Monday, June 8, 2009

Kejap-kejap dalam PAS

Kejap nak gaduh, kejap nak baik.
Kejap nak lawan, kejap nak kawan.
Kejap nak berkahwin, kejap nak bercerai.
Kejap nak bersatu, kejap tak jadi bersatu.

Kejap nak berpadu, kejap tak jadi nak berpadu.
Kejap nak berpakatan, kejap nak berbarisan.
Kejap nak be'rakyat', kejap nak ber'nasional.

Kejap nak jadi kerajaan campuran, kejap nak jadi kerajaan perpaduan.

Asyik kejap je. Bila nak kekal ni?

Saturday, June 6, 2009

Mari Bagi Cadangan

LEPAS RUNTUH, APA PULA?

Begitu ramai yang mengulas mengenai kejadian bumbung stadium yang runtuh di Terengganu. Menteri Besar kata dah lapor tahun lepas. JKR kata tak sahkan lagi bangunan tu. Arkitek pulak kata bukan salah dia sebab dia tak reka bumbung. Di akhirnya nak wujudkan jawatankuasa bebas nak siasat. Tak habis-habis jawatan dan kuasa dan siasat. Ini dah macam NATO- No Action Talk Only.

Ketepikan semua benda ini. Saya ada satu cadangan apa yang patut dilakukan mengenai stadium yang sudah runtuh ini. Saya mencadangkan agar MENGEKALKAN SAHAJA STRUKTUR yang tinggal sekarang.

Biar stadium ini menjadi monumen. Biar ia dijadikan satu peringatan kepada semua pihak yang berjawatan dan berkuasa. Biar struktur stadium ini menghantui para politikus, pemodal, kontraktor dan orang ramai tentang dashyatnya rasuah. Biar selepas ini, sebelum membina sesuatu bangunan, gambaran struktur stadium ini menjadi iktibar dan amaran.

Di sisi yang lain, kerajaan tidak perlu mengeluarkan duit lagi untuk membaik pulih stadium ini. Saya amat pasti berpuluh juta ringgit dapat dijimatkan dengan cadangan ini. Silap-silap kerajaan boleh membuat duit dengan menjadikan struktur stadium ini sebagai satu tarikan pelancong untuk datang ke Terengganu/ Malaysia. Siapa kata Malaysia tidak mempunyai Ground Zero seperti di New York?

Mungkinkah jika cadangan ini diterima, penyu-penyu akan berhenti menangis dan bertelur? Siapa tahu...

Friday, June 5, 2009

Teka Teki Lagi...

Adakah Awang Selamat (Utusan Meloya) merupakan abang kepada Mas Selamat?

Ps: Entri terpendek Basuh Baju. :p

Wednesday, June 3, 2009

Jom Main Teka-Teki!

STADIUM DI GONG BADAK

Gambar di atas tiada kena mengena dengan teka teki ini. Sekadar hiasan. Segala persamaan dengan yang hidup, yang mati atau yang sedang mati adalah suatu kebetulan belaka.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Teka-teki Pertama: Malaysia merupakan negara bersalji dan beriklim sejuk. Betul atau tidak?

Jawapan: YA. Betul. Selamba je bantai pakai blzaer dan tali leher time tengah hari.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Teka Teki Kedua: Gajah gaduh dengan gajah, pelanduk mati di tengah.. Kalau Badak jatuh ranap tergolek, binatang apa yang mati?

Jawapan: Kancil.

Kredit gambar untuk Zy Masri.

Monday, June 1, 2009

Akhbar Melayu dan Akhbar Inggeris


Projek membodohkan melayu masih lagi diteruskan. Sila perhatikan di sekeliling kita, bermacam cara digunakan untuk memastikan akal orang melayu tidak berkembang dan jumud. Daripada hal politik hinggalah kepada cerita sosial. Semuanya diolah oleh media bagi membonsaikan fikrah melayu. Saya tidak pasti adakah ini usaha terancang atau perbuatan tidak sengaja.

Bagi mengesan usaha membodohkan minda melayu ini tidak susah. Kita hanya perlukan modal RM5 atau modem broadband untuk mengakses internet. Sila baca akhbar Utusan Meloya, Harian Metro. (Kalau tak tahan nak habiskan bacaan, sila sediakan plastik di sebelah takut termuntah). Langkah seterusnya, sila baca pula akhbar The Star dan NST. Sudah selesai, banding bezakan kandungan berita antara akhbar melayu dan inggeris itu.

Jika kita rajin menganalisis dan berfikir, kita akan dapati perbezaan utama ialah jenis berita yang dimasukkan. Di akhbar melayu, unsur-unsur tahyul dan seks begitu berleluasa. Lihat sahajalah tajuk utama Harian Metro dan Kosmo. Selalu sangat ditulis berita-berita seperti 'Jeritan Maut', 'Mangsa berkelakuan aneh sebelum kejadian', 'Siswi sanggup berbogel', 'Puja syaitan amalan remaja' dan bermacam lagi berita murahan seperti ini. Yang hairannya, akhbar metro adalah akhbar terlaris Malaysia!

Nota tambahan: majalah Mastika adalah majalah terlaris Malaysia. Mastika cerita pasal apa ek?

