Sunday, September 20, 2009

Mari Bergembira!


Basuhbaju ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca. Diharapkan semua akan bergembira di hari yang mulia ini.

basuhbaju juga memohon maaf jika ada para pembaca yang terasa hati dengan tulisan dan pandangan basuhbaju. Maklumlah bukan senang nak puaskan hati semua pihak. basuhbaju percaya di akhirnya apa yang kita mahukan bukanlah pergaduhan, sebaliknya penyelesaian. Adalah menjadi lumrah dalam mencari penyelesaian, perbalahan dan perselisihan faham pasti berlaku. Sekali lagi, minta maaf.

Kepada yang masih tetap melayari internet ketika raya, basuhbaju akan terus menulis di hari raya ini. Selamat membaca!

Friday, September 18, 2009

Ceritalah........


Ceritanya begini. Tidak begitu lama dahulu, ketika Dr Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri, segalanya cukup indah. Waktu itu Michael Jackson masih ligat menari. Proton belum cuba hendak memasuki F1. Nurul Izzah pun masih belum berpunya. Ketika di waktu inilah kisah saya bermula. Kisah saya menyambut Syawal sebagai kanak-kanak.

Kami sekeluarga tidak sesenang mana. Kami tidak memiliki banyak. Tetapi alam kami penuh dengan kegembiraan. Zaman itu- zaman yang telah pergi- zaman yang telah ditelan masa.

Saya masih ingat lagi perjalanan pulang ke kampung. Bagi saya ia adalah pesta terhebat di Malaysia. Malah sehingga kini. Bayangkan begitu banyak kereta di jalan raya. Masing-masing ingin tiba ke destinasi. Di dalam kereta, lagu raya dimainkan. Kami sekeluarga akan menyanyi bersama-sama sebagai tanda keseronokan. Selalunya lagu Balik Kampung yang paling umph.

Dalam banyak-banyak balik kampung, saya cukup suka kalau kami bergerak pulang pada waktu malam. Bagi saya ia tidak panas dan tidak bosan. Dan saat paling seronok apabila ayah berhenti di R&R untuk sahur. Di sinilah kemuncak pesta. Manusia di sana sini muncul. Ada melayu, ada cina dan ada india. Saya tidak tahu mengapa-tetapi saya suka suasana ini. Seolah-olah raya ini untuk semua.


Bila tiba di kampung, saya yang paling gembira. Sebagai kanak-kanak, inilah masanya untuk saya berpesta dan berseronok. Waktu inilah saya akan bertemu dengan sedara-mara yang lain. Kami akan merancang bersama aktiviti untuk dilakukan pada raya ini. Bagi saya berpesta seorang diri adalah pesta yang gagal- syok sendiri dan bosan. Oleh itu bersama sedara mara saya meraikan hari raya dengan cara kami.

Malam raya kami akan ke surau. Bukan sebagai kanak-kanak yang warak tetapi sekadar mahu mengikut takbir rumah ke rumah. Setiap rumah yang kami singgahi, segalanya lumayan dengan pelbagai makanan dan manis-manisan. Jika ada rezeki, kamai akan diberikan duit raya. Walaupun tidak banyak- selalunya 50 sen- tetapi itu sudah cukup membuatkan kami tersenyum kegembiraan.

Kemudian kami bertakbir. Sambil berbaris sambil kami tersenyum dan mata menoleh ke kiri dan ke kanan untuk meniru-niru perbuatan orang dewasa. Bagitulah khusyuknya kami kanak-kanak. Kami juga tidak faham apa makna ayat-ayat yang sedang dibacakan. Bila orang dewasa selawat kami selawat bila takbir kami takbir. Tidak lebih dari itu.

Tetapi saya yakin pastilah Yang Maha Esa mengetahui niat suci kami untuk menyambut bulan raya yang paling mengembirakan.


Selesai takbir, malam kami tidak terhenti setakat itu sahaja. Kami akan menggunakan duit yang terkumpul tadi untuk membeli mercun dan bunga api. Di depan rumah opah- mercun diletupkan. Di depan rumah opah- bunga api dibakar. Seperti biasa, kami akan dimarahi oleh pakcik makcik. Tetapi kami tidak ambil pot sangat. Maklumlah lumrah kanak-kanak yang tak makan saman. Bagi kami makin dilarang makin kami buat. Cakaplah macam mana pun.

Di pagi raya saya akan berbaju baru. Kalau tidak baru pun, pakaian yang paling cantik. Bila sampai pagi raya jugaklah, saya akan berasa aneh. Saya selalu tertanya-tanya mengapa perlu bersalam-salaman dan meminta maaf. Mungkin saya masih kecil untuk memahami erti syawal. Tetapi yang saya tahu apabila bersalam, saya dapat duit.

Ada ketikanya saya lihat ibu saya menangis ketika bersalam dengan opah. Saya selalu bergurau dengan ibu dengan memberikannya tisu. Lantas saya diketuk.

