Tuesday, October 6, 2009

Basuh minda rasis

Dari mana rasis datang?

Begitu ramai yang mendakwa diri mereka tidak rasis. Sama ada mereka benar-benar tidak rasis atau tidak, macam mana hendak dipastikan. Tak ada ujian SIRIM pun untuk menentukannya. Tetapi yang pasti, dalam diri setiap insan mesti wujud perasaan rasis.

Rasis wujud hasil daripada sifat prejudis. Prejudis wujud kerana kurang mengenali dan kurang pengalaman.

Rasis juga datang hasil daripada pengaruh persekitaran. Ibu bapa kita, guru-guru kita dan mungkin kawan-kawan kita- sama ada sedar atau tidak- menerapkan unsur rasis ke dalam diri kita.

Rasis pun boleh wujud kesan daripada pengalaman hidup. Kita mungkin menjadi rasis akibat ada 'sejarah' dengan orang yang rasis.

Rasis jujur dan rasis tidak jujur?

Selalu saya berlegar dari blog ke blog. Ada blog orang Barisan, ada blog orang Pakatan. Selalunya apabila membaca blog orang Barisan saya tidak terkejut jika membaca artikel yang rasis sifatnya. Biasalah orang UMNO. Lagi-lagi jenis yang berkitabkan Utusan. Setidak-tidaknya- bagi saya- mereka ini rasis yang jujur. Rasis yang kita nampak.

Tetapi saya cukup terperanjat bila membaca blog orang Pakatan yang anti ketuanan melayu dan tidak rasis tetapi dalam tulisannya penuh dengan kutukan berunsur rasis. Antara perkara yang selalu memperlihatkan perangai rasis mereka ialah Dr Mahathir dan mamak. Azeez putera UMNO dan Kimma.

Saya bukanlah penyokong Azeez Putera UMNO yang-kena-pukul-sedikit-pun-dah-kecoh-satu-Malaysia. (owh, lembik betul). Tetapi sekalipun saya tidak menyukai Azeez, saya tidak memanggilnya sebagai kimma, kimmak atau mamak. (Kimma ialah parti india muslim. Parti ni parti cekai, tak popular. Jadi kena terangkan sikit.) Saya juga tidak menghina warna kulitnya dengan membuat lawak 'bila gelap tak nampak'. Ini kerana bagi saya kebencian terhadap seseorang itu tidak memberikan lesen untuk saya menghina peribadinya. Apatah lagi penghinaan yang berunsur perkauman.

Dalam hal Dr Mahathir- saya perhatikan begitu ramai penulis blog orang Pakatan seperti Hishamuddin Rais yang begitu gemar mengutuk beliau sebagai madey, mamak, kutti, kerala dan india. Ini disambut pula dengan pembaca yang rasis komennya. Saya bukanlah penyokong kuat Dr Mahathir pun walaupun mengaguminya. Tetapi sekalipun kita tidak bersetuju dengannya (atau membencinya), adakah wajar kita menghinanya dengan kata-kata yang rasis?

Apa masalahnya kalau Dr Mahathir seorang mamak? Adakah mamak bangsa yang hina? Adakah dengan berkulit gelap menyebabkan beliau tidak layak memimpin? Kita boleh tidak bersetuju dengan Dr Mahathir. Memanglah ada perkara yang beliau buat tidak semuanya betul. Tetapi kalau tak setuju, kritik dasarnya. Kritik perlaksanaannya. Saya pun kritikal dengan Dr Mahathir. Tetapi saya memilih untuk mengkaji era pemerintahannya melalui buku, temu bual dan berjalan ke Putrajaya, Langkawi. Dari situ baru saya kritik. Barulah betul caranya. Bukan dengan menggunakan ayat-ayat rasis.

Mengutuk orang yang dikatakan rasis dengan menggunakan ayat-ayat rasis juga adalah rasis. Di sini tidak ada bezanya antara blogger Pakatan macam Isham dengan blogger Barisan/UMNO. Tidak ada bezanya pembaca blog Pakatan dan pembaca blog Barisan. Kalau ada beza pun, blogger Barisan tidak berselindung di sebalik nama anti-rasis seperti blogger Pakatan yang sebenarnya dua kali lima rasisnya.

Bagi saya apa yang berlaku adalah hasil daripada manifestasi politik orang tua. Ini cara lama untuk mengutuk pihak lawan dengan garisan rasis. Jika kita mahukan perubahan, kita sendiri yang perlu mulakan dengan tidak terikut dengan perkara-perkara rasis seperti ini.

Saya tahu saya mungkin dihentam dengan menulis perkara ini. Silap-silap saya juga mungkin dicop rasis. Tetapi sebelum anda memberikan komen, sila bayangkan apa perasaan golongan mamak, orang yang berkulit hitam, dan kaum india apabila anda membuat kelakar tentang 'bila gelap tak nampak'. Fikirkan jika anda di tempat mereka. Saya amat berharap tulisan ini dapat membasuh perasaan rasis di dalam minda kita.

Garisan Rasisme

Apa itu rasis?

Soalan yang cukup mudah. Dan selalu juga kita dengar. (lagi-lagi semenjak PRU 12). Tapi pernah atau tidak kita bertanya pada diri sendiri apa yang dikatakan sebagai rasis?

*
Adakah rasis apabila kita merujuk sesuatu perkara itu dengan bangsanya?

Contohnya berita seperti "90% orang melayu masih makan gaji." Atau berita seperti "70% penghidap kanser pangkal rahim ialah kaum cina." Bagaimana pula dengan berita "Orang india antara penyumbang tertinggi kes jenayah."

Ada sesetengah orang berkata ini rasis. Mereka berpendapat tidak perlu melihat sesuatu perkara itu pada bangsanya. Lebih baik dirujuk kepada 'bangsa Malaysia'. Ini lebih baik kata mereka. Hujah ini ada meritnya jika kita tidak sukakan label yang memisah-misahkan kita.

Tetapi adakah ianya menyelesaikan masalah? Jawapannya tidak.

Kadangkala kita perlu merujuk sesuatu perkara dengan bangsanya. Kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa setiap bangsa mempunyai cara dan keadaannya tersendiri. Ini pun yang menjadikan setiap bangsa itu unik dan berbeza. Dan dari situ kita dapat mengkaji punca dan sebab berlakunya perkara tersebut.

Contohnya mengapa orang india paling banyak melakukan jenayah. Mungkin ada kaitan dengan taraf hidup orang india yang masih ketinggalan di Malaysia. Begitu juga mengapa orang cina paling banyak menghidap kanser pangkal rahim. Mungkin dalam ilmu perubatan, orang cina mempunyai 'gen-gen' yang lain daripada bangsa lain hasil daripada gaya hidup mereka. Samalah juga mengapa orang melayu masih ramai yang makan gaji. Mungkin budaya hidup orang melayu dari nenek moyang lagi yang bukan dari orang pandai berniaga.

Cuba bayangkan jika kita rujuk masalah-masalah ini sebagai 'bangsa malaysia'. Adakah kita dapat mencari puncanya?

Jadi, adakah merujuk sesuatu perkara dengan bangsa dikatakan rasis?

*
Kemudian adakah rasis jika kita bercakap tentang nasib sebenar bangsa kita? Adakah menyeru kepada sesuatu bangsa ke arah kebaikan dan kemajuan dianggap rasis?

