Sunday, May 10, 2009

Ibu, mak, bonda, ummi, mama


Hari ini hari ibu. Untuk meraikannya, saya 'puasa' daripada posting berbentuk politik untuk sehari dua ini. (asyik nak bergelak kat Utusan je. Karang sakit usus pulak kan).

Bercakap mengenai ibu (panggilan saya untuk dirinya), saya akan tersenyum sendirian. Noktah sebentar, sudah 19 tahun saya menjadi seorang anak.


Dalam sehari, ibu pasti akan menelefon saya. Kadang-kadang lebih daripada 5 kali. Sesekali saya terharu, tetapi selalunya saya tergelak memikirkannya. Pernah ibu memberikan nombor celcom 1+3 plan kepada saya semata-mata kami dapat berbual secara percuma. Tetapi disebabkan bil nombor itu sering melonjak, maka ibu telah menarik balik kemudahan tersebut.

Paling lama kami tidak bertemu ialah semasa saya diperangkap di PLKN. Itupun kami tetap berhubung setiap hari. Saya tak akan lupa duit syiling ibu bekalkan yang sama beratnya dengan diri saya. Malah di blok saya ketika itu, saya menjadi supplier syiling dan digelar raja syiling. Begitulah banyaknya syiling yang ibu beri semata-mata untuk saya menelefonnya.

Noktah sebentar.

Saya masih ingat, saya keluar daripada menuntut di MRSM Jasin/TGB hanyalah kerana ibu. Ketika itu kesihatan ibu agak teruk ditambah lagi dengan baru sahaja melahirkan adik bongsu. Saya akui tindakan saya tidak bijak. Malah begitu ramai yang mengkritik dan memerli saya.

Begitu juga ketika saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara, saya tolak. Bermacam alasan yang saya berikan. Tetapi sebab yang utama tetap satu- iaitu kerana ibu. Dan sekali lagi tindakan saya dipersoalkan. Mereka mungkin salah, tetapi saya mungkin betul.

Apabila difikirkan kembali, saya telah membuat keputusan yang betul. Selama lebih 19 tahun ini saya telah meluangkan masa bersama ibu. Mungkin saya tidak belajar di sekolah terbaik Malaysia, mungkin saya tidak seperti pelajar bijak lain yang ke luar negara, tetapi masa bersama ibu adalah paling mahal harganya.

Kelak, apabila ibu sudah tiada, saya akan duduk menulis lagi di depan komputer. Apabila waktu itu sampai saya tidak akan menyesal. Kerana saya sudah meluangkan masa denganya dan juga membuatkannya gembira.

Sayangilah ibu anda. Perjuangan tanpa kasih sayang seorang ibu adalah sia-sia kerana dari ibulah, kekuatan kita datang.