: jgn bazirkan lagi duit , tapak, idea…. But from what you’ve been suggesting, we have to repair the structure/stadium. I wonder how can we rebuild/repair the roof without cost us amount of money? Or perhaps is there a new technology that can doesn’t involves single of penny? But to buy the ‘not-existing technology’ too, money is still needed.

Do I hear the sound ‘flip’ after ‘flop’? Lets wait for some explanation.

I wonder, is the stadium will be fully utilised if it was reopen to the public again? The fact that before the stadium is collapsed, only 10%-20% of its capacity are utilised by the people. The rest has become an empty seat. My fact based on the attendance when Terengganu hosted a football match. Such a not functional stadium after SUKMA 2008.

I wonder, is just because the stadium has not been built a thousand years ago, then you made a decision it can’t become a monument?

If this is your case, then until forever, we may not have any monument in Malaysia. Or else, we need to wait for thousand years later. Then, I’ll become a corpse; buried underneath the earth.

*****************************************************************************************
NEOLLENE

I said that the monument such as the ’stadium’ is not functional if it become a monument..

a monument is functional IF;

” it become the symbol of the ancient ‘civilization’.”- is the stadium reflect our civilization, or culture dear friend?

i’m asking u my friend, Is the stadium act as the first and the last stadium that had ever built in the world history? until it can be the most uniqueeeee structure in the world?

and.. what is the ‘unique history’ that the stadium has until it will be remembered except for its weakness in construction.

“”in architecture, useless/unfunctional building is a big wastage..”" lets do modification.. make it functional n dont do the mistakes again. use appropriate materials for the finishes and structure. reexamine the load. 25Million is still much lesser than 292Million..think again.

*****************************************************************************************

KESIMPULAN

Ini merupakan pertukaran pendapat antara dua minda. Di akhirnya kita dapat memperbaiki kelemahan pandangan kita.

Jadi, setiap kali kita mempunyai pendapat dan pandangan tentang sesuatu- kita juga perlu bersedia membuka minda kita dengan idea-idea baru dari pandangan orang lain. :)

(Dalam contoh ini, pandangan Basuh Baju telah salah. Neollene telah memberikan pandangan yang lebih bagus. Untuk itu, terima kasih :)

Thursday, June 11, 2009

Komen Basuh Baju

INI KOMEN BASUH BAJU

Siang tadi para pelayar telah berdiskusi mengenai isu BI yang wajib lulus untuk dapat sijil SPM. Terima Kasih Basuh Baju ucapkan. Daripada komen-komen yang diterima- 90% menyokong dan 10% menentang.

Dalam isu ini satu perkara yang kita perlu persetujui bersama: mahu tidak mahu, kita semua perlu belajar, memperbaiki dan memperkasa tahap penguasaan Bahasa Inggeris. Tidak kiralah kita orang melayu, bugis, jawa, cina, india, luar bandar, dalam bandar, luar kubur, Islam, Buddha, tak ada agama, pensyarah ekonomi, pelajar universiti dan pelajar sekolah.

Saya menyokong langkah ini. Malah kalau boleh, biar subjek-subjek lain juga begitu. Biar subjek seperti matematik, sains, sejarah turut diwajibkan untuk lulus. Tak lulus tak dapat sijil. Tujuan peperiksaan pun adalah untuk menilai kemampuan pelajar tersebut. (mungkin akan ada yang berkata peperiksaan bukanlah kayu ukur yang tepat. Tetapi itu cerita lain). Gagal dalam peperiksaan bermakna gagallah apa yang cuba diajarkan kepada pelajar tersebut. Takkanlah selepas 11 tahun belajar dari darjah 1 sampai tingkatan 5 pun payah sangat nak lulus? Lulus je. Bukan A1 pun.

Logiknya, kalau dah gagal mengapa perlu memberi sijil? Kalau begitu, baik tak perlu belajar dan jawab peperiksaan. Sekadar ke sekolah tiap-tiap hari dan bagi sijil bila dah tamat belajar.
Tujuan ke sekolah pun ialah untuk belajar. Sudah menjadi lumrahlah kan bila belajar ini ada yang gagal dan ada yang lulus cemerlang. Kalau semuanya nak lulus, baik tak perlu wujudkan gred gagal langsung. Habis cerita.