Ada yang berkata lebih baik menyeru kepada negara secara kolektif untuk maju. Bukan menyeru kepada bangsa. Ini logik mudah. Kalau bangsa tak maju, bagaimana negara nak maju? Kalau orang melayu tidak maju, adakah Malaysia dikira sudah maju? Kalau orang india masih ketinggalan, apa maknanya kemajuan di Malaysia?

Sekalipun kita menyeru kepada negara dan bukan bangsa, kita tidak akan lari dari berkata tentang bangsa ini dan bangsa itu. Mengapa? Kerana sekali lagi hakikat bahawa negara kita ialah berbilang bangsa.

Sebenarnya yang rasis ialah apabila kita menghasut kebencian kepada kaum lain dalam menyeru kemajuan bangsa kita. Contohnya seperti kata-kata 'kita akan dihalau' dan 'kaum pendatang yang jadi tuan'. Ini baru dikatakan rasis. Seruan apa begini yang menakut-nakutkan. Bukannya membawa kepada kebaikan tetapi kepada kepada kebencian. Bagaimana nak maju dalam kebencian?

Oleh itu, jika kita menyeru dengan baik, tanpa menghina dan menakut-nakutkan bangsa kita, ia bukanlah perkara yang rasis. Samalah seperti menyeru Berbatov bermain bola dengan baik demi kemajuan MU tanpa perlu menghasutnya membenci Rooney yang tengah on-form.

*
Di akhirnya apa sebenarnya yang dikatakan sebagai rasis? Terdapat banyak tafsiran bagi setiap individu. Ada yang berasa rasis bila kita membuat kelakar tentang keadaan bangsa lain. Ada yang berasa rasis bila kita memberitahu perkara sebenar tentang sesuatu bangsa. Malah ada yang berasa rasis untuk menyatakan apa bangsanya di borang pendaftaran.

Jadi, apa garisan rasisme di mata anda?

Sunday, October 4, 2009

Mari pilih warna

The Blues?

or The Reds?

The answer is: Red Devils.


ps: gua saje tak nak bagi komen. Nanti ada yang gaduh pasal bola tak tentu pasal. Padahal macamlah Manchester, Chelsea dan Liverpool tu kampung diorang. Lagi satu tak pasal-pasal je kelab-kelab Malaysia kecik hati.

pss: Gua mengharapkan seri. Sebab MU dah seri semalam. Lagipun senang, biar adil kat dua-dua team. hehe

Lawak Weekend

Lawak untuk hari ahad. (Hari minggu takkan nak sakit kepala baca benda-benda politik kan.)

Sila klik sini.

Hahaha tak sangka Awang Selamat dah speaking.


Ps: Gua dengan Awang Selamat memang tak 'into' sikit. Bukannya Utusan tu yang rasis tapi Awang ni yang rasis.

Kenapa?

" Bro, kenapa dah lama tak update blog? " rumusan daripada sms dan email yang gua terima semenjak dua menjak ni.

Gua puasa enam dari blogging. Maaf. Harap Bersabar.

Wednesday, September 30, 2009

Kisah Langkawi- 1

PERMULAAN

Minggu lepas, saya ke Langkawi. Tujuan utama saya ke pulau lagenda ini bukannya untuk mencari keturunan Mahsuri. Jauh sekali untuk memborong cokelat murah. Sebaliknya saya ke sana untuk menilai dan mengkaji era pemerintahan Tun Dr Mahathir.

Langkawi- seperti mana yang kita tahu adalah idea Dr Mahathir selain daripada F1,KLCC, Putrajaya dan PLUS. Jadi untuk mengkaji Dr Mahathir, wajib pergi ke Langkawi. Kalau tak, separuh masaklah kajian itu. Macam pergi ke Terengganu tapi tak makan keropok lekor. Macam datang ke Selayang tapi tak lalu pasar borong. Ibarat MIC dan Samy, begitulah Dr Mahathir dan Langkawi. Keduanya sangat berkaitan.

Ops, sebelum saya berkisah, jangan salah faham- saya bukanlah penyokong kuat Dr Mahathir yang akan memberi komen "salam ayahanda" di blog Che Det. Saya hanyalah anak muda yang mencari jawapan kepada persoalan. Dan persoalan saya berkisar kepada Perdana Menteri kita yang keempat ini. Itu sahaja. Tidak ada bodek. Tidak ada kontrak. Yang ada hanyalah pandangan.


*********************************************************************************
Hari pertama- saya menginap di Pantai Cenang. Kawasan yang paling 'remaja' di Langkawi. Meriah dan hidup. Tidak seperti di Kuah dan Padang Matsirat- yang sudah sunyi sepi menjelang malam. Disebabkan kaki sudah lenguh menapak, saya ke pusat spa tradisional. Sebelum ada pembaca yang berbicara mengenai dosa dan pahala, pusat spa ini bukannya seperti spa yang bersepah di Bukit Bintang. Tidak ada 'extra massage' atau urut batin. Malah yang merefleksologi kaki saya merupakan seorang pakcik tua.

Kami bersembang rancak. Pakcik ni betul-betul peramah. Lebih ramah dari biasa memandangkan saya juga kaki sembang. Dari hal-hal runcit hinggalah kepada hal politik. Saya bertanya bagaimana keadaan bisnes spanya sekarang. Senang ke sempit. Banyak ke tidak sales yang masuk. Beliau diam seketika dan kemudian sedikit mengeluh.

" Langkawi ni maju masa Dr Mahathir jadi PM. Dulu berduyun-duyun pelancong yang datang. Paling ramai pelancong asing. Masa tu Mahathir selalu buat acara antarabangsa kat Langkawi. Tapi tu dululah dik."

Saya sudah mula seronok. Maklumlah ini pun tujuan saya ke mari. Ingin mendengar kisah dari warga tempatan tentang Dr Mahathir. Bagi saya kisah mereka ialah autoriti sebenar. Cakap mereka ialah kajian yang tulen. Saya teruskan lagi dengan bertanya- bagaimana pula keadaan bila Pak Lah naik?
" Pak Lah? Huh, takat buat Pesta Air dia reti la. Itupun tak ramai yang datang. Senang cakap, Langkawi terhenti kejap pembangunan."

Selepas PRU 12 bagaimana?- saya bertanya.
" Bila PAS menang dan jadi kerajaan negeri Kedah, kami ingat adalah pembangunan yang nak dibawa. Tup tup depa ada ura-ura nak tutup pusat spa pulak. Masa tu pening betul kepala pakcik. Mujurlah tak jadi dilaksanakan. Kalau tak, bayangkan berapa ramai orang hilang kerja. Bukan spa pakcik je yang ada kat Langkawi ni."

Kali ini saya diam. Dalam hati dah berfikir- pakcik ni mesti orang UMNO. Tapi saya tersilap.
" UMNO pun tak boleh pakai jugak. Dato' Bakaq- MP sini orang UMNO. Tapi dah tua sangat dah. Cakap pun tersekat-sekat. Macam ni nak bawa pembangunan? Idea pun tak da. Ini salah orang-orang UMNO la yang nak sangat orang tua ni. Depa seronok dapat kontrak. Tapi kami yang kat bawah ni?"

**********************************************************************************
Selesai mengurut kaki. Saya bayar dan beredar. Dalam perjalanan pulang ke hotel, saya membuat kesimpulan untuk hari yang pertama.