Hari raya ketika kanak-kanak juga adalah hari untuk mengumpul duit. Mungkin bunyinya agak kapitalis, tetapi inilah hakikatnya. Saya dan sedara mara yang lain akan berlawan mengumpul duit raya. Kami akan pusing seluruh kampung untuk beraya. Kadang-kadang kami tak pernah kenal pun tuan empunya rumahnya siapa. Tetapi kerana duit raya, perasaan malu ditolak ke tepi.

Pernah juga kami terus menyerbu ke rumah meminta duit raya. Selalunya kalau ayah tahu, pasti saya akan dipukul. Katanya itu perangai tidak sopan. Saya yang masih kecil ini sekadar mengangguk tanda tidak akan berbuat lagi. Dan menjelang malam, selepas penat berhari raya, kami akan mengira duit. Kira punya kira, audit punya audit, masing-masing akan memberitahu jumlah kutipan sendiri. Untuk rekod saya sentiasa menang dalam kutipan kerana saya akan campurkan duit simpanan saya sekali.

Bila selesai mengira duit, barulah kami akan masuk tidur.

Noktah Sebentar.

Ini ialah coretan silam saya. Lagi sehari, saya akan beraya lagi. Di kampung saya, takbir rumah ke rumah sudah tiada. Mercun dan bunga api pun sudah diharamkan. Dan saya juga tidak pasti saya masih layak untuk mendapat duit raya lagi. Apapun, setiap kali saya teringat akan kisah raya di zaman kanak-kanank, ia sudah cukup untuk membuatkan saya tersenyum.

Thursday, September 17, 2009

Lagi Dua Hari

Raya lagi dua hari.
Puasa tinggal dua hari.

Hari ini Mahathir kata dia tak kisah pasal kalungan selipar.
Betullah, kenapa nak bising-bising.
Macamlah sebelum ni tak pernah ada orang hentam dia teruk-teruk.
Malah dulu selamba kodok je Nazri dan Khairy tibai Mahathir.
Tak ada pulak NGO-NGO ngok nak buat laporan polis.
Dasar perlakuan orang politik- bukan boleh ikut sangat.

Hari ini ialah hari selepas 16 September.
Tahun lepas Anwar kata nak tubuh kerajaan baru.
Yang hairannya, dah lebih setahun dah ni.
Kerajaan bayangan pun tak nampak lagi.
Tup tup Perak yang terlepas.
Dasar cakap orang politik- jangan percaya sangat.

Lagi dua hari nak raya.
Tetapi budaya politik kita masih belum lagi boleh dirayakan.
Yang melayu masih tak selesai-selesai dengan isu pengkhianat.
Yang cina tak habis-habis dengan krisis dalaman.
Yang india tak sudah-sudah dengan Samy Vellu.

Hari ini kita dapat tengok betapa bangangnya ahli politik Malaysia.
Seorang pun tak nak cakap pasal pengangkutan awam.
Seoarang pun membisu pasal dasar perumahan.
Seorang pun buat tak tahu tentang dasar pendidikan.
Seorang pun tak ada idea tentang pelan kesihatan.

Lagi dua hari sahaja lagi.
Lagi dua hari kita berpuasa.
Bukan puasa dari lapar sahaga sahaja.
Puasa dari ahli politik yang karut marut ni.

Ingat- politik itu seronok.
Tetapi ahli politik kita yang merosakkannya.

Selamat Berpuasa.

ps: Jangan lupa terawih masih ada.

F1 1Malaysia- Satu Pandangan Lain


Apabila F1 cuba di-1Malaysiakan, ramai yang berpendapat projek ini membazir. Kebimbangan ini ada benarnya.

Kalau kita rajin menggoogle, kita akan dapati, pasukan otai seperti Ferrari dan McLaren membelanjakan lebih USD400 juta. Pasukan runcit-runcit seperti Toro Rosso pula sebanyak USD75 juta.

Bagaimanapun mulai musim depan, FIA telah mengumumkan 'budget cap' kepada setiap pasukan sebanyak USD40 juta. Langkah ini bertujuan untuk menjimatkan kos operasi pasukan F1. Tetapi 'budget cap' ini tidak mencakupi bayaran gaji dan enjin.

Menurut pakcik google lagi, Ferrari mengeluarkan wang sebanyak USD44 juta bagi gaji dan USD175 juta untuk enjin. Tetapi Torro Roso misalnya hanya membayar USD5 juta untuk gaji dan USD15 juta untuk enjin.

Jadi kita dapat lihat perbezaan kos yang sangat ketara bagi setiap pasukan elit dan runcit. Harus diingat, kos yang dipetik tidak termasuk dengan kos pembinaan ibu pejabat pasukan yang mungkin menelan belanja beratus juta ringgit lagi..

Adakah berbelanja lebih membawa kepada hasil yang baik? Tidak semestinya.

