Saturday, January 2, 2010

Ulasan 2009- Politik

POLITIK

Tahun 2009 adalah tahun yang aneh. Aneh kerana kita menyaksikan perkara yang sepatutnya berlaku tetapi sebaliknya pula yang terjadi.

Pertama- apa yang sepatutnya berlaku?

Pakatan Rakyat sepatutnya sudah berpindah masuk ke Putrajaya menjelang 2009 tetapi sebaliknya kehilangan negeri Perak. Anwar Ibrahim yang sepatutnya sudah menjadi Perdana Menteri keenam Malaysia tetapi sebaliknya Najib Razak yang membentangkan Bajet 2010.

Kita menjangkakan UMNO akan terus nazak dan lemas dalam permainan sentimen perkaumannya. Sebaliknya apa yang berlaku UMNO sudah kembali ke arus sederhana. Kita menjangkakan PAS akan terus bermain dengan kaset islamnya seperti yang ditunjukkan dalam isu arak, konsert dan sebat. Sebaliknya PAS juga sudah kembali ke arus sederhana yang lebih terbuka.

Kita menjangkakan MCA, MIC, PPP dan Gerakan keluar meninggalkan BN. Sebaliknya wakil rakyat DAP dan PKR yang masuk menyertai BN. Kita menjangkakan PAS akan berpecah kepada dua fraksi- geng Nik Aziz dan Hadi Awang. Sebaliknya MCA yang kacau bilau dengan tiga fraksi- Ong Tee Keat, Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai.

Kesemua ini adalah aneh. Apa yang sepatutnya berlaku tetapi sebaliknya yang terjadi.

Kedua, sebenarnya tahun 2009 adalah tahun untuk Pakatan Rakyat. Tahun 2009 sepatutnya Barisan Nasional sudah 'dikuburkan'. Tetapi jauh daripada dikuburkan, Barisan Nasional dibenarkan untuk hidup kembali.

Pakatan Rakyat telah membuat percaturan yang silap. Untuk membunuh BN, bukan dengan cara membogelkan segala kesilapan yang lepas. Ini peluru yang salah. Peluru ini hanya berkesan ketika pilihanraya 2008. Tetapi tidak di 2009. Menggunakan peluru ini hanya akan memerangkap diri sendiri. Pertama kerana pemimpin pakatan rakyat sendiri pernah menjadi sebahagian daripada BN yang lepas. Kedua kerana rakyat sudah muak dan menyampah dengan budaya politik 'siapa lagi teruk'. Ketiga kerana rakyat mahukan tindakan bukan cakap-cakap.

Peluru yang paling ampuh- yang sepatutnya digunakan Pakatan Rakyat ialah menunjukkan mereka lagi bagus dalam memerintah. 5 negeri yang diperintah adalah medan paling sesuai untuk menggunakan peluru ini.

Namun, apa yang terjadi ialah Pakatan Rakyat masih lagi menggunakan peluru yang sama. Permainan ini diteruskan dengan siri sabotaj mengsabotaj. Kita dapat lihat BN sabotaj PR di negeri-negeri yang diperintah PR. Kita juga dapat lihat PR sabotaj BN di peringkat persekutuan. Namun dalam permainan sabotaj ini- BN memiliki kelebihan jentera kerajaan. BN- suka atau tidak- telah mengalahkan PR di dalam permainan ini. Di sinilah permulaan kebangkitan BN.

Ia adalah satu perkara yang malang untuk melihat BN kembali kuat bukan dengan cara mereformasikan diri mereka. Sebaliknya kerana PR semakin lemah kesan daripada permainan mereka sendiri. Nampaknya peluru memakan diri. Tahun 2009 yang sepatutnya untuk Pakatan Rakyat bertukar kepada Barisan Nasional.

Ketiga, kita cukup risau tahun 2009 akan menjadi tahun yang penuh dengan konflik perkauman dan keagamaan. Kita menjangkakan perpaduan di negara akan menjadi semakin teruk dan goyah. 'Terima kasih' kepada politikus dan juga Utusan/Harakah kerana menyumbang kepada keadaan ini. (Itu belum dicampur lagi dengan blog-blog). Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Di sebalik kerisauan konflik antara agama tercetus, kita dapati rakyat Malaysia mengutuk tindakan mereka yang berarak membawa kepala lembu. Di sebalik kerisauan melayu, cina dan india bergaduh, kita dapati rakyat Malaysia bersatu menuntut keadilan dalam kes Teng Beng Hock dan Kugan. Di sebalik kerisauan perpaduan kita semakin teruk, kita muncul dengan lebih bersatu padu selepas diuji dan diancam.

Kita mungkin masih lagi tidak mencapai perpaduan seperti yang diimpikan iaitu kewujudan bangsa Malaysia. Namun apa yang berlaku pada 2009 menunjukkan perpaduan kita tidaklah semakin teruk seperti dijangkakan.

Sebenarnya yang menjadi lebih rasis dan fasis bukannya rakyat Malaysia sebaliknya politikus. Nampaknya 'murid' lebih pandai dalam membina perpaduan berbanding 'cikgu' yang asyik mengajar tentang perpaduan.

Di akhirnya 2009 adalah tahun di mana politik kita masih kekal dengan budaya politik lama. Kita masih lagi terperangkap dengan isu-isu bodoh dan bangang. Kita tersepit di antara kerajaan yang tiada kredibiliti dan pembangkang yang menjadi liabiliti. Namun 2009 juga menyaksikan rakyat kita semakin menolak budaya politik lama. Setidak-tidaknya dalam hal berkaitan perpaduan, kita telah membuktikannya.

Tahun 2010..........