Friday, May 15, 2009

Cadangan-cadangan Untuk Perpaduan


Sengaja saya tidak menulis mengenai tragedi 13 Mei yang berlaku 40 tahun lepas. Saya ingin melihat bagaimana kisah tragedi ini digarap di media massa dan media masam terlebih dahulu. Selepas dua hari, hanya Utusan Meloya sahaja yang menggunakan kaset 13 Mei untuk menakut-nakutkan rakyat.

Saya tidak tahu adakah kesenyapan kaset 13 Mei dalam segala media lain ada kena mengena dengan isu Perak ataupun tidak. Cuma jika ditanya kepada saya, saya gembira kaset 13 Mei ini didiamkan. Cara terbaik untuk melupakan tragedi berdarah itu adalah dengan tidak menceritakannya langsung kepada orang ramai terutama generasi muda.

Pun begitu, melupakan sahaja tidak cukup dan tidak mampu untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Untuk itu saya mempunyai dua cadangan.

Cadangan pertama ialah mengadakan satu jenis sistem persekolahan sahaja. Hapuskan sekolah-sekolah vernakular. Jangan pisahkan anak-anak muda kita dengan sekolah cina, tamil, agama dan pondok. Biarlah mereka belajar dan bergaul di sekolah kebangsaan sahaja. Biarlah guru-guru, kerani-kerani, pembantu makmal dan tukang kebun juga terdiri daripada semua bangsa.

Alangkah indahnya jika kita dapat melihat guru india mengajar bahasa melayu di kelas yang berbilang bangsa. Di luar tingkap kelas, si pembantu makmal cina saling bergosip bersama dengan kerani melayu. Guru-guru turun minum pagi bersama rakan sejawatnya yang berbangsa lain. Ini barulah dikatakan perpaduan asli. Bukan perpaduan dibuat-buat yang terpampang di iklan zoom Malaysia.

Sedarlah, perpaduan hanya boleh wujud apabia tiadanya rasa prejudis antara satu sama lain. Prejudis pula hanya dapat dihapuskan dengan saling mengenali. Dan di sekolahlah proses mengenali ini sangat diperlukan dan amat penting. Anak-anak kecil yang masih putih pemikirannya perlu diberi pendidikan di suasana sekolah yang berbilang bangsa. Sekolah bukan kilang menghasilkan pelajar yang berpuluh-puluh A. Sekolah adalah tempat untuk mengenali dan memahami antara satu sama lain. Sekolah merupakan tempat untuk memupuk perpaduan. Bukan PLKN. Bukan Rumah Terbuka.

Mungkin cadangan ini akan ditentang hebat oleh pelbagai pihak. Dan salah satunya daripada kaum cina. Tetapi kita perlu sedar, hidup ini adalah bersifat give and take. Untuk mendapatkan sesuatu, kita perlulah memberikan sesuatu. Dalam hal menghapuskan sekolah vernakular ini, kita boleh menghapuskan sistem kuota dalam kemasukan pelajar ke Matrikulasi.

Kita semua mengetahui kaum bukan bumiputra hanya diperuntukkan sebanyak 10% tempat. Jika kita jujur mahukan perpaduan, mengapa tidak kita mansuhkan kuota ini? Biarlah pelajar-pelajar melayu, cina dan India bersaing dalam merebut tempat. Siapa yang layak, dia yang dapat. Kulit warna apa, itu tidak penting. Saya amat yakin inilah yang kaum bukan bumiputra mahukan. Jadi di sini nilai give and take dapat dilakukan. Mereka hapuskan sistem sekolah vernakular, kita beri mereka Sistem Matrikulasi yang berasaskan meritkorasi.

Masih tidak nampak lagi penyelesaiannya?

Cadangan kedua: Isyhtiharkan 13 Mei sebagai Hari Perpaduan. Biarlah tarikh ini dijadikan cuti umum. Biarah tarikh ini diadakan pelbagai program perpaduan. Biarlah tarikh ini merupakan hari di mana semua orang saling beramah mesra. Biarlah tarikh ini rakyat Malaysia bergembira dengan perpaduan bukan ketakutan mengenang pergaduhan. Biarlah tarikh 13 Mei dikenang sebagai sesuatu yang putih bercahaya bukan diratap sebagai sesuatu yang hitam menyesatkan.

Masih mahu berpecah-pecah lagi?