Kita sebenarnya mempunyai 'dua pilihan yang bangang.' Pakcik itu seperti kebanyakan rakyat yang lain bukannya peduli siapa yang memerintah. Tak ambil pot langsung tentang agenda melayu ke, agenda agama ke- yang penting ialah pembangunan. Yang nak diisi dalam perut ialah makanan bukan ketuanan. Yang nak dibayar macam-macam ialah duit bukan ceramah.

Di sini mungkin Mahathir dikritik kerana suka menganjurkan acara antarabangsa. Mungkin kita boleh berkata ia membazir dan mahal. Tetapi dengan kesan ekonomi (spillover effect) kepada orang biasa seperti pakcik di pusat spa tadi, ia sudah meyakinkan bahawa ada kalanya kita memerlukan acara antarabangsa. Terpulang kepada para pembaca untuk menilai sendiri apa yang Mahathir lakukan ini justify atau tidak. Setakat yang saya kaji, di Langkawi ia justify.

******************************************************************************
Hari pertama di Langkawi- Dr Mahathir dikenang bukan kerana beliau orang UMNO atau Perdana Menteri. Tetapi kerana beliau membawa pembangunan.


ps: Ini pandangan saya yang diperoleh daripada pengalaman. Saya tahu tidak ramai yang akan bersetuju. Tetapi mempunyai pandangan yang tidak popular barulah dikatakan pandangan- setidak-tidaknya saya mengkaji untuk mendapatkan pandangan ini. Bersambung di kisah Langkawi dua.....

Tuesday, September 29, 2009

Ops Idea

OPS SIKAP GAGAL?- Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Ops Sikap Ke-20 yang berakhir semalam, merekodkan jumlah kematian kedua tertinggi dalam sejarah operasi itu sejak diperkenalkan lapan tahun lalu dengan 261 pengguna jalan raya terbunuh. Ini bersamaan dengan purata 17.4 kematian dalam sehari.

*************************************************************************************
" Saya hilang kawalan ketika memandu." Ini merupakan alasan yang paling kerap diberikan. Tak ada alasan lain. Balik-balik 'hilang kawalan'. Jarang pemandu akan mengaku mereka eksiden kerana pandu laju, mengantuk, dan berbahaya. Biasalah manusia memang suka menyalahkan segala benda di sekeliling kecuali diri sendiri.

KEADAAN SEKARANG

Malaysia mencatatkan rekod kematian sebanyak 3.7 bagi setiap 10,000 kenderaan. Ini merupakan kadar tertinggi di Asia. Untuk perbandingan, Indonesia (2.6), Singapura (2.5), Jepun (1.8) dan Korea Selatan (1.7). Satu statistik yang menakutkan?

Tidak juga. Pada tahun 1996, kadar kematian Malaysia ialah 8.2. Maknanya? Kita semakin bagus.....tapi benarkah?

Belum lagi sebenarnya. Kebanyakan negara-negara maju mencatatkan kadar kematian di bawah 2. Jadi bagaimana? Apa yang boleh dilakukan? Ada cadangan?

NAIKKAN KADAR SAMAN?

Di Malaysia, denda maksimum ialah RM300- jauh lebih murah berbanding kadar denda di negara-negara lain. Perancis sebanyak RM19290, Portugal RM12860 dan Thailand RM1040.

Tapi kalau naikkan kadar saman lagilah kadar rasuah meningkat. Pemandu mesti lagi suka nak bayar rasuah kepada polis daripada nak bayar saman yang mahal. Lagi satu, saman mahal-mahal ni silap-silap boleh tukar kerajaan.

KETATKAN UJIAN LESEN MEMANDU?

Untuk pengetahuan, sesetangah negara eropah membenarkan pemandu yang mempunya lesen daripada negara lain seperti Singapura untuk memandu di jalan raya mereka. Tetapi tidak negara Malaysia. Ini kerana lesen kita tak laku.

Dan kita pun tahu betapa senangnya nak dapat lesen di Malaysia. Ada sahaja 'pakej sampai lulus'. Ada duit, semua boleh lulus. Reti memandu atau tidak, belakang kira.

Mungkin kerajaan perlu mengetatkan penguatkuasaan? Atau sekolah memandu perlu ada kesedaran untuk tidak mengamalkan rasuah? Atau bakal pemandu itu sendiri?

Ini baru masalah moraliti. Belum lagi masalah ujian yang digunakan untuk mengeluarkan lesen memandu.

SEDIAKAN JALAN RAYA YANG SELAMAT?

Ada benarnya. Jalanraya di Malaysia masih lagi bercampur antara kereta dan motosikal. Semuanya berjalan sekali. Macam rojak. Mana tak bahayanya kalau lori dan motosikal bertemu?

Untuk rekod, kurang daripada 20% jalanraya di negara ini yang menyediakan laluan khas untuk penunggang motosikal.

Tetapi adakah jalanraya puncanya? Di Indonesia yang kita tahu infrastruktur jalannya tidaklah sebaik kita tetapi jumlah kematiannya jauh lagi rendah.

KURANGKAN KENDERAAN?

Macam mana kalau jumlah kereta dikurangkan? Mungkin satu keluarga patut dibenarkan memiliki sebuah kereta sahaja. Ikut logik mudah, kurang kereta, kurang kemalangan, maka kurang kematian. Tapi bila kurang kereta, jalanraya lengang, maka lagi mudah nak memecut laju.

BANGUNKAN PENGANGKUTAN AWAM SELURUH NEGARA

Tak perlu hurai panjang lebar. Ini idea terbaik. Tetapi........adakah benar? Idea yang baik ialah idea yang dilaksanakan. Mengapa idea tentang pengangkutan awam yang sistematik dan menyeluruh tidak dapat dilaksanakan di Malaysia?

Masalah kos yang mahal? Atau tidak ada kertas kerja yang bagus?

Ada yang memberi teori idea ini terbiar begitu sahaja kerana terdapat tentangan daripada pihak kapitalis dan kaum pemodal kereta. Mungkin benar atau salah. Tetapi kalau benar, mengapa tidak diberi kontrak bina pengangkutan awam kepada pihak pemodal yang menentang ini? Bukankah ianya situasi menang-menang?

Bayangkan Proton dan Toyota diberi kontrak membina tren dan bas. Hmmmm....

Mungkin ada yang akan berpendapat di akhirnya pemandu itu sendiri punca kemalangan atau tidak. Sebenarnya hujah ini ada meritnya. Cuma untuk membuat perubahan, kadangkala yang perlu diubah bukan manusia sahaja sebaliknya perkara-perkara lain juga.

Ada idea lain untuk masalah ini? Mari Ops Idea!

F1 1Malaysia- Sepantas Lalu

1) Tony Fernandes merupakan Bos dan pemilik pasukan. Rakan kongsinya ialah anak Naza dan juga satu syarikat permotoran dari UK.

2) Kos permulaan sebanyak RM168 juta dan bajet untuk perlumbaan tahun hadapan ialah RM308 juta. Jauh lagi kurang daripada RM1 billion seperti yang dicanangkan.

3) Dana akan diperolehi daripada pelabur dalam dan luar negara. Syarikat-syarikat seperti Naza, Genting, MAS dan Petronas dijemput untuk melabur. (sebagai timbal balik, syarikat-syarikat ini dapat mempromosikan jenama mereka). Kerajaan tidak mempunyai bahagian di dalam projek ini- secara langsung mahupun tidak.

