Thursday, May 21, 2009

Manusia, candu dan giannya


(Tulisan ini pernah disiarkan di The Malaysian Insider dan juga di blog ini pada sebulan yang lepas. Tujuan diterbitkan kembali untuk kita sama-sama berdiskusi dan menilai kembali peranan kita sebagai rakyat. Selamat berdiskusi! )

Saya cukup yakin sekiranya Karl Marx datang ke Malaysia, pasti beliau akan menangis dan terduduk. Karl Marx akan menyesal kerana mengatakan 'agama ialah candu manusia'. Hal ini tidak ada sangkut paut dengan Islam Hadhari atau jauh sekali daripada ketuanan Islam. Karl Marx menangis kerana di Malaysia rakyatnya lebih gian terhadap sesuatu. Gian ini jauh lagi hebat daripada gian candu, duit, wanita mahupun gian agama-seperti didakwa beliau.

Maka saya dengan bangganya menyatakan di Malaysia 'politik ialah candu manusia'.

Untuk kita fahami pandangan saya tidak susah. Kita wajib melihat kembali bagaimana struktur candu dan gian ini berfungsi.

Apabila ada candu, pasti akan muncul pembekal candu. Pembekal ini pula selalunya bertopeng-topeng dan tidak mudah dikenali. Malah candu yang mereka bekalkan juga berbeza-beza rasanya.

Ada pembekal yang bertopengkan melayu. Candu ini cukup ekslusif- hanya mereka yang ber'peri' dan ber'bumi' sahaja yang layak membeli. Candu yang mereka bekalkan membuatkan kita berasa 'tuan' di bumi ini dan yang lain sebagai pendatang. Candu ini juga akan menakut-nakutkan kita sekiranya kita tidak lagi membeli candu politik mereka. Hal ini saling tak ubah macam pengedar candu yang betul. Siang menjual malam mengugut.

Ada juga pembekal yang berjubahkan Islam. Pembekal ini merupakan pesaing kuat kepada pembekal bertopengkan melayu. Tetapi candu yang dijual mereka lagi syok. Candu mereka mampu membawa kita ke syurga dan neraka apabila kita merasainya. Satu perkara yang berbeza ialah pembekal candu ini tidak mengugut kita untuk membelinya sebaliknya cukup sekadar mengingatkan tentang pahala dan dosa.

Baru-baru ini muncul lagi satu pembekal candu. Pembekal ini mendakwa berjiwakan rakyat. Satu perkara menarik tentang pembekal candu ini ialah mereka cukup bijak dalam menjual. Candu mereka tidak ekslusif seperti pembekal-pembekal di atas. Sebaliknya untuk semua golongan. Candu ini pula mampu memberi kita harapan dan janji. Harapan ini boleh datang pada 16 september tetapi boleh juga berubah pada tarikh yang lain.

Noktah Sebentar.

Satu persoalan timbul- jika ada pembekal, pasti ada pembeli. Siapa pembelinya? Jawapannya ialah kita. Kita itu ialah rakyat. Jika tidak percaya, sila lihat di akhbar,TV, dan blog. Hampir semuanya gian kerana telah mengambil candu daripada pembekal-pembekal tadi. Penagih candu Islam akan mengutuk penagih candu melayu yang mereka tidak cukup Islam. Penagih candu melayu pula akan menuduh penagih candu rakyat pengkhianat melayu. Masing-masing mendakwa candu merekalah terbaik.

Contoh yang paling jelas ialah ketika pilihan raya berlangsung. Setiap pembekal berusaha bersungguh-sungguh menjual candu. Bermacam taktik digunakan. Ada yang ingin dilihat lebih bersih daripada sabun breeze. Ada yang mahu dinampak lebih Islam dari kapal selam. Malah kalau boleh bersunat sekali lagi pun mereka akan bersunat. Dan... kita pula terus gian dan seronok dengan candu-candu mereka. Tanpa kita sedari kita telah ditipu.

Satu peringatan di sini; pembekal candu tidak gian malah menjadi kaya raya. Penagih candu yang gian dan papa kedana.

Noktah Sebentar.

Sekiranya Karl Marx dapat membuka blog ini di dalam kubur, mungkin beliau akan terfikir satu perkara selepas membaca tulisan ini. Dan saya sangat yakin perkara itu ialah mengajak saya untuk menulis Das Capital bersama. Dan jika perkara ini benar-benar berlaku, mungkin saya akan gian untuk terus menulis.

(Ketika artikel ini ditulis, ekonomi dunia berada dalam keadaan SANGAT BAIK dan MAKMUR. Semua orang ada pekerjaan. Semua orang cukup duit. Agaknya sebab inilah mereka tidak kisah menjadi gian.)