Thursday, December 24, 2009

Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju


Kebebasan bersuara adalah hak bagi setiap insan. Banyak atau sedikit- itu persoalan kedua. Tetapi yang membuatkan saya berasa menyampah ialah mereka yang menjadikan kebebasan bersuara sebagai kebebasan untuk mengutuk.

Saya akui perasaan suka untuk mengutuk datang daripada kemarahan. Kita akan kutuk orang yang kita marah. Ini sikap manusia.

Tetapi kita perlu faham tentang satu perkara- mengutuk sahaja tidak akan mengubah apa-apa. Kita boleh kutuk, kutuk dan terus mengutuk. Orang pun akan bertepuk tangan dan memuji kutukan kita. Biasalah, mengutuk adalah perkara paling mudah dilakukan. Malah disukai oleh orang di sekeliling.

Namun mengutuk sahaja tidak cukup. Kita perlukan langkah penyelesaian. Kita perlukan buah fikiran. Kita perlukan idea. Kita perlu bergerak melangkaui tembok kutuk-mengutuk.

Kita boleh menyenaraikan 22 'kesalahan' dalam 22 tahun. Tetapi apa pula sumbangan kita sepanjang 22 tahun? Kita bengang apabila politikus mengamalkan budaya politik kutuk-mengutuk. Tetapi bila kita sendiri yang mengutuk- kita kata itu 'the highest form of patriotisme'. Adakah ini double standard? Atau hipokrasi?

Kita kata perbezaan pendapat adalah budaya yang sihat. Namun bila ada di kalangan kita yang tidak sependapat, kita beri gelaran 'bonehead clawn, dibrainwash dan diconvert'. Kita bersungguh-sungguh nak perjuangkan 1 bangsa manusia bersatu, namun bila kita sendiri yang menyerang satu sama lain, penyatuan 1 bangsa manusia apa ini?

Kita marah kepada borjuis yang sombong, bongkak- yang tidak mendengar cakap orang dan menerima kritikan. Tetapi bila kita dikritik, kita akan 'roger angkatan tentera' untuk membelasah suara pengkritik kita. Jadi apa bezanya borjuis dan kita?

Kita bising menuntut masyarakat lebih demokratik. Kita mahukan suara semua rakyat didengari. Tetapi kita terlupa untuk 'bersetuju untuk tidak bersetuju'. Kita anggap kita sahaja yang betul tanpa memikirkan sebentar pendapat orang lain. Adakah ini demokratik yang kita laungkan? Atau sebenarnya autokrasi yang diubah nama?

Kita mahukan anak-anak muda bangkit bersuara. Kita perjuangkan suara anak muda. Tetapi apabila anak muda memilih untuk tidak sependapat dengan kita, kita panggil mereka dengan perkataan bonsai. Kita perlekehkan mereka dengan umur 19 tahun dan 'tidak ada duit'. Di mana pendirian kita terhadap 'menghormati suara anak muda' yang selalu dilaungkan? Adakah suara anak muda hanya menjadi 'suara' bila sependapat dengan kita? Atau sebenarnya anak-anak muda tidak boleh berbeza pendapat?

Tulisan yang hebat bukan sekadar mengutuk dan mengkritik. Tulisan yang hebat ialah tulisan yang mampu menyumbang kepada penyelesaian bukannya menjadi sebahagian daripada masalah. Kalau dengan hanya mengutuk dalam tulisan barulah dikatakan cool- ini sebenarnya tulisan yang populis kerana menulis apa yang orang hendak baca. Bukannya apa yang orang perlu baca. Siapa sebenarnya yang menulis untuk popular di sini?

Adakah dengan mengkritik dan mengutuk kerajaan barulah dikatakan tidak bacul atau diupah oleh Pemuda UMNO? Kalau begini pemahamannya bermakna semua penulis ialah bacul. Kerana tidak bacul kepada sesuatu adalah bacul kepada sesuatu yang lain.

Tidak salah untuk kita mengkritik. Kritikan juga dapat menyedarkan kita. Tetapi yang menjadi masalah bila kita mengkritik hanya untuk mengkritik. Malah lebih teruk, kita menolak kebenaran hanya kerana kita mahu mengkritik. Yang sepatutnya kita buat ialah menyokong mana yang benar dan menolak mana yang salah. Kita boleh menjadi pengkritik dan kita boleh jadi penyokong.

Kita boleh berbeza pendapat. Kita boleh memilih apa yang kita hendak percaya. Dan kita boleh perjuangkannya. Ini sebenarnya demokrasi. Namun untuk memastikan demokrasi ini benar-benar demokratik, apa yang perlu kita lakukan ialah - bersetuju untuk tidak bersetuju. Ini sebenarnya yang gagal untuk kita praktikkan.

Selagi mana kita gagal untuk bersetuju untuk tidak bersetuju- jangan mimpilah nak kebebasan bersuara. Kalau tidak, yang dapat hanyalah kebebasan untuk mengutuk.

*

Saya akui bulan ini saya jarang mengupdate blog. Namun ini bukanlah perkara yang penting. Sejak kebelakangan ini saya dapati begitu banyak komen-komen yang menyerang peribadi. daripada orang yang sama. Lebih teruk, ada yang menghantar sms 'memprovoke'. Nampaknya mereka ini orang-orang yang saya kenal (mungkin juga orang yang sama?).

Saya berasa kesal terhadap perlakuan mereka yang tidak menghormati perbezaan pendapat. Nasihat saya mudah sahaja. Blog ni macam makanan. Agak-agak tidak sedap, janganlah makan. Kalau rasa tak boleh terima, janganlah baca. Ini penyelesaian yang mudah tanpa perlu nak demand saya delete blog ini. Lagipun daripada sakit hati dan terus bergaduh, lebih baik diam dan jangan kacau blog orang.


Terima kasih juga kepada email-email sokongan yang dihantar. Beginilah indahnya blog- kita bukan setakat menjadi penulis dan pembaca, tetapi turut menjadi rakan. (tak kisahlah rakan sekejap pun)

Terima Kasih.