4) Enjin Lotus akan digunakan. Ibu pejabat pasukan di Norfolk, UK buat sementara. Dan akan berpindah sepenuhnya ke SIC dalam masa dua tahun.

5) Kos untuk membina ibu pejabat pasukan yang lengkap dengan pusat kajian di Sepang hanya menelan belanja RM60 juta. Bukan berbillion seperti yang dilaporkan. Sekali lagi laporan tersasar.

6) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) akan turut bekerjasama di dalam projek ini.

7) Iklan pekerjaan untuk menyertai pasukan ini telah diterbitkan di akhbar-akhbar Malaysia. Sebanyak 250 tempat kosong disediakan daripada Ketua Aerodinamik hinggalah kepada Pegawai Akhbar. Setakat ini lebih 6000 permohonan telah diterima.

8) Kemungkinan besar Raikkonen dan Alonso dipilih sebagai pemandu. Pemandu Malaysia tidak dibenarkan lagi kerana dikhuatiri kereta akan selalu terbabas. Maklumlah Ops Sikap pun gagal.

Logik Mudah Lagi

"alat tu tak salah tapi yang salah orang yang menggunakan alat itu."- Mamai

"manusia adalah faktor utama dalam semua hal."- endiem

"so, sikap manusia la yang kena dibetulkan. bukan salahkan benda, kan?"- asilahmuhajer

"semua benda ada kebaikan dan keburukan tapi kita menyalahgunakan benda tu atau kita cuai"- nyzm

Ini merupakan antara komen di dalam posting yang lepas, (logik mudah). Secara keseluruhannya, ramai yang memberikan komen mengatakan objek /teknologi/benda tidak salah. Yang salah ialah manusia. Objek tidak membawa kepada keburukan melainkan manusia. itu sendiri yang membawanya. Baik dan buruk sesuatu objek itu bukan pada objek itu sebaliknya pada penggunanya iaitu manusia.

Mengambil pandangan ini, mari kita aplikasikan dalan hal politik.

Adakah UMNO itu buruk atau pemimpin UMNO yang teruk?
Adakah PAS itu radikal atau pemimpin PAS yang radikal?
Adakah UMNO itu rasis atau ahlinya yang rasis?
Adakah PAS itu fasis atau ahlinya yang fasis?

Jadi yang perlu ditolak adakah parti UMNO atau pemimpin UMNO yang korup? Yang perlu ditentang adakah parti PAS atau pemimpin PAS yang radikal?

Apa kata anda? Mari kita berfikir......... :)

Sunday, September 27, 2009

Logik Mudah (Simple Logic)

MENUDUH KUCING MEROMPAK BANK- Tukar Tiub

Memandu melebihi had laju, cuaca yang tidak menentu dan pemandu mengantuk merupakan tiga punca utama yang mengakibatkan kemalangan maut pada musim perayaan kali ini.

nota:
macam macam teori keluar tentang kemalangan.
hujan panas ribut pandu laju semua dituduh.
ngantok pun dituduh bersalah. kesian dolah
badawi bukan saja madey tibai jpj bukan tibai sama.

semua ini dikenal pasti sebagai penyebab.

kepala hangguk mana yang buat kajian ini.
mata buta ke ? tak nampak? kereta dan motosikallah yang jadi pembunuh.
woit… kalau ada orang
mati kena tembak apa yang polis cari ?
polis bukan cari almari kipas angin atau tempat abuk rokok.
polis akan cari pistol dan senapang.


kenapa ngoook sangat serban pakai sampai
ke mata ke hingga tak nampak kah kah kah.

p/s: dah ramai mati kenapa tak haramkan macam mercun?

*****************************************************************************
JANGAN BERFIKIR SECARA SIMPLE LOGIC

Hishamuddin Rais kata kereta perlu diharamkan kerana ia membunuh. Logik beliau-tanpa kereta, tak adalah kemalangan. Tak ada kemalangan, tak adalah kematian. Kata beliau lagi, kereta samalah seperti pistol, ia perlu diharamkan kerana ianya alat untuk membunuh. Pandangan ini boleh diterima kalau kita mengikut logik mudah (simple logic).

Tetapi bernarkah pandangan ini? Mari kita menggunakan rasional untuk menilai. (With all due respect to Isham.)

Perkara paling asas yang perlu dilihat ialah tujuan objek-objek ini dicipta. Tujuan kereta dicipta adalah berbeza dengan pistol. Pistol ialah senjata. Kereta bukan senjata kecuali kereta kebal.

Kalau kereta perlu diharamkan kerana ia membunuh, bayangkan betapa banyaknya perkara kita perlu haramkan. Telefon bimbit kena haram sebab ada kes telefon meletup. Sekolah, hospital, lapangan terbang dan rumah tak payah dibina sebab bila nak bina, ada orang akan mati di tapak pembinaan. Makanan perlu diharamkan kerana boleh jadi orang mati sebab salah makan atau terlebih makan. Silap-silap cuaca buruk dan bencana alam juga mungkin patut diharamkan kerana jelas ianya membunuh. Harap-harapnya janganlah pula tuhan cuba diharamkan kerana tuhan yang mengambil nyawa kita.

Bila berlaku kes pembunuhan, memang polis mencari pistol atau senapang atau senjata yang digunakan pembunuh. Samalah juga dengan kemalangan. Polis akan mencari dan melihat kenderaan yang dipandu oleh kedua-dua pihak. Bukannya polis melihat keadaan jalan raya dan lampu isyarat sahaja. (Sesiapa yang pernah eksiden mesti tahu polis akan ambil gambar kereta untuk bahan bukti.)

Mengikut logik Tukar Tiub lagi, kereta dan motosikallah yang jadi pembunuh. Benarkah? Bila berlaku kes pembunuhan, mahkamah akan dakwa pistol atau orang yang gunakan pistol? Bila kemalangan jalan raya, polis akan tangkap kereta atau pemandu? Kalau begini senanglah, bila ada eksiden, tangkap kereta masuk lokap. Bila ada pembunuhan, seret pistol ke tali gantung. Malah bila ada kes rasuah, wang rasuah yang disabitkan kesalahan, bukan perasuah.

Isham Rais pernah mencadangkan, kita tak perlukan kereta kerana ia membunuh. Sebaliknya yang kita perlukan ialah sistem pengangkutan awam yang tersusun dan menyeluruh. Sekali lagi ini logik mudah. Bukankah pengangkutan awam juga membunuh? Ada sahaja kes bas terbabas, dan tren tergelincir. Jadi mengambil kembali logik beliau, adakah pengangkutan awam juga perlu diharamkan? Kalau kereta dah tak boleh digunakan dan pengangkutan awam pun diharamkan, apa lagi yang tinggal? Kaki? Jalan kaki pergi umrah? Kalau mati, adakah kaki pun nak diharamkan?

Di akhirnya tidak semua perkara perlu diharamkan. Memang lumrah setiap objek dicipta ada baik buruknya. Yang perlu kita fahami bukannya selagi mana objek itu ada keburukan, selagi itu ia perlu diharamkan. Sebaliknya selagi
mana manusia yang menggunakannya, selagi itulah akan wujud keburukan. Manusia bukan robot- jauh sekali bukan tuhan yang sempurna sifatnya.

Tulisan ini bukannya untuk mempertikaikan Tukar Tiub tetapi untuk membasuh minda skita upaya tidak selalu berfikir dengan logik yang mudah. Kadangkala sesuatu perkara itu tidak semudah ABC 123.