Mungkin ada yang akan bersentimen dengan mengatakan langkah ini akan menyusahkan pelajar di luar bandar. Langkah ini akan menyebabkan pelajar-pelajar di kampung terus ketinggalan. Lalu saya timbulkan persoalan-persoalan ini untuk anda sekalian.

Adakah kerana anda merasakan mereka 'tidak mampu lulus' maka kita perlu kasihankan mereka dengan cara mereka tidak perlu rajin belajar untuk lulus?

Adakah kerana kita kasihankan mereka, maka mereka perlu terus berada di dalam keadaan yang tidak pandai? Habis tu sampai bila golongan luar bandar ini hendak maju? Asal sahaja hendak disuruh maju dan kerja keras sedikit, kita tentang dengan alasan- kasihan.

Bukankah pelajar-pelajar bandar sekarang ini- ibu bapa mereka juga berasal daripada luar bandar? Bukankah ibu bapa mereka juga merupakan produk daripada sistem pendidikan kita sekarang? Jadi, mengapa mereka boleh berjaya walaupun digelar 'pelajar luar bandar?'

Satu perkara yang pasti- disebabkan kita mahukan mereka-mereka di luar bandar ini pandailah kita perlukan mereka untuk lulus di dalam subjek-subjek yang diajar. (Dalam isu ini: subjek BI). Apa yang kita perlukan hanyalah tenaga pengajar yang berkelayakan dan kemudahan pembelajaran yang mencukupi.

TAPI

Bila dah dilaksanakan langkah ini- akan wujud masalah lain pulak. Sila klik sini.


Mari Berdiskusi!

SPM: LULUS BI WAJIB?- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 8 Jun – Orang ramai dipelawa mengemukakan pandangan masing-masing kepada Kementerian Pelajaran mengenai isu mewajibkan calon lulus mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Basuh Baju ingin mengajak para pembaca berdiskusi mengenai isu ini. Apa pandangan anda?

Tuesday, June 9, 2009

Kisah kenduri kahwin kampung


Pada minggu lepas saya telah menghadiri kenduri kahwin di sebuah kampung. Pada mulanya saya agak keberatan untuk pergi ke sana memandangkan kampung itu terletak agak jauh daripada rumah saya. Namun daripada saya terperangkap kebosanan keseorangan di rumah, lebih baik saya berjalan-jalan makan percuma di kenduri. Untung-untung dapat berkenalan dengan gadis-gadis desa.

Seawalnya saya tiba di sana, hati saya berasa sungguh seronok dengan suasana kenduri itu. Sudah begitu lama saya tidak merasakan kenduri (apa-apa kenduri pun) yang mempunyai 'jiwa' di dalamnya. Kebanyakan kenduri yang saya hadiri kebanyakannya 'kosong'. Nampaknya saya telah membuat satu keputusan yang tepat. Mengapa saya berkata demikian?

Jika sesiapa yang biasa dengan kenduri kahwin yang diadakan di kampung, pasti sedar akan meresapnya budaya gotong royong. Sifat kerjasama ini adalah perkara asas kepada mana-mana kenduri. Gilang gemilangnya sesuatu majlis itu bukan terletak pada wang ringgit yang ditaburkan tetapi kepada semangat kebersamaan yang menebal. Dan perkara inilah yang saya saksikan sendiri dengan mata kepala.

Untuk melihat perkara ini tidaklah susah. Kita hanya perlu rajin-rajinkan diri menjenguk ke belakang rumah atau ke dalam rumah. Sesekali ringankan mulut untuk bersembang. Kalau sekadar duduk di meja kenduri, makan nasi dan balik ke rumah- sampai Hadi Awang jadi PM pun tak akan dapat lihat.

