Saturday, September 5, 2009

Cerita menjelang DUApuluh


Ceritanya begini....

Ayah saya seorang kapitalis. Dirinya seorang yang berniaga. Sentiasa tahu dan bijak dalam mencari duit. Saya tidak pasti sama ada dengan menjadi seorang kapitalis bermakna ayah saya seorang yang tidak baik. Tetapi apa yang saya pasti, beliau sentiasa memberikan layanan yang baik kepada pekerja-pekerjanya. Saban tahun, tanpa gagal beliau akan memberikan bonus dan kenaikan gaji. Malah waktu bekerja juga hanya 5 hari seminggu dari 9 pagi hingga 5 petang. Cuti-cuti tahunan serta cuti-cuti perayaan juga turut diperuntukkan.

Hubungan beliau dengan para pekerjanya ibarat sebuah keluarga. Jika ada untung lebih, beliau akan membawa mereka pergi bercuti bersama. Jika ada kesusahan yang dihadapi oleh mereka, ayah saya akan cuba menolong sedaya mungkin. Setiap bulan setiap seorang daripada pekerjanya akan mengadakan makan besar beramai-ramai- sebagai tanda meraikan ikatan ukhwah yang terjalin.

Dengan perkara-perkara yang saya sebutkan ini saya percaya ayah saya bukanlah seorang yang jahat walaupun hakikat beliau seorang kapitalis- yang membuat untung dan mencari duit.

Ibu saya pula boleh saya gambarkan sebagai seorang yang sosialis. Beliau amat suka menolong orang. Kadang-kadang tu sehingga menyebabkan ibu saya pokai. Perkara ini dapat saya lihat semenjak dari kecil lagi. Asal sahaja ada penjual-penjual barang yang mengetuk kereta, peminta derma dari masjid yang datang ke rumah sehinggalah kepada anak kecil yang menjual kaset agama- semuanya ibu saya beli dan beri tanpa banyak soal.

Itu belum dicampur lagi dengan tindakannya memberi derma kepada anak yatim dan rumah kebajikan. Mungkin kesusahan yang dialaminya ketika masih kecil mengajarnya agar sentiasa menolong mereka yang memerlukan. Dan inilah ajaran yang diterapkan kepada saya. Kata ibu hari ini kita mungkin senang, esok tidak mustahil kita pula yang susah.

Saya tertanya-tanya adakah ibu mempunyai sifat sebegini kerana ibu menyokong dan mendalami apa itu sosialis. Atau kerana ajaran agama. Atau mungkin kerana sifatnya yang memang begitu. Saya tiada jawapan.

Noktah sebentar.

Dari kedua nilai ini, saya dibesarkan. Dari ayah, saya diajar tentang bagaimana mahu mencari duit. Ini penting untuk masa depan saya. Dari ibu, saya dididik untuk menyumbang kepada masyarakat. Ini penting untuk masa depan saya di dunia lain.

Hari ini, selepas hampir dua dekad saya hidup di muka bumi ini, saya menilai kembali sepanjang pengalaman saya. Saya terfikir:

'Apa yang penting bukannya sistem mana yang kita pilih. Yang penting ialah orang yang menjalankan sistem tersebut. Kerana di akhirnya diri kita sendiri yang menentukan baik buruk sesuatu sistem. Kita boleh berbuat baik di dalam sistem kapitalis- kalau kita mahu. Kita juga tidak semestinya memerlukan sistem sosialis kalau hendak berbuat baik- asalkan kita mahu. Ingat, perangai bergantung kepada diri sendiri bukannya sistem.'


Mungkin benar mungkin tidak. Saya tidak tahu. Tetapi dari apa yang saya perhatikan, inilah pandangan saya.