Untuk melihat sama ada kita sudah berjaya berfikir di luar simple logic, sila baca kedua berita di bawah.

***************************************************************************
KHAIRY: Pakatan tak mampu mentadbir- Berita Harian

Putrajaya, SEPT 26: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin percaya isu SELCAT dan Dr Hassan Ali membuktikan wujudnya perpecahan dalam kerajaan negeri Selangor sekaligus membuktikan Pakatan Pembangkang tidak mampu untuk mentadbir di peringkat persekutuan.

BN sedang menuju perpecahan- Suara Keadilan

Kuala Lumpur, 26 Sept: Dengan UMNO masih lagi tercari-cari calon bagi PRK Bagan Pinang, MCA dan MIC turut 'membantu' dengan krisis dalaman mereka. Situasi ini bertambah teruk dengan prestasi buruk parti komponen yang lain seperti Gerakan dan PPP. Hal ini menunjukkan BN sudah berada di ambang perpecahan.

*******************************************************************************
Lihat bagaimana orang politik kita pun guna logik mudah buat kesimpulan. Apa kata anda? Sila beri komen dan pandangan BUKAN dengan simple logic.. hehe

Friday, September 25, 2009

Kenapa tak perjuangkan?

SIS FILES TO STAY KARTIKA'S CANING

PETALING JAYA, Sept 19 — Muslim women’s rights group Sisters in Islam (SIS) has asked the Syariah court in Kuantan to delay Kartika Sari Dewi Shukarno’s caning sentence for drinking beer until all legal avenues are exhausted.

KARTIKA TELLS GOVT, NGO's TO BUTT OUT

KUALA KANGSAR, Sept 24 – It has been three months since she was sentenced and now. Kartika Sari Dewi Shukarno hopes the authorities will just get on with the whipping which had been put off till after the holy fasting month of Ramadan.

*****************************************************************************

Kepada semua pertubuhan, gerakan, kumpulan, persatuan dan NGO yang sibuk memperjuangkan hak asasi wanita, ada satu nasihat untuk anda.

Daripada sibuk nak bising-bising pasal hukuman sebat Kartika, adalah lebih baik pergi baca surat khabar dan lihat dengan mata kepala sendiri; Kenapa perempuan cantik-cantik digunakan untuk melariskan produk? Bukankah ini satu eksploitasi? Jika masih tidak percaya- kenapa bila ada pertunjukan kereta, mesti ada gadis seksi di sebelah? Bukankah jelas ini satu eksploitasi wanita?

Kalau nak kata ianya hak kebebasan peribadi setiap insan, jadi hak Kartika juga perlu dipatuhi yang mahu hukuman sebat dijalankan. Itu pilihannya. Noktah.


ps: posting ini bukan nak bercakap sama ada hukuman sebat itu justified atau tidak. Posting ini bukan nak laga-lagakan orang agama dan orang sekular. Posting ini jauh sekali nak membincangkan siapa betul siapa salah. Posting ini sekdar pertanyaan kenapa isu ini diperjuangkan dan isu lain tidak. Itu sahaja.

pss: saya sekarang berada di Langkawi. Bukannya tak nak update blog tapi sibuk berjalanlah katakan. Cuti apa kalau asyik online.hehe

Monday, September 21, 2009

Bukan Kisah Biasa

Tanpa dijangka, perlawanan 'runcit seperti biasa; antara Man Utd dan Man City menjadi 'lebih hangat daripada biasa'. Mungkin inilah penangan media (baca: sokernet) yang berjaya menaikkan nafsu semua peminat bola sepak. Hari raya pun gagal mengawal nafsu bola mereka. Ops, ini bukan review perlawanan semalam. Sebaliknya suatu cerita yang membasuh minda.


Ceritanya bermula begini....

Di kampung saya, astro adalah perkara asing untuk wujud. Di sini , di kawasan pedalaman, astro adalah kehendak untuk orang yang mampu. Yang tidak mampu seperti atuk nenek saya tak beli. Tidak seperti di bandar di mana astro sudah menjadi keperluan seisi rumah walaupun ada yang tak mampu. Jadi, tanpa astro, jangan mimpilah nak melihat pasukan setan merah beraksi. Namun asing atau tidak- saya tetap mahu menonton perlawanan ini. Sebagai peminat setan merah, saya mahu melihat benarkah gosip pasukan helang biru ini layak bergelak Top Four.

Mungkin ada yang berkata hari raya bukan untuk tercongok di depan TV. Kata mereka inilah masanya untuk bergembira dengan sanak saudara. Tetapi mereka perlu faham TV juga membawa kegembiraan kepada insan yang beraya. Lagi-lagi kepada kaki bola macam saya. Kepada mereka yang berpendapat bahawa TV perlu disorok atas alasan ia mengganggu kegembiraan hari raya, saya ada satu nasihat. Adalah lebih baik disorokkan sekali kereta yang ada. Kereta bukan sahaja mengganggu kegembiraan malah membunuh orang yang pulang beraya lagi. Setidak-tidaknya TV tidak membunuh.

Berbalik kepada cerita tadi, sebenarnya tak jadi masalah nak menonton bola kalau bukan kerana hari raya yang jatuh serentak. Ada je kedai makan yang menyiarkannya. Tetapi maklumlah, mana ada orang Islam yang nak bekerja di hari raya pertama. Jauh sekali nak bukak kedai. Bagi orang Islam- raya setahun sekali adalah acara yang mesti disambut. Tak kiralah liberal mana orang Islam itu- raya tetap raya. Perkara berkaitan raya ni memang tak boleh dikompromi.

Maka, selepas sejam mencari, lalu saya terjumpa satu kedai mapley di pekan. Adalah dekat 10km jauhnya. Jam di tangan dah menunjukkan pukul 9.30, bermakna sudah tamat 1st half. Tanpa membaca bismillah, saya terus mencari meja dan kerusi. Tapi jangan kata meja dan kerusi, nak berdiri tengok pun tak ada tempat. Setiap celah kedai mamak itu penuh dengan warga 1Malaysia.

Mungkin kita jarang tahu, kedai mapley adalah institusi perpaduan yang paling besar di negara kita. Kawasan majoriti melayu ke, cina ke, muslim ke, non-muslim ke, semuanya ada kedai mapley. Tak perlu pun nak promosi taruk iklan 1Malaysia kat surat khabar. Apatah lagi nak bersenam atau berlagu 1Malaysia. Dengan makanan dan bola, ia sudah cukup untuk menarik warga semua bangsa duduk melepak bersama.

Dari jauh saya sempat perhatikan towkey mapley itu sudah tersengih-sengih memegang buku bank. Hebat mapley ni. Tak sia-sia tak beraya. Kemudian saya perhatikan lagi nombor plate kenderaan yang ada. Kebanyakannya plate KL. Patutlah kedai mamak tu melimpah-limpah pelanggan. Overrated rupanya.

Disebabkan adalah perkara sia-sia terpacak tanpa dapat menonton di kedai mapley itu, saya pun beredar. Dengan hati yang pasrah, saya pulang ke rumah. Namun tiba-tiba saya terlihat sebuah restoran yang lengang tetapi menyiarkan perlawanan bola. Biar betul- saya macam tak percaya. Beberapa kali gosok mata. Takutlah ada hantu yang nak klepet saya ke. Yelah, dah kata bulan syawal ni setan dah tak diikat. Tak percaya? Tu yang setan merah nak beraksi malam ni tu apa dia.