Saya perhatikan di belakang rumah- ada khemah yang didirikan. Di sinilah kaum-kaum ibu/wanita akan menyediakan bahan asas masakan. Bawang dihiris. Ikan disiang. Sayur dipotong. Sambil bekerja sambil memangku anak kecil. Sambil bekerja sambil bersembang. Sambil bekerja sambil bergelak tawa.

Jalan ke tepi - ada pula pot orang lelaki. Pot ini di bawah pohon-pohon yang rimbun. Di pot inilah kayu arang dinyalakan. Di atasnya tersebar sebesar-besar kuali, periuk, dan belanga. Kelihatan anak-anak muda jantan akan mengacau masakan. Mungkin kerana kudrat orang muda yang masih kuat. Pakcik-pakcik veteran pula akan memantau dari tepi jika ada salah silap. Sesekali asap rokok dinyalakan. Sesekali bunyi siulan mengorat gadis-gadis yang lalu lalang. Sesekali ada yang curi tulang.

Jenguk ke depan pula- anak-anak kecil turut membantu. Mereka ini adalah tenaga penting dalam menghidupkan suasana kenduri. Mereka akan menjerit, menangis, bermain, dan berlari ke keliling rumah. Tanpa mereka, kenduri akan gagal. Lesu.

Ini baru sedikit yang saya ceritakan. Itu tidak termasuk orang-orang kampung yang melapah daging, yang membancuh sirap, yang mengemas meja, yang menghias pelamin, yang menyiapkan hantaran, yang membasuh pinggan mangkuk, yang menyedok nasi, yang menyusun kerusi meja, yang menghantar makanan, yang itu yang ini- yang semuanya dilakukan bersama.

Lihat betapa indahnya semangat kerjasama yang wujud. Semangat yang saya kira semakin menghilang pada masa sekarang.

Berapa lama lagi semangat ini mampu bertahan? Entahlah...............

Soalan untuk PAS

Pasal isu kerajaan perpaduan. Basuh Baju ada beberapa soalan mudah.

1- Kenapa sekarang? Kenapa bukan sebelum 8 Mac 2008?

2- Untuk apa kerajaan perpaduan ini? Untuk siapa?

3- Perpaduan dari segi apa? Orang melayu atau rakyat Malaysia?

4- Kalau perpaduan untuk negara, mengapa PKR dan DAP tidak disertakan sekali?

5- Bukankah PAS adalah parti paling sedikit kerusi di kalangan Pakatan Rakyat. Mengapa PAS?

6- PAS- parti Islam untuk semua atau PAS- parti untuk melayu?

Budaya Bodek yang Tak Ada Makna


Cuba perhatikan iklan-iklan di akhbar sekarang. Kita akan perhatikan budaya membodek yang cukup hebat dan tersusun. Budaya ini tersorok di sebalik foto-foto warna warni yang telah diphotoshop. Budaya ini bukanlah datang daripada susuk politikus tetapi datang daripada syarikat-syarikat besar di Malaysia.

Semenjak konsep 1Malaysia diperkenalkan, berlumba-lumba syarikat-syarikat ini membodek PM baru kita (atau Ketua Kampung menurut Nami). Cara terbaik untuk membodek ialah dengan meletakkan iklan syarikat mereka dengan terpampang konsep 1Malaysia di moto syarikat mereka. Sekali pandang budaya ini macam beruk meniru beruk. Bila satu syarikat ini buat, syarikat lain turut terangsang untuk meng'1Malaysia'kan syarikat mereka. Ini perkara bodoh dan bangang.

Jangan mudah tertipu dengan budaya bodek ini. Syarikat-syarikat ini bukanlah ikhlas atau bermurah hati secara tiba-tiba meng'1Malaysia'kan syarikat mereka. Mereka hanya ingin dilihat sebagai syarikat yang menyokong PM. Dengan cara ini mereka akan diberi keutamaan dalam mendapat kontrak kerajaan. Lihat betapa kuasa ekonomi jugalah yang menjadi tujuan dan matlamat.

Tak ada maknanya syarikat-syarikat ini meng'1Malaysia'kan imej mereka kalau pekerja-pekerja terus ditindas. Tak ada maknanya 1Malaysia kalau gaji minum masih lagi tidak diperkenalkan. Tak ada maknanya 1Malaysia kalau pekerja terus susah dan pemodal terus kaya. Semua ini tak ada makna.

