Sunday, July 26, 2009

Kisah Putrajaya


1- Sesiapa yang pernah lalu lalang di Putrajaya pada hari cuti dan waktu malam pasti menyedari bahawa bandar ini sangat bosan. Dalam erti kata lain, Putrajaya adalah bandar yang mati, tidak hidup dan macam pekan 'koboi'. Sekali pandang macam set pengambaran berskala besar di Universal Studio pun ada.

2- Asalnya Putrajaya dibina dengan mengambil contoh bandar Paris sebagai model pembangunan. Kononnya Putrajaya akan menjadi 'city of light' di Asia- bandar yang bergemerlapan dengan cahaya di waktu malam. Kononnya bandar ini akan sentiasa hidup dan tidak akan mati.

3- Tetapi apa yang berlaku di Putrajaya bukannya 'city of light' sebaliknya 'city of tiang lampu'. Di waktu malam- hanya tiang-tiang lampu sahaja yang setia menjadi penghuni di bandar ini. Itupun kerana tiang-tiang lampu ini tidak tahu jalan ke Paris untuk mereka berhijrah. Kalaulah Air Asia ada penerbangan terus ke Paris, pasti sudah lama Putrajaya menjadi gelap tanpa tiang lampu.

4- Saya tidak faham mengapa pihak berkuasa Putrajaya dan juga perancang bandar tidak menyedari hakikat ini? Adakah mereka tidak pernah tahu betapa sunyinya keadaan di Putrajaya? Tidak percaya? Sila lihat di jalan-jalannya. Sehinggakan kalau saya baring di tengah jalan pun pasti tidak akan dilenyek kenderaan kerana jalannya yang sangat lengang.

5- Itu tidak dikira lagi dengan kebosanan ketika berlegar-legar di Putrajaya. Tidak banyak perkara yang boleh dilakukan. Tidak ada teater untuk saya tonton. Tidak ada galeri lukisan untuk saya lawat. Tidak ada perpustakaan untuk saya singgah. Tidak ada McD, KFC, Pizza Hut dan kedai mamak untuk saya melepak bersama kawan-kawan. (Tiba-tiba saya terfikir, di Putrajaya ada kawasan perkuburan tak untuk orang mati?)

6- Paling saya tidak boleh terima ialah di Putrajaya tidak ada awek lalu lalang untuk saya berkenalan! Bandar apa camni yang tidak ada awek di dalamnya. Selayang, Kodiang dan Kuala Nerang pun ada awek. Takkan Putrajaya begitu cekai? Agaknya kalau saya membesar di Putrajaya pasti saya akan terfikir untuk menjadi sami kerana tidak jumpa jodoh.

7- Sepatutnya hal ini tidak boleh dibenarkan berlaku. Kita sudah berhabis begitu banyak wang untuk membina bandar mega ini. Dianggarkan hampir RM10 bilion telah dibelanjakan. Pernah saya terbaca di akhbar Daily Telegraph UK di mana projek Putrajaya ini antara 10 projek paling membazir di dunia yang pernah dilakukan. Saya tidak bangga. Malah berasa sedih.

8- Sebagai pelajar seni bina, saya masih beranggapan Putrajaya masih boleh dibangunkan. Ia bukannya perkara yang mustahil. Kita cuma perlu berfikir di luar pengaruh KBSM untuk mencari idea-idea best. Aiyyo- Takkanlah pegawai-pegawai yang berkot dan bertali leher di pejabat air-cond itu tidak boleh memikirkan cara penyelesaiannya?