Tengok punya tengok, rupanya restoran cina. Patutlah tak ramai orang. Dengan membaca bismillah, saya pun masuk. Siap duduk betul-betul depan TV. Memang heaven. Macam tengok di rumah je rasanya. Tapi bila ada amoi datang mintak order, saya mati kutu. Nak order apa ni? Halal ke tidak? Saya perhatikan di sekeliling, rata-rata yang datang minum air tiger. Tidak berapa jauh pula ada beberapa anjing yang sedang tidur nyenyak. Tiba-tiba saya berasa menyesal masuk.

Amoi itu tersenyum melihat keadaan saya. Mungkin menyedari saya seorang muslim, lalu terus dia berkata 'jangan risau ma, kita ada air tin.' Bayangkan betapa leganya diri saya mendengar kata-kata ini. Terus saya minta 100 plus. Ketika menonton perlawanan itu, saya terfikir- sebenarnya tak susah pun untuk kita hidup bersama-sama berbilang bangsa dan agama. Yang kita perlukan ialah memahami sensitiviti masing-masing. Itu sahaja.

Dan...apabila Owen menjaringkan gol di saat akhir perlawanan, semua penyokong setan merah berjabat tangan. Termasuk diri saya. Pada ketika ini, saya tidak menyedari bahawa saya seorang sahaja yang berbangsa melayu. Yang lain rata-ratanya berbangsa cina dan india. Pada ketika ini jugalah, saya terlupa hakikat saya sedang berada di restoran cina. Nampaknya bola sepak telah mengajar saya tentang perpaduan. Ini pun yang berlaku pada hari ini. Siapa yang sangka, dari kedai mapley ke restoran cina. Dari hal bola sepak ke hal perpaduan.

Selesai sahaja bersalaman, saya pun berangkat pulang. Dalam hati, nampaknya Man Utd lebih banyak menyatukan kita daripada para politikus sekarang. Ini rumusan berani yang saya buat daripada pengalaman ini. Sejujurnya, inilah kali pertama saya memasuki restoran cina. Namun ia sudah banyak memberikan pengalaman yang berharga ini. Saya pulang bukan kerana gembira Man Utd menang tetapi lebih gembira mengenangkan perpaduan di negara kita yang masih utuh. [BB]

Sunday, September 20, 2009

Mari Bergembira!


Basuhbaju ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca. Diharapkan semua akan bergembira di hari yang mulia ini.

basuhbaju juga memohon maaf jika ada para pembaca yang terasa hati dengan tulisan dan pandangan basuhbaju. Maklumlah bukan senang nak puaskan hati semua pihak. basuhbaju percaya di akhirnya apa yang kita mahukan bukanlah pergaduhan, sebaliknya penyelesaian. Adalah menjadi lumrah dalam mencari penyelesaian, perbalahan dan perselisihan faham pasti berlaku. Sekali lagi, minta maaf.

Kepada yang masih tetap melayari internet ketika raya, basuhbaju akan terus menulis di hari raya ini. Selamat membaca!

Friday, September 18, 2009

Ceritalah........


Ceritanya begini. Tidak begitu lama dahulu, ketika Dr Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri, segalanya cukup indah. Waktu itu Michael Jackson masih ligat menari. Proton belum cuba hendak memasuki F1. Nurul Izzah pun masih belum berpunya. Ketika di waktu inilah kisah saya bermula. Kisah saya menyambut Syawal sebagai kanak-kanak.

Kami sekeluarga tidak sesenang mana. Kami tidak memiliki banyak. Tetapi alam kami penuh dengan kegembiraan. Zaman itu- zaman yang telah pergi- zaman yang telah ditelan masa.

Saya masih ingat lagi perjalanan pulang ke kampung. Bagi saya ia adalah pesta terhebat di Malaysia. Malah sehingga kini. Bayangkan begitu banyak kereta di jalan raya. Masing-masing ingin tiba ke destinasi. Di dalam kereta, lagu raya dimainkan. Kami sekeluarga akan menyanyi bersama-sama sebagai tanda keseronokan. Selalunya lagu Balik Kampung yang paling umph.

Dalam banyak-banyak balik kampung, saya cukup suka kalau kami bergerak pulang pada waktu malam. Bagi saya ia tidak panas dan tidak bosan. Dan saat paling seronok apabila ayah berhenti di R&R untuk sahur. Di sinilah kemuncak pesta. Manusia di sana sini muncul. Ada melayu, ada cina dan ada india. Saya tidak tahu mengapa-tetapi saya suka suasana ini. Seolah-olah raya ini untuk semua.


Bila tiba di kampung, saya yang paling gembira. Sebagai kanak-kanak, inilah masanya untuk saya berpesta dan berseronok. Waktu inilah saya akan bertemu dengan sedara-mara yang lain. Kami akan merancang bersama aktiviti untuk dilakukan pada raya ini. Bagi saya berpesta seorang diri adalah pesta yang gagal- syok sendiri dan bosan. Oleh itu bersama sedara mara saya meraikan hari raya dengan cara kami.

Malam raya kami akan ke surau. Bukan sebagai kanak-kanak yang warak tetapi sekadar mahu mengikut takbir rumah ke rumah. Setiap rumah yang kami singgahi, segalanya lumayan dengan pelbagai makanan dan manis-manisan. Jika ada rezeki, kamai akan diberikan duit raya. Walaupun tidak banyak- selalunya 50 sen- tetapi itu sudah cukup membuatkan kami tersenyum kegembiraan.

Kemudian kami bertakbir. Sambil berbaris sambil kami tersenyum dan mata menoleh ke kiri dan ke kanan untuk meniru-niru perbuatan orang dewasa. Bagitulah khusyuknya kami kanak-kanak. Kami juga tidak faham apa makna ayat-ayat yang sedang dibacakan. Bila orang dewasa selawat kami selawat bila takbir kami takbir. Tidak lebih dari itu.

Tetapi saya yakin pastilah Yang Maha Esa mengetahui niat suci kami untuk menyambut bulan raya yang paling mengembirakan.


Selesai takbir, malam kami tidak terhenti setakat itu sahaja. Kami akan menggunakan duit yang terkumpul tadi untuk membeli mercun dan bunga api. Di depan rumah opah- mercun diletupkan. Di depan rumah opah- bunga api dibakar. Seperti biasa, kami akan dimarahi oleh pakcik makcik. Tetapi kami tidak ambil pot sangat. Maklumlah lumrah kanak-kanak yang tak makan saman. Bagi kami makin dilarang makin kami buat. Cakaplah macam mana pun.

Di pagi raya saya akan berbaju baru. Kalau tidak baru pun, pakaian yang paling cantik. Bila sampai pagi raya jugaklah, saya akan berasa aneh. Saya selalu tertanya-tanya mengapa perlu bersalam-salaman dan meminta maaf. Mungkin saya masih kecil untuk memahami erti syawal. Tetapi yang saya tahu apabila bersalam, saya dapat duit.

Ada ketikanya saya lihat ibu saya menangis ketika bersalam dengan opah. Saya selalu bergurau dengan ibu dengan memberikannya tisu. Lantas saya diketuk.