Nota: Maybank, Pos Malaysia, Mas, TM- semuanya syarikat-syarikat besar yang telah mengeluarkan iklan syarikat mereka yang telah disunatkan dengan pisau 1Malaysia.

Berita yang dinanti-nantikan!

Diana akhiri PLKN- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 8 Jun - Pelakon remaja popular, Diana Danielle yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), menamatkan sesi latihannya petang semalam.

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Beeson, 18, menjalani program tersebut di Kem Princess Haliza, Sepang selama tiga bulan sejak pertengahan Mac lalu.

So?????

Monday, June 8, 2009

Kejap-kejap dalam PAS

Kejap nak gaduh, kejap nak baik.
Kejap nak lawan, kejap nak kawan.
Kejap nak berkahwin, kejap nak bercerai.
Kejap nak bersatu, kejap tak jadi bersatu.

Kejap nak berpadu, kejap tak jadi nak berpadu.
Kejap nak berpakatan, kejap nak berbarisan.
Kejap nak be'rakyat', kejap nak ber'nasional.

Kejap nak jadi kerajaan campuran, kejap nak jadi kerajaan perpaduan.

Asyik kejap je. Bila nak kekal ni?

Saturday, June 6, 2009

Mari Bagi Cadangan

LEPAS RUNTUH, APA PULA?

Begitu ramai yang mengulas mengenai kejadian bumbung stadium yang runtuh di Terengganu. Menteri Besar kata dah lapor tahun lepas. JKR kata tak sahkan lagi bangunan tu. Arkitek pulak kata bukan salah dia sebab dia tak reka bumbung. Di akhirnya nak wujudkan jawatankuasa bebas nak siasat. Tak habis-habis jawatan dan kuasa dan siasat. Ini dah macam NATO- No Action Talk Only.

Ketepikan semua benda ini. Saya ada satu cadangan apa yang patut dilakukan mengenai stadium yang sudah runtuh ini. Saya mencadangkan agar MENGEKALKAN SAHAJA STRUKTUR yang tinggal sekarang.

Biar stadium ini menjadi monumen. Biar ia dijadikan satu peringatan kepada semua pihak yang berjawatan dan berkuasa. Biar struktur stadium ini menghantui para politikus, pemodal, kontraktor dan orang ramai tentang dashyatnya rasuah. Biar selepas ini, sebelum membina sesuatu bangunan, gambaran struktur stadium ini menjadi iktibar dan amaran.

Di sisi yang lain, kerajaan tidak perlu mengeluarkan duit lagi untuk membaik pulih stadium ini. Saya amat pasti berpuluh juta ringgit dapat dijimatkan dengan cadangan ini. Silap-silap kerajaan boleh membuat duit dengan menjadikan struktur stadium ini sebagai satu tarikan pelancong untuk datang ke Terengganu/ Malaysia. Siapa kata Malaysia tidak mempunyai Ground Zero seperti di New York?

Mungkinkah jika cadangan ini diterima, penyu-penyu akan berhenti menangis dan bertelur? Siapa tahu...

Friday, June 5, 2009

Teka Teki Lagi...

Adakah Awang Selamat (Utusan Meloya) merupakan abang kepada Mas Selamat?

Ps: Entri terpendek Basuh Baju. :p

Wednesday, June 3, 2009

Jom Main Teka-Teki!

STADIUM DI GONG BADAK

Gambar di atas tiada kena mengena dengan teka teki ini. Sekadar hiasan. Segala persamaan dengan yang hidup, yang mati atau yang sedang mati adalah suatu kebetulan belaka.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Teka-teki Pertama: Malaysia merupakan negara bersalji dan beriklim sejuk. Betul atau tidak?

Jawapan: YA. Betul. Selamba je bantai pakai blzaer dan tali leher time tengah hari.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Teka Teki Kedua: Gajah gaduh dengan gajah, pelanduk mati di tengah.. Kalau Badak jatuh ranap tergolek, binatang apa yang mati?