DI akhbar Utusan dan Berita Hairan pula, mereka akan memainkan isu perkauman dan agama. (baca Melayu dan Islam). Jadi, adalah perkara biasa ulasan dan rencana mengenai kedudukan bahasa, hak istimewa, kuasa politik melayu disiarkan dengan begitu hebat. Yang kelakarnya, rencana-rencana tidak ditulis pula nama penulisnya. Betul-betul tiada kredibiliti. Ada pula yang menyorok dengan 'bisik-bisik awang selamat' bagi menghasut.

Berita di akhbar melayu juga tidak 'panjang' dan analitikal. Sekadar menyiarkan berita tangkap muat yang pendek-pendek. Jarang kita mendapat pandangan kedua dan ketiga. Kemudian akhbar melayu sangat segan dan pemalu menyiarkan berita-berita ekonomi. Ruangan ekonomi sangat-sangat nipis. Seolah-olah ekonomi bukan perkara penting dalam kehidupan. Apa yang penting ialah akhbar sisipan khas hari ahad yang menyiarkan gosip-gosip murahan Mama Juwie dan Kak Pora.

Mengapa akhbar melayu begini? Adakah kerana orang melayu sendiri yang gemarkan bahan bacaan picisan seperti hiburan dan tahyul? Saya kira tidak. Orang melayu terutama anak-anak muda semakin kritikal pemikirannya. Lihat sahajalah kemunculan blog-blog anak muda yang mempunyai pemikiran-pemikiran jauh ke hadapan melangkaui unsur tahyul orang tua di akhbar.

Tetapi alasan akhbar- mereka menulis perkara-perkara mengarut ini kerana kehendak pembaca. Mereka menjual berita yang orang ramai mahukan. Bukan apa yang orang ramai perlukan. Jadi dalam hal ini siapa yang perlu berubah dahulu? Akhbar atau orang melayu? Saya kira akhbar yang patut berubah. Sampai bila lagi akhbar melayu terus diperlekehkan dengan akhbar inggeris?

Noktah sebentar: apa pula kandungan akhbar Inggeris? Siapa yang tidak tahu nampak sangat masih lagi membaca Harian Metro. Hahahaha

Sunday, May 31, 2009

Pemain Terbaru Manchester United!!!! Habislah Ronaldo dan Berbatov....


Muhyiddin Yassin menunjukan bakat menyepak bola ketika berkunjung ke gerai jualan selepas merasmikan Hari Karnival Victoria Institution di Kuala Lumpr, semalam. Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Norainee Abdul Rahman (dua, kanan). - BERNAMA

Saturday, May 30, 2009

Komunis, Biasiswa, Along dan Calon Sihat

KOMUNIS

1- Chin Peng tidak dibenarkan pulang ke Malaysia. Gerakan komunisme harus ditentang habis-habisan. RTM akan menyiarkan dokumentari. Pesara-pesara tentera polis menunjukkan bekas kekejaman komunis.

2- Dan.... Najib akan membuat lawatan kerja ke negara Komunis- China.

BIASISWA

1- Isunya biasiswa JPA tidak telus. Cina 14 A1 tak dapat tapi Melayu 6A1 3a2 boleh dapat. Semua pihak mahu JPA keluarkan senarai nama pelajar yang dapat dan tunjukkan apa kelayakannya.

2- Tup tup Muhyiddin kata SPM tahun depan pelajar hanya dihadkan ambil 10 subjek. Sedangkan isu bilangan subjek SPM dan pembahagian biasiswa JPA adalah dua isu yang berbeza.

3- Pasal bilangan subjek- Ia tindakan yang agak bijak untuk tidak menjadikan pelajar kita hanya mengejar bilangan A semata-mata. Ada rasional.

4- Namun tindakan yang lagi bijak ialah- kita benarkan pelajar ambil seberapa banyak subjek yang mereka mahu tetapi bagi penilaian biasiswa, kita hanya kira 10 subjek wajib. Kan situasi menang-menang di situ?

5- Dalam hal pembahagian biasiswa JPA- mengapa perlu ada kuota kaum? Bukankah untuk Bumiputra sudah ada 1300 tempat dari MARA? Bukankah JPA ini dananya datang daripada cukai rakyat? Mengapa tidak diwujudkan meritokrasi? Siapa yang layak, dia yang dapat.

6- Kemudian wujudkan kriteria mengikut tangga pendapatan. Kalau pelajar itu bijak tetapi kaya raya- bagi dia tempat di Universiti luar negara. Duit yuran, tiket dan makan minum- keluarga dia tanggung. Kalau pelajar itu golongan sederhana, bagi dia biasiswa separuh. Separuh ditaja separuh lagi berbentuk pinjaman. Untuk pelajar bijak dan golongan susah, bagi dia biasiswa penuh.

7- Tak payah nak pening-pening fikir kuota 90%,70%,45% atau 10% lagi. Kadang-kadang penyelesaian terbaik ialah the simple solution.

ALONG

1- Tiba-tiba kecoh pasal along. Yang hairannya kenapa polis susah sangat nak cari along ini?