Hari raya ketika kanak-kanak juga adalah hari untuk mengumpul duit. Mungkin bunyinya agak kapitalis, tetapi inilah hakikatnya. Saya dan sedara mara yang lain akan berlawan mengumpul duit raya. Kami akan pusing seluruh kampung untuk beraya. Kadang-kadang kami tak pernah kenal pun tuan empunya rumahnya siapa. Tetapi kerana duit raya, perasaan malu ditolak ke tepi.

Pernah juga kami terus menyerbu ke rumah meminta duit raya. Selalunya kalau ayah tahu, pasti saya akan dipukul. Katanya itu perangai tidak sopan. Saya yang masih kecil ini sekadar mengangguk tanda tidak akan berbuat lagi. Dan menjelang malam, selepas penat berhari raya, kami akan mengira duit. Kira punya kira, audit punya audit, masing-masing akan memberitahu jumlah kutipan sendiri. Untuk rekod saya sentiasa menang dalam kutipan kerana saya akan campurkan duit simpanan saya sekali.

Bila selesai mengira duit, barulah kami akan masuk tidur.

Noktah Sebentar.

Ini ialah coretan silam saya. Lagi sehari, saya akan beraya lagi. Di kampung saya, takbir rumah ke rumah sudah tiada. Mercun dan bunga api pun sudah diharamkan. Dan saya juga tidak pasti saya masih layak untuk mendapat duit raya lagi. Apapun, setiap kali saya teringat akan kisah raya di zaman kanak-kanank, ia sudah cukup untuk membuatkan saya tersenyum.

Thursday, September 17, 2009

Lagi Dua Hari

Raya lagi dua hari.
Puasa tinggal dua hari.

Hari ini Mahathir kata dia tak kisah pasal kalungan selipar.
Betullah, kenapa nak bising-bising.
Macamlah sebelum ni tak pernah ada orang hentam dia teruk-teruk.
Malah dulu selamba kodok je Nazri dan Khairy tibai Mahathir.
Tak ada pulak NGO-NGO ngok nak buat laporan polis.
Dasar perlakuan orang politik- bukan boleh ikut sangat.

Hari ini ialah hari selepas 16 September.
Tahun lepas Anwar kata nak tubuh kerajaan baru.
Yang hairannya, dah lebih setahun dah ni.
Kerajaan bayangan pun tak nampak lagi.
Tup tup Perak yang terlepas.
Dasar cakap orang politik- jangan percaya sangat.

Lagi dua hari nak raya.
Tetapi budaya politik kita masih belum lagi boleh dirayakan.
Yang melayu masih tak selesai-selesai dengan isu pengkhianat.
Yang cina tak habis-habis dengan krisis dalaman.
Yang india tak sudah-sudah dengan Samy Vellu.

Hari ini kita dapat tengok betapa bangangnya ahli politik Malaysia.
Seorang pun tak nak cakap pasal pengangkutan awam.
Seoarang pun membisu pasal dasar perumahan.
Seorang pun buat tak tahu tentang dasar pendidikan.
Seorang pun tak ada idea tentang pelan kesihatan.

Lagi dua hari sahaja lagi.
Lagi dua hari kita berpuasa.
Bukan puasa dari lapar sahaga sahaja.
Puasa dari ahli politik yang karut marut ni.

Ingat- politik itu seronok.
Tetapi ahli politik kita yang merosakkannya.

Selamat Berpuasa.

ps: Jangan lupa terawih masih ada.

F1 1Malaysia- Satu Pandangan Lain


Apabila F1 cuba di-1Malaysiakan, ramai yang berpendapat projek ini membazir. Kebimbangan ini ada benarnya.

Kalau kita rajin menggoogle, kita akan dapati, pasukan otai seperti Ferrari dan McLaren membelanjakan lebih USD400 juta. Pasukan runcit-runcit seperti Toro Rosso pula sebanyak USD75 juta.

Bagaimanapun mulai musim depan, FIA telah mengumumkan 'budget cap' kepada setiap pasukan sebanyak USD40 juta. Langkah ini bertujuan untuk menjimatkan kos operasi pasukan F1. Tetapi 'budget cap' ini tidak mencakupi bayaran gaji dan enjin.

Menurut pakcik google lagi, Ferrari mengeluarkan wang sebanyak USD44 juta bagi gaji dan USD175 juta untuk enjin. Tetapi Torro Roso misalnya hanya membayar USD5 juta untuk gaji dan USD15 juta untuk enjin.

Jadi kita dapat lihat perbezaan kos yang sangat ketara bagi setiap pasukan elit dan runcit. Harus diingat, kos yang dipetik tidak termasuk dengan kos pembinaan ibu pejabat pasukan yang mungkin menelan belanja beratus juta ringgit lagi..

Adakah berbelanja lebih membawa kepada hasil yang baik? Tidak semestinya.

Honda dan Toyota juga mengeluarkan lebih USD380 juta tetapi masih gagal menyaingi Ferrari dan McLaren. Tetapi Force India-pasukan baru berbelanja hampir USD1.2 billion untuk mencapai prestasi hebat seperti disaksikan sekarang.

Adakah berkemungkinan untuk mencapai prestasi hebat dengan bajet yang rendah? (lebih kurang USD40 juta-USD60 juta)

Setakat ini masih tiada rekod. Pasukan Minardi yang berbelanja di bawah USD35 juta telah gagal dan terpaksa dijual. Pasukan Brown yang khabarnya bajet rendah juga masih belum mengeluarkan penyata kewangan. Mungkin di sini kita nampak rasional mengapa Tony Fernandes- jaguh kos rendah dipilih sebagai pengurus pasukan.

Ada yang berkata projek ini mampu meningkatkan imej negara dan syarikat-syarikat yang terbabit. Tetapi imej hanya akan menjadi bagus sekiranya pasukan F1 kita memberikan persembahan yang baik. Kalau setakat cukupkan korum sahaja, bukan sahaja imej tidak meningkat sebaliknya menjatuhkan lagi. Sekali lagi percaturannya besar.

Bagi yang menyokong atas dasar projek ini akan menyumbang kepada teknologi Proton, kita patut sedar akan satu perkara. Tidak semua otai-otai pengeluar kenderaan memasuki F1. Mitsubishi, Audi, VW dan Ford tidak ambil pot tentang F1. Malah Hyundai dan Kia- jenama kereta yang sudah menjadi global ini pun tidak berminat dengan F1. Mungkin kerana kos yang mahal atau mungkin kerana teknologi yang bakal diperolehi tidak bersesuaian dengan kenderaan mereka?

Mungkin kita tidak patut bersifat pesimis mengenai projek F1 1Malaysia. Tetapi optimis membabi buta tanpa melihat kepada realiti sebenar mungkin akan menyebabkan kita membayar harga yang mahal kelak.

Dengan duit beratus juta dan imej negara dipertaruhkan, apa yang pasti ianya projek yang berisiko tinggi.

Peh- dah macam review pengulas sukan je..

Wednesday, September 16, 2009

F1 1Malaysia

MALAYSIA AKAN MILIKI PASUKAN F1- Utusan Meloya

PUTRAJAYA 15 Sept. – Pasukan Formula Satu (F1)-1Malaysia yang menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya akan beraksi dalam perlumbaan bertaraf antarabangsa mulai tahun depan.

****************************************************************************

Yang skeptikal akan cakap projek ni membazir wang rakyat dan patut digunakan tolong orang miskin. Yang optimis pulak akan cakap ia bagus untuk kepakaran teknologi, promosi dan pemasaran jenama.