Jawapan: Kancil.

Kredit gambar untuk Zy Masri.

Monday, June 1, 2009

Akhbar Melayu dan Akhbar Inggeris


Projek membodohkan melayu masih lagi diteruskan. Sila perhatikan di sekeliling kita, bermacam cara digunakan untuk memastikan akal orang melayu tidak berkembang dan jumud. Daripada hal politik hinggalah kepada cerita sosial. Semuanya diolah oleh media bagi membonsaikan fikrah melayu. Saya tidak pasti adakah ini usaha terancang atau perbuatan tidak sengaja.

Bagi mengesan usaha membodohkan minda melayu ini tidak susah. Kita hanya perlukan modal RM5 atau modem broadband untuk mengakses internet. Sila baca akhbar Utusan Meloya, Harian Metro. (Kalau tak tahan nak habiskan bacaan, sila sediakan plastik di sebelah takut termuntah). Langkah seterusnya, sila baca pula akhbar The Star dan NST. Sudah selesai, banding bezakan kandungan berita antara akhbar melayu dan inggeris itu.

Jika kita rajin menganalisis dan berfikir, kita akan dapati perbezaan utama ialah jenis berita yang dimasukkan. Di akhbar melayu, unsur-unsur tahyul dan seks begitu berleluasa. Lihat sahajalah tajuk utama Harian Metro dan Kosmo. Selalu sangat ditulis berita-berita seperti 'Jeritan Maut', 'Mangsa berkelakuan aneh sebelum kejadian', 'Siswi sanggup berbogel', 'Puja syaitan amalan remaja' dan bermacam lagi berita murahan seperti ini. Yang hairannya, akhbar metro adalah akhbar terlaris Malaysia!

Nota tambahan: majalah Mastika adalah majalah terlaris Malaysia. Mastika cerita pasal apa ek?

DI akhbar Utusan dan Berita Hairan pula, mereka akan memainkan isu perkauman dan agama. (baca Melayu dan Islam). Jadi, adalah perkara biasa ulasan dan rencana mengenai kedudukan bahasa, hak istimewa, kuasa politik melayu disiarkan dengan begitu hebat. Yang kelakarnya, rencana-rencana tidak ditulis pula nama penulisnya. Betul-betul tiada kredibiliti. Ada pula yang menyorok dengan 'bisik-bisik awang selamat' bagi menghasut.

Berita di akhbar melayu juga tidak 'panjang' dan analitikal. Sekadar menyiarkan berita tangkap muat yang pendek-pendek. Jarang kita mendapat pandangan kedua dan ketiga. Kemudian akhbar melayu sangat segan dan pemalu menyiarkan berita-berita ekonomi. Ruangan ekonomi sangat-sangat nipis. Seolah-olah ekonomi bukan perkara penting dalam kehidupan. Apa yang penting ialah akhbar sisipan khas hari ahad yang menyiarkan gosip-gosip murahan Mama Juwie dan Kak Pora.

Mengapa akhbar melayu begini? Adakah kerana orang melayu sendiri yang gemarkan bahan bacaan picisan seperti hiburan dan tahyul? Saya kira tidak. Orang melayu terutama anak-anak muda semakin kritikal pemikirannya. Lihat sahajalah kemunculan blog-blog anak muda yang mempunyai pemikiran-pemikiran jauh ke hadapan melangkaui unsur tahyul orang tua di akhbar.

Tetapi alasan akhbar- mereka menulis perkara-perkara mengarut ini kerana kehendak pembaca. Mereka menjual berita yang orang ramai mahukan. Bukan apa yang orang ramai perlukan. Jadi dalam hal ini siapa yang perlu berubah dahulu? Akhbar atau orang melayu? Saya kira akhbar yang patut berubah. Sampai bila lagi akhbar melayu terus diperlekehkan dengan akhbar inggeris?

Noktah sebentar: apa pula kandungan akhbar Inggeris? Siapa yang tidak tahu nampak sangat masih lagi membaca Harian Metro. Hahahaha