2- Dekat tiang-tiang lampu bersepah-sepah no telefon along. Pergi call dan siasat.

3- Masalah along ni muncul kerana bank susah sangat bagi pinjam. Nak buat pinjaman kena ada aset, penjamin, cagaran dan bermacam bentuk borang kena isi. Ini menyusahkan. Orang nak pinjam duit sebab dah terdesak. Kalau semuanya dah ada (aset, penjamin, cagaran) tak perlu pun nak pinjam duit.

4- Sepatutnya bank ikut stail along- longgarkan peraturan. Jangan kata mengarut. Sila baca kisah kejayaan Muhammad Yunus daripada Bangladesh yang mendapat Nobel Prize bagi khidmat banknya yang memberi pinjaman kepada golongan miskin di sana.

CALON SIHAT

1- SPR kata setiap parti perlu letakkan calon yang sihat supaya wakil rakyat tak ada yang mati lagi.

2- Masalahnya- orang sihat pun boleh mati juga.

3- Mungkin SPR boleh memohon kepada Tuhan agar jangan matikan calon?

3 Perkara Bodoh Di Majlis Rasmi


1- Anda dikehendaki mematuhi 'dress code'.

Dress code ini selalunya diberi nama manja iaitu pakaian rasmi. Oleh itu anda perlu memakai baju kameja, blazer, tali leher, seluar slack hitam atau baju batik lengan panjang. Yang hairannya, sejak bila pakaian-pakaian ini ditabalkan sebagai pakaian rasmi? Apa yang mengukur rasmi atau tidak? Siapa yang tetapkan?

Yang paling bangang ialah memakai tali leher- lagi-lagi di Malaysia. Kalau orang Itali datang ke Malaysia pasti mereka berasa sedih kerana mereka telah mencipta tali leher. Mereka pasti menangis teresak-esak kerana ciptaan mereka telah menyusahkan rakyat Malaysia. Apa bodohnya nak pakai tali leher di Malaysia yang 'empat musim' ini?

2- Anda akan didiskriminasikan.

Sudah menjadi kelaziman yang akan datang ke majlis ini ialah VIP atau nama glamournya 'pemimpin rakyat'. Yang hairannya mereka yang kononnya berjiwa rakyat ini akan duduk di meja paling hadapan yang telah dikhaskan. Kalau kita perhatikan, makanan mereka juga lebih sedap, spesial dan panas. Tidak seperti orang lain yang makan 'biasa-biasa' sahaja.

Mereka juga akan datang lewat dan balik awal. Mereka akan masuk ke dewan majlis, buat-buat senyum, lambai-lambai tangan dan duduk. Yang paling sakit hati, mereka akan mengarahkan itu ini kepada waiter. Bodoh, kata berjiwa rakyat. Tetapi melayan waiter (baca: rakyat) macam kuli.

3- Anda perlu menjadi insan yang berpura-pura.

Anda akan bertepuk tangan sebelum, semasa dan selepas ucapan pemimpin berjiwa rakyat itu. Selalunya ucapannya SANGAT BOSAN. Sudahlah bosan, berjela-jela pulak tu. Kalau kita rajin analisis ucapannya, sebenarnya tidak apa pun. Kosong. Habuk pun tarak. Ucapannya hanya syok sendiri. Bermula dengan memuji/membodek barisan tetamu VIP (rakyat akan diletakkan yang terakhir sekali untuk diaddress) dan diakhiri dengan ayat 'kepada bangsa, agama dan negara...'

Satu persoalan timbul: mengapa ucapan-ucapan bosan ini selalunya akan disiarkan di akhbar untuk dijadikan berita?

Ada sesiapa yang nak tambah apa lagi perkara bodoh?

Ps: Semalam saya terpaksa ke Majlis Makan Malam Rasmi. hahahaha

Thursday, May 28, 2009

Media, Isu dan Krisis Ekonomi


Suka ataupun tidak- media mempunyai pengaruh yang besar kepada diri kita. Media akan menyusun pemikiran kita dan mencorakkan jalur pandangan dengan berita dan laporannya. Media adalah senjata baru yang ampuh di muka bumi ini. Media berupaya mengalihkan sesuatu isu kepada isu lain. Malah media mampu mengecilkan isu besar dan membesarkan isu kecil.

Begitu berkuasanya media sehinggakan sesiapa yang menguasai media- dia lah raja. Untuk pengetahuan, Majlis Raja-raja juga tidak sehebat Rupert Mudoch- Taikun Media Dunia.

Di akhir-akhir ini kita semua mengetahui dunia sedang dilanda krisis ekonomi yang sangat hebat. Amerika, EU, Jepun dan Singapura semuanya makin hari makin tenat. Betapa hebatnya krisis ini sehinggakan ia tidak mengenal warna kulit, agama, bangsa dan negara mana.

Jadi, krisis ekonomi adalah isu sebenar dalam kehidupan kita. Mahu tidak mahu- kita perlu percaya bahawa hidup ini semuanya berkaitan dengan ekonomi. Ekonomi adalah penggerak kepada kehidupan. Manusia berperang dan bergaduh kerana punca ekonomi. Manusia berpolitik dan menggunakan agama juga demi ekonomi. Betapa besarnya pengaruh ekonomi dalam hidup kita.