Honda dan Toyota juga mengeluarkan lebih USD380 juta tetapi masih gagal menyaingi Ferrari dan McLaren. Tetapi Force India-pasukan baru berbelanja hampir USD1.2 billion untuk mencapai prestasi hebat seperti disaksikan sekarang.

Adakah berkemungkinan untuk mencapai prestasi hebat dengan bajet yang rendah? (lebih kurang USD40 juta-USD60 juta)

Setakat ini masih tiada rekod. Pasukan Minardi yang berbelanja di bawah USD35 juta telah gagal dan terpaksa dijual. Pasukan Brown yang khabarnya bajet rendah juga masih belum mengeluarkan penyata kewangan. Mungkin di sini kita nampak rasional mengapa Tony Fernandes- jaguh kos rendah dipilih sebagai pengurus pasukan.

Ada yang berkata projek ini mampu meningkatkan imej negara dan syarikat-syarikat yang terbabit. Tetapi imej hanya akan menjadi bagus sekiranya pasukan F1 kita memberikan persembahan yang baik. Kalau setakat cukupkan korum sahaja, bukan sahaja imej tidak meningkat sebaliknya menjatuhkan lagi. Sekali lagi percaturannya besar.

Bagi yang menyokong atas dasar projek ini akan menyumbang kepada teknologi Proton, kita patut sedar akan satu perkara. Tidak semua otai-otai pengeluar kenderaan memasuki F1. Mitsubishi, Audi, VW dan Ford tidak ambil pot tentang F1. Malah Hyundai dan Kia- jenama kereta yang sudah menjadi global ini pun tidak berminat dengan F1. Mungkin kerana kos yang mahal atau mungkin kerana teknologi yang bakal diperolehi tidak bersesuaian dengan kenderaan mereka?

Mungkin kita tidak patut bersifat pesimis mengenai projek F1 1Malaysia. Tetapi optimis membabi buta tanpa melihat kepada realiti sebenar mungkin akan menyebabkan kita membayar harga yang mahal kelak.

Dengan duit beratus juta dan imej negara dipertaruhkan, apa yang pasti ianya projek yang berisiko tinggi.

Peh- dah macam review pengulas sukan je..

Wednesday, September 16, 2009

F1 1Malaysia

MALAYSIA AKAN MILIKI PASUKAN F1- Utusan Meloya

PUTRAJAYA 15 Sept. – Pasukan Formula Satu (F1)-1Malaysia yang menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya akan beraksi dalam perlumbaan bertaraf antarabangsa mulai tahun depan.

****************************************************************************

Yang skeptikal akan cakap projek ni membazir wang rakyat dan patut digunakan tolong orang miskin. Yang optimis pulak akan cakap ia bagus untuk kepakaran teknologi, promosi dan pemasaran jenama.

Yang sosialis akan cakap inilah bagaimana kapitalis menggunakan modal untuk memaksimumkan keuntungan mereka. Yang kapitalis pulak akan cakap inilah peluang menjana ekonomi negara dan peluang pekerjaan.

Yang PAS akan cakap projek ini tidak islamik kerana melibatkan sponsor minuman keras dan gadis-gadis litar yang seksi. Yang BN akan cakap projek ini melambangkan perpaduan Malaysia.

Yang berketuanan melayu akan minta kuota 30% dalam projek ni. Yang berketuanan rakyat akan mintak projek ini dimiliknegarakan.

Yang kaki bola akan kata kenapa tak beli Newcastle je untuk bola sepak negara. Yang kaki judi akan kata kenapa tak bina kasino baru untuk perlancongan
.

Yang tua akan cakap baik bina masjid untuk beribadat. Yang muda akan cakap baik bina universiti untuk belajar.

Semua orang ada pendapat masing-masing. Apa pendapat anda?

Jom diskusi!

16 September

Hari ini 16 September.
Bukan sepatutnya kita dah ada kerajaan baru ke?

Selamat Hari Malaysia!

Tuesday, September 15, 2009

Tok Guru Samy

Mahathir tibai Samy.
Samy tibai Mahathir.
Mahthir tibai balik guna blog.
Samy tibai balik guna kalung selipar.

Nasihat gua kepada Samy- Buang rambut dan lantik diri sendiri jadi Mursyidul Am MIC je. Setel. Tak gitu?

Selamat Berbuka Puasa!

Monday, September 14, 2009

Sosialis dan Demokrasi


Memahami Sosialis

Sosialis seperti mana sistem ekonomi yang lain, merupakan satu bentuk social engineering. Dalam erti kata yang lain sosialis cuba menyelesaikan masalah-masalah sosial melalui dasar-dasar ekonominya. Masalah seperti kemiskinan, jenayah dan kesihatan akan diatasi dengam menyelesaikan masalah ekonomi dahulu. Caranya ialah dengan menyusun kembali masyarakat berasaskan pengagihan kekayaan ekonomi dengan adil dan saksama.

Dalam mengagihkan kekayaan ekonomi, perkara utama yang wajib dilakukan ialah mengumpul dan memilik negarakan segala macam sumber kekayaan. Syarikat minyak jadi milik negara. Syarikat air, letrik, telefon jadi hak negara. Jalan raya milik kerajaan. Kayu balak kerajaan punya. Senang cakap, kerajaan akan memegang semua punca ekonomi. Bila kerajaan dah memegang semua kekayaan ini, barulah pengagihan boleh dilakukan.

Untuk memastikan hal pemilikan negara ini berjaya, undang-undang akan digubal dan dilaksanakan. Jika masih tidak berjaya, kadang-kadang kekerasan akan digunakan. Ini ialah secara asasnya bagaimana sosialis bergerak dan berjalan.

Noktah sebentar. Tulisan ini bukan bertujuan untuk mempersoalkan sama ada sosialis adalah sistem yang bagus mahupun tidak. Pertama kerana bagus atau tidak adalah subjektif. Bagus kepada orang ramai tidak semestinya bagus kepada kerajaan dan pelabur. Kedua kerana sesuatu sistem itu boleh jadi bagus pada mulanya dan merosakkan pada akhirnya. Dan ini pun yang berlaku dalam sistem kapitalis sekarang. Dulu bagus sekarang tidak.

Apa yang saya ingin cuba timbulkan ialah bagaimana dalam melaksanakan sistem sosialis kita memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar kuat. Tidak semestinya bersifat autokratik atau totalitarian. (woit, pemerintahan kuku besi dan diktator la). Tetapi paling tidak pun mesti kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang yang kuat. Dalam bahasa mudah, kerajaan yang tidak begitu mengamalkan demokrasi. Ada tapi tak banyak.

Mungkin ada yang bermimpi mengharapkan sosialis diamalkan oleh kerajaan yang demokratik. Lagi teruk ada yang berdoa agar sosialis diterapkan oleh sistem dua parti. Bagi saya ini terlalu idealistik. Demokrasi tulen dan sosialis tidak boleh jalan seiring. Tidak boleh disatukan. Ini samalah seperti Mahathir dan Anwar. Tak akan boleh bersama dan duduk semeja. Buatlah macam mana pun, doa lah kuat mana pun- sosialis dan demokrasi tulen tetap tak akan berjalan sekali.

Kalau tidak percaya sila perhatikan negara-negara seperti Iran, Cuba, Venezuela, Korea Utara, China, dan Bolivia. Ada yang pemerintahannya bercorak kuku besi, ada yang pemerintahan tentera, ada yang berAyatollah. Mungkin ada yang menjalankan pilihan raya tetapi ia masih belum cukup demokratik. Di akhirnya kita dapat lihat kesemua contoh negara ini memberikan gambaran bahawa tidak ada demokrasi tulen yang diterapkan di sebalik hakikat mereka ialah negara sosialis.

Para penyokong sosialis mungkin akan mendakwa negara-negara ini tidak mengamalkan sistem sosialis yang sebenar. Mereka akan berselindung di sebalik hujah 'itu Castro-ism, Ayatollah-ism dan Chavez-ism. Bukannya sosialis.' Mungkin mereka benar...... Mungkin?

Mereka perlu menyedari hakikat bahawa sistem sosialis sukar dilaksanakan jika demokrasi diamalkan. Mereka perlu lihat untuk menggubal undang-undang yang anti-kapitalis, perlu dilakukan dengan suara majoriti yang besar. Ini bermakna tidak boleh ada tentangan daripada pembangkang. Jika tidak.... jika pembangkang yang ada sama kuat seperti kerajaan, undang-undang tidak akan dapat digubal.

Ini pun yang berlaku di Amerika apabila Obama cuba melakukan reformasi dalam bidang kesihatan. Pelan kesihatannya yang menentang kapitalis kesihatan Amerika telah ditolak. Kerana apa? Kerana ada pembangkang yang kuat. Dan untuk perhatian Amerika ialah negara sistem dua parti. Nampak- bukannya tak nak diwujudkan demokrasi dalam sosialis, tetapi tak boleh.

Mereka juga perlu menyedari untuk merampas kekayaan kapitalis, kadangkala kekerasan perlu digunakan. Kekerasan seperti tindakan kerajaan menggunakan tentera, polis, dan mahkamah adalah perlu. Jika tidak bagaimana dasar sosialis ingin dilaksanakan? Dan tindakan kekerasan ini pastilah bukan demokratik. Nampak- sekali lagi demokrasi tidak boleh diwujudkan dalam sosialis.

Di akhirnya saya telah terangkan bagaimana sifat sosialis yang tidak membenarkan demokrasi hidup. Sama ada ia perkara yang bagus atau tidak- itu perkara lain. Apa yang pasti selagi ada demokrasi, selagi itu ada pilihan. Dan selagi ada pilihan selagi itulah kapitalis akan wujud. Mahu tidak mahu jika sosialis mahu berjaya pastilah bukan dengan demokrasi.

Sosialis dan demokrasi- boleh bercinta tetapi tidak boleh berkahwin.


Segala komen dan pandangan amatlah diperlukan dan dihargai.

Sunday, September 13, 2009

Bukan Pantun

Entah kenapa, gua macam minat pulak kat Manchester City.
Apapun, Manchester United tetap di hati.


ps: Ini bukan pantun dua kerat.

Saturday, September 12, 2009

Malaysia-Indonesia

Apahal Indonesia nak gaduh-gaduh sangat?

Gua dengar lagu Indonesia, baca novel Indonesia, layan movie Indonesia, kawan dengan pelajar Indonesia, dibesarkan dengan jagaan pembantu rumah Indonesia, makan makanan Indonesia, pergi bercuti ke Indonesia, belajar cakap slang bahasa Indonesia, tinggal di rumah yang dibina tenaga kerja Indonesia, dan berbuka puasa sama-sama dengan pekerja ayah gua yang datang dari Indonesia.

Gua tak menari tarian pendet, tak pernah ke Sipadan, tak teruja nak ke Ambalat, tak bercinta dengan Manohara, tak dera pembantu rumah, tak pukul pekerja Indonesia, tak bakar bendera Indonesia, tak baling telur ke kedutaan Indonesia dan tak menjerit-jerit ganyang Indonesia.

Masih nak gaduh lagi? Tak untunglah gaduh-gaduh ni.

Usia sekadar angka

Saya sangat pasti saya bukanlah penulis blog termuda yang menulis mengenai hal politik dan ekonomi. Tetapi saya pasti saya masih muda untuk bercakap mengenai perkara tersebut. Untuk rekod saya memulakan blog ini di usia 19 tahun.

Sehingga blog ini mellintasi angka 29 ribu pengunjung, adalah perkara biasa untuk pandangan saya dikritik dan dipertikaikan. Bagi saya ini perkara biasa. Setiap pandangan ada benar dan salahnya.

Namun saya agak terkilan apabila para pengkritik bukannya mengkritik pandangan yang saya berikan sebaliknya mengambil jalan mudah dengan mengatakan saya baru berusia 19 tahun. Bagi mereka hanya kerana saya belum berusia berpuluh-puluh tahun bermakna pandangan saya wajib ditolak. Hanya kerana yang memberikan pandangan ini 19 tahun maka pandangan saya tidak perlu didengar. Semudah itu logik mereka.

Ini samalah seperti pengkritik Dr Mahathir. Setiap kali mereka tidak bersetuju dengan Dr M, perkara paling hebat yang mereka boleh lakukan ialah dengan memanggil orang tua ini sebagai mamak dan india. Sekalipun benar, apa masalahnya kalau beliau mamak? Adakah mamak golongan yang hina? Adakah masalah hanya timbul apabila negara dipimpin oleh mamak? Atau adakah golongan mamak sahaja yang membawa masalah? Hmm ..persoalan yang menarik untuk golongan yang suka mengkritik dengan jalan yang mudah.

Okey, itu pasal Dr M. Berbalik kepada diri saya, suka untuk saya bertanya- bagaimana kalau sekarang saya berumur 30-40 tahun? Adakah pandangan saya yang salah menjadi betul secara tiba-tiba?

Saya kira perkara yang patut dilakukan oleh pengkritik ialah memberikan fakta dan membetulkan pandangan saya yang salah. Saya akui saya tidak cukup bijak. Tetapi sekadar berselindung di sebalik usia saya yang muda untuk mengkritik ,juga bukanlah perkara yang bijak. Terutama dalam kita berdiskusi dan berbincang.

Ingatlah- usia sekadar angka
.
ps: Saya bukan belasan tahun lagi.

pss: tulisan ini bukan bercakap pasal Mahathir. Nanti ada pulak yang komen bercakap tentang Mahthir. :p

Melaka


Baru-baru ini saya telah ke Melaka. Sebagai jurugambar yang runcit-runcit, di sini saya ingin tunjukkan hasil kerja saya. Segala komen dan kritikan amatlah dihargai. :)













Amacam?


ps: ha, kan dah kata blog ni bukan blog politik semata-mata.

Monday, September 7, 2009

Salam Perantauan

Antara perkara yang paling saya suka ketika di bulan Ramadhan ialah membaca Salam Perantauan di akhbar. Selalunya ruangan salam ini muncul di akhbar melayu. Walaupun amat jarang saya membeli akhbar melayu, tetapi ada kalanya saya terbeli. Maklumlah bila tertekan dengan projek, minda ini perlukan lawak jenaka juga. Dan akhbar melayu tidak pernah menghampakan saya dengan berita-berita kelakar seram.

(Oh ye, untuk rekod saya tak beli pun Utusan. Gila apa. Membeli Utusan seolah-olah saya telah melakukan satu dosa kepada daya fikrah sendiri. Saya lagi rela membayar RM1.50 untuk sekeping otak-otak daripada meyumbang kepada gaji Awang Selamat yang menulis macam orang tak ada otak.)

*
Berbalik kepada ruangan Salam Perantauan, saya cukup seronok bila melihat begitu ramai warga Malaysia- baik pelajar mahupun pekerja- yang berada di setiap pelusuk dunia. Dari Amerika hinggalah ke Jepun- rakyat Malaysia sudah menjejakkan kaki.

Ada yang diterbangkan kerana memiliki otak yang bijak. Ada yang ke sana kerana kepakaran yang dimiliki. Ada juga yang bernasib baik kerana ditaja oleh kerajaan. Tidak kiralah apapun sebabnya- bagi saya ia satu bukti Malaysia sudah ke hadapan.

Sejujurnya saya berasa bangga.

*
Dalam berseronok membaca Salam Perantauan, timbul satu pertanyaan- adakah mereka yang berada di luar sana akan pulang ke Malaysia? Adakah mereka akan berbakti kepada negara? Adakah mereka akan menyumbang kembali kepada masyarakat? Atau mungkin mereka akan memilih untuk terus menetap di sana?

Saya tidak tahu. Tetapi saya ada membaca mengenai fenomena Brain-Drain (penghijrahan orang bijak pandai ke negara lain). Malaysia juga tidak terkecuali.

Begitu ramai pelajar-pelajar kita yang sanggup melanggar kontrak perjanjian kerana mengejarkan gaji yang tinggi. Itu belum dicampur lagi dengan pakar-pakar tempatan yang lebih suka menyumbang kepada negara luar berbanding negara sendiri.

Adakah kerajaan sedar akan fenomena ini? Jika sedar, apakah tindakannya? Jika ada tindakan, adakah ia mencukupi? Sekali lagi, saya tidak tahu.


Kepada warga Malaysia yang berada di luar sana, satu pesanan untuk anda- " Mengirimkan salam perantauan sahaja tidak cukup. Jangan lupa untuk pulang ke Malaysia.'

Saturday, September 5, 2009

Cerita menjelang DUApuluh


Ceritanya begini....

Ayah saya seorang kapitalis. Dirinya seorang yang berniaga. Sentiasa tahu dan bijak dalam mencari duit. Saya tidak pasti sama ada dengan menjadi seorang kapitalis bermakna ayah saya seorang yang tidak baik. Tetapi apa yang saya pasti, beliau sentiasa memberikan layanan yang baik kepada pekerja-pekerjanya. Saban tahun, tanpa gagal beliau akan memberikan bonus dan kenaikan gaji. Malah waktu bekerja juga hanya 5 hari seminggu dari 9 pagi hingga 5 petang. Cuti-cuti tahunan serta cuti-cuti perayaan juga turut diperuntukkan.

Hubungan beliau dengan para pekerjanya ibarat sebuah keluarga. Jika ada untung lebih, beliau akan membawa mereka pergi bercuti bersama. Jika ada kesusahan yang dihadapi oleh mereka, ayah saya akan cuba menolong sedaya mungkin. Setiap bulan setiap seorang daripada pekerjanya akan mengadakan makan besar beramai-ramai- sebagai tanda meraikan ikatan ukhwah yang terjalin.

Dengan perkara-perkara yang saya sebutkan ini saya percaya ayah saya bukanlah seorang yang jahat walaupun hakikat beliau seorang kapitalis- yang membuat untung dan mencari duit.

Ibu saya pula boleh saya gambarkan sebagai seorang yang sosialis. Beliau amat suka menolong orang. Kadang-kadang tu sehingga menyebabkan ibu saya pokai. Perkara ini dapat saya lihat semenjak dari kecil lagi. Asal sahaja ada penjual-penjual barang yang mengetuk kereta, peminta derma dari masjid yang datang ke rumah sehinggalah kepada anak kecil yang menjual kaset agama- semuanya ibu saya beli dan beri tanpa banyak soal.

Itu belum dicampur lagi dengan tindakannya memberi derma kepada anak yatim dan rumah kebajikan. Mungkin kesusahan yang dialaminya ketika masih kecil mengajarnya agar sentiasa menolong mereka yang memerlukan. Dan inilah ajaran yang diterapkan kepada saya. Kata ibu hari ini kita mungkin senang, esok tidak mustahil kita pula yang susah.

Saya tertanya-tanya adakah ibu mempunyai sifat sebegini kerana ibu menyokong dan mendalami apa itu sosialis. Atau kerana ajaran agama. Atau mungkin kerana sifatnya yang memang begitu. Saya tiada jawapan.

Noktah sebentar.

Dari kedua nilai ini, saya dibesarkan. Dari ayah, saya diajar tentang bagaimana mahu mencari duit. Ini penting untuk masa depan saya. Dari ibu, saya dididik untuk menyumbang kepada masyarakat. Ini penting untuk masa depan saya di dunia lain.

Hari ini, selepas hampir dua dekad saya hidup di muka bumi ini, saya menilai kembali sepanjang pengalaman saya. Saya terfikir:

'Apa yang penting bukannya sistem mana yang kita pilih. Yang penting ialah orang yang menjalankan sistem tersebut. Kerana di akhirnya diri kita sendiri yang menentukan baik buruk sesuatu sistem. Kita boleh berbuat baik di dalam sistem kapitalis- kalau kita mahu. Kita juga tidak semestinya memerlukan sistem sosialis kalau hendak berbuat baik- asalkan kita mahu. Ingat, perangai bergantung kepada diri sendiri bukannya sistem.'


Mungkin benar mungkin tidak. Saya tidak tahu. Tetapi dari apa yang saya perhatikan, inilah pandangan saya.

Friday, September 4, 2009

Selamat Hari Jumaat

Kalau dulu tahun 1969, orang cina hayun penyapu je- terus satu Kuala Lumpur bermandi darah.

Sekarang tahun 2009, orang melayu yang beragama Islam seret kepala lembu- tapi keadaan masih terkawal. Malah orang melayu dan orang Islam sendiri kutuk kejadian tu.

Maknanya apa? Rakyat Malaysia semakin toleransi dan saling menghormati. Siapa kata perpaduan kita begitu teruk?

Yang teruk ialah ahli politik kita sahaja. Mereka sebenarnya yang mengharu-birukan perpaduan di negara kita. Politikus begini yang perlu disebat di khalayak ramai.

Thursday, September 3, 2009

Cadangan-cadangan untuk perpaduan-lagi!

1Sekolah untuk semua

Ramai yang berkata generasi muda sekarang kurang bergaul sesama kaum. Yang melayu akan duduk melepak bersama melayu sahaja. Begitu juga dengan yang cina mahupun india. Tidak percaya sila lihat di kedai makan. Buka mata dan perhati. Ia adalah rahsia terbuka (open secret).

Hendak menyalahkan generasi muda sepenuhnya juga tidak wajar. Mereka dibesarkan di dalam kerangka yang berpecah-pecah semenjak dari kecik lagi. Salah satunya ialah sistem pendidikan kita yang pelbagai jenis aliran. Ada aliran kebangsaan, ada aliran cina dan ada aliran tamil.

Memang kepelbagaian itu bagus dan perlu diraikan. Tetapi kepelbagaian yang menyebabkan kita saling berpecah perlu dihentikan. Sistem pendidikan kita perlu diseragamkan. Wujudkan satu sistem persekolan sahaja. Melayu, cina dan india pergi ke sekolah yang sama.

Biarkan anak-anak kecil yang masih bersih jiwanya bergaul sesama sendiri. Biarkan mereka menjalin persahabatan di bangku persekolahan lagi. Biarkan mereka belajar untuk saling menghormati budaya kaum lain. Dari situ barulah perpaduan yang sebenar dapat diwujudkan. Bukan perpaduan plastik yang cuba dipupuk dengan lagu atau senaman 1Malaysia.

Apa kata anda?

Cadangan-cadangan untuk Perpaduan

1Kawasan Perumahan untuk semua

Saya terbaca berita mengenai rancangan perumahan rakyat. Katanya kerajaan akan membina berpuluh ribu unit rumah mampu milik bagi rakyat- terutama rakyat miskin. Ini langkah bagus.

Macam mana kalau kerajaan wujudkan sistem perumahan terancang? Adakan kuota di setiap kawasan perumahan. Macam kerajaan buat untuk agihan unit amanah saham. Ada peratus untuk melayu dan ada peratus untuk cina dan india. Maknanya di setiap kawasan perumahan itu, akan ada semua kaum yang tinggal.

Bagi saya- selain daripada pendidikan, kita juga boleh memupuk perpaduan melalui kejiranan. Kalau tadi kita mula dengan anak-anak kecil. Bagaimana pula dengan golongan dewasa/tua? Inilah jawapannya. Takkan nak suruh orang dewasa ni pergi ke sekolah pulak kan. Jadi cara terbaik ialah dengan tinggal dan duduk bersama di kawasan perumahan.

Selain daripada wujudkan kuota, mungkin kerajaan boleh memberi insentif seperti rebet cukai pintu dan diskaun harga rumah untuk menarik perhatian semua warga.

Tuesday, September 1, 2009

Selamat Berbuka Puasa!


'They say we're in the crisis of capitalism. Whether it is true or not, I believe a few years from now, strange as it may sound, we might all find that we are hungry for more capitalism, not less. Is it the end of the world? I wonder. Don't you think so?' -Radzi Tajuddin on the future of capitalism

Monday, August 31, 2009

Kisah Merdeka Anak Muda

Selepas sahaja sahur, aku terus ke Parlimen. Bukan sebagai wakil rakyat mahupun wakil parti. Jauh sekali sebagai peserta perarakan hari kemerdekaan. Aku ke sana sebagai seorang photographer runcit-runcit- yang baru belajar. Dengan Canon E450D, aku mahu mengstatikkan pemandangan pada hari ini. Cukuplah jika dapat 2-3 keping gambar yang boleh buatkan aku puas. Namun...

Aku tertinggal bateri kamera di rumah. Malam tadi charge, tapi lupa nak ambil. Satu kesilapan bodoh di hari yang ke 52.

Marah dengan diri sendiri, aku terus beredar keluar daripada bangunan Parlimen. Tidak perlu menyeksa diri dengan majlis yang sebegitu bosan. Kadang-kadang aku terfikir, apa kaitan perarakan/perbarisan/lintas hormat dengan merdeka? Tidak bolehkah setiap tahun pengisiannya berubah? Mana ada peraturan bertulis yang kata setiap kali merdeka kita perlu berarak dan berbaris.

Lalu aku terfikir, bagaimana kalau merdeka tahun depan disambut dengan mengharamkan kereta persendirian daripada bergerak di Kuala Lumpur. Biarkan hari itu jalan raya KL menjadi lengang tanpa kereta. Biarkan bumi Kuala Lumpur bernafas segar tanpa asap hitam. Biarkan rakyat Malaysia bergerak dan menapak. Biarkan merdeka daripada penjajahan kereta. Jangan kata ini idea gila. Di Itali dan Jakarta pernah diadakan acara car-free ini.

Tidak terus pulang ke rumah- aku melepak di Taman Tasik Perdana. Akhirnya manusia memerlukan kehijauan untuk ketenangan. Ini hakikat. Di sana aku membaca surat khabar hari ini- edisi 52. Tidak sampai 15 minit, aku sudah selesai khatam The Star dan NST. Ceh, banyak iklan dari berita. Iklan merdeka versi 1Malaysia bersepah-sepah. Semuanya daripada syarikat-syarikat besar. Ini lagi satu perkara bodoh. Kenapa perlu beli iklan besar-besar untuk ucapan merdeka? Untuk potong cukai kan? Tak pun untuk bodek pemimpin?

Tak boleh ke syarikat-syarikat ini memikirkan cara lain yang lebih bermanfaat? Beli iklan bukan orang miskin boleh makan. Beli iklan bukan dapat jadikan rakyat kita lebih bijak. Beli iklan ni adalah perkara kosmetik sahaja. Macam mana kalau duit beli iklan itu digunakan membeli buku-buku berkualiti untuk diberi kepada sekolah dan universiti? Takpun guna duit tu untuk tubuhkan satu pasukan bola sepak. Amacam?

Selesai membaca akhbar, aku ke KLCC pula. Di sana aku duduk dan memikirkan tentang Malaysia. Oh, bunyinya seakan poyo. Tetapi aku cuba berkata jujur. Aku asyik bertanya pada diri, 'ke mana Malaysia selepas ini?' Melihat kepada situasi sekarang, aku berasa sangat risau. Perkara kecik seperti sebat dan kuil pun tidak selesai-selesai. Bukankah sekarang ini krisis ekonomi? Jiran kita Indonesia pun sudah mula bangkit mengatur langkah. Dah jadi negara jemputan untuk G-20. Kita? sibuk bising-bising tentang hak cipta tarian Pegan dan Manohara.

Apa sebenarnya orang-orang tua yang memimpin negara ni buat?

Makin lama aku fikir makin aku mengerti apa erti kemerdekaan bagi diriku. Bagiku, merdeka ialah apabila orang muda macam aku diberi peluang untuk menentukan hala tuju negara kita. Merdeka ialah apabila suara kami lebih didengari dan diambli kira. Merdeka ialah apabila generasi muda didekati bukan dihukum perbuatannya, dikutuk pandangannya dan dihina mindanya. Bukan juga sekadar turun mengundi 5 tahun sekali.

Aku mahu negara ini benar-benar kepunyaan semua. Bukan terhad kepada generasi tua yang memerintah. Tetapi terbuka untuk generasi muda juga. Inilah erti kemerdekaan bagiku.

Merdeka

" Jika hati kita tidak sehaluan, kau masih mahu aku?" - tanya Maya Karin kepada aku di tahun 1957. Sudah 52 tahun sejak ungkapan ini diucapkan. Mungkin Maya Karin sudah menjadi milik orang lain, tetapi negara yang bernama Malaysia tetap menjadi milikku.

Selamat Menyambut Kemerdekaan Semenanjung Malaysia!




Ps: Ramai yang kata bendera negara dan lagu kebangsaan- semuanya dicilok dari luar. Macam mana kalau kita tukar lagu kebangsaan dan bendera Malaysia? Apa pendapat anda?