Tuesday, November 17, 2009

Perubahan Bermula Dari Diri Sendiri

Rakyat Malaysia rata-ratanya mahukan kematangan berpolitik. Ramai yang mengharapkan politikus berubah dengan bercakap tentang perkara-perkara penting. Bukannya bising buat report kena pukul seperti Azeez UMNO. Ataupun kecoh-kecoh tentang Bai'ah Talak tiga Khalid Samad.

Bercakap tentang kematangan politik ni sebenarnya kita boleh mulakan dengan budaya blog. Kalau kita masih terperangkap dengan budaya politik lama dan kolot, kita akan menulis seperti blog parpukari dan sukj. Blog ini sememangnya seperti Utusan dan Harakah. Yang Barisan kutuk Pakatan. Yang Pakatan kutuk Barisan. Di akhirnya minda kita sendiri akan terus dibonsaikan tanpa perlu untuk berfikir.

Kalau kita perhatikan, blog-blog budaya lama ini sangat popular. Malah jumlah pembacanya melebihi jutaan hits. Ini membuktikan kita sebenarnya yang membenarkan blog budaya kolot lama ini terus berjalan dan hidup. Kalau tidak, mengapa kita terus baca dan baca? Ini membuatkan penulis blog tersebut berasa seronok dan merasakan mereka mempunyai sokongan kita semua.

Untuk menjadikan budaya kolot lama ini lebih teruk dan parah, sila baca pula komen-komen yang diberikan oleh para pembaca. Kebanyakannya hanya tahu mengutuk dan mencaci antara satu sama lain. Memang benar ia perkara biasa untuk penyokong kedua pihak untuk berbeza pendapat. Yang UMNO semestinya tidak sebulu dengan yang PKR. Begitu juga dengan DAP dan PAS. Ini adalah manifestasi sistem demokrasi yang mewujud dan membenarkan perbezaan.

Tetapi adakah perbezaan pendapat semestinya disampaikan dengan mencarut dan memaki? Apatah lagi menyerang peribadi dan keluarga? Sudah tentu tidak.

Kadang-kadang ia cukup menghairankan melihat mereka yang mahukan politikus kita berubah menjadi matang sebaliknya pada masa yang sama berperangai jauh lebih teruk dari politikus.

Bagaimana kita mahu mengharapkan budaya politik kita berubah sekiranya diri kita sendiri tidak berubah terlebih dahulu?

Adakah kerana budaya politik kita tidak matang maka ia membenarkan kita untuk sama-sama berperangai tidak matang?

Sudah tiba masanya untuk kita memulakan langkah awal dengan menjadi matang dalam pemikiran dan juga dalam menyampaikan pandangan. Kita boleh untuk tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Mahathir, Anwar, Nik Aziz, Najib Razak dan Lim Kit Siang. Malah kita dialu-alukan untuk bersikap kritikal terhadap kerajaan mahupun pembangkang. Setidak-tidaknya ia lebih bagus daripada menyokong membuta tuli.

Tidak ada gunanya kita memanggil seseorang itu mamak, kaki liwat, tok guru syaitan ataupun mongolia hanya kerana kita tidak bersetuju dengan mereka. Pertama kerana mereka tidak rugi sedikit pun. Kedua kerana ia menyerlahkan peribadi kolot kita. Ketiga ia tidak mengubah apa-apa pun.

Yang lebih bagus ialah kita berbincang, berdiskusi dan bertukar pendapat dengan cara baru. Ia boleh membawa kepada perubahan. Paling kurang pun minda kita berubah. Kalau kita mahukan perubahan, mulakan dengan diri sendiri dulu. Kita impikan budaya politik matang yang tidak kutuk mengutuk, maka kita juga perlu mulakan dengan tidak mengutuk. Lagi-lagi di blog.

Sebenarnya saya percaya ramai di antara kita yang sudah bosan dan lali dengan mereka-mereka yang masih lagi berbudaya kolot. Saya dapat perhatikan kekecewaan mereka yang sudah lali denagn situasi ini. Mungkin inilah sebab mengapa politik dianggap kotor dan dijauhi oleh golongan muda- golongan yang bakal menentukan masa depan negara kita.

Oleh itu kita perlu berubah dan perubahan bermula dari diri sendiri. Mari mulakan dengan mengubah budaya blog kita daripada mengutuk membabi buta kepada mengritik membina-bina. (peh-ayat apa ni).

Satu soalan kepada semua, sila tanya pada diri sendiri- 'Adakah Kita Mahukan Budaya Politik Yang Matang Atau Tidak?' [BB]