Dalam menghadapi krisis ekonomi ini, media perlu meletakkan isu-isu ekonomi di muka hadapan. Media perlu memberi amaran kepada rakyat kita agar tidak terbuai dan tertidur. Namun apa yang terjadi di Malaysia, berita-berita ekonomi diletakkan di tengah-tengah akhbar. Itupun ditulis sekerat-sekerat dan kecik bahagiannya. Berita-berita murahan seperti rempit, perak, AF7, komunis, ah-long dan peragut dijadikan berita utama.

Lihat betapa cekainya media kita. Media seolah-olah mahu rakyat kita terus menjadi bodoh dan bengap. Biarlah kerajaan yang 'lebih tahu' bukan rakyat. Bila rakyat bodoh, maka kerajaan lebih senang memerintah. Setiap dasar tidak dipertikaikan. Kerajaan juga seperti mahu kita percaya yang 'semuanya okey dan terkawal.'

Ini semua adalah bohong dan karut. Semalam dilaporkan ekonomi negara kita jatuh sebanyak 6.2% pada suku pertama 2009. Ini adalah kali pertama sejak kejatuhan ekonomi pada krisis 1997/98. Ini adalah petanda awal negara kita 'tidak okey.' Ini petanda negara kita sudah ber'krisis'. Maknanya apa yang media kita cuba beritahu sebelum ini tidak boleh dipakai- wajib dibakul-sampahkan.

Sudah percaya Majlis Raja-raja tidak se'raja' media?

Satu soalan: Adakah media di negara kita sudah sedar dengan situasi ini?

Hmmmm......nampaknya tidak. Baca berita muka hadapan di akhbar-akhbar utama hari ini:

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>.

TIDAK! CHIN PENG- Utusan Meloya

PUTRAJAYA 27 Mei - Pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke negara ini, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

NERAKA ALONG- Berita Hairan

SUBANG: Bagaikan hamba abdi - demikian keadaan tiga lelaki mangsa along yang dirantai dan dikurung dalam dua 'lokap' sebelum diselamatkan polis petang semalam.

JERITAN MAUT- Harian Metro

IPOH: “Mana bini aku, mana bini aku...,” jerit Jafri Tajul Aripin, 47, kepada seorang lelaki dipercayai suspek kes samun dan bunuh dua beranak semalam.

DUGAAN BAKAL PENGANTIN- Kosmo

SETIU - Seorang bakal pengantin di sini terpaksa mengeluarkan belanja menambak jalan berlopak sepanjang 300 meter menghala ke rumahnya.

HELL AT HOME- The Star

PETALING JAYA: Her relatives noticed the scars on the boy’s head three years ago and her colleagues at a music school saw bruises on his face all the time.

ZERO TOLERANCE FOR TERROR- NST

PUTRAJAYA:
A terrorist of old, Chin Peng, will never set foot again on Malaysian soil. A modern-day terrorist, Mas Selamat Kastari, will also not be given the chance to wreak havoc on the country.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

BERITA SEBENAR!

ECONOMY SHRINKS 6.2%- Business Times

KUALA LUMPUR, May 27 - The Malaysian economy is worse than expected, contracting 6.2 per cent in the first quarter from a year ago, its worst fall since the fourth quarter of 1998 at the height of the Asian financial crisis.

Wednesday, May 27, 2009

Jom Bincang!

TOLAK KOMUNISME- Utusan Meloya

PUTRAJAYA 25 Mei – Datuk Seri Dr. Rais Yatim mahu sentimen bahawa komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif dilupuskan sama sekali dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia.

Sambil menyuarakan rasa amat terkejut dengan tindakan pihak tertentu yang cuba membangkitkan sentimen itu, beliau mengingatkan bahawa adalah satu bencana kepada negara ini jika ada pihak cuba menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia termasuk menerusi media cetak dan blog.

‘‘Pada masa ini jelas menampakkan seolah-olah ada rangkaian untuk membawa masuk (bekas pemimpin Parti Komunis Malaya) Chin Peng ke Malaysia dengan cuba membuat penilaian dan peranan baru terhadapnya.

__________________________________________________________________

Hari ini mari kita berbincang tentang gerakan komunisme. Adakah komunisme sesuatu perkara yang benar-benar jahat dan teruk? Atau sebenarnya komunisme ini lah yang mendesak British memberikan kemerdekaan kepada negara kita?

Basuh Baju mengajak para pelayar dan pembaca memberikan pandangan masing-masing. Tiada pihak yang benar mahupun salah. Benar dan salah itu berbeza mengikut perspektif kita. Apa yang penting bagaimana kita menerima sesuatu pandangan orang lain dalam menegakkan pandangan kita.

Selamat Berdiskusi!

Tuesday, May 26, 2009

3 Nasihat dari Basuh Baju

Kepada Basuh Baju,

Saya merupakan pemain termahal Manchester United. Bulan Julai ini saya akan datang ke Malaysia. Tapi jangan salah faham, saya datang bukan untuk bermain bola sepak sebaliknya sekadar membakar lemak-lemak saya agar selepas ini saya tidak bermain dengan begitu malas.