Yang sosialis akan cakap inilah bagaimana kapitalis menggunakan modal untuk memaksimumkan keuntungan mereka. Yang kapitalis pulak akan cakap inilah peluang menjana ekonomi negara dan peluang pekerjaan.

Yang PAS akan cakap projek ini tidak islamik kerana melibatkan sponsor minuman keras dan gadis-gadis litar yang seksi. Yang BN akan cakap projek ini melambangkan perpaduan Malaysia.

Yang berketuanan melayu akan minta kuota 30% dalam projek ni. Yang berketuanan rakyat akan mintak projek ini dimiliknegarakan.

Yang kaki bola akan kata kenapa tak beli Newcastle je untuk bola sepak negara. Yang kaki judi akan kata kenapa tak bina kasino baru untuk perlancongan
.

Yang tua akan cakap baik bina masjid untuk beribadat. Yang muda akan cakap baik bina universiti untuk belajar.

Semua orang ada pendapat masing-masing. Apa pendapat anda?

Jom diskusi!

16 September

Hari ini 16 September.
Bukan sepatutnya kita dah ada kerajaan baru ke?

Selamat Hari Malaysia!

Tuesday, September 15, 2009

Tok Guru Samy

Mahathir tibai Samy.
Samy tibai Mahathir.
Mahthir tibai balik guna blog.
Samy tibai balik guna kalung selipar.

Nasihat gua kepada Samy- Buang rambut dan lantik diri sendiri jadi Mursyidul Am MIC je. Setel. Tak gitu?

Selamat Berbuka Puasa!

Monday, September 14, 2009

Sosialis dan Demokrasi


Memahami Sosialis

Sosialis seperti mana sistem ekonomi yang lain, merupakan satu bentuk social engineering. Dalam erti kata yang lain sosialis cuba menyelesaikan masalah-masalah sosial melalui dasar-dasar ekonominya. Masalah seperti kemiskinan, jenayah dan kesihatan akan diatasi dengam menyelesaikan masalah ekonomi dahulu. Caranya ialah dengan menyusun kembali masyarakat berasaskan pengagihan kekayaan ekonomi dengan adil dan saksama.

Dalam mengagihkan kekayaan ekonomi, perkara utama yang wajib dilakukan ialah mengumpul dan memilik negarakan segala macam sumber kekayaan. Syarikat minyak jadi milik negara. Syarikat air, letrik, telefon jadi hak negara. Jalan raya milik kerajaan. Kayu balak kerajaan punya. Senang cakap, kerajaan akan memegang semua punca ekonomi. Bila kerajaan dah memegang semua kekayaan ini, barulah pengagihan boleh dilakukan.

Untuk memastikan hal pemilikan negara ini berjaya, undang-undang akan digubal dan dilaksanakan. Jika masih tidak berjaya, kadang-kadang kekerasan akan digunakan. Ini ialah secara asasnya bagaimana sosialis bergerak dan berjalan.

Noktah sebentar. Tulisan ini bukan bertujuan untuk mempersoalkan sama ada sosialis adalah sistem yang bagus mahupun tidak. Pertama kerana bagus atau tidak adalah subjektif. Bagus kepada orang ramai tidak semestinya bagus kepada kerajaan dan pelabur. Kedua kerana sesuatu sistem itu boleh jadi bagus pada mulanya dan merosakkan pada akhirnya. Dan ini pun yang berlaku dalam sistem kapitalis sekarang. Dulu bagus sekarang tidak.

Apa yang saya ingin cuba timbulkan ialah bagaimana dalam melaksanakan sistem sosialis kita memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar kuat. Tidak semestinya bersifat autokratik atau totalitarian. (woit, pemerintahan kuku besi dan diktator la). Tetapi paling tidak pun mesti kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang yang kuat. Dalam bahasa mudah, kerajaan yang tidak begitu mengamalkan demokrasi. Ada tapi tak banyak.

Mungkin ada yang bermimpi mengharapkan sosialis diamalkan oleh kerajaan yang demokratik. Lagi teruk ada yang berdoa agar sosialis diterapkan oleh sistem dua parti. Bagi saya ini terlalu idealistik. Demokrasi tulen dan sosialis tidak boleh jalan seiring. Tidak boleh disatukan. Ini samalah seperti Mahathir dan Anwar. Tak akan boleh bersama dan duduk semeja. Buatlah macam mana pun, doa lah kuat mana pun- sosialis dan demokrasi tulen tetap tak akan berjalan sekali.

Kalau tidak percaya sila perhatikan negara-negara seperti Iran, Cuba, Venezuela, Korea Utara, China, dan Bolivia. Ada yang pemerintahannya bercorak kuku besi, ada yang pemerintahan tentera, ada yang berAyatollah. Mungkin ada yang menjalankan pilihan raya tetapi ia masih belum cukup demokratik. Di akhirnya kita dapat lihat kesemua contoh negara ini memberikan gambaran bahawa tidak ada demokrasi tulen yang diterapkan di sebalik hakikat mereka ialah negara sosialis.

Para penyokong sosialis mungkin akan mendakwa negara-negara ini tidak mengamalkan sistem sosialis yang sebenar. Mereka akan berselindung di sebalik hujah 'itu Castro-ism, Ayatollah-ism dan Chavez-ism. Bukannya sosialis.' Mungkin mereka benar...... Mungkin?

Mereka perlu menyedari hakikat bahawa sistem sosialis sukar dilaksanakan jika demokrasi diamalkan. Mereka perlu lihat untuk menggubal undang-undang yang anti-kapitalis, perlu dilakukan dengan suara majoriti yang besar. Ini bermakna tidak boleh ada tentangan daripada pembangkang. Jika tidak.... jika pembangkang yang ada sama kuat seperti kerajaan, undang-undang tidak akan dapat digubal.

Ini pun yang berlaku di Amerika apabila Obama cuba melakukan reformasi dalam bidang kesihatan. Pelan kesihatannya yang menentang kapitalis kesihatan Amerika telah ditolak. Kerana apa? Kerana ada pembangkang yang kuat. Dan untuk perhatian Amerika ialah negara sistem dua parti. Nampak- bukannya tak nak diwujudkan demokrasi dalam sosialis, tetapi tak boleh.

Mereka juga perlu menyedari untuk merampas kekayaan kapitalis, kadangkala kekerasan perlu digunakan. Kekerasan seperti tindakan kerajaan menggunakan tentera, polis, dan mahkamah adalah perlu. Jika tidak bagaimana dasar sosialis ingin dilaksanakan? Dan tindakan kekerasan ini pastilah bukan demokratik. Nampak- sekali lagi demokrasi tidak boleh diwujudkan dalam sosialis.

Di akhirnya saya telah terangkan bagaimana sifat sosialis yang tidak membenarkan demokrasi hidup. Sama ada ia perkara yang bagus atau tidak- itu perkara lain. Apa yang pasti selagi ada demokrasi, selagi itu ada pilihan. Dan selagi ada pilihan selagi itulah kapitalis akan wujud. Mahu tidak mahu jika sosialis mahu berjaya pastilah bukan dengan demokrasi.

Sosialis dan demokrasi- boleh bercinta tetapi tidak boleh berkahwin.


Segala komen dan pandangan amatlah diperlukan dan dihargai.