Thursday, April 2, 2009

Perubahan dan Harapan

(Tulisan ini pernah disiarkan di The Malaysian Insider. Sila klik sini atau baca di bawah)

PERUBAHAN. Apa itu perubahan? Semua orang suka bercakap tentang perubahan. Daripada menteri hinggalah kepada rakyat. Tidak kira Umno mahupun DAP- semuanya mahu dilihat membawa perubahan. Agenda perubahan merupakan senjata paling ampuh dalam politik- terutamanya di Malaysia.

Rakan perubahan ialah HARAPAN. Harapan wujud apabila perubahan dijanjikan. Harapan juga boleh musnah apabila janji perubahan tidak dikotakan. Apabila harapan telah musnah, pasti ada pihak yang akan dihukum.

Keputusan PRU 12 telah membuktikannya. Orang ramai telah menghukum Barisan Nasional kerana gagal membawa perubahan yang dijanjikan.

Tetapi pada masa yang sama, harapan baru juga boleh muncul. Harapan baru datang apabila harapan lama telah terkubur. Dalam hal ini, Pakatan Rakyat dilihat sebagai harapan baru dalam meneruskan agenda perubahan di 5 buah negeri. Pakatan Rakyat juga dilihat mampu mendesak Barisan Nasional untuk membawa perubahan dari segi pengurusan kerajaan dan ekonomi di peringkat Pusat.

Berbalik kepada perubahan. Apabila ada pihak yang membawa perubahan, pasti akan ada pihak yang cuba menghalang atau mengkritik. Ini perkara biasa dalam kehidupan.

Untuk kita memahami perkara ini tidak susah. Sila perhatikan isu pemberian tanah di Perak. Bagaimana kerajaan Pakatan telah melakukan perubahan dengan memberikan geran tanah kepada penduduk kampung. Perkara ini adalah selari dengan harapan orang ramai di Perak. Tetapi usaha ini telah dimanipulasikan serta dihalang oleh kerajaan pusat Barisan Nasional.

Dalam isu air di Selangor, bagaimana kerajaan pusat sekali lagi cuba untuk mengsabotaj usaha kerajaan Pakatan dalam mengambil alih syarikat pembekal air. Langkah ini telah menghalang kerajaan negeri dalam melakukan perubahan untuk meringankan beban rakyat.

Begitu juga di Pulau Pinang dalam isu Jambatan Kedua. Semua pihak faham jambatan kedua ini penting dalam pertumbuhan ekonomi zon utara- lebih-lebih lagi Pulau Pinang. Tetapi apa yang berlaku selepas kerajaan negeri bertukar tangan, kerajaan pusat telah melewatkan malah ada cubaan untuk membatalkan projek ini.

Ini merupakan beberapa contoh perubahan yang cuba dihalang daripada dilaksanakan.

Perubahan juga masih boleh dilaksanakan walaupun sudah terlewat. Lewat tidak bermakna tidak boleh berlaku. Kerana di akhirnya orang ramai ingin melihat perubahan itu dilaksanakan, Dan inilah yang berlaku di peringkat pusat.

Kita ambil contoh bagaimana kerajaan Barisan Nasional telah membuat pindaan terhadap Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU). Perubahan ini telah membenarkan mahasiswa di negara untuk lebih bebas berpolitik dan bersuara. Langkah ini adalah selari dengan perubahan yang dituntut oleh orang ramai setelah sekian lama.

Kerajaan Pusat juga telah melakukan satu lagi perubahan- walaupun sudah terlewat. Pendedahan perjanjian konsesi tol telah membuktikan kerajaan Barisan Nasional mendengar harapan rakyat yang mahukan kerajaan lebih telus. Harapan orang ramai ini memang sudah lama didengari. Walaupun baru sekarang kerajaan bersetuju membuat perubahan, ia tetap memberi petunjuk bahawa perubahan telah berlaku.

Ini merupakan contoh perubahan yang berlaku walaupun mengambil masa dan terlewat.

Setahun selepas 8 Mac 2008, harapan orang ramai masih menggunung. Harapan menggunung ini timbul kerana perubahan yang dilakukan baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat masih belum cukup baik.

Dan harapan ini juga akan musnah sekiranya perubahan yang dijanjikan kedua belah pihak tidak dilaksanakan.

Setahun berlalu, empat tahun masih ada untuk perubahan dilaksanakan.


3 comments:

Rmz said...

bukan jbtn penang jer,yag kat jhr sekali...sesak

Anonymous said...

Kerajaan mahupun pembangkang melaungkan perubahan. Persoalannya perubahan yang bagaimana? Kedua-dua pihak mendakwa perubahan ke arah kebaikan tetapi hasilnya belum pasti. Melihat kepada perubahan dalam UMNO, rasanya dasar toleransi Pak Lah akan digantikan dengan dasar kuku besi Najib.

bubblylicious said...

mmg x dnafikn ssh bg krajaan negri PR nk mlakukn prubahn if pusat masih lg dikuasai BN...dorg asek nk men trik2 tli..4 exmple isu air slangor td 2..jp nk bg jp x nk..hope PR akan tros kuat n btahan ngn cbaran2 cm nih demi rakyat...