Ada sebarang nasihat?

(Dimitar Berbatov, Old Trafford)

Wahai Berbatov,

Pertama sekali saya tak faham bagaimana anda boleh bertutur bahasa melayu. Mungkin ini berkat PPSMI agaknya.

Saya ada tiga nasihat:

1) Jangan menunggang motor. Nanti digelar samseng jalanan.

2) Jangan memakai baju hitam. Nanti akan ditangkap.

3) Jangan cuba untuk berpuasa atau berlapar. Silap-silap akan ditahan.

Untuk bacaan tambahan, saya sertakan berita di bawah.

ps: (bakar lemak banyak-banyak.)


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>


SAMSENG JALANAN GANTI MAT REMPIT- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 19 Mei - 'Samseng jalanan' akan menggantikan istilah 'mat rempit' bagi mengelak publisiti dan pembentukan identiti kepada golongan berkenaan.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

TINDAKAN TEGAS MEMAKAI BAJU HITAM- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 6 Mei - Polis memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menahan mana-mana individu yang memakai baju hitam sempena usaha menggagalkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis akan bertindak tegas mengikut peruntukan undang-undang jika mereka terus berdegil.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

MOGOK LAPAR: LIMA DITAHAN- Utusan Meloya

IPOH 26 Mei – Lima pekerja lelaki yang sedang memasang khemah dan alat siar raya bagi menjayakan kempen mogok lapar anjuran pakatan pembangkang di luar Wisma DAP ditahan polis kira-kira pukul 7 pagi ini.

Puluhan polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kini berkawal di tempat kejadian.

Monday, May 25, 2009

Bagaimana bangsa dan agama digunakan

untuk tujuan politik.....
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

MOGOK LAPAR- Utusan Meloya

IPOH 23 Mei - Ibarat bayi menangis inginkan perhatian!

Pakatan pembangkang yang telah kehilangan majoriti DUN kini merancang mengadakan kempen mogok lapar selama tiga hari bagi mendesak DUN dibubarkan.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

untuk menakut-nakutkan kita...................

ORANG ISLAM DILARANG SERTAI MOGOK LAPAR- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 24 Mei - Haram dan menyerupai amalan agama lain!

Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya menegaskan, jika seseorang penganut Islam itu meninggal dunia ketika sedang melakukan mogok lapar, dia dikhuatiri mati dalam keadaan tidak beriman.

Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin menegaskan jika sesuatu mogok lapar berjaya dilangsungkan, ia mungkin menjadi permulaan kepada fitnah-fitnah lain pada masa akan datang.

MOGOK LAPAR BUKAN BUDAYA KITA- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 24 Mei - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan rancangan pakatan pembangkang melancarkan mogok lapar tiga hari hanya membuang masa dan bukan budaya negara ini.

Idola Anak Muda Telah Sampai


HAFIZ DAPAT SURAT KM SARAWAK- Berita Hairan

KUCHING: "Jadilah ikon dan contoh yang baik kepada golongan belia." Itulah antara nasihat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kepada juara Akademi Fantasia 7 (AF7), Mohd Hafiz Mohd Suip, 19.

Hafiz begitu terharu kerana bakatnya turut mendapat penghargaan daripada Ketua Menteri sendiri dan beliau turut membaca surat berkenaan di hadapan peminatnya setibanya di LTAK.

Ada RESPON wahai anak-anak muda?

Sunday, May 24, 2009

Antara rokok, cukai, bersenam dan kotaknya


Apa kata anda? Timbang-timbangkan perkara berikut:

1- Negara-negara membangun seperti Malaysia, China, India menyumbang kepada 70% perokok di seluruh dunia. China dengan 320 juta dan India 120 juta.

2- Negara-negara maju seperti Amerika dan Britain mengalami penurunan jumlah perokok. 56% rakyat Amerika merokok pada 1955 tetapi pada 2007 telah mencatat 25.5%. Britain pada 1974 mencatat sebanyak 51% kini sudah menurun kepada 28%.

3- Malah jiran kita Singapura juga mengalami penurunan dari segi jumlah perokok. Satu persoalan menarik: Mengapa negara-negara maju semakin kurang perokok? Adakah ini berkaitan dengan kehidupan yang lebih baik?

4- Ketiga-tiga negara ini memiliki jaringan infrastruktur sukan dan sosial yang bagus. Padang di sana sini. Laluan jalan kaki dan tempat rekreasi begitu banyak. Tanah lapang di tengah kawasan perumahan tidak diambil untuk membina bangunan sebaliknya dijadikan pusat beriadah.

5- Adakah kerana itu rakyat mereka semakin mengamalkan hidup sihat dengan bersenam? Mungkin dengan bermain bola sepak, berjogging, dan pergi ke Gym boleh membantu mengatasi masalah rokok? Atau sebenarnya merokok sebenarnya tidak membahayakan asalkan kita mengeluarkan peluh?

6- Mengapa Malaysia tidak mempelajari daripada Amerika, Britain atau Singapura?

7- Malaysia? Mengharamkan iklan rokok di sana sini. Hasilnya? Cukai berbilion ringgit hilang.

8- Malaysia? Melancarkan kempen Tak Nak. Hasilnya? Poster cantik yang menempek di dinding bangunan.

9- Malaysia? Naikkan cukai rokok setiap kali Bajet dibentangkan. Hasilnya? Harga rokok 7.5 kali ganda lebih mahal daripada harga akhbar.

10- Malaysia? Letak imej ngeri di kotak rokok. Hasilnya? Perokok membuat koleksi peribadi yang disusun di atas meja.

11- Satu cadangan untuk parti politik yang tidak sabar menubuhkan kerajaan. Sila perjuangkan 'harga rokok murah' sebagai manifesto anda. Mungkin dengan cara ini sudah boleh menubuhkan kerajaan tanpa perlu berketuanan atau melompat parti.

ps: Saya tidak merokok.

Saturday, May 23, 2009

Apa Sebab Sebenarnya?

GUNA KBSM TARIK RAKYAT

TEMERLOH 22 Mei - Ahli-ahli dan pemimpin UMNO perlu mengamalkan konsep Kenduri, Bersalin, Sakit dan Mati (KBSM) bagi menarik semula sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, konsep itu ialah dengan menggalakkan ahli dan pemimpin UMNO menghadiri majlis kenduri, menziarahi wanita bersalin, orang sakit dan meninggal dunia di kawasan masing-masing.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Hari ini kita akan berdiskusi lagi. Saya amat mengalu-alukan pandangan daripada para pelayar sekalian.

Apakah yang menyebabkan BN/UMNO semakin ditolak rakyat? Adakah kerana rakyat kita sudah menyokong politik berbilang kaum? Kalau benar, apakah Pakatan Rakyat tidak bersifat perkauman? Kalau begitu, mengapa DAP kebanyakan ahlinya dari kaum Cina dan PAS hanya untuk orang melayu Islam?

Atau mungkin UMNO dilihat terlalu rasis? Asyik-asyik menakut-nakutkan orang melayu dengan Ketuanan Melayu agar bersatu. Seolah-olah ketuanan melayu ini seperti rukun Islam- yang wajib dipegang oleh orang melayu. Tidak cukup dengan itu, di Utusan Meloya pula disiarkan berita-berita seperti 'hak melayu dipertikai' dan 'raja melayu dihina'. Untuk apa? Untuk orang melayu semakin membenci orang 'lain'. Adakah kerana UMNO sangat rasis sehingga orang melayu sendiri turut menyampah?

MCA juga tidak kurang rasisnya. Tetapi rasis dalam agama pula. Kalau UMNO dengan ketuanan melayunya, MCA pula dengan fobia negara Islamnya. Melalui akhbar The Star, mereka akan mencabar DAP agar memberi pendirian tentang cadangan Negara Islam PAS. Yang hairannya, tidak ada pula wakil UMNO, DAP, PKR atau PAS bertanyakan kepada MCA apa pula pendirian mereka.

Atau adakah rakyat kita sudah mempunyai nilai kebersamaan dalam hidup bersama-sama? Jika demikian, mengapa bila isu-isu yang melibatkan kaum dibangkitkan semuanya melenting? Mengapa melayu menjerit-jerit bila cadangan kuota 10% UiTM ditimbulkan? Begitu juga kaum cina, mengapa berdolak-dalik bila cadangan Sekolah Satu Sistem dicadangkan? Tidak kurang halnya dengan HINDRAF yang asyik-asyik menjerit tentang hak india itu, hak hindu ini. Daripada ketiga contoh ini, seolah-olah kita menjadi semakin perkauman sejak daripada 8 Mac 2008.

Jadi mengapa BN/UMNO semakin ditolak rakyat?

Thursday, May 21, 2009

Manusia, candu dan giannya


(Tulisan ini pernah disiarkan di The Malaysian Insider dan juga di blog ini pada sebulan yang lepas. Tujuan diterbitkan kembali untuk kita sama-sama berdiskusi dan menilai kembali peranan kita sebagai rakyat. Selamat berdiskusi! )

Saya cukup yakin sekiranya Karl Marx datang ke Malaysia, pasti beliau akan menangis dan terduduk. Karl Marx akan menyesal kerana mengatakan 'agama ialah candu manusia'. Hal ini tidak ada sangkut paut dengan Islam Hadhari atau jauh sekali daripada ketuanan Islam. Karl Marx menangis kerana di Malaysia rakyatnya lebih gian terhadap sesuatu. Gian ini jauh lagi hebat daripada gian candu, duit, wanita mahupun gian agama-seperti didakwa beliau.

Maka saya dengan bangganya menyatakan di Malaysia 'politik ialah candu manusia'.

Untuk kita fahami pandangan saya tidak susah. Kita wajib melihat kembali bagaimana struktur candu dan gian ini berfungsi.

Apabila ada candu, pasti akan muncul pembekal candu. Pembekal ini pula selalunya bertopeng-topeng dan tidak mudah dikenali. Malah candu yang mereka bekalkan juga berbeza-beza rasanya.

Ada pembekal yang bertopengkan melayu. Candu ini cukup ekslusif- hanya mereka yang ber'peri' dan ber'bumi' sahaja yang layak membeli. Candu yang mereka bekalkan membuatkan kita berasa 'tuan' di bumi ini dan yang lain sebagai pendatang. Candu ini juga akan menakut-nakutkan kita sekiranya kita tidak lagi membeli candu politik mereka. Hal ini saling tak ubah macam pengedar candu yang betul. Siang menjual malam mengugut.

Ada juga pembekal yang berjubahkan Islam. Pembekal ini merupakan pesaing kuat kepada pembekal bertopengkan melayu. Tetapi candu yang dijual mereka lagi syok. Candu mereka mampu membawa kita ke syurga dan neraka apabila kita merasainya. Satu perkara yang berbeza ialah pembekal candu ini tidak mengugut kita untuk membelinya sebaliknya cukup sekadar mengingatkan tentang pahala dan dosa.

Baru-baru ini muncul lagi satu pembekal candu. Pembekal ini mendakwa berjiwakan rakyat. Satu perkara menarik tentang pembekal candu ini ialah mereka cukup bijak dalam menjual. Candu mereka tidak ekslusif seperti pembekal-pembekal di atas. Sebaliknya untuk semua golongan. Candu ini pula mampu memberi kita harapan dan janji. Harapan ini boleh datang pada 16 september tetapi boleh juga berubah pada tarikh yang lain.

Noktah Sebentar.

Satu persoalan timbul- jika ada pembekal, pasti ada pembeli. Siapa pembelinya? Jawapannya ialah kita. Kita itu ialah rakyat. Jika tidak percaya, sila lihat di akhbar,TV, dan blog. Hampir semuanya gian kerana telah mengambil candu daripada pembekal-pembekal tadi. Penagih candu Islam akan mengutuk penagih candu melayu yang mereka tidak cukup Islam. Penagih candu melayu pula akan menuduh penagih candu rakyat pengkhianat melayu. Masing-masing mendakwa candu merekalah terbaik.

Contoh yang paling jelas ialah ketika pilihan raya berlangsung. Setiap pembekal berusaha bersungguh-sungguh menjual candu. Bermacam taktik digunakan. Ada yang ingin dilihat lebih bersih daripada sabun breeze. Ada yang mahu dinampak lebih Islam dari kapal selam. Malah kalau boleh bersunat sekali lagi pun mereka akan bersunat. Dan... kita pula terus gian dan seronok dengan candu-candu mereka. Tanpa kita sedari kita telah ditipu.

Satu peringatan di sini; pembekal candu tidak gian malah menjadi kaya raya. Penagih candu yang gian dan papa kedana.

Noktah Sebentar.

Sekiranya Karl Marx dapat membuka blog ini di dalam kubur, mungkin beliau akan terfikir satu perkara selepas membaca tulisan ini. Dan saya sangat yakin perkara itu ialah mengajak saya untuk menulis Das Capital bersama. Dan jika perkara ini benar-benar berlaku, mungkin saya akan gian untuk terus menulis.

(Ketika artikel ini ditulis, ekonomi dunia berada dalam keadaan SANGAT BAIK dan MAKMUR. Semua orang ada pekerjaan. Semua orang cukup duit. Agaknya sebab inilah mereka tidak kisah menjadi gian.)

Wednesday, May 20, 2009

Bagaimana Polis Kita Berfikir


BENDUNG GEJALA MAT REMPIT- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 11 Mei- Bendung gejala mat rempit. Inilah desakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada semua lapisan masyarakat.

HUKUM PENJARA MANDATORI- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 19 Mei – Kerajaan diminta supaya meminda segera Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ke atas mat rempit atau samseng jalanan dengan hukuman penjara mandatori.

Demikian cadangan daripada Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof.

SAMSENG JALANAN GANTI MAT REMPIT- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 19 Mei - 'Samseng jalanan' akan menggantikan istilah 'mat rempit' bagi mengelak publisiti dan pembentukan identiti kepada golongan berkenaan.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata.

___________________________________________________________

Ketika saya masih di bangku sekolah, guru saya sering menghukum saya kerana tidak membalut buku teks. Bagaimana buku teks yang tidak berbalut ini akan membodohkan saya- tidaklah saya fahami. Yang saya tahu selalunya saya didenda berdiri di atas kerusi atau duduk di luar kelas. Tetapi saya tidak marah kerana saya seronok melakukan kesalahan itu. Lumrah kanak-kanak- makin dilarang makin dibuat.

Pada suatu hari, saya mempunyai 'teman' ketika didenda. Saya terkejut. Jarang saya ada teman. Selalunya saya didenda secara solo sahaja. Maka saya pun berkenalan dengan pelajar itu. Sembang punya sembang saya pun bertanyakan mengapa dia tidak membalut buku. Dia hanya senyum dan menjawab 'saya orang susah.' Saya hanya sengih tanda tidak memahami apa yang diucapkan.

Di rumah, saya ajukan perkara ini kepada kedua ibu bapa saya. Dan selepas diterangkan panjang lebar oleh ibu, barulah saya mengerti yang pelajar itu tidak membalut buku teks kerana tidak mampu untuk membeli plastik buku. Dirinya tidak ada duit.

Esoknya saya membawa plastik buku ke sekolah. Saya membawa lebih. Tujuan saya hanyalah satu- untuk memberi kepada pelajar tersebut. Jadi selepas ini dia tiada alasan lagi untuk tidak didenda. Saya tidak mengharapkan pahala atau syurga kerana pemahaman agama saya masih cetek.

Diringkaskan cerita, selepas kejadian itu, kami berdua tidak lagi didenda kerana tidak membalut buku. (tetapi ada juga didenda kerana bising dan main dalam kelas.) Begitulah pengalaman saya serba sedikit.

Noktah Sebentar. Jadi apa kaitan cerita ini dengan polis dan gejala mat rempit? Sila kaitkan.

Pelajar itu akan terus didenda selagi mana masalah 'susah dan tidak mampu' dirinya tidak diselesaikan. Hukumlah macam mana sekalipun tapi kalau dah tak ada duit nak beli pembalut buku, nak buat macam mana.

Dalam hal mat rempit, polis harus mengkaji apakah punca sebenar anak-anak muda negara kita merempit. Bukannya dengan melabelkan mereka dengan bermacam nama. Malah mengetatkan peraturan juga tidak mampu membendung gejala ini. Contoh paling mudah kita lihat sendiri masalah dadah di negara kita. Undang-undang sudah ketat- iaitu gantung sampai mati. Tapi hasilnya? Eeelllek.

Adakah kita hanya mahu menghukum tanpa mencegah? Memang menghukum adalah satu bentuk solusi tapi percayalah menghukum hanya menjadikan perkara ini tidak pernah selesai. Mencegah lebih baik daripada menghukum. Tetapi bagaimana hendak mencegah kalau tidak diketahui apa puncanya? Adakah dengan melabel nama samseng jalanan akan menakut-nakutkan mereka dari menunggang motor?

Sudah tiba masanya untuk kita berfikir secara logik. Bukan dengan emosi. Emosi hanya menghasilkan keputusan menghukum. Hanya dengan logik, barulah kita akan dapat solusinya. Dan apa pula solusinya? Sila klik sini, sini, sini, dan sini.

..........atau mungkin Polis kita boleh berfikir begini?

POLIS BANGLADESH MENYAMAR WANITA- Utusan Meloya

DHAKA 19 Mei – Pegawai polis di ibu kota Bangladesh menyamar sebagai wanita dengan memakai rambut palsu dan pakaian wanita untuk menangkap penjenayah yang menjadikan kaum perempuan sebagai sasaran mangsa mereka.

“Kami mengambil langkah luar biasa ini ekoran peningkatan kegiatan jenayah di bandar ini dan kaedah itu didapati berjaya.

“Dalam tempoh empat hari lalu, kami telah menangkap seramai 60 perompak dikehendaki yang menyangka pegawai polis adalah wanita,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis, Imtiaz Hossain kepada AFP.

Tuesday, May 19, 2009

Monyet, Pemandu Bas dan Rambutnya

KAYVEAS NAFI PANGGIL MIC 'MONYET DALAM SANGKAR'- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 19 Mei Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M.Kayveas menafikan kononnya beliau menyifatkan MIC sebagai “monyet dalam sangkar”. “Mana buktinya yang saya kata demikian." katanya kepada Bernama hari ini.

APA KATA SAMY VELLU? - Tersepak di dalam Berita Hairan

"Saya bukan penumpang bas yang boleh turun apabila tiba di perhentian... saya adalah pemandu dan apabila memandu bas, saya mesti tahu di mana dan bila untuk berhenti," itulah analogi diberikan Datuk Seri S Samy Vellu ketika ditanya bila beliau mahu meletak jawatan.

Ketika menjawab persoalan menarik mengenai rambutnya pula, Samy Vellu berkata: " saya masih mempunyai kulit kepala yang normal, rambut saya juga tulen. Saya tidak menanam apa-apa rambut."

Bagaimana Orang Kita Berfikir Lagi

NAJIB CABAR MINDA BELIA- Utusan Meloya

PUTRAJAYA 18 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Malaysia terutama golongan muda, mencabar minda mereka supaya mampu melakukan sesuatu pencapaian luar biasa dalam pelbagai bidang yang diceburi.

ZAHRA SAHUT CABARAN- Utusan Meloya


PUTRAJAYA 18 Mei - Perenang muda, Zahra Masoumah Abdul Halim, 18, akan menyahut cabaran menyeberangi Selat Inggeris sejauh 34 hingga 37 kilometer (km) dalam misinya menjadi perenang wanita Islam pertama berjaya melepasi selat yang sejuk dan berarus deras itu pada 2 hingga 6 Julai ini.

Usahanya mendapat sokongan padu Perdana Menteri.

Dalam pada itu pada majlis tersebut, Najib yang juga penaung kepada ekspedisi tersebut menerima tajaan berjumlah kira-kira RM160,000 daripada pelbagai pihak.

Basuh Baju hanya ingin bertanya- Buat benda ni untuk apa? Apa kata pelayar sekalian? Ada cadangan? Mari Berdiskusi lagi!