Wednesday, August 4, 2010

Demokrasi Ada Harganya

Semua orang memuja demokrasi- sistem terbaik yang pernah dicipta oleh manusia.

Negara yang tidak mengamalkan demokrasi akan dipaksa mengguna pakai demokrasi di negara mereka. 500 ribu rakyat Iraq mati dibunuh atas 'perjuangan' untuk mengembalikan demokrasi di negara tersebut.

Begitulah hebatnya sistem demokrasi.

Berbalik ke Malaysia, demokrasi di negara kita adalah terhad. Kita bukannya liberal demokrasi. Namun kita tidak perlu berasa malu mahupun takut 500 ribu rakyat kita akan dibunuh oleh tentera Merika dan sekutu. Malaysia tidak pernah berazam dan berjanji untuk menjadi sebuah negara yang paling demokratik di dunia seperti Amerika, etc.Jadi setiap tindakan yang tidak demokratik di Malaysia berlaku adalah kerana kita memang memilih untuk tidak menjadi liberal demokratik.

Setidak-tidaknya kita tidak hipokrit.

Namun keadaan sudah banyak berubah semenjak 7 tahun yang lalu. Negara Malaysia mula menjadi semakin demokratik di bawah pemerintahan Pak Lah. Atau lebih tepat lagi selepas pemerintahan 22 tahun Tun Dr Mahathir.

Jumlah tahanan ISA semakin berkurangan, berpuluh demonstrasi berjaya diteruskan di sebalik tidak ada permit, mereka yang ditahan akan dilepaskan, hampir tiada permit akhbar yang ditamatkan, tidak ada operasi menangkap ahli-ahli politik, dan setiap orang bebas memberikan pendapat (atau sebenarnya mengutuk, mencaci dan menghasut) di alam siber.

Isu-isu sensitif seperti bangsa dan agama juga bebas dibincangkan dan dijadikan mainan politik oleh kedua belah pihak.

Setiap orang tampaknya gembira dengan perkembangan demokratik yang sihat ini. Kita sudah menuju ke arah liberal demokratik.

Bak kata parti pembangkang- inilah yang diinginkan oleh kebanyakan rakyat Malaysia- tidak kiralah mereka yang tinggal di kawasan elit, Bangsar mahupun di ceruk pedalaman, Long Banga. Semuanya mahukan lebih demokrasi.

Disebabkan kita sudah menjadi semakin demokratik, muncullah kumpulan-kumpulan 'kanan' seperti PERKASA. Malah kita juga ada mendengar gesaan diwujudkan Perkasa versi orang cina pula.

Saban hari kita asyik mendengar berita seperti himpunan, forum dan demonstrasi daripada kumpulan-kumpulan ini yang pada akhirnya tidak membawa apa-apa kejayaan melainkan hanya membangkitkan kemarahan orang ramai. Simply because they are minority.

Sehinggakan sudah ada suara yang mahukan PERKASA diharamkan dan pemimpinnya ditahan dibawah ISA.

Paling menghairankan gesaan ini dibuat oleh mereka yang memperjuangkan demokrasi. Bukankah demokrasi bermakna kebebasan untuk memilih dan kebebasan menyuarakan pandangan?

Sebenarnya ini adalah harga yang perlu dibayar apabila negara menjadi semakin demokratik. Tidak dinafikan begitu banyak kebaikan daripada demokrasi. Namun demokrasi datang dengan harganya. Kalau dahulu, demokrasi menggantikan monarki dengan ratusan ribu nyawa yang melayang, tetapi kini harganya ialah kita hendaklah matang dalam menerima kumpulan-kumpulan kanan seperti Perkasa.

Kalau tidak bersedia, jangan sibuk jadi juara demokrasi.

Apa yang diterima pada hari ini adalah kesan daripada apa yang diminta